Prologue

Drama Completed 53004

"Nurin tak nak! Nurin tak mahu!" Gadis berusia 16 tahun itu meronta saat diseret masuk ke dalam kereta. Dia tahu ke mana arah tujunya, tak lain tak bukan ke neraka tempatnya.

"Anak bertuah! Aku tak ada duit nak sara kau! Daripada aku bazirkan duit untuk kau, lebih baik aku guna kau untuk dapatkan duit." Ayah tirinya Nadzir masih berkeras untuk menjual anak tirinya itu demi melangsaikan hutang-piutangnya yang semakin membebankan. Dia sudah pun berbincang dengan seseorang yang mahu membeli si dara sunti dengan harga yang lumayan.

"Nurin merayu! Lepaskan Nurin, ayah. Nurin janji Nurin tak akan susahkan ayah."

"Pergi mati dengan janji kau! Mak kau dah banyak susahkan aku, duit aku habis untuk rawatan dia waktu dia masih hidup. Bukannya makin sihat, malah mati! Kau sebagai anak cubalah berbakti untuk dia! Bantu aku langsaikan hutang-hutang aku. Kalau bukan disebabkan mak kau, tak adanya aku berhutang ke sana ke mari."

Nadzir semakin mengah apabila Nurin masih berkeras untuk melepaskan diri. Segera dia mencapai tali untuk mengikat tangan dan kaki Nurin. Settle! Kenapalah dari tadi tak terfikir nak mengikat si Nurin? Tak sampai 10 minit kemudian, mereka berangkat meninggalkan perkarangan rumah. Jeritan dan teriakan Nurin meminta tolong tiada siapa yang mendengar. Hujan lebat yang turun telah menenggelamkan suaranya. Bunyi air hujan yang jatuh di atas bumbung rumah ditambah pula dengan bunyi guruh menyebabkan suaranya tidak mampu memukul gegendang telinga jiran-jiran yang berdekatan.

Hati Nurin remuk dan retak. Ayah tiri yang selama ini menjadi tempatnya menumpang kasih berubah dalam sekelip mata. Perangainya mula berubah sejak keadaan mak semakin tenat akibat sakit kanser yang dihidap dan akhirnya semakin teruk sejak mak meninggal dunia beberapa bulan yang lalu.

Mata Nurin yang membengkak kerana menangis membuatkan dia terlelap semasa perjalanan. Penat yang ditanggung selepas cuba bertarung dengan Nadzir menambahkan lagi rasa mengantuknya. Entah berapa lama dia terlelap, dia sendiri pun tak pasti. Apa yang dia tahu, saat dia mencelikkan semula matanya, mereka sudah pun tiba di destinasi.

Dalam keadaannya masih mamai, tiba-tiba Nadzir membuka pintu kereta lalu membuka ikatan tali pada tangan dan kakinya. Tangannya kemudian dipegang kejap dan ditarik keluar dari perut kereta. Kali ini Nurin terpaksa menurut. Keadaan sekeliling tersangat asing. Dia memerhati kiri dan kanan. Kelihatan beberapa orang gadis mencuri pandang ke arahnya. Ada yang jelas terpapar riak kasihan namun tiada siapa yang sudi menghulurkan bantuan. Semuanya sekadar melihat sejenak sebelum menyambung semula kerja. Dia dibawa masuk ke sebuah bilik yang terletak di ruang belakang. Seorang lelaki siap sedia menunggu di situ. Nurin ditolak ke arah lelaki tersebut.

"Ini budak lagi..." ujar lelaki tersebut.

"Ya bos, tapi lagi dua tahun cukup umur. Virgin bos, tak nak?" Nadzir bersuara.

"Aku bukannya babysitter nak jaga dia selama dua tahun!"

"Tapi mana lagi nak cari pucuk muda yang masih terjaga dara zaman sekarang? Yang ini saya yakin, saya berani jamin!"

Nurin memandang lelaki tersebut. Memohon simpati. Maklumlah, diakan masih budak. Namun harapan yang dibina musnah dalam sekelip mata apabila lelaki itu melontorkan sebuah beg hitam kepada Nadzir.

"Settle! Kau jangan tuntut dia. Sekarang dia aku punya."

Nadzir menyambut beg tersebut bersama sebuah senyuman yang mekar. Dia memandang Nurin puas sebelum berlalu pergi meninggalkan Nurin sendiri di situ.

Meraung Nurin memanggil ayah tirinya yang ternyata langsung tidak peduli. Baru saja kakinya mengorak langkah mahu turut pergi, tiba-tiba tangan kasar milik seseorang terlebih dahulu memegang bahunya menyebabkan dia sekali lagi bergelut dalam perjuangan melepaskan diri.

"Bawa ke bilik belakang. Jangan lupa kunci pintu!" lelaki itu memberikan arahan kepada anak buahnya. Nurin sedar, berakhirlah hidupnya. Selesai sudah urusan jual beli di antara ayah tirinya dengan lelaki itu. Oh tuhan, malangnya nasib.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience