Bab 17

Romance Completed 79607

MENGINGATI apa yang berlaku malam tadi,

Zenia tersenyum sendiri. Entah apa kenanya dengan mamat tu sampaikan sanggup hantar SMS tanpa henti. Kalau setakat SMS tanya khabar tu Zenia tak kisah sangat. Ini sampai kata-kata indah berupa ayat-ayat cinta yang buatkan Zenia ketawa tak ingat dunia. Dalam banyak-banyak SMS yang dihantar Hayyan, tiada satu pun yang nya.

Antara kata-kata yang dihantar Hayyan malam tadi;

Sejak bertemu awak, hidup saya menjadi lebih bermakna. Awak bagaikan cahaya yang menerangi gelapnya hari-hari saya selama ini.

Mungkin awak tak tahu, tapi awak melengkapkan hidup saya. Mungkin awak tak sedar, tapi awak menjadikan hidup saya lebih bererti.

Bukalah hati awak. Beri saya peluang untuk masuk dan tinggal di situ buat selamalamanya.

Tengok daripada susunan ayat-ayat itu, Zenia separuh yakin semua tu Hayyan reka sendiri. Kelakar. Sampai tergolek-golek dia di atas katil malam tadi. Tapi tak adalah pula ditunjukkan kepada Eton. Aib lelaki itu tetap perlu dijaga. Ingat senang nak buat ayat-ayat macam tu? Setidak-tidaknya adalah juga perasaan terharu yang menyelit di hati.

Tetapi sebaik sahaja terpandangkan Hayyan di depan mata, perasaan itu bagaikan terhakis sedikit demi sedikit. Bukan sebab tengok Hayyan tersenyum lebar. Tetapi sebab tengok gadis yang sedang berdiri di sisi Hayyan. Karima! Entah apa yang dibualkan kedua-duanya sampai gadis itu ketawa sakan. Timbul satu persoalan dalam benak Zenia apa sebenarnya hubungan mereka berdua?

Ralit memerhati sambil berjalan, Zenia tidak sedar di depannya ada tangga kecil yang membuatkan dia jatuh terjelepok di situ.

“Aduh!” Terlepas jeritan itu dari mulut tanpa sempat dikawal. Serentak itu juga berpasang-pasang mata yang ada di situ tertoleh ke arahnya termasuk Hayyan dan Karima.

Malu punya pasal, kalut Zenia mengambil bukubukunya dan bangkit berdiri. Tak dihiraukan buku lali yang terasa sengal. Laju langkahnya dengan harapan Hayyan tidak nampak dirinya walaupun dia tahu itu mustahil. Apatah lagi apabila Hayyan sudah pun berada di sebelahnya. Cuba berjalan menyaingi langkahnya yang langsung tak laju itu.

“Nia! Awak okey?” Hayyan bertanya prihatin. Nadanya lembut sekali pada pendengaran Zenia.

“Okey... Okey... Saya okey. Tak ada apa pun. Saya okey.” Berkali-kali Zenia mengulangi ayat yang sama. Masih cuba berjalan laju untuk menjauhi Hayyan.

“Awak nak ke mana laju sangat ni? Berhentilah kejap. Rehat dulu. Kaki awak tu macam teruk aje saya tengok.” Hayyan cuba menahan langkah Zenia.

Zenia menggeleng. “Saya okeylah. Kaki saya tak sakit pun. Betul. Saya okey.”

Hayyan pula yang menggeleng. “Tengok cara awak jalan pun saya dah tahu kaki awak sakit. Come...” Lengan Zenia dipegang.

“Duduk kat bangku tu kejap. Bagi urat kaki awak tu lega sikit.”

Zenia terdiam. Bagaikan dirasuk. Dia mengikut sahaja apabila Hayyan menarik lembut lengannya untuk duduk di bangku berdekatan.

“Boleh saya tengok kaki awak?” Hayyan bagai meminta izin. Laju Zenia menggeleng.

“Tak payah. Nanti okeylah ni.”

Diusap-usap perlahan buku lali yang masih terasa sengal. Niat di hati nak lari daripada Hayyan langsung tak kesampaian. Perasan ada mata yang memerhati dari jauh, Zenia menoleh. Tajam renungan Karima ke arahnya. Sambil menepis rambut panjangnya, gadis itu berlalu pergi.

“Awak tak nampak ke ada tangga kat situ tadi? Macam mana boleh jatuh?” Hayyan cuba mencipta perbualan. Allah aje yang tahu betapa terkejutnya dia melihat Zenia terjelepok di situ tadi. Nasib baik tak ada luka kat mana-mana.

“Dah nak jatuh, nak buat macam mana?” Perlahan Zenia menjawab.

“Apa dia?” Hayyan yang tidak mendengar terus bertanya semula. Dia macam ada dengar sesuatu tapi tak jelas. Zenia pantas menggeleng.

“Tak ada apa. Hmm... Kaki saya macam dah okey ni. Saya nak balik kolej. Rehat atas katil lagi best.” Kemudian Zenia bangkit berdiri dan mula melangkah. Hayyan turut sama berjalan beriringan dengan Zenia.

“Kenapa awak macam mengelak daripada saya?” “Mana ada.” Nafi Zenia.

“Come on Zenia... Saya bukannya bodoh tak boleh menilai.” Pangkah Hayyan. Zenia menghembus nafas panjang.

“Saya tak nak orang salah fahamlah. Tengoklah tadi, awak baru tolong saya sikit. Saya dah dapat ‘jelingan maut’ daripada kawan awak tu.”

“Siapa?” Hayyan kerut kening.

“Entah apa nama dia, tak ingat.” Bohong Zenia. Walhal sebenarnya malas nak sebut nama.

“Karima?” Hayyan meneka. Zenia diam.

‘Hesy... kenapalah kolej jauh sangat? Bila nak sampai ni? Dahlah kaki sakit lagi. Berlagak aje macam tak sakit, padahal Allah aje yang tahu.’

Hayyan ketawa kecil.

“Dia tu kawan sayalah. Awak tu yang fikir pelik-pelik.”

“Mana ada.” Bersungguh Zenia menafikan. Hayyan ketawa lagi.

“Okey. Kalau macam tu awak kena keluar dengan saya.” Zenia tidak menjawab sebaliknya cuba melajukan langkahnya. Namun langkahnya terhenti apabila Hayyan sudah tercegat di depannya sekali gus menghalang laluannya.

“Not now, but maybe next time? Okey?” Kata Hayyan sambil tersenyum. Dia sudah faham sangat tingkah Zenia itu. Selagi boleh mengelak, selagi itulah Zenia akan mengelak daripadanya.

Senyuman Hayyan itulah yang sering membuatkan hati Zenia tidak keruan. Dia tahu kali ini dia tidak boleh mengelak lagi.

“Fine. Bila?”

“Bila awak free?”

“Hmm... Kena tengok jadual dulu. Nanti saya text awak.” Balas Zenia.

“Boleh percaya ke ni?” Hayyan ragu-ragu. Zenia mengangguk sambil menahan senyuman. Hayyan nampak comel sangat!

“Okey. Tapi kalau awak tipu lagi, saya cari awak sampai ke kolej.” Ugut Hayyan. Zenia mencemik. “Tak percaya?”

“Hmm...” Zenia buat muka sambil menahan tawa yang hampir meletus.

“Jangan terkejut tengok saya tiba-tiba ada dalam bilik awak, sudahlah ya?”

Akhirnya terlepas juga tawa dari bibir Zenia. Hayyan yang memandang hanya menguntum senyum. Zenia nampak lebih comel apabila ketawa.

“Okey. Nanti saya text awak.” Ulang Zenia.

“Okey. Bye... see you.” Hayyan mengangkat tangannya.

“Assalamualaikum.” Ucap Zenia.

“Waalaikumussalam.” Balas Hayyan sebelum tertawa kecil. Diperhati langkah Zenia yang semakin menghilang dengan senyuman yang masih tak lekang dari bibir.

PENING KEPALA Eton melihat Zenia yang tak habis-habis mencuba setiap baju yang ada di dalam lokarnya. Tak cukup dengan itu, semua baju yang cantik-cantik dikeluarkan dan disepahkan di atas katil. Atas lantai pun ada juga. Eton menggeleng sambil mengeluh.

“Kau ni kenapa Nia?”

“Aku tak jumpa baju yang sesuailah. Kan esok aku nak keluar dengan Hayyan.” Jawab Zenia dari sebalik pintu lokarnya.

“Petang esok kan kau nak keluar dengan dia? Sekarang ni baru pukul 11.00 pagi. Logiklah sikit!” Kata Eton. Hairan bercampur pelik. Semua ada. Zenia berpaling ke arah Eton.

“Memanglah... Tapi aku kena jugak pilih baju. Ini kan first date aku dengan dia.”

“Date?” Bulat mata Eton serta-merta.

“Err...” Zenia mengetap bibir. Terlepas cakap! Eton ketawa melihat reaksi Zenia.

“Tak apa Nia... Aku faham. Kau excited kan? Konon nak jual mahal mula-mula. Last-last dia yang teruja lebih. Hahaha.”

“Gelaklah kau!” Rajuk Zenia. Wajahnya masam.

“Alololo... bucuk-bucuk... Merajuk ya dia?” Eton mencubit pipi Zenia. Puas ditahan, terlepas juga gelak dari mulutnya.

“Eton! Tolonglah aku cari baju!”

“Ya... aku tolong. Kau nak pakai baju apa ni?”

“Baju apa yang sesuai?”

“Hmm...” Eton mengetuk-ngetuk dagunya.

“Gaya kau hari-hari kemeja, jeans, rambut tocang satu. So, apa kata kalau esok kau cuba pakai blaus?” “Aku tak ada blaus.” Zenia terkelip-kelip.

“Pinjam aku punya.” Eton berlalu ke arah lokarnya. Belum sempat blausnya dikeluarkan, telefon bimbit Zenia sudah berdering nyaring minta diangkat.

“Hmm... dah berbunyi dah...” Zenia hanya tersengih memandang Eton.

“Kejap lagi kita sambung.” Ujarnya lalu terus mencapai telefon bimbit yang terletak di atas meja.

“Helo.” Sapa Zenia mesra.

“Finally... awak angkat jugak call saya.” Hayyan menghembus nafas lega. Riang benar bunyi suaranya. Zenia garu kepala. Nak ketawa tapi ditahankan. Melihat pandangan mata Eton menghala ke arahnya, dia segera membawa langkah kaki keluar dari bilik.

Eton tersengih sendiri. Kalau Zenia gembira bersama Hayyan, dia sedikit pun tidak akan menghalang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience