Kelihatannya, bibir lelaki itu mula berdarah. Bukan sikit Encik Omar menumbuknya. Itu sudah terlebih kuat.
Lantas Puan Suraya dan Naurah mendapatkan mereka berdua. "Ya Allah, abang. Sudahlah tu!" Halang Puan Suraya pada suaminya apabila melihat Encik Omar memegang kolar baju Nayl untuk berdirikan semula tubuh lelaki yang lemah itu. Mungkin dia mahu memberi penumbuk lagi pada lelaki itu.
Tubuh suaminya ditolak kuat. Menjarakkan suaminya dan Nayl. Naurah sudah tidak tentu arah. Mahu halang mana satu ni? Dia menggaru kepala.
Lama dia perhatikan bibir Nayl yang mula terluka dan berdarah. Nayl memegang bibir yang terluka sakit itu. Pedih.
"Abang, sudah lah tu. Bawa istighfar, bang." Pujuk Puan Suraya pada suaminya.
"Hei, kau buat apa datang sini hah?! Kau nak hancurkan hidup anak aku lagi ke?! Kau berambus daripada sini! Berambus!" Bentak Encik Omar. Tajam dia merenung lelaki itu.
"Dah lah tu bang. Dia tak bersalah. Saya yang bersalah,"
Tidak bersuara lagi, Nayl terus melangkah pergi masuk ke dalam perut kereta. Tak menunggu lama, dia terus bergerak pergi meninggalkan kawasan rumah itu.
Puan Suraya menyeka air matanya. Sebuah bangku yang berada di situ dilabuhkan duduk. Lantas Naurah mendapatkan mamanya.
"Sabar ya ma." Dia juga sebak melihat papanya buat Nayl begitu. Bahu si mama digosok lembut.
"Siapa yang bawa dia datang ke rumah ni?! Su, abang tak nak lagi dia datang ke rumah ni! Kalau Su bagi juga dia datang ke sini, tengok lah apa yang abang lakukan pada dia nanti! Abang tak suka orang yang dah hancurkan kita selama ni datang kembali untuk menghancurkan kita untuk kali kedua. Dasar budak tak guna!" Marah Encik Omar lalu melangkah masuk ke dalam rumah.
Dia agak terkejut apabila dia sampai aje di rumah, dia melihat seseorang lelaki keluar dari rumahnya. Sudah dia kenal siapa lelaki itu. Tidak menunggu lama dia terus mendapatkan lelaki itu tadi. Jika dia sudah benci, selamanya dia akan benci.
Tiba-tiba, kedengaran papanya batuk beberapa kali. Tetapi, batuk itu sangat lah lama. Naurah yang mula risau melangkah masuk ke dalam rumah.
Melihat papanya sedang duduk di ruang tamu sambil mengusap dadanya yang terasa sakit. Lantas dia mengambil segelas air putih lalu diberikan pada papanya.
"Papa minum lah dulu." Ujarnya lalu menghulurkan segelas air putih itu.
Encik Omar menjeling sekilas pada anaknya lalu mengambil segelas air putih tersebut dan diteguk perlahan-lahan. Naurah tersenyum sebaris.
Kelihatannya, papanya tercungap-cungap menarik nafas. Makin dia risau saat ini. "Papa nak pergi klinik ke?" Orang tua itu hanya menggelengkan kepala.
"Papa dah tak nak kamu rapat lagi dengan budak tak guna tu. Kalau papa tengok lagi Naurah rapat dengan dia, siap kamu!" Encik Omar memberi amaran keras pada anaknya. Naurah menelan liur.
"Err...Ta...Tapi, papa..."
"Papa kata jangan, jangan! Papa larang kamu berjumpa lagi dengan dia. Walaupun dia difitnah, tapi papa tetap tak percaya yang dia difitnah. Entah-entah, kes tu betul. Lepastu, dia gunakan perkataan fitnah tu untuk rujuk kembali dengan kamu. Papa tak suka!" Ujar Encik Omar dengan bernada tinggi.
Dia sudah tahu semua itu. Walaupun dia seperti tidak kesah tentang hal itu, yang dia tahu hanya lah, dia tidak mahu Naurah dan Nayl rapat dan berhubungan seperti dulu.
Ya Allah, Sabrina dah tak ada. Kini papanya pula? Banyak betul dugaan dan halangan untuk mereka berdua kembali bersama seperti dulu.
Naurah mengangguk perlahan. Disebalik wajahnya itu, dia saat ini sungguh sedih. Kecewa. Kenapa papa halang dia macam tu? Papa masih marahkan Nayl? Ya Allah, bukakan lah pintu hati papa untuk dia maafkan Nayl. Berdoa Naurah di dalam hati.
Hatinya sakit apabila papa sudah tidak terima Nayl. Jadi, bagaimana dia menerima lelaki itu tetapi papa tidak setuju untuk mereka rujuk? Sungguh saat ini dia serabut.
"Baik, papa. Naurah minta maaf." Ucapnya lalu kembali mendapatkan mamanya. Hati nya? Hm, tak perlu cakap lah. Memang sudah sedih saat ini.
********
"Eh, kenapa dengan bibir kamu tu Nayl? Ya Allah, siapa yang buat kamu sampai jadi macam ni?" Soal Puan Zainab bertalu-talu sambil membelek wajah anaknya.
"Tak ada apa lah mak. Sikit je ni," dia melabuhkan duduknya di sebuah kerusi. Habis bengkak sudah wajahnya saat ini.
"Haih, mak dah kata jangan ke sana. Tapi, kamu degil." Puan Zainab menggeleng kepala. Seakan-akan sudah tahu kenapa anaknya jadi begini.
Nayl hanya berdiamkan diri sambil menghela nafas panjang. "Hm, kamu tu je yang beria. Dia tak ada pun nak dekat kamu. Kalau dah sakitkan hati orang, dia dah tak terima, tak perlu lagi nak terkejar-kejar dekat dia." Terkejut mereka berdua dengan kemunculan Encik Rahim. Encik Rahim bersuara sambil menggeleng kepala.
"Ayah, kenapa ayah benci sangat dekat dia orang. Biar lah dia orang nak benci kita sekeluarga pun. Tapi, tolonglah tak payah nak letak perasaan benci tu pada mereka. Dia orang tak salah. Kita yang salah." Balas Nayl lalu mengangkat punggung dan berjalan masuk ke dalam biliknya.
Tidak puas hati apabila ayahnya seperti tidak suka dan bencikan keluarga Naurah. Dia langsung tidak suka kerana dia tahu semua ini salahnya kerana telah menipu.
"Abang, dah lah tu." Pujuk Puan Zainab pada suaminya.
"Hah, tengok. Melawan. Bila saya cakap, awak bela dia. Muka dah bengkak. Kan dah dapat. Degil sangat pergi dekat sana. Orang tu bukannya suka pun." Encik Rahim menggeleng lagi lalu melangkah pergi.
Puan Zainab menghela nafas panjang. Dia pun sudah tidak tahu mahu lakukan apa lagi. Suaminya pun sudah mula tidak suka akan Naurah. Kenapa dia bencikan gadis itu? Dia bencikan gadis itu kerana sikap Naurah? Ego Naurah yang terlampau tinggi?
*********
Angin berdesir agak kuat pada malam itu. Dia masih terbayang lelaki itu dimarahi teruk oleh papa. Haih, kenapa lah papa masih bencikan Nayl? Kenapa papa keras hati sangat?
Naurah masih berfikir. Sedangkan dia pun masih merajuk dengan Nayl. Tetapi, kenapa hati ini asyik membelanya?
"Mama..." Suara si comel itu menyedarkan Naurah daripada lamunan. Dia menoleh memandang anaknya disebelahnya.
"Ya, sayang."
"Kenapa atuk marah papa petang tadi?" Soalnya membuatkan Naurah tersentak. Adoi, jawapan apa yang hendak diberikan ini?
"Errr...Mana ada atuk marah papa. Mungkin, Naufal silap tengok kut." Ah, harap sangat si kecil itu percaya. Tetapi, tak boleh nak menipu juga. Si kecil itu juga tadi turut juga melihat Nayl diperlakukan oleh papanya pada petang tadi. Naufal siap menangis lagi melihat ayahnya begitu. Takkan nak menipu?
"Yeke? Tapi, tadi Naufal tengok atuk marah papa. Atuk tak suka dekat papa ke mama?" Soalnya lagi dengan nada yang sungguh sedih.
Naurah menunduk sedikit melihat jelas wajah putih gebu milik si kecil itu. Senyuman dihadiahkan pada anaknya. Kepala Naufal diusap lembut.
"Tak. Atuk tak marah papa pun. Err...Nanti kalau ada masa kita pergi jalan-jalan dengan papa ya." Hm, terpaksa guna alasan itu untuk gembirakan Naufal dan berharap Naufal tidak cakap pasal itu lagi.
"Okey!" Ucapnya gembira. Mungkin sudah lupakan tentang hal itu.
"Okey, so now Naufal kena tidur. Esok kan sekolah. Nanti ada masa baru kita pergi jalan-jalan ya."
"Okey, mama." Dia mengucup tangan mamanya lalu menghadiahkan satu kucupan pada Naurah. Naurah tersenyum lebar. Dia juga membalas kucupan itu.
Kalau teringat tentang tadi, sebak pulak dia saat ini. Lagi-lagi Naufal soalnya tentang itu, lagi buat Naurah sebak. Sedih. Dia tidak dapat tolong. Papa pula sudah memberinya amaran untuk dia berjauhan dari Nayl. Haih, dugaan sungguh.
********
Jam dijeling sekilas sebelum duduk dilabuhkan dikerusi. Hari ini dia tidak perlu terkejar-kejar kerana hari ini mamanya yang akan mengambil Naufal pulang ke rumah.
Masih trauma lagi dia dengan kejadian Naufal diculik. Jadi, dia tidak akan meninggalkan Naufal berlama-lamaan di tadika tersebut. Mujurlah ada mamanya dapat tolongnya.
Selesai dia meeting tadi, terus dia kembali ke pejabat. Satu fail hitam yang berada di atas meja dicapai. Pen yang sudah siap dipegang menari-nari di atas kertas kerjanya. Banyak lagi kerjanya yang belum di selesaikan.
Dia berharap sangat selepas ini tiada appointment. Tidak lama kemudian, ada seseorang mengetuk pintu pejabatnya. Dengan malas-malasnya dia bersuara. Haih, ada aje yang mengacau nya sewaktu dia sedang fokus menyelesaikan kerjanya.
"Masuk."
Naurah tidak mengangkat wajah malah dia hanya fokus menyiapkan tugasnya. "Yes?"
Kelihatannya, PA pembantunya masuk ke pejabat. "Bos, sekarang bos ada appointment." Beritahunya. Naurah menghela nafas berat. Hadoi, kan dah kata. Mesti punya ada appointment.
Malas-malas dia menjawab. "Hm, suruh dia masuk sekarang." Arah Naurah.
"Baik bos." Gadis itu terus keluar dari pejabatnya. Naurah menyandarkan tubuhnya dikerusi dengan menghela nafas panjang. Penat.
Tak lama itu, terkejut dia apabila orang yang appointment dengannya itu masuk dan orangnya ialah Dato Sufi. Dato Sufi juga banyak sangat menolongnya sejak hotelnya semakin turun dan semakin pelanggan tidak datang.
Dengan kehadiran Dato Sufi juga, dia telah banyak membantu hotel milik Encik Omar dan sekarang ia milik Naurah Husna.
Lantas dia berdiri lalu menunduk hormat padanya. Kali ini, dia sudah terkejut untuk kali kedua. Jantungnya bagaikan mahu terkeluar apabila melihat kehadiran Nayl juga turut sama datang ke situ.
"Err... Dato, silakan duduk." Ujar Naurah mesra dengan senyuman manisnya.
Mereka berdua sama-sama duduk dihadapannya. Naurah sekejap-sekejap memandang lelaki itu. Dia pun pelik apabila melihat lelaki itu juga turut datang ke sini. Apa yang dia mahukan? Kenapa lelaki ini datang ke sini?
Sempat dia melihat bibir lelaki itu masih luka dan bengkak. Ya Allah, pasti sakit.
"Maaflah kalau saya datang ke sini mengganggu kerja Cik Naurah."
"Eh, tak apa Dato. It's okey."
Satu fail dihulurkan pada Naurah. Naurah berkerut dahi melihat. "Kami dah selesaikan projek yang Cik Naurah nak tu. Insya-Allah, secepat mungkin kami akan percepatkan membuat projek tu. Mungkin masih dalam proses." Ujarnya. Naurah membuka fail tersebut lalu membelek satu per satu fail tersebut. Makin tersenyum lebar dia saat ini.
Nayl yang melihat juga turut tersenyum. Lega hatinya melihat Naurah tersenyum. Tenang dan bahagia.
"Ya Allah, Dato. Betul ke semua ni dah nak siap?"
"Masih dalam proses. Insya-Allah, kami akan buat secepat mungkin." Nayl mula bersuara.
Naurah berkerut dahi. "Cik Naurah jangan salah faham. Sebenarnya, semua ini Tuan Nayl Uqasyah yang selesaikan projek ini. Dia yang selesaikan semuanya. Kalau Cik Naurah nak tahu, dia lah yang bangunkan semula hotel ni. Hotel ni dulu tak ramai sangat pelanggan yang datang. Tapi, Tuan Nayl lah yang cuba sedaya upaya untuk bangkitkan semula hotel ni. Daripada bawah, dia bangunkan sampai naik ke atas. Sekarang, hotel ini juga sudah semakin ramai orang datang dan hanya tunggu masa aje hotel ini terkenal." Ujar Dato Sufi lalu tersenyum lebar.
Tersentak Naurah. Jadi, semua ini ialah Nayl yang buatkan? Daripada hotelnya dulu dipandang sebelah mata, kini sudah semakin terkenal. Sungguh dia terhutang budi dengan lelaki itu.
"Err...Maybe, tak mungkin kut..." Naurah tertawa kecil. Dato Sufi tersenyum. Dia tahu Naurah tidak percaya.
"Cik Naurah, projek yang kami buat semua ni dia lah yang selesaikan."
"Betul ke?" Soalnya mengambil kepastian.
Dato Sufi mengangguk lalu tersenyum. Naurah menekup mulutnya. Terkejut. Selama ini, Nayl yang tolongnya. Ya Allah, sungguh aku terhutang budi padanya.
"Walaupun dia telah dibuang kerja daripada hotel ni, dia tetap mahu menolong hotel ini. Insya-Allah, nanti kita sama-sama bangkitkan hotel ini sampai jadi terkenal di Malaysia." Ujarnya lagi sambil tertawa kecil. Naurah seperti tidak percaya tetapi kenyataannya ialah benar yang Nayl banyak sangat menolong mereka sewaktu hotel ini langsung tidak dipandang oleh pelanggan.
"Thank you...Tuan Nayl. Saya...Saya banyak terhutang budi dengan awak." Ucap Naurah sedikit gagap. Kelopak matanya mula basah. Nayl tersenyum lebar lalu mengangguk.
"Saya nak minta maaf."
"Kenapa? Dato tak ada salah apa-apa pun pada saya. Sepatutnya saya yang patut minta maaf dekat Dato dah menyusahkan Dato selama ni."
"Eh, tak ada lah. Tak menyusahkan pun. Saya tolong semua ni ikhlas. Tapi, saya nak minta maaf...tentang Sabrina." Lambat-lambat disebut nama gadis itu. Dia menunduk sedikit. Jarinya menggosok kelopak matanya yang mula basah.
"Saya minta maaf bagi pihak anak saya. Saya tahu dia dah buat semua ni sehinggakan kamu berdua terpisah jauh. Saya minta maaf sangat-sangat." Ucapnya lagi sambil mengelap air matanya yang mula mengalir.
"Dato, kami dah lama maafkan dia. Dato jangan lah risau. Insya-Allah, kita doakan sama-sama untuk Sabrina semoga hatinya dibuka dan diberikan hidayah Allah padanya." Ujar Nayl memujuk Dato Sufi yang mula sedih. Seorang ayah kehilangan anak perempuan yang disayangi, pastilah akan sedih. Hanya itu aje lah anak yang paling dia sayang. Tetapi, Sabrina telahpun buat kerja gila sehinggakan dia sudah lupa siapa dirinya sebenar. Sebabkan cinta, dia jadi gila.
Naurah tersenyum lebar. "Maafkan Sabrina ya. Maafkan saya juga sebab saya tak didik Sabrina dengan betul. Maafkan kami." Ujarnya lagi. Nayl tersenyum. Bahu orang tua itu diusap lembut.
"Benda dah jadi Dato. Kita tak boleh nak salahkan siapa-siapa. Mungkin ini salah kami juga. Sebab ego, rumahtangga kami hancur. Dato jangan sedih-sedih. Kami dah lama maafkan Sabrina. Apa-apa pun, kita doakan untuk Sabrina agar dia terbuka hati untuk berubah." Hati Naurah sedikit lega. Entah mengapa, dia berasa sungguh lega dan tenang.
"Alhamdulillah, terima kasih ya." Ucapnya dengan senyuman. Matanya sempat dipandang pada jam di pengelangan tangannya.
"Err...Naurah, saya perlu pergi. Sebab sekejap lagi saya ada appointment. Nayl, terima kasih banyak-banyak ya telah membantu kami berdua. Saya juga turut terhutang budi pada kamu." Bahu Nayl ditepuk beberapa kali dan dia berjabat tangan dengan lelaki itu. Naurah mengangguk lalu tersenyum manis.
"It's okey Dato. Saya buat semua ni ikhlas. Insya-Allah, kita boleh terkenal sama-sama." Nayl tersenyum lebar. Dato Sufi mengangguk lalu meminta diri untuk pergi.
Hati sudah lega. Projek yang dikatakan itu ialah hotelnya. Dia bersyukur kerana Dato Sufi dapat membantunya menyelesaikan projek tersebut.
Projek tersebut ialah dia mahu mengubah sedikit hotel ini menjadi lebih cantik. Banyak juga dia mahu ubah. Dan dia bersyukur kerana ada juga orang membantunya.
Mahu menangisnya. Orang yang selama ini dia benci ialah orang yang selama ini menolongnya. Ya Allah, berdosanya aku.
Berkerut dahi Naurah apabila melihat Nayl langsung tidak berganjak daripada tempat duduk itu. Malah lelaki itu hanya merenungnya lama.
Isy! Mamat ni tak balik ke? Buat apa dia tunggu dekat sini?! Bebel Naurah dalam hati sambil menjeling tajam pada lelaki itu.
Tidak dia peduli lagi, dia sambung menyelesaikan kerjanya. Malas mahu mengambil tahu tentang lelaki itu. Mahu duduk situ duduk aje lah. Dapat lah dia teman aku.
Nayl tersenyum senget sambil merenung Naurah lama. "Yang awak renung saya macam tu dah kenapa?" Soal Naurah tanpa memandang lelaki itu.
"You look so beautiful." Ucapnya tak lepas-lepas merenung Naurah. Tergamam gadis itu. Wajahnya mula berbahang malu. Ah, mamat ni saje je kan?! Cakap lah nak pujuk aku!
"Kalau tak ada apa-apa lagi sila keluar daripada office saya. Saya busy. And, thanks sebab dah tolong saya tentang projek ni."
Nayl tersenyum lalu mengangkat punggung. Tetapi, saat dia mahu keluar daripada pejabat Naurah, gadis itu berasa sedikit serba salah pada lelaki itu. Lagi-lagi melihat bibir Nayl yang masih lebam itu makin bertambah serba salah dia saat ini.
Dia menggigit bibir. Nak panggil dia ke atau tak payah?
"Err...Nayl." Akhirnya, keluar terus nama lelaki itu daripada mulut Naurah. Aduh, apa yang aku dah buat ni?
Terhenti langkah lelaki itu. Dia menoleh memandang Naurah. "Yes?" Kening terjongket. Naurah sudah gagap tidak tahu mahu memulakan perbualannya dengan lelaki itu.
"Err...Awak nak pergi mana?" Soalnya. Isy! Kenapa kau tanya soalan tu Naurah?! Wajahnya tiba-tiba boleh berbahang. Jantung sudah berdetak dengan laju. Sungguh laju. Turut sama dengan lelaki itu.
Nayl berkerut dahi dengan soalan gadis itu. "Balik lah. Tadi kan awak halau saya. So, saya keluar lah. Kenapa?" Ujarnya pelik dengan soalan Naurah.
Adoi! Ya tak ya jugak. Tadi aku yang suruh dia keluar, dah kenapa tiba-tiba aku tanya soalan macam tu? Haih, bodohnya kau ni Naurah! Marahnya dalam hati.
Otak sedang berfikir mahu tanyakan apa pada lelaki itu. Jika tidak tanya, pasti lelaki itu pelik. Iya lah, tadi sudah panggil dia, lepastu buat-buat tak nak tanya. Ah, nasib malang lah kau ni Naurah!
"Err...Bibir awak tu macam mana? Dah okey? Nak saya letakkan ubat ke? Macam makin teruk je saya tengok." Hm, kalau dia setuju nak aku letak ubat memang habis lah kau Naurah.
Nayl menyentuh bibirnya yang ada kesan luka dan lebam itu. Entah mengapa idea nakalnya selalu muncul difikirkannya. Dia tersenyum nakal.
"Auch! Sakitnya..." Dia sudah tahu pasti gadis itu berasa serba salah padanya. Jadi dia menambahkan lagi serba salah gadis itu. Nayl ketawa di dalam hati.
"Err...kalau macam tu, mari lah sini saya letakkan ubat." Lantas dia melangkah keluar daripada pejabatnya. Nayl berkerut dahi tak tahu ke mana gadis itu pergi. Dia tertawa kecil lalu kembali melabuhkan duduknya.
Sebenarnya, bibir dia itu tidaklah sakit sangat. Jika dia tidak tahan kesakitan itu, bukan Nayl Uqasyah lah namanya. Takkan sikit pun tak tahan, pondan betul mamat ni.
Nayl tersenyum kemenangan. Tak sampai beberapa minit, datang kembali si gadis kecil comel itu dengan membawakan sebuah peti kecemasan.
Nak tak nak terpaksalah dia duduk berhadapan dengan lelaki itu dan bertentangan mata dengannya. "Tak payah lah. Sikit je ni." Sengaja Nayl menolak.
"Isy, tak apa. Saya tengok teruk tu. Mesti sakit kan?" Lantas dicapai lalu dibuka peti kecemasan tersebut. Satu botol untuk mencuci luka dibibir Nayl itu dicapai dan satu kapas juga dicapai.
"Tak apa lah. Saya okey je." Nayl sengaja lagi berkata begitu lalu dia mengada-ada mahu mengangkat punggung. Seakan mahu bangun tidak mahu menerima apa yang Naurah mahu buat padanya.
"Isy! Jangan degil boleh tak?!" Marah Naurah. Nayl menelan liur. Aduh, singa dah marah. Dia kembali melabuhkan duduk. Kepala digaru dengan berwajah tidak bersalah.
Perlahan-lahan dia meletakkan ubat tersebut pada bibir yang ada kesan luka itu. Tanpa sedar, Nayl merenungnya dengan sangat lama.
Naurah menelan liur. Dia menahan dirinya tidak mahu merenung mata lelaki itu. Tak pasal-pasal nanti kena pukau.
"Auch!"
"Err..Sorry, sorry." Ucap Naurah masih bertahan tidak mahu memandang lelaki itu. Haih, dah macam lelaki itu kacak sangat sampai tak boleh nak pandang.
Nayl tersenyum senget. Dengan nakalnya dia mendekati wajahnya pada wajah Naurah. Naurah sedikit menjarakkan wajahnya. Aduhai, dah kenapa dengan mamat ni?!
"You don't miss me, sweetheart?" Bisiknya dengan penuh romantik. Ah, Ya Allah jangan lah aku cair lagi. Tolong kuatkan iman aku. Bisik hati Naurah yang sudah mula cair. Jantungnya makin hebat berdetak dengan sungguh laju. Wajah mula berbahang dan mula merah.
Dia menelan liur. "Err..." Adulahaii! Kenapa boleh gagap pulak ni?! Marah Naurah dalam hati sambil melarikan pandangannya.
Tanpa diduga, lelaki itu perlahan-lahan menyelak rambut Naurah ke belakang telinga. Berderau darahnya saat ini. Ya Allah, memang dah tak boleh nak cakap apa dah. Lelaki ni memang pandai kalau bab-bab mencairkan orang ni. Tengok je dia tu asyik senyum memanjang. Kalau siapa jadi isteri dia, haih jadi air terus dibuatnya. Orang tu elok beku terus cair dibuatnya.
"I miss your face, eyes, nose and mouth. Everything I miss, sweetheart." Ucapnya lagi. Haih, kalau siapa-siapa yang berjalan dihadapan pejabat Naurah, kalau siapa yang nampak pasti mereka sedang anggap mereka berdua sedang hangat bercinta.
Naurah menelan liur apabila dia sudah terpukau dengan pandangan mata lelaki itu. Nayl tersenyum lebar. "I love you so much, bidadari kesayangan abang." Dia tersenyum lagi.
Mahu terkeluar jantungnya saat ini apabila Nayl ucapkan begitu padanya. Haih, ya Allah. Selamatkan lah aku. Dah cair sangat niii!
Dia fikir selama ini Nayl bencikan dia, tetapi lelaki itu masih sayangkan dia. Cuma dia aje ego. Tetapi, dia masih tidak puas hati apabila Nayl menipunya.
Tak lama kemudian, telefon bimbit milik Naurah berbunyi. Haih, kacau betul lah! Rungut Nayl. Tak puas lagi dia mahu menatap wajah bidadarinya ini. Sungguh dia rindu.
Naurah tersedar daripada lamunannya apabila telefon bimbitnya berdering. Lantas dia mencapai telefon bimbitnya di dalam beg tangan tersebut lalu dibawa ke telinga.
"Hello..."
Nayl hanya memerhatikan aje. Tak lama kemudian dia melihat gadis itu terdiam bagaikan ada sesuatu berita mengejutkannya. Air mata serta-merta mengalir laju.
"Kenapa ni?"
"Papa..."
Share this novel