Bab 27

Drama Completed 57469

"Mak...aduh, Nizam dengan Nurin tak declare apa-apa pun mak. Tak kan tiba-tiba Nizam nak ajak dia nikah pula?!" Menggelabah rasanya apabila Puan Hasnah dan Encik Lutfi membuka mulut mereka pada pagi itu. Selera makannya tiba-tiba terbang entah ke mana. Saki baki nasi goreng yang masih ada di dalam mulutnya pun terasa kelat untuk ditelan. Berdebar juga ya bila topik nikah kahwin dibentang saat dirinya tak bersedia.

"Kalau kamu tak nak tanya dia, biar mak yang tanya."

"Mak, janganlah menyampuk urusan Nurin dengan Nizam. Nanti apa pula yang Nurin fikirkan. Please, jangan tanya dia apa-apa." Nizam merayu. Gila betul cadangan maknya.

"Kalau macam tu kamu redha dengan Eryn?" Giliran ayahnya pula yang bertanya.

"Eh, tak." laju Nizam menjawab.

"Kamu betul tak suka Eryn?" soal ayahnya lagi.

"Bukan bermaksud Nizam tak suka dia, tapi nak jadikan Eryn tu pasangan hidup memang tak..."

"Dah tu? Maknanya kamu nak dengan Nurin?" Soal Puan Hasnah pula.

"Memanglah nak tapi tak kanlah tiba-tiba sangat nak ajak dia kahwin. Kami ni bercinta pun tidak. Nampak benar terdesak kalau Nizam ajak kahwin. Tak ke mengejut sangat tu."

"Mak dah tak larat nak dengar Mak Long kamu asyik nak padankan kamu dengan Eryn. Ni tahi telinga mak ni pun dah cair dengar Mak Long kamu tu."

"Tapi mak...cuba mak fikir.."

"Tapi apa pula? Kata memang nak tapi tak nak? Macam tu ke?" Ayahnya pula menyampuk.

Aduh, berat masalah ni kalau kedua-dua orang tuanya yang nak ambil alih.

"Bukan macam tu ayah. Nizam tak pernah cakap apa-apa pun dengan Nurin. Tak pernah pun bagi sebarang hint yang menunjukkan Nizam ni suka dia. Macam mana kalau Nizam sekadar bertepuk sebelah tangan? Silap-silap Nurin tak pandang pun Nizam." Nizam menyuarakan kerisauannya yang sebenar.

Benar, jika diingatkan semula tak pernah sekali pun dia memberikan petunjuk bahawa dia menyukai Nurin. Kononnya dia cumalah jiran yang prihatin. Begitu juga Nurin. Tiada layanan istimewa yang diberikan untuk Nizam. Layanannya sama rata. Tidak lebih, tidak kurang.

"Apa susah? Pergilah tanya."

Nizam menepuk dahinya. Alahai, kalaulah semudah itu mungkin sudah lama dia dan Nurin declare sebagai pasangan kekasih.

"Cadangan ayah untuk Nizam tanya tu..macam tak berapa nak boleh pakailah pula...hmm nantilah ayah...pandailah Nizam nanti." Nizam jadi tak senang duduk. Aduh, macam mana ni? Belum lagi dia bertanya hatinya sudah pun berdegup kencang. Detak jantung bukan pada kadar yang normal. Sakit rasanya dinding dada. Tidak dapat dia bayangkan macam mana keadaan dia jika berhadapan dengan Nurin.

"Kamu ada banyak peluang untuk bertanya. Sekarang dia kerja dengan kamu, so tanyalah cepat. Tak pun pergi ajak dia keluar sementara off day hari ni." Encik Lutfi menyatakan pendapatnya. Dia kenal Nizam, tak tahu nak memulakan. Mudah kekok apatah lagi bila berhadapan dengan perempuan. Atas sebab itulah Nizam tidak mempunyai mana-mana kekasih.

Pernah satu ketika dia dan isterinya bingung memikirkan Nizam. Adakah anak mereka normal atau tidak? Sebaik saja Nizam menunjukkan minatnya terhadap Nurin, barulah kedua-dua mereka lega. Geli hati sendiri kerana berfikir yang bukan-bukan.

"Nantilah..." ujar Nizam lalu bangun dari kerusinya. Tidak lagi dia menjamah nasi yang masih berbaki di pinggan. Dia segera ke sinki dan membersihkan pinggannya sebelum berlalu keluar meninggalkan kedua-dua orang tuanya. Dia melabuhkan punggung di kerusi di halaman rumah. Berfikir-fikir sendiri.

Kalau Eryn sudah tentu segalanya lancar. Eryn sukakan dia sejak dari dulu lagi, kalau dia setuju sudah tentu Eryn bersorak gembira tapi sayangnya hati tidak memilih Eryn. Dia tidak pernah punya perasaan terhadap gadis itu. Namun bila dengan Nurin, segala-galanya berbeza. Dia punya satu rasa yang aneh terhadap Nurin. Rasa sayang yang entah bila hadir. Rasa untuk ingin terus meluangkan masa bersama. Kadang-kala dia kecewa sendiri apabila habisnya waktu bekerja kerana itu bermakna mereka akan berpisah. Mereka akan terhalang oleh tembok rumah. Kalau boleh mahu saja dia meruntuhkan tembok agar dapat melihat Nurin. Tapi mana mungkin dia boleh berbuat begitu. Rasa rindu hadir apabila Nurin tidak di depan matanya. Dia sebenarnya angau sendiri. Parah betul.

Tiba-tiba telefonnya berbunyi menandakan ada pesanan yang masuk dan ternyata Nurin yang menghantar pesan. Alahai, macam tahu-tahu hati di sini sedang merindu.

Buat apa tu? -Nurin

Segera Nizam membalas. Eh, tanpa sedar hatinya berbunga mekar. Aduh, parah! Satu pesanan saja sudah cukup membuatkan taman bunga di hati subur bagai dibaja. Ajaibnya baja ditabur terus berkembang mekar bunga yang kuncup.

Tak buat apa. Kenapa? -Nizam

Saja tanya, boring. Tak tahu nak buat apa. Tak ada teman berbual. Boring dah pandang siling. -Nurin

Kalau tak boring, tak adanya dia whatsapps kita. Awak ingat saya ni taman hiburan ke? -Nizam

Hehe, tak mau kacau hari cuti awak. -Nurin

Awak dah kacau dah pun. Tapi tak apa. Kacaulah lagi, tak marah pun. Suka lagilah. -Nizam

Oh, memang ada eh orang yang suka kena kacau? -Nurin

Kalau awak yang kacau, memanglah suka. -Nizam

Mengada! -Nurin

Haha tadi kata boring, jum keluar malam nanti nak? Pasar malam? -Nizam

Nak buat apa? -Nurin

Jalan-jalan, tengok barang jualan orang. Beli barang makan dekat sana. Best! -Nizam

Bolehlah...tapi awal sikit tau...saya malas masak dinner. -Nurin

Malam nanti lepas isyakkk saya jemput. Naik kereta saya. -Nizam

Ish, sebelah rumah pun sibuk nak jemput. -Nurin

Dah tu? Tak kan saya pergi sorang, awak naik grab? -Nizam

Baiklah, you're the boss anyway. Malam nanti ya. Tapi siang ni nak buat apa? -Nurin

Dating dengan saya nak? -Nizam

Mengada! -Nurin

Apa pulak? -Nizam

Ah, malas nak reply! Nurin tersenyum sendiri. Tanpa sedar dia terbuai dengan layanan Nizam. Sesekali hatinya bagai diketuk oleh jejaka itu namun segera Nurin menepis rasa yang hadir. Dia tidak layak untuk Nizam. Lelaki itu terlalu baik untuk dia yang tidak sempurna.

Bagi Nurin, Nizam lelaki pertama yang benar-benar melayan dia dengan normal. Dia selesa dengan Nizam. Orangnya simple dan agak bersahaja. Dylan? Ah, tidak dinafikan dia merindui Dylan tapi sudah dua minggu lelaki itu senyap tanpa sebarang berita. Masih marahkah Dylan? Perbualan mereka yang terakhir tidak ditamatkan dengan lancar. Tapi tak kanlah disebabkan itu terus tak nak berhubung langsung. Hilangnya Dylan meninggalkan satu kekosongan yang tanpa dia sedar telah diisi oleh Nizam.

Sedar tak sedar rasanya untuk Dylan bagaikan semakin meluruh. Ketegangan yang berlaku sedikit demi sedikit menjadi racun. Jarak yang memisahkan turut mencipta jurang. Jika dulu Dylan yang akan selalu ada untuknya, namun kini Nizam yang mengambil alih tempat Dylan. Keadan yang memaksa Dylan untuk pergi, meninggalkan Nurin sendiri. Keinginan Nurin mudah, untuk terus bersama Dylan namun bagi Dylan pula, Nurin tidak seharusnya bersama dengannya. Terus-menerus dia menolak Nurin.

Nurin yang sudah biasa ditolak semakin lama semakin akur. Hatinya bagaikan tiada nilai bagi Dylan. Katanya sayang, katanya cinta namun tidak pula mahu bersatu. Tidak juga mahu bersama. Semuanya salah, itu tak kena, ini pun tak kena. Tidak tahu bagaimana pengakhiran Dylan dan dia. Ibarat menunggu bulan jatuh ke riba. Ah, tapi dia masih sayang. Meskipun harapannya untuk bersama tidak lagi bersinar terang, namun ia masih tidak terpadam. Semoga Dylan berubah hati dan memilih untuk menyerahkan cintanya. Siapa tahu jika penantiannya akan berakhir indah?

Tapi bagaimana jika tiada lagi penantian? Nurin berhenti menunggu dan membuka hati yang seringkali di jenguk oleh jejaka sebelah rumahnya itu? Adakah itu jauh lebih baik? Sejujurnya Nurin mengaku ada waktunya dia bagaikan terpaut pada senyuman dan layanan Nizam. Cuma dia yang sengaja menepis dan menjauh. Risau kalau dia syok sendiri. Lagi pula siapa yang mendambakan gadis seperti dia? Tak layak rasanya untuk dia berdiri di samping Nizam. Nurin sedar diri. Gabungan mereka tidak sesuai. Cukuplah seperti ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience