Bab 42

Romance Completed 79646

BUNYI telefon bimbit mengejutkan Zenia yang baru sahaja hampir melelapkan mata. Sempat dia menoleh ke arah jam di hujung paling atas skrin telefon. Pukul 9.00 malam. Kemudian barulah panggilan Hayyan dijawab.

“Helo...”

“Helo Nia. Tengah buat apa? Jom join saya jalan-jalan kat tepi pantai ni.” Ceria suara Hayyan mengajak.

“Hayyan! Awak tak penat ke? Saya baru aje nak rehat.” Zenia menggaru kepalanya. Dia baru sahaja pulang dari dewan untuk upacara pembukaan. Memandangkan badannya terlalu letih dan memerlukan rehat, Encik Khairil membenarkan dia pulang ke bilik terlebih dahulu. Mujurlah tiada apa-apa yang penting memerlukan dia untuk berada lama di dewan itu tadi.

“Alah... awal lagilah. Kejap aje kita jalan-jalan, lepas tu baliklah tidur.” Senang Hayyan membalas.

“Saya penat...” Zenia beralasan. Ada keluhan lemah di hujung ayatnya.

“Kejap aje. Please...”

Apabila Hayyan sudah mula buat suara lembut merayu macam tu, Zenia tahu dia tidak boleh menolak lagi.

“Five minutes.” Kemudian talian dimatikan.

Zenia paksa diri untuk turun dari katil dan menukar pakaian. Hayyan sudah sedia menunggu di tepi resort dengan senyuman manisnya. Entah kenapa tiba-tiba sahaja Zenia merasakan baru mengenali lelaki itu sedangkan hakikatnya ada cinta yang pernah menyatukan hati mereka suatu masa dahulu.

“Jom!” Ajak Hayyan sambil mula melangkah. Kalau ikutkan hati, nak aje dia pegang tangan Zenia sambil berjalan beriringan di tepi pantai. Tetapi mengenangkan situasi dan hubungan mereka sekarang, keinginan itu dibatalkan. Nanti tak pasal-pasal tangan Zenia pula yang naik ke mukanya.

“Sejuklah malam ni...” Kata Zenia sambil menggosokgosok kedua-dua belah tangannya.

“Kenapa tak pakai sweater?” Tanya Hayyan.

“Tak bawak.” Ringkas Zenia menjawab.

“Nak saya punya?” Hayyan berpura-pura menanggalkan sweaternya namun Zenia lebih cepat menggeleng.

“Nanti awak pulak yang demam. Susah pulak tak ada orang nak drive balik KL.” Selamba Zenia menjawab.

Hayyan ketawa.

“Tak apa. Kita staylah sini lama sikit. Alang-alang tu bolehlah bulan madu sekali.”

Spontan Zenia memukul lengan Hayyan. Lelaki itu ketawa lagi.

“Jangan nak mengarut boleh? Cakap benda pelikpelik.” Rungutnya.

Hayyan masih ketawa.

“Gurau ajelah. Kalau awak nak pakai sweater saya pun tak apa. Saya dah biasa tahan sejuk. Masa kat London dulu, lebih sejuk daripada ni tau?” Balasnya meninggi diri. Zenia mencebik.

“Tak payahlah. Badan saya kuat lagi.” Balasnya tak mahu mengalah.

Angin yang bertiup makin membuatkan Zenia kedinginan. Langit pula kelam tanpa sebutir bintang namun The Taaras Beach and Spa Resort masih kelihatan ‘hidup’.

“Hayyan...” Zenia memanggil perlahan. Hayyan menoleh ke arah Zenia yang masih berjalan di sebelahnya.

“Hmm... tanya sikit boleh?”

“Banyak pun boleh.”

“Awak ke yang minta Encik Khairil libatkan saya dalam event ni?” Tanya Zenia. Soalan itu sudah berlegar-legar dalam kepalanya sekian lama.

“Kenapa fikir macam tu?” Hayyan tersengih.

“Sebab saya pelik. Tiba-tiba aje saya kena terlibat sedangkan sebelum ni tak pun...”

“Awak ni memang suka fikir negatif pasal saya?” Hayyan bertanya sambil merenung wajah Zenia. Zenia meluruskan pandangan ke depan.

“Mana ada fikir negatif. Kan saya tengah tanya ni...”

“Nada awak tu dah macam awak buat rumusan memang saya yang minta Khairil libatkan awak dalam event ni.” Hayyan memutar-belitkan ayatnya.

“Whatever.” Zenia malas melayan. Lain yang ditanya, lain yang dijawab lelaki itu. Soalannya bukan susah sangat pun sampai perlu buat kajian mendalam. Sabar ajelah...

Hayyan ketawa kecil.

“Anggap ajelah ni rezeki awak. Bukan senang nak join

event macam ni. Peluang bukan datang selalu.”

“Yalah Encik Hayyan Rizqi. Saya faham.” Balas Zenia dengan senyuman yang dibuat-buat.

Hayyan ketawa lagi. Memang betul dia yang meminta Khairil melibatkan Zenia dalam program itu dan dia yakin Zenia akan dapat mengagak semua itu. Tetapi tak perlulah dia mengaku. Tidak mahu mengundang kemarahan Zenia.

Terasa ada setitik air menimpa kepalanya. Zenia pantas mendongak.

“Hujanlah!”

“Hujan?” Hayyan mengerutkan dahinya. Serentak itu langkah mereka berdua terhenti.

“Mana ada.”

“Ada...” Setitik lagi air hujan menimpa tapak tangan Zenia. “Haa tengok ni.” Ditunjuk tapak tangannya itu kepada Hayyan.

“Mana nampak. Gelap. Dekat sikit.” Selamba Hayyan menarik tangan Zenia dekat dengan mukanya.

Zenia terkedu dengan tindakan Hayyan itu. Tubuhnya mengeras tiba-tiba. Renungan Hayyan bagai memanah terus ke wajahnya. Meninggalkan debaran yang maha hebat di hatinya. Entah berapa lama mereka begitu sehingga air hujan yang turun semakin lebat mengejutkan kedua-duanya. Sepantas kilat Zenia dan Hayyan melarikan diri dan berteduh di bawah pohon. Nak patah balik ke resort sudah jauh sangat resort itu ditinggalkan di belakang.

“Hayyan! Macam mana ni? Dah lebat sangat!” Zenia gelisah. Kedua-dua belah tangan memeluk tubuh. Menghalang rasa dingin yang semakin mencengkam. Setakat berteduh di bawah daun-daun yang tak sebesar mana, manalah boleh berlindung daripada hujan yang semakin lebat menimpa bumi.

Hayyan menanggalkan sweater dan terus menyarungkannya ke tubuh Zenia. Hoody di belakang sweater itu turut ditarik untuk menutup kepala Zenia. Walaupun tetap basah, sekurang-kurangnya Zenia tidaklah terlalu sejuk.

“Better?” Tanya Hayyan. Zenia yang masih terkedu hanya mampu mengangguk. Kepalanya ditundukkan ke bawah.

‘Ya Allah... lindungilah hamba-Mu ini. Aku takut tewas dengan perasaan sendiri.’ Sempat Zenia menitipkan doa dalam hati.

“Tak ada cara lain. Terpaksa duduk sini dulu. Awak okey, kan?” Hayyan bertanya sambil menoleh ke arah Zenia. Dia tahu Zenia tidak selesa tetapi dia sendiri tiada pilihan lain.

Zenia mengangguk. “Okey.”

“Atau awak nak lari balik ke resort?”

Zenia menggeleng laju. Dia duduk mencangkung di tepi batang pokok itu. Kesejukan yang mencengkam membuatkan dia sudah tidak boleh bersuara. Kasihan sungguh Hayyan melihat tingkah Zenia itu. Menyesal pula memaksa wanita itu mengikutnya tadi. Aduhai...

TAMAT ACARA pada sebelah pagi, Hayyan terus pulang ke bilik. Ikutkan hati memang dia tidak mahu turut serta dalam acara itu tetapi dia tiada pilihan lain. Takkanlah penaja yang datang langsung tak tunjuk muka? Tak sedap pula rasanya dengan Khairil dan juga beberapa orang penting yang terlibat dalam program Green & Clean Island itu.

Badan Hayyan terasa lemah semacam akibat bermandi hujan malam tadi. Hari ini badannya sudah dihinggap demam. Menggigil tubuhnya berbungkus dalam selimut.

Zenia berdiri di luar bilik Hayyan. Dia tahu Hayyan

demam. Sebab itulah dia datang membawakan ubat. Mujur dia ada membawa bekalan panadol ke situ. Pintu bilik Hayyan diketuk-ketuk. Lama dia menunggu barulah pintu terkuak. Muka pucat Hayyan menjadi tatapannya.

“Hayyan...” Zenia memanggil lembut. Hayyan meraup mukanya sebelum berpeluk tubuh dan menyandar di pintu bilik.

“Nia! Buat apa kat sini?”

“Datang melawat orang sakit.” Zenia tersenyum mengusik. Hayyan angkat sebelah kening.

“Yalah... malam tadi ada orang tu cakap dah biasa dengan cuaca sejuk. Siap bagi sweater dia kat kita. Alih-alih... kita tak ada apa-apa, dia pulak yang demam.” Zenia menyindir sambil berusaha menahan senyum.

Hayyan buat-buat tak faham. Dia berdehem beberapa kali sebelum menjawab.

“Bukan demamlah. Tak sedap badan sikit aje...”

“Eleh...” Zenia mencebik sebelum tertawa. Mendengar tawa Zenia, Hayyan tersenyum. Tawa itu kedengaran indah di telinganya.

“Nah! Saya ada bawak panadol. Makanlah... Driver kena sihat sebelum esok.” Usik Zenia lagi sambil menghulurkan sepapan panadol kepada Hayyan.

Panadol bertukar tangan. “Thanks. Ambik berat jugak awak pasal saya, kan?” Ada senyuman di bibir Hayyan.

Zenia sekadar mengangguk.

“Kalau awak ni isteri saya, kan best? Saya peluk aje ketat-ketat sampai demam saya ni kebah. Senang.” Gurau Hayyan dengan muka selamba.

Zenia menarik muka.

“Sekali lagi awak cakap mengarut macam tu... siap!”

“Awak nak buat apa?” Masih selamba muka Hayyan. Zenia menjeling.

“Balik dulu. Bye!” Cepat-cepat dia berpaling dan melangkah pergi sebelum sempat Hayyan menahan.

Melihat reaksi Zenia itu, Hayyan tersenyum sendiri. Tak payah makan panadol, demamnya sudah terasa kebah hanya dengan memandang senyuman dan mendengar tawa Zenia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience