Bab 61

Romance Completed 79646

KELUAR dari rumah, Zenia terkejut melihat Azfar sudah tercegat di depan pintu pagar rumahnya. Lambat-lambat Zenia mendekati lelaki itu.

“Azfar!”

“Saya tak terlambat, kan?” Azfar tersenyum.

“Terlambat untuk apa?” Zenia kerut kening.

“Untuk... say good bye.” Jawab Azfar dengan riak tenang. Senyuman nipis terukir lagi. Zenia terdiam.

“Saya tahu... awak takkan boleh terima saya lepas apa yang dah berlaku antara kita. Jadi saya datang sini sebab saya nak ucapkan selamat tinggal.”

“Awak nak ke mana?” Laju Zenia bertanya. Pun begitu terselit rasa lega di hatinya kerana Azfar memahami. Memang benar. Dia tidak akan dapat menerima lelaki itu dalam hidupnya lagi... walaupun demi Adam.

“Somewhere.” Azfar seakan-akan berahsia.

“Boleh saya jumpa Adam?”

Tidak sempat Zenia menjawab, Adam sudah muncul.

“Papa!” Panggil Adam. Zenia membuka pintu pagar untuk Adam keluar. Sekejap sahaja anaknya itu sudah berada dalam dukungan Azfar.

“Adam janji dengan papa, nanti jaga mama tau? Adam tak boleh buat mama marah, tak boleh buat mama sedih dan yang paling penting... Adam tak boleh buat mama nangis.” Pesan Azfar. Dahi Adam dikucup lembut.

“Okey. Adam janji...” Ujar Adam. Apabila papanya menghulurkan jari kelengkeng, cepat sahaja dia menyambut.

Sebak hati Zenia memandang adegan itu. Kalau dengan Azfar, Adam boleh jadi gembira begitu, dengan Hayyan apatah lagi. Tidak sanggup untuk Zenia membayangkannya.

Azfar menurunkan Adam semula. Tangannya dihulurkan untuk disalami anaknya itu. “Papa pergi dulu. Nanti kalau papa ada masa kita jumpa lagi ya?” “Hmm!” Adam mengangguk.

“Jaga mama ya.” Pesan Azfar lagi dengan suara perlahan.

“Adam janji.” Ujar Adam sungguh-sungguh berjanji.

Azfar mengangkat muka memandang Zenia. Dia nampak sepasang mata Zenia yang bengkak. Dia tidak tahu apa yang berlaku di antara Zenia dan Hayyan, tetapi dia yakin Zenia benar-benar merana atas apa yang telah berlaku.

“Bye...” Perlahan Azfar mengucapkan patah perkataan itu.

“Bye.” Lebih perlahan Zenia membalas. Bibir dipaksa untuk mengukir sebaris senyuman.

Azfar berpaling dan terus masuk ke keretanya. Zenia hanya memandang sehingga bayang kereta lelaki itu hilang dari pandangannya.

ZENIA MEMBERHENTIKAN keretanya di luar Butik Zaiton. Dia sudah berjanji untuk singgah menemui Eton dahulu sebelum bertolak pulang ke kampung. Dipimpin tangan kecil Adam masuk ke dalam butik kecil tetapi eksklusif itu.

“Nia!” Eton terjerit memandang Zenia. Dia terus menghampiri dan memeluk rakannya itu dengan erat.

Zenia membalas dengan senyuman. Kemudian dia mengarahkan Adam menyalami tangan Eton. Eton tersenyum merenung Adam. Hanya dengan sekali pandang, dia sudah mula jatuh sayang kepada anak kecil itu.

“Jom! Kita borak kat dalam.” Eton menarik tangan Zenia untuk masuk ke bilik rehat yang terletak di bahagian belakang butiknya itu.

“Kau dah fikir masak-masak?” Eton bertanya sambil duduk di sebelah Zenia. Mug di tangan diletakkan di atas meja di depan mereka.

Zenia yang tadinya ralit memerhati Adam bermain dengan robot Ben10nya mula berpaling ke arah Eton. Nafas dihela panjang.

“Ini aje cara yang ada Eton.” Eton diam mengangguk.

“Aku tahu aku dah lukakan Hayyan sekali lagi. Aku memang kejam, kan?” Zenia terasa kolam matanya panas. Dia sudah penat menangis. Benar-benar penat.

Eton mengusap-usap bahu Zenia. “Kau terpaksa. Aku tahu kau tak pernah minta semua ni jadi, kan?”

“Aku cintakan dia Eton. Aku betul-betul cintakan dia. Perasaan ni lebih kuat berbanding dulu. Tapi...” Zenia menunduk. Air matanya menitis juga. Dia tewas lagi dengan perasaan sendiri entah untuk kali ke berapa.

“Luahkan Nia. Aku sedia dengar semuanya.” Pujuk Eton. Beratnya dugaan yang terpaksa dihadapi Zenia. Kalau dia di tempat wanita itu pun, belum tentu dia mampu melaluinya.

“Kalau boleh aku tak nak lukakan hati dia walau sekuman pun Eton. Aku tahu betapa terlukanya dia dulu masa aku tinggalkan dia. Dan sekarang... aku tahu dia lebih terluka... masih jugak sebab aku.” Zenia teresak-esak.

Eton memeluk Zenia dengan erat.

“Aku kejam Eton.”

“Sabarlah Nia. Aku tahu kau kuat. Ini semua dugaan untuk kau. Percayalah. Mesti ada hikmah untuk semua ni. Kau kena yakin tu.” Pujuk Eton. Sebagai sahabat, dia tidak mahu Zenia lemah. Zenia perlu kuat dan dia yakin Allah akan balas kesabaran Zenia dengan sesuatu yang sangat berharga suatu hari nanti.

LAMA ZENIA berdiri di depan rumah yang sudah agak usang itu. Empat tahun dia meninggalkan rumah itu dan kini dia pulang semula dalam keadaan yang berbeza. Cukup berbeza. Salam dilaungkan. Terdengar derap tapak kaki melangkah laju menghampiri pintu. Daun pintu ditarik dari dalam. Seorang wanita separuh abad berdiri di situ merenung ke arah Zenia dengan mata yang berkaca-kaca.

“Ibu!” Zenia berlari mendapatkan ibunya. Tubuh ibu yang sudah semakin susut itu dipeluk erat. Dia menangis sepuas-puasnya.

“Zenia!” Maryam mengusap kepala Zenia. Ubun-ubun anaknya itu dikucup berkali-kali. Menzahirkan rasa rindu yang menggunung tinggi. Yang telah sekian lama dipendam.

“Nia balik jugak akhirnya. Ibu rindu Nia.”

“Nia pun rindu ibu. Nia minta maaf dengan ibu. Nia tahu Nia dah banyak buat salah. Nia minta maaf ibu...”

Lama mereka berdua begitu. Menangis dan saling berpelukan. Tidak dipedulikan langsung mata-mata jiran yang asyik tertoleh-toleh.

“Nia! Mana cucu ibu?” Maryam bertanya sambil meleraikan pelukan. Zenia berpaling ke arah Adam yang sedari tadi diam di belakangnya. Dia menghulurkan tangan ke arah Adam meminta anaknya itu mendekatinya. Lambat-lambat Adam membuka langkah.

“Ini cucu ibu. Muhammad Adam Rizq.” Zenia memperkenalkan Adam kepada ibunya.

“Muhammad Adam Rizq...” Maryam menyentuh perlahan wajah Adam dengan hujung jarinya yang sudah berkedut. Bibirnya mengukir senyuman penuh keharuan.

Adam yang masih terpinga-pinga hanya mendiamkan diri ketika dipeluk.

“Adam... cucu nenek.” Kata Maryam sambil tertawa kecil dalam tangisannya.

“Yam...”

Zenia menoleh ke dalam rumah apabila mendengar suara itu. Memandang ayahnya. Dia mengukir senyuman. Rindunya kepada ayah.

“Nia!” Mokhtar terpaku. Bagaikan tidak percaya memandang anak yang selama ini dirindui kini ada di depan mata.

Zenia terus berlari masuk ke dalam rumah mendapatkan ayahnya. Tangan tua itu disalaminya bersama air mata yang masih tidak berhenti mengalir.

“Nia!”

“Nia minta ampun dengan ayah. Ampunkan Nia ayah...” Zenia merayu penuh kesayuan.

“Nia!” Mokhtar mengusap kepala Zenia yang masih mengucup tangannya.

Zenia mengangkat muka. Melihat ayahnya mendepakan tangan, dia terus memeluk tubuh itu seeratnya.

MALAM SEMAKIN larut. Zenia termenung di tepi tingkap biliknya merenung langit yang gelap tanpa sebutir bintang. Angin bertiup agak kencang. Tidak lama selepas itu rintikrintik hujan mula turun membasahi bumi. Cepat-cepat Zenia menutup tingkap biliknya sebelum beralih ke arah katil.

Adam sudah pun terlelap sejak sejam yang lalu. Terlena bersama robot Ben10 dalam pelukannya. Robot itu selalu dipeluknya. Dibawa ke mana saja yang dia ingin pergi. Yakinlah Zenia, memang Adam benar-benar menyayangi Hayyan. Mungkin dengan cara memeluk robot itu rasa rindunya terhadap Hayyan dapat diubati.

Zenia mengesat mata yang basah. Lambat-lambat kepala direbahkan ke bantal. Kalau Adam merindui Hayyan, dia lebih-lebih lagi.

‘Ya Allah... sampaikanlah rasa rindu aku ini kepadanya. Semoga dia tahu aku benar-benar menyintainya tetapi aku terpaksa melukakannya.’

Mata dipejam rapat-rapat bersama pipi yang masih terasa hangat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience