Bab 35

Romance Completed 79607

HAYYAN memanjangkan leher mengintai ke arah rumah yang masih kelihatan terang dengan cahaya lampu yang terbias dari dalam. Setelah berfikir-fikir seketika, barulah dia turun dari kereta dan membawa langkah masuk ke dalam kawasan laman rumah. Pintu rumah dibuka dengan kunci yang ada padanya. Sebaik sahaja pintu terkuak, perlahan-lahan dia melangkah masuk ke dalam.

Suasana ruang tamu sunyi. Tiada sesiapa di situ. Hayyan membawa langkahnya ke arah tangga.

“Riz!”

Panggilan itu mematikan langkah Hayyan. Dia berpaling ke arah pintu dapur. Papanya, Datuk Azlan berdiri di situ merenungnya. Kalau tidak silap Hayyan, sudah hampir tiga bulan dia tidak menatap wajah itu. Malah, menghubunginya untuk bertanya khabar juga tidak sama sekali.

“Baru balik?” Tanya Datuk Azlan. Meskipun hubungan mereka anak-beranak renggang semenjak dia berkahwin lain, itu tidak bermakna kasih untuk anaknya itu sudah tiada lagi.

Hayyan tetap anaknya, darah dagingnya walau apa pun yang berlaku.

Hayyan tidak menjawab. Hanya sekadar mengangguk sekali. Wajahnya dipalingkan semula ke arah tangga.

“Mama cakap Riz dah lama tak balik. Telefon tanya khabar pun tak.” Kata Datuk Azlan dengan nada tenang.

“Untuk apa? Untuk dengar tangisan mama mengadu pasal papa?” Tegang riak wajah Hayyan merenung papanya. Sudahlah kepalanya berserabut dengan apa yang baru melanda hidupnya dan kini papa menekannya dengan situasi keluarga mereka pula. Teruk benar perasaannya kala ini.

“Riz!”

“Buat apa papa balik? Kenapa tak terus aje duduk rumah perempuan tu?”

“Riz! Perempuan yang Riz maksudkan tu isteri papa. Mama tiri Riz. Walau apa pun Riz tetap kena hormat dia!” Tekan Datuk Azlan. Kata-kata Hayyan benar-benar mencabar kesabarannya. Dia pulang untuk menjenguk keluarga yang dia sayang, bukannya untuk mencari gaduh dengan anaknya sendiri.

“Riz takkan hormat orang yang pernah buat mama Riz menangis.” Serius Hayyan menuturkannya. Datuk Azlan terdiam. Hayyan tersenyum sinis.

“Sudahlah pa... baliklah rumah perempuan tu. Tak payah datang sini lagi. Riz dah benci tengok muka papa...”

“Riz!!!”

Hayyan berpaling ke arah tangga. Mamanya muncul di situ dengan air mata di pipi. Melihat mama menangis, hati Hayyan rasa sebak. Bagaimana dia boleh berkata dia bencikan orang yang pernah buat mamanya menangis sedangkan dia juga termasuk dalam golongan itu?

Datin Asmida menuruni tangga sambil berpegang pada penghadang. Nampak sangat keadaannya tidak terurus. Mukanya pula pucat.

“Riz... kenapa cakap macam tu dengan papa? Walau apa pun papa tetap papa Riz.” Lengan Hayyan dipegang erat. Hayyan tunduk memandang lengannya yang dalam pegangan mama.

“Papa tak boleh tunaikan permintaan Riz. Ini keluarga papa. Papa takkan tinggalkan keluarga papa.” Tegas Datuk Azlan.

“Jadi, ceraikan perempuan tu!” Berani Hayyan mencabar.

“Rizqi!” Tinggi nada suara Datin Asmida. Kepalanya tergeleng-geleng dengan air mata yang masih lebat di pipi. Sungguh dia tidak sanggup melihat anak yang dahulunya sangat taat kini berani meninggikan suara dan mencabar papanya sendiri.

“Selagi perempuan tu ada dalam sebahagian keluarga kita, selagi tu Riz takkan maafkan papa.” Hayyan melepaskan pegangan mama dan terus berlari naik ke tingkat atas.

Di dalam bilik, Hayyan menghenyakkan tubuhnya di atas katil. Tangannya menguak rambut ke belakang dengan mata yang dipejamkan.

“Ya Allah...” Dan ketika itu juga air matanya menitis. Dia manusia biasa. Tahu apa itu rasanya dilukai dan dikecewakan. Sangkanya dia sudah temui kebahagiaan semenjak mengenali Zenia tetapi ternyata dia silap. Dan kini semua kekecewaan yang dilalui sejak lama dulu bagaikan kembali mengisi ruang hidupnya. Dia tidak kuat. Sungguh... dia tidak kuat.

Pintu bilik terkuak dari luar. Herny menjengulkan kepalanya ke dalam.

“Riz...” Melihat Hayyan yang duduk menyandar di kepala katil dengan ditemani air mata, Herny terus masuk ke dalam.

“Riz...” Adiknya itu dihampiri dan sekejap sahaja Hayyan sudah berada dalam pelukannya.

“Riz...”

“Riz tak kuat untuk semua ni kak...” Hayyan sudah tidak malu lagi menangis. Perasaan yang terbuku di hati mahu diluahkan kepada Herny, kakak yang tidak pernah gagal menjadi pendengar setianya dan menjadi tempat dia mengadu segala masalah.

Herny meleraikan pelukan. Bahu Hayyan yang masih terhinggut diusap lembut.

“Akak tahu... tapi Riz anggaplah semua ni dugaan untuk Riz. Akak tahu adik akak kuat.” Ujarnya. Dia tahu tentang Hayyan dan Zenia dan dia tahu betapa beratnya Hayyan melalui semua itu. Mungkin tidak ditunjukkan di depan orang lain, tetapi di depannya, Hayyan tidak malu untuk menitiskan air mata.

“Tak lama lagi Riz dah nak final. Tahun ni tahun terakhir Riz belajar. Akak tak nak apa yang dah jadi jejaskan pelajaran Riz.” Pujuk Herny lembut. Hayyan satu-satunya adik yang dia ada. Sudah semestinya dia mahukan yang terbaik untuk lelaki itu.

Hayyan menyandar di kepala katil sambil mengesat pipi yang basah.

“Lepas habis nanti, Riz nak sambung belajar. Riz nak pergi jauh dari sini.”

“Riz dah nekad?” Tanya Herny.

Hayyan mengangguk.

“Riz ada biasiswa dan Riz tak perlukan duit papa.”

“Jangan cakap macam tu. Akak yakin papa mesti tak kisah untuk tanggung Riz belajar kat sana.”

Hayyan menggeleng-geleng pedih.

Herny memeluk bahu Hayyan rapat dengannya.

“Lupakan semua kebencian Riz kepada papa. Walau apa pun dia tetap papa kita. Papa yang besarkan kita dari kecil. Yang bersusah payah cari duit untuk kesenangan kita. Yang tak pernah gagal didik kita jadi manusia yang baik. Jangan sebab hanya satu kesalahan papa, Riz benci papa seumur hidup. Berdosa Riz... Akak tak nak hidup adik akak rosak hanya sebab bencikan papa. Akak sayang Riz... Akak sayang mama... Akak sayang papa... Akak sayang keluarga kita.”

Menitis lagi air mata Hayyan. Kali ini esakannya bergabung dengan esakan kecil Herny.

‘Ya Allah... Engkau berilah kekuatan kepada adikku ini untuk mengharungi hari-harinya yang penuh kelukaan. Bukakanlah pintu hatinya untuk memaafkan papa kami. Satukanlah keluarga kami seperti dahulu. Aku rindu semua itu Ya Allah...’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience