Bab 43

Drama Completed 53004

Eryn melampiaskan rasa sakit hati yang sedang dirasakan. Bantal dibaling ke dinding. Cadar tilam direnggutnya kasar. Cermin pada meja soleknya turut dipecahkan. Pedih rasa hatinya tidak tertahan. Sampai hati Nizam terus-menerus mengabaikan dia sedangkan mereka sentiasa ada untuk satu sama lain satu ketika dahulu.

Berita yang disampaikan oleh Puan Azuween sebentar tadi benar-benar merampas ketenangan jiwanya. Kenapa Nizam terlalu nekad memilih Nurin sedangkan Nurin belum lama pun hadir dalam hidupnya? Apa yang istimewanya Nurin yang tiada pada dia? Selama ini dia berusaha sebaik mungkin untuk tumbuh menjadi sekuntum bunga mekar yang indah namun ternyata tidak mampu menarik perhatian lelaki yang dipujanya. Apakah makna pengorbanannya selama ini?

"Eryn, buka pintu ni. Apa kau buat dekat dalam tu siap berkunci bagai ni?" Puan Azuween mengetuk pintu Eryn bertalu-talu. Bunyi kaca pecah menarik perhatiannya. Ketukannya tidak diendah. Ish, tak boleh jadi. Puan Azuween segera mengambil kunci pendua yang terletak di dalam laci biliknya. Sepantas kilat dia membuka luas pintu bilik Eryn yang terkunci sebentar tadi.

"Astaghfirullah, apa dah jadi ni Eryn?" Puan Azuween terkejut besar. Bilik Eryn bersepah teruk mengalah keadaan kapal selepas karam.

Eryn tidak mempedulikan langsung kedatangan Puan Azuween. Dia menghempas diri di atas katil dan hanyut dalam tangisannya sendiri.

"Istighfar, Eryn. Tak payah kamu nak menggila macam ni gara-gara Nizam tu tak pilih kamu untuk jadi isteri. Bukannya tak ada lelaki lain dekat luar sana tu."

"Mak tak faham! Semua orang tak faham! Eryn tak nak lelaki lain. Eryn nak Nizam!"

"Astaga, kau nak buat macam mana kalau Nizam tu dah pilih Nurin tu untuk jadi isteri?"

"Nizam bodoh! Eryn benci dia mak. Sakit hati ni, mak..."

"Dah Eryn... Tak payah nak menangis macam orang mati laki. Mak dulu pun tak meraung nangis macam kau ni waktu mak mati laki. Kau pula yang melebih-lebih. Kalau dah benci dia, sudah-sudahlah tu. Redha sajalah. Anggap kamu berdua memang tak berjodoh."

"Sakit, mak... sakit sangat hati ni. Selepas sekian lama Eryn serahkan hati Eryn untuk dia, alih-alih dia pilih orang lain. Dia bukannya tak tahu apa yang Eryn rasa tapi tak tahulah kenapa dia langsung tak pandang Eryn. Sebelah mata pun tak mak... Sedangkan dulu dia selalu ada untuk Eryn. Kenapa dulu dia bagi harapan tapi sekarang dia juga yang menghancurkan semuanya?" Eryn menangis teresak-esak. Puan Azuween mengusap belakang anaknya.

"Eryn, mak tahu Nizam tu baik sangat dengan kamu. Mungkin dia tak bermaksud lain. Mungkin kamu yang salah faham dengan kebaikkan dia selama ni."

"Habis tu? Mak nak kata Eryn syok sendiri sejak dari dulu? Mak nak kata Eryn perasan? Hah?"

"Tapi tak mustahil, kan?"

Eryn bangun lalu bertentang mata dengan Puan Azuween.

"Mak, Nizam always bagi tanda yang seolah-olah ada something is going on between us! Eryn dapat rasa semua tu. Dia bukan baik semata-mata dengan Eryn tapi dia always bagi layanan istimewa untuk Eryn. Kenapa dia treat Eryn like I am special kalau dia tak bermaksud apa-apa?"

"Dia tak pernah luahkan apa-apa pun, kan?"

"Mak dah kenapa? Mak suka tengok Eryn macam ni? Sakit macam ni?"

"Sebab mak tak sukalah mak cuba untuk sedarkan kamu ni, Eryn."

"Mak tak nak tengok Eryn bahagia ke?"

"Mak mana yang tak nak anaknya bahagia, Eryn?"

"Kalau betul mak nak tengok Eryn bahagia, mak sepatutnya tolong Eryn. Mak sepatutnya support Eryn waktu-waktu macam ni!"

"Eh, kamu nak mak support macam mana? Nak suruh mak pujuk si Nizam tu supaya ambil kamu jadi bini? Itu diluar kemampuan mak. Kamu faham tak?"

"Mak cuma beralasan."

"Alasan kepala hotak kamu! Mak dah tebalkan muka bercakap dengan Mak Ngah kamu disebabkan nak jaga perasaan kamu. Mak dah cuba pujuk supaya satukan Nizam tu dengan kamu. Masalahnya Nizam dah memang ada pilihan. Mak buat macam mana sekali pun kalau Nizam dah memilih, apa lagi yang mak boleh buat? Nizam bukan anak mak yang mak boleh paksa-paksa ikut kehendak mak. Sedangkan anak mak sendiri pun tuli tak mahu dengar nasihat mak, apalagi nak paksa-paksa anak orang."

"Mak jangan nak perli Eryn. Kalau mak dah tak sayangkan Eryn, mak terus-terang. Eryn boleh pergi!"

"Eh, aku pula yang kena? Kamu jangan nak melampau, Eryn. Aku kalau aku sebut satu persatu baru kau tahu. Mahunya tumpah air mata darah kau menangis kalau aku dah berbunyi nanti. Lebih baik kau jadi manusia balik. Mengamuk macam kena rasuk macam ni tak adanya boleh buat Nizam tu nak dekat kamu."

Puan Azuween segera bangun. Malas mahu memanjangkan masalah itu. Tak pasal-pasal mereka dua beranak pula yang bergusti nanti. Eryn memang nampak terpukul dengan berita pertunangan Nizam dan Nurin yang akan berlangsung dua minggu lagi. Tapi apa yang boleh dia lakukan? Silap Eryn sendiri yang terlalu berharap. Dari dulu lagi dia selalu berpesan jangan terlampau suka, takut orang tak sudi. Puan Azuween tak salahkan Nizam yang mengabaikan Eryn. Perasaan tu mana boleh dipaksa macam tu saja. Sakit? Ya, dia tahu macam mana rasa sakit apabila ditolak sedangkan hati bukan main mencinta. Dia juga pernah muda. Pernah merasa sakitnya bermain cinta.

Biarlah Eryn melepaskan semua yang terbuku di hati. Nak lempar apa pun lemparlah asalkan selepas mengamuk hatinya puas. Mana tahu kalau-kalau ketenangan akan datang selepas itu. Sempat dia mengerling semula ke arah Eryn sebelum melangkah keluar dari bilik itu.

"Jangan berani-berani nak lari. Kau lari, siap! Ke lubang cacing pun kau, mak boleh hidu." Dia melontarkan amaran. Jauh di sudut hati keibuannya, terselit kerisauan andai kata Eryn benar-benar pergi meninggalkan dia. Ketegasan yang dipamerkan mungkin tidak menampakkan kasih yang menggunung namun kerana sayanglah dia memberi terpaksa bertegas. Eryn menjeling cuma. Hatinya terlalu sakit mengenangkan Nizam yang semakin terlepas dari pegangannya. Tak kuasa untuk bergaduh dengan Puan Azuween. Dibiarkan saja Puan Azuween meninggalkan dia sendiri. Ah, itu jauh lebih baik. Dia sememangnya mahu sendiri. Emosinya masih tidak stabil. Hati bagai dicincang. Bagaimana harus dia menghadapi hari-hari yang mendatang? Tak pasal-pasal dia turut menghitung hari pertunangan Nizam dan Nurin. Jika mereka berdua sedang bahagia menunggu tibanya waktu untuk diikat, Eryn pula terseksa setiap hari apabila senja berlabuh. Seakan-akan mahu dihentinya waktu supaya berhenti berputar supaya hari itu tidak akan pernah tiba. Tapi apalah dayanya dia?

Bukan dia yang meminta cinta itu hadir. Bukan dia juga yang mahu bertepuk sebelah tangan. Tidak mungkin dia memilih untuk merasa sakit sedang pilihan untuk bahagia itu ada. Tidak mungkin juga dia sengaja memilih untuk menyesakkan jiwanya dengan cinta yang sudah pasti bukan untuknya. Bukan juga dia sengaja membiarkan hatinya terbuka luas untuk Nizam. Acap kali dia cuba menghalau rasa itu namun dia tidak mampu. Bukan dia tidak pernah mencuba. Semakin dia ingin mengabaikan rasa cinta yang hadir, semakin gelisah pula dia jadinya. Akhirnya dia memilih untuk berjuang. Ternyata perjuangan itu bukanlah satu pilihan yang tepat. Sakitnya apabila hati tidak diendah. Kini terpaksa pula akur dengan jodoh yang tiada. Mampukah dia?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience