BAB 43

Romance Completed 31452

Kata-kata Naurah semalam cukup buat hatinya terguris. Sungguh sakit. Hanya tuhan aje yang tahu hatinya saat ini.

Kata-kata kasar Naurah masih terngiang-ngiang di telinganya. Masih takkan dia lupa kata-kata yang menyakitkan hatinya itu.

Tetapi, dia mencuba lagi untuk bersabar. Dia tidak boleh bertindak apa-apa. Dia juga tahu kesalahannya. Telapak tangannya yang dahulu diangkat ke wajah Naurah direnung dengan mata mula berkaca-kaca.

Tangan ini lah yang dilempang ke wajah Naurah tanpa sengaja. Kerana sewaktu itu dia sudah tidak dapat tahankan lagi kesabarannya. Kini, akhirnya terlepas jua.

Kerana itu, mungkin Naurah sudah tidak dapat memaafkannya. Itu pertama kali dia mengangkat tangan pada wajah seseorang wanita.

Sungguh, dia berasa bersalah pada gadis itu. Mencuba lagi meminta maaf tetapi hati Naurah sangatlah keras. Wanita itu sudah pun nekad untuk berjauhan dengannya dan dia juga tahu yang wanita itu takkan maafkannya sampai mati.

Itu yang membuatkan Nayl lebih rasa sungguh serba salah. Sudah pelbagai cara diguna untuk memujuk wanita itu, tetapi semua cara yang dia guna langsung tidak berjaya. Hati Naurah tetap tidak akan maafkannya dan hati wanita itu sudah tidak ada lagi cinta mereka berdua. Semuanya hilang.

Tetapi, Nayl takkan biarkan begitu sahaja. Dia akan siasat perkara itu walaupun tentang itu hal yang lama. Dia akan siasat sampai dia berjaya mencari siapa perlaku yang fitnahnya di video tersebut.

Takkan dia biarkan masalah itu hilang dibawa angin dan orang sekelilingnya akan menganggapnya bukan-bukan. Dia tidak mahu semua itu!

Dengan itu, dia akan berusaha sedaya upaya siasat kes tersebut!

*********

Berkali-kali juga Sabrina menghubungi Sarah, tetapi semua panggilan yang dihubungi langsung tidak dijawab.

Makin risau wanita itu saat ini. Kerana, hanya Sarah yang dia ada sekarang ni. Hanya gadis itu yang tahu semuanya rancangannya.

Jika gadis itu tiada, makin susah lah untuk dia meneruskan rancangannya yang seterusnya jika tanpa gadis itu berada di sisinya saat ini.

*********

"Naufal," lembut Naurah memanggil anaknya lalu dia melabuhkan duduk di birai katil Naufal. Kelihatan jelas wajah si kecil itu marah sangat padanya.

Tangan si kecil itu ditarik lembut. "Naufal masih marahkan mama ke?" Lama dia menatap wajah anaknya. Naufal langsung tidak menoleh memandang raut wajah si mama. Malah, hanya menjeling tajam ke tempat lain.

Naurah menghela nafas panjang. Susah jugak ya nak pujuk si kecil comel ini.

Naurah tersenyum kecil. "Okey, mama minta maaf ya. Mama janji lain kali mama takkan tipu Naufal lagi. I promise. Sorry..." Naurah membuat muka manja berharap si kecil itu hilang merajuk.

Tak berjaya juga. Naurah menggunakan cara kedua. "Kenapa mama tipu Naufal? Uncle Nayl tu memang betul papa Naufal tapi kenapa mama tipu Naufal?!" Belum lagi bersuara, Naufal sudah mula bicara dengan nada yang masih belum puas hati.

Naurah menelan liur. Tidak tahu mahu menjawab apa. Dia menggigit bibir. "Sebenarnya, Uncle Nayl tu papa Naufal. Dia terpisah dengan Naufal sebab...Dia ada masalah sikit. So, mama bersyukur sebab Naufal dah dapat jumpa dengan papa Naufal kembali. Mama minta maaf sebab mama tipu Naufal. Tapi, kalau Naufal tak maafkan mama, Naufal nak ikut papa Naufal, Naufal pergi lah. Mama tak kisah. Mama tahu Naufal tak sayangkan mama. It's okey. Biar mama hidup seorang diri." Kali ini giliran Naurah pula yang merajuk. Berharap si kecil itu yang pujuknya. Hati sudah ketawa. Suka kenakan si kecil itu. Alasannya itu juga pun dia berharap Naufal percaya.

Dia lagak berlakon di hadapan Naufal, dia mengangkat punggung lalu melangkah keluar dari bilik anaknya dengan wajah yang masih merajuk.

Si kecil itu lama memandang mamanya yang melangkah keluar dari biliknya. Dengan hati yang sebak lantas dia berlari lalu memeluk erat tubuh si mama.

Naurah tersenyum kecil. Tawanya cuba ditahan agar tidak terlepas. Senang aje nak pujuk si kecil comel ni.

"Tak nak! Naufal tak nak tinggalkan mama. Naufal sayang mama. I love you..." Ucapnya dengan esakan tangisannya.

Naurah tersenyum lalu melabuhkan duduk di atas lantai. Lama dia merenung wajah si kecil itu yang mula sembab.

Air mata Naufal diseka. "Mama pun tak nak tinggalkan Naufal. So, Naufal janji dengan mama yang Naufal takkan tinggalkan mama. Promise?"

Jari kelengkengnya di angkat, lantas jari kelengkeng Naufal disambut dengan sungguh mesra. "I promise I will never leave you. I so sorry..." Aik, Naufal pulak yang meminta maaf pada Naurah.

Dalam hati Naurah, tak henti-henti ketawa. Dia memeluk erat tubuh si mama. Naurah menekup mulutnya agar tidak terlepas tawanya yang sudah tidak tahan.

"Okey, mama maafkan Naufal. But, mama pun nak minta maaf juga sebab mama tipu Naufal. Sorry..." Pipi gebu Naufal dikucup bertalu-talu.

Si kecil itu mengangguk lalu tersenyum lebar. Dia kembali memeluk tubuh si mama. Seakan-akan tidak mahu lepas dari pelukan itu.

Naurah tertawa kecil.

"I love you mom."

*********

Dulang air di letak di atas meja berhadapan dengan Puan Zainab dan Encik Rahim. Kini duduk dilabuhkan dihadapan mereka berdua.

"Jemput lah minum mak, ayah. Nayl tak tahu nak buat makanan apa untuk mak dan ayah. Kalau mak dan ayah cakap awal-awal nak datang, dah lama Nayl masakan makan malam untuk mak dan ayah." Ujar Nayl menyesal menghidangkan makanan dan minuman sederhana untuk kedua-dua ibubapanya yang datang mengejut di rumahnya pada waktu malam.

"Alahai, tak apa lah Nayl. Mak okey aje dapat minum ni. Lagipun, dari rumah tadi kita orang dah makan. Jangan risau lah." Bicara Puan Zainab menyedapkan hati anaknya. Kasihan melihat Nayl seperti tidak bermaya.

Dia datang ke mari pun kerana dia dapat khabar yang Nayl tidak sihat. Ah, sungguh dia berasa tidak senang hati.

"Kamu tu macam mana? Dah sihat? Kenapa tak pergi ke klinik?" Soal Encik Rahim risau. Melihat wajah Nayl pun pucat.

Anaknya sekadar tersenyum. Berkerut dahi Puan Zainab dan Encik Rahim. "Okey je mak, ayah. Sikit aje ni Nayl demam. Esok sihat lah tu." Balas lelaki itu dengan senyuman dibibir.

"Okey apa macam ni? Mak tengok muka Nayl ni pucat sangat," tangan menaik lalu mendarat ke dahi si anaknya. Terkejut apabila merasa badan Nayl sungguh panas.

"Panas lagi badan Nayl ni, boleh lagi cakap okey. Jom lah kita pergi klinik."

Nayl hanya menggeleng. "Tak apa lah mak. Nayl okey lah. Nanti Nayl makan ubat esok tu insyaAllah okey lah kut. Mak jangan risau ya," tolak Nayl lembut tetapi sebaliknya sungguh dia merindui seseorang sehinggalah dia menjadi begini.

"Ke Nayl demam ada sebab?" Persoalan itu membuatkan lelaki itu tersentak. Lama Encik Rahim memerhatikan wajah gelabah Nayl.

"Eh tak ada lah ayah. Nayl okey je. Demam ni sikit je. Hari tu kan hujan lebat, so mungkin Nayl terkena hujan waktu balik kerja." Ujar Nayl yang sedikit teragak-agak.

"Mak tahu, Nayl dah seminggu tak jumpa Naufal kan? Nayl masih ingat amaran Naurah?" Soal Puan Zainab seperti sudah tahu sesuatu menyebabkan anaknya jadi begini.

Lelaki itu hanya berdiam diri. Masih terngiang-ngiang kata-kata itu.

Dia baru aje mahu bersuara, Puan Zainab sudah memotong. "Nayl tak payah nak tipu mak dan ayah. Nayl takkan berjaya nak sembunyikan sesuatu daripada mak dan ayah. Mak dan ayah tahu, Nayl rindukan Naufal sampaikan Nayl jadi macam ni," ujar Puan Zainab memerhatikan wajah anaknya yang mula tidak senang duduk.

"Ya...Nayl rindukan Naufal. Sehari tak jumpa dia rasa rindu sangat. Dah seminggu Nayl tak jumpa dia. Nayl rindu sangat dekat dia mak ayah. Sekarang pun Nayl tak tahu nak jumpa Naufal tu dekat mana. Sebab, dia orang dah pergi jauh. Nayl dah tak dapat jumpa lagi dengan anak Nayl." Ujar lelaki itu kecewa. Sedih. Sebak. Sudah seminggu tidak berjumpa, mahu tidak sedih. Kata guru tadika Naufal, si kecil itu sudah pindah ke sekolah lain. Itu membuatkan Nayl lagi sedih.

Bahu si anak di gosok lembut. "Sabar lah Nayl. Kita banyakkan berdoa, InsyaAllah dengan izin Allah Nayl dapat kembali jumpa dengan Naufal. Kita banyakkan berdoa agar hati Naurah cepat lembut dan dapat memaafkan Nayl." Pujuk Puan Zainab apabila melihat kelopak mata Nayl sudah mula basah.

Sedih, hampir lama juga tidak jumpa dengan anaknya. Kalau jumpa pun sekejap.

"Naurah ni, kejam sungguh. Tergamak dia pun begitu pada Nayl. Kalau dia tidak fikirkan perasaan Nayl, fikir lah perasaan Naufal. Kesian dekat Naufal dah lama tak berjumpa dengan ayah sendiri." Ujar Encik Rahim dengan nada tidak puas hati sewaktu mereka dalam perjalanan mahu pulang ke rumah.

"Isy...Apa abang cakap macam tu? Tak baik lah. Mungkin, ada sebabnya dia tak bagi Naufal jumpa dengan Nayl. Fikir lah yang baik-baik, bang. Kita siapa yang nak bertindak pada mereka," ujar Puan Zainab tidak puas hati dengan kata-kata suaminya yang menyalahkan Naurah.

"Awak ni pun satu, ada ke nak bela si Naurah tu? Awak tak kesian ke dekat Nayl. Dah bertahun-tahun tak jumpa dengan Naufal sebab Naurah halang mereka berdua untuk berjumpa. Nayl seorang ayah kepada Naufal. Dia ada hak atas anaknya. Naurah tak boleh nak halang walaupun dia benci dekat Nayl tu. Kalau benci sekalipun, jangan lah halang Naufal tu untuk berjumpa dengan Nayl. Hish! Saya tak faham lah. Saya dah cakap dengan adik saya si Suraya tu suruh dia pujuk si Naurah tu. Tapi, dia pun tak tahu nak buat apa lagi. Dah banyak kali dia pujuk Naurah, tapi Naurah ni keras hati. Jadi, sekarang dia pun tak tahu lagi nak buat macam mana. Takkan nak ikut kata si Naurah tu untuk halang anak dia daripada jumpa dengan Nayl." Bebel Encik Rahim panjang lebar. Hatinya benar-benar tidak puas hati apabila Naurah bertindak begitu sekali.

Tidak ada hati dan perasaan ke? Sanggup buat begitu pada Naufal. Sungguh dia kasihan melihat keadaan Nayl saat ini.

Puan Zainab hanya melepaskan nafas kecil. Dia pun sudah tidak tahu mahu lakukan apa lagi. Kasihan juga melihat Nayl. Tapi, dia mahu jumpa Naurah pun tidak dapat masakan mahu pujuk?

Dengan semua masalah ini, dia hanya berserah segalanya kepada Yang Maha Berkuasa. Kerana hanya Dia yang tahu segala-galanya. Manusia hanya mampu berdoa, kerana Allah sangat menyukai orang yang berdoa.

**********

Kaki diatur melangkah masuk ke pejabatnya, belum sampai dipejabat lagi, dia telah dilanggar seseorang sehinggalah dia terjatuh terduduk.

"Auch!" Terjerit kecil wanita itu.

Orang yang melanggarnya tadi lantas mendapatkannya yang terjatuh itu. "Err...Cik okey? Ya Allah, saya minta maaf sangat-sangat cik." Ucap seseorang itu dengan bersungguh-sungguh. Kelihatan suara itu sangat-sangat Sabrina kenal.

Berkerut dahinya. Lantas dia mengangkat wajah lalu menatap lama wajah dihadapannya itu.

"Sarah?"

Baru aje dia mahu memarahi orang yang melanggarnya, tetapi apabila dia melihat wajah yang sangat dia kenal itu langsung kemarahannya tadi terus hilang begitu sahaja.

Gadis yang berada di hadapannya itu juga turut tersentak.

Lantas Sabrina memeluk erat tubuh Sarah. Sarah juga tidak menyangka yang dia akan berjumpa dengan sahabatnya semula.

"Sarah, mana kau pergi selama ni? Aku cari kau tahu, tak?" Kelopak matanya mula basah. Menahan sebak di dada. Hampir lama tidak berjumpa dengan sahabatnya ini. Sungguh, dia rindu.

Sarah hanya sekadar tersenyum lebar. Lama dia memerhatikan wajah Sabrina yang mengalir laju air mata itu. "Aku tak ke mana pun. Aku bawa mak ayah aku pergi haji. Selama kau tak ada kat Malaysia ni, aku ada je dekat sini." Ujar Sarah dengan senyuman di bibirnya.

Sabrina menyeka air matanya. Huh, dapat juga dia jumpa dengan Sarah. Puas juga dia mencari gadis itu di tempat lain, tetapi langsung tidak jumpa.

"Kenapa kau tak bagitahu aku? Kau tahu tak aku risau."

"Oh, lupa. Aku tukar nombor baru. Sorry tak bagitahu kau."

"Isy...Kau ni. Risaukan aku je."

"Hehehe, sorry."

Dia menolong sahabatnya untuk kembali bangun. Kali ini, Sabrina tak lepas-lepas memandang penampilan baru Sarah.

"Kau dah bertudung?" Soalnya terkejut apabila melihat Sarah mula berhijab. Bertudung labuh.

Sarah tersenyum lalu mengangguk. "Alhamdulillah, aku dah boleh mula pakai tudung. InsyaAllah, aku akan berusaha untuk terus istiqomah. Nanti, kita boleh sama-sama pakai tudung ya. InsyaAllah, kalau ada rezeki aku belikan tudung untuk kau." Ujarnya mesra.

Sarah sudah berubah?

Ya, Sarah sudah pun berubah. Gadis itu terlihat sungguh cantik jika berhijab. Hati Sabrina sungguh berasa sebak. Jika dibandingkan dengan penampilannya, mahu menangis dia saat ini.

Sabrina hanya tersenyum lebar. "Dah, jom lah kita masuk office. Aku rindu kau. Ni mesti kau tak rindukan aku kan? Kau duduk UK bertahun-tahun tu mesti dah ada boyfriend mamat mata biru kan dekat sana? Kau? Siapa je tak kenal. Pandai pikat lelaki kut." Sakat Sarah sambil tertawa kecil.

Lega hati Sabrina saat ini. Lama sungguh dia mahu berjumpa dengan gadis ini, dan akhirnya dapat juga dia bertemu dengan Sarah.

Kali ni, rancangan aku akan berjaya! Aku akan memiliki lelaki itu semula!

*********

Bertalu-talu Naurah mengucup wajah Naufal sebelum melepaskan anak kecilnya pergi masuk ke dalam tadika tersebut.

"Bye mama!" Anak kecil itu melambai ke arah mamanya lalu melangkah masuk ke dalam tadika tersebut. Naurah juga turut membalas lambai anaknya.

"Assalamualaikum."

Suara itu kedengaran dari belakangnya. Naurah sedikit tergamam. Dia berpaling memusing ke belakang.

Lama diperhatikan susuk tubuh wanita yang berada dihadapannya. Berbaju kurung dan juga bertudung labuh. Siapakah dia? Naurah langsung tidak kenal wanita dihadapannya itu.

Berkerut-kerut dahinya. "Wa.. waalaikumusalam." Jawabnya sedikit gagap.

"Cik ni, cik Naurah kan?" Soal wanita dihadapannya dengan sungguh mesra. Makin hairan Naurah saat ini. Dia kenal aku?

Dengan teragak-agak, Naurah mengangguk kepala. "Err...ya. Saya Naurah. Cik ni pulak siapa ya?" Soal Naurah pula. Dia rasa, dia tidak ada pula berkawan dengan ustazah.

Dan, dia juga tidak pernah ada kawan. Ada pun Aina sengal tu. Hanya itu aje sahabatnya. Tetapi, wanita dihadapannya itu langsung dia tidak kenal. Macam mana dia tahu nama aku? Siapa perempuan ni?

Wanita dihadapannya itu menghela nafas lega lalu tersenyum manis. "Alhamdulillah, akhirnya saya dapat jugak jumpa dengan Cik Naurah," dia fikir, Naurah mengenalinya. Makin kerut dahi Naurah tidak faham dengan maksud wanita dihadapannya itu.

"Err...Cik Naurah ada masa tak? Saya nak jumpa dengan Cik Naurah sekejap boleh?" Soal wanita itu dengan sungguh lembut.

Naurah berbelah bagi, sekarang dia sudah lambat untuk masuk ke tempat kerja. Mahu jumpa dengan wanita ini? Siapakah dia? Dia kenal Naurah? Apa yang dia mahukan?

Otaknya ligat mahu berfikir. Sekejap-sekejap dia menjeling sekilas ke jam sekejap-sekejap dia memikir bagaimana mahu menolak pelawaan wanita itu.

"Errr...."

"Boleh cik Naurah? Sekejap aje. Saya ada hal sikit nak bagitahu dekat cik."

Kelihatannya wanita itu sungguh mendesak. Jadi, dia ikutkan aje. Hal apa yang penting sangat tu?

"Err...Okey." Jawab Naurah sambil tersenyum sebaris.

Dalam hati wanita itu berkali-kali mengucap syukur kepada Tuhan. Dah lama sangat dia mahu jumpa dengan Naurah.

Tetapi, Naurah masih bingung. Dia langsung tidak kenal wanita itu. Mungkin, wanita itu kenal dia.

**********

"Saya nak tanya, awak ni siapa ya? Awak kenal saya ke?" Soal Naurah apabila lama berdiam diri. Wanita yang berada dihadapannya itu hanya sekadar tersenyum manis.

"Oh, lupa. Saya Sarah. Kawan....Sabrina." Lambat-lambat disebut nama Sabrina itu. Dia pasti, Naurah tidak suka akan wanita itu.

Siapa je tak kenal Sabrina tu. Suka sangat buat orang benci padanya.

Sebelum dia berjumpa dengan Naurah, dia sudah tahu tempat tinggal Naurah, tempat kerja gadis itu dan di mana Naurah berada semuanya dia tahu.

Jadi, mungkin dah tiba masanya sekarang dia bongkarkan semua rahsia yang dia buat bersama Sabrina dahulu.

Tidak mahu melihat Naurah dan Nayl hidup sengsara. Sungguh dia berasa berdosa. Selama ini, dia selalu melihat Naurah dan Nayl bertengkar.

Melihat mereka berdua bergaduh, cukup buat dia berasa sungguh berdosa. Dia tahu kesalahannya. Bukan salah siapa-siapa tetapi salahnya.

Dengan kata-kata Sarah tadi, Naurah sedikit tergamam. Kawan Sabrina? Apa yang gadis itu mahukan? Kenapa dia mahu berjumpa dengan aku?

Naurah hanya berdiam diri apabila sudah dapat tahu nama gadis itu.

"Cik Naurah, saya sebenarnya nak bagitahu sesuatu pada cik Naurah. Saya harap sangat bila saya cakap semua ni, cik Naurah tak marah saya." Sarah mula bersuara dengan sedikit teragak-agak.

Dari semalam lagi dia mencari keberanian untuk bertemu dengan Naurah dan menceritakan semua hal ini. Dan mungkin ini lah tiba masanya untuk dia jelaskan semuanya pada Naurah.

"Err...Sarah. Saya minta maaf sangat-sangat. Saya dah lambat. Saya kena masuk kerja sekarang ni, sorry ya. Saya pergi dulu," ujar Naurah lalu mengangkat punggung.

"Eh, cik Naurah. Saya nak cakap sekejap je. Please, bagi saya masa sikit je." Bersungguh-sungguh Sarah merayu pada gadis itu berharap Naurah sudi mendengar perkara yang dia mahu beritahu.

Dia tahu gadis itu ego tinggi. Pasti tak lama nanti aku kena mengamuk dengan dia. Haih....

Naurah mengeluh panjang lalu melabuhkan duduk semula. "Can you say now what you want to say?" Kali ini nada suaranya mulai meninggi.

Gadis dihadapannya itu mula menunduk dan mula kedengaran suara esakan tangisannya. Berkerut dahi Naurah.

"Saya tahu cik Naurah tengah bergaduh lagi dengan Tuan Nayl,"

Kata-kata itu membuatkan Naurah makin tersentak. Dia tahu aku bergaduh dengan Nayl?

"Apa yang awak cakap ni?"

"Sebenarnya, saya yang buat rumahtangga cik Naurah hancur."

Terkejut besar Naurah dengan kejujuran wanita itu. "Saya tak faham apa yang awak cakap ni." Dia mahu mengambil kepastian. Seperti tidak percaya, orang yang bertudung labuh yang menutup aurat inilah yang buat rumahtangganya hancur. Sungguh dia panas saat ini.

"Sebenarnya, Tuan Nayl tak bersalah. Saya yang salah. Saya yang rakam video tu dan saya yang sebarkan video fitnah Tuan Nayl bersama perempuan lain di hotel tu. Saya yang buat, cik Naurah. Saya minta maaf..." Jelasnya lagi dengan suara tersangkut-sangkut. Air mata sudah banyak mengalir. Dia tahu ini semua salah Sabrina tetapi, dia rela menggunakan namanya. Tidak mahu menyalahkan Sabrina. Walaupun hal itu Sabrina yang rancangkan, tetapi dia lagi mampu menyelamatkan sahabatnya.

Kali ini, Naurah betul-betul terkejut dengan pengakuan daripada gadis itu yang telah menghancurkan rumahtangganya dahulu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience