Bab 54

Romance Completed 79607

“RIZ! Cantik tak baju ni?” Zanariah menunjukkan blaus di tangan kepada Hayyan yang berdiri di belakangnya.

“Hmm...” Hayyan sekadar mengangguk. Malas nak komen lebih. Dia mengikut Zanariah ke sini pun atas paksaan mama. Dalam hati Hayyan memarahi diri sendiri kerana belum berpeluang untuk memberitahu mama tentang Zenia.

“Warna apa lagi cantik? Merah atau kuning?” Zanariah masih berusaha menarik minat Hayyan.

“Mana-mana aje.” Acuh tak acuh Hayyan menjawab.

“Kalau saya ambik merah? Sesuai tak dengan saya?” Tanya Zanariah lagi. Hayyan mengangguk.

“Okey.”

“Hmm... kalau warna ni pulak...”

“Saya tunggu kat sana.” Hayyan bersuara sekali gus membantutkan kata-kata Zanariah. Tanpa menanti persetujuan gadis itu, Hayyan terus berlalu keluar dari gedung pakaian itu.

Zanariah mengetap bibir. Kenapalah Hayyan tidak pernah cuba beri peluang kepadanya untuk membuktikan dia layak menjadi isteri lelaki itu? Kenapa Hayyan tidak pernah beri peluang untuk dirinya sendiri untuk menerimanya dalam hidup? Dan kenapa Hayyan tidak pernah beri peluang untuk mereka berdua meneruskan apa yang telah pun dimulakan dari awal?

“Okey ke kak?” Pekerja kedai itu tiba-tiba menegur.

“Hmm... tak jadi.” Zanariah menyerahkan semula blaus di tangan lalu terus berlalu keluar mendapatkan Hayyan.

Dia berdiri di sisi lelaki itu sambil sebelah tangan memegang tali beg tangannya.

“Riz... kalau saya tanya sikit boleh tak?”

Hayyan mengangkat muka. Sedikit terkejut riak mukanya ketika itu. Barangkali tidak menyangka Zanariah akan mengikutnya ke situ.

“Apa dia?”

“Awak memang tak suka ya keluar dengan saya?” Zanariah bertanya dengan riak yang cuba ditenangkan. Hayyan tidak terus menjawab. Dia tunduk memandang telefon pintar di tangan.

“Biasa aje.”

“Saya boleh baca body language awak.” Tekan Zanariah tidak mahu percaya dengan jawapan lelaki itu tadi.

“Awak salah baca.” Tukas Hayyan.

“Cara awak, tak menunjukkan yang awak suka keluar dengan saya. Saya yakin... awak setuju untuk keluar dengan saya ni sebab mama awak yang minta macam tu... kan?” Zanariah terus meneka. Dia bukannya bodoh sehinggakan tidak mampu menilai apa yang sedang berlaku di depan matanya.

Hayyan kembali mengangkat muka.

“Dah habis ke shopping? Kalau dah habis, saya hantar awak balik.” Tanpa menunggu jawapan Zanariah, Hayyan mula membuka langkahnya.

Zanariah mengetap bibir. Sahlah. Memang Hayyan tak suka keluar dengannya. Apabila ditanya, dijawab secara berdalih dan kemudian terus tukar topik. Itu semua sudah cukup untuk menjadi bukti. Kenapa? Adakah dia tidak cukup baik di mata Hayyan Rizqi?

“EH... KATA nak pergi dinner? Buat apa pulak kat sini?” Zenia mengerutkan dahinya melihat rumah teres bercat putih di depannya. Bukan ke itu rumah Zatie? Buat apa pula Hayyan membawanya ke sini?

“Awak rasa?” Hayyan membalas dengan soalan. Bibirnya menguntum senyuman penuh makna.

“Awak nak ajak Zatie sekali ke?” Teka Zenia. Dia tidak kisah kalau benar Hayyan hendak mengajak Zatie sekali. Lagi ramai lagi meriah.

Hayyan menggeleng. “Salah.”

“Habis tu?” Zenia semakin pelik. Hesy... Hayyan ni. Suka buat dia panasaran macam ni.

Hayyan berpaling ke arah Adam yang tersengih di tempat duduk belakang. Tangan kanannya dihulurkan.

“Salam papa dulu.” Arahnya. Adam segera menurut. Kemudian dia menghulurkan tangannya kepada mamanya pula.

Zenia walaupun masih pening tetap menyambut huluran tangan Adam. Hanya selepas melihat Adam mahu membuka pintu kereta, barulah dia bersuara semula.

“Kejap! kejap! Adam nak pergi mana?”

Serentak itu juga cermin tingkap di sebelahnya diketuk. Zenia berpaling. Zatie sedang tersenyum manis di situ. Makin berkerut dahi Zenia.

Adam keluar dari kereta. Sekejap sahaja dia sudah berada dalam dukungan Zatie.

“Ohh... awak pakat dengan Zatie ya?” Barulah Zenia dapat menangkap situasi yang sedang berlaku ketika itu.

“Lambat pick-uplah awak ni.” Kutuk Hayyan selamba, lalu ketawa kecil.

“Apa awak cakap?” Zenia mula geram. Hayyan ketawa lagi.

“Saya nak malam ni jadi malam special antara kita berdua. Jadi, saya terpaksa gunakan khidmat Zatie untuk jaga Adam. Cukup tak untuk explain soalan awak tadi?” Hujung rambut Zenia dicuit perlahan.

Zenia ternganga sedikit. Ohh... itu rupa-rupanya cadangan Hayyan. Kenapa dia langsung tidak terfikir tentang itu?

“Apa awak umpan Adam sampaikan dia setuju? Biasanya dia tu mana boleh kalau tak ikut awak ke manamana.” Zenia bertanya hairan. Pandai betul Hayyan memujuk Adam. Kalaulah benar dia mengahwini Hayyan, tentu selepas ini dia akan disisihkan Adam. Ohh... kalaulah...

“Itu mana boleh cakap. Rahsia.” Hayyan kenyit mata. Kaki kanannya mula menekan pedal minyak. Sempat membalas lambaian Zatie dan Adam yang sudah pun bergerak masuk ke halaman rumah.

“APA YANG special tentang malam ni?” Zenia bertanya sambil merenung Hayyan yang duduk di sebelahnya. Tadi selepas makan malam di sekitar Kuala Lumpur yang Zenia tak tahu pun apa yang special melainkan hidangannya yang sangat lazat, Hayyan membawanya ke Tasik Putrajaya pula. Untuk tujuan apa, dia sendiri tidak tahu.

“Special sebab... hanya ada awak dan saya.” Jawab Hayyan sambil tersenyum penuh makna. Ketika ini dia mahu lupakan segala-galanya yang berlaku dalam hidupnya. Dia mahu lupa yang dia sudah punya tunang. Yang dia tahu, dia cuma mahukan Zenia dalam hidupnya.

Zenia ketawa kecil. Kelakar pula bunyi kata-kata Hayyan itu.

“Kalau setakat nak ada awak dengan saya aje... bilabila masa aje boleh...”

“Ya ke?” Laju Hayyan bertanya semula. Wajah Zenia direnung dalam dengan riak muka serius.

“Bila-bila masa aje boleh?”

Zenia terdiam, bibirnya diketap. ‘Alamak... salah cakap ke?’

“Err... tak. Maksud saya esok-esok pun kita boleh jumpa, kan?” Cepat-cepat dia membetulkan semula ayatnya tadi. Janganlah Hayyan salah faham dengan maksudnya. Buat malu aje...

Hayyan tersenyum kecil. Dia tahu Zenia menggelabah ketika itu.

“Awak tak nak cerita dengan saya ke, apa yang jadi lepas awak habis belajar dulu?”

“Hmm... kenapa awak nak tahu?”

“Sebab saya perlu tahu.”

Zenia terdiam seketika. Kalau boleh dia tidak mahu mengungkit semua itu lagi. Tetapi kali ini biarlah Hayyan tahu.

Tiada apa yang boleh dia sorokkan lagi.

“Saya tak habis belajar. Lepas habis exam semester lima, saya berhenti.”

“Kenapa?” Hayyan bertanya dengan nada sedikit terkejut.

“Keluarga saya terpaksa tanggung malu atas apa yang saya buat. Saya tak sanggup tengok ibu dan ayah saya menangis disebabkan saya. Ahli keluarga saya yang lain tak habis-habis mengutuk kami. Saya boleh terima kalau saya yang dikutuk tapi bukan ibu dan ayah saya.” Zenia merenung kejauhan. Rasa sakit itu bagai kembali hadir di sudut hatinya.

“Akhirnya saya buat keputusan untuk keluar dari rumah. Biarlah saya pergi jauh kalau itu dapat tutup mulut semua orang. Ibu dan ayah terpaksa lepaskan saya pergi...”

“Sebab tu awak berhenti belajar?” Hayyan menyampuk. Begitu perit kisah hidup Zenia waktu itu dan dia tiada sebagai tempat untuk Zenia mengadu nasib.

Zenia mengangguk dengan senyuman pahit.

“Dari Johor saya datang semula ke Shah Alam sebab kat situ aje tempat yang saya tahu. Satu hari saya terjumpa Zatie. Dialah yang banyak tolong saya selama ni. Dia tolong saya cari kerja, cari rumah sewa, dan dia jugak yang tolong saya untuk kerja dengan Encik Khairil.” Jeda lagi.

Hayyan mengangguk-angguk faham.

“Jadi... sebab Zatie jugak kita berjumpa semula, kan?”

Zenia berpaling memandang Hayyan. Benarkah begitu?

“Nia...” Hayyan memanggil perlahan.

“Kenapa lepas awak tahu awak mengandung, awak tak beritahu saya? Kenapa lepas Azfar tinggalkan awak... awak tak datang cari saya?”

Zenia terdiam lama. Langsung tidak menyangka Hayyan akan bertanyakan soalan-soalan itu. Sememangnya perkara itu tidak pernah ada dalam kepalanya sebelum ini.

“Percayalah Nia... kalau awak cari saya masa tu, saya takkan tinggalkan Malaysia dan pergi jauh. Saya sanggup terima awak semula. Kalau perlu, saya sanggup kahwin dengan awak waktu tu jugak.”

Zenia menahan sebak yang mula hadir. Ya Allah. Mulianya hati Hayyan. Sedalam itukah cinta di hati lelaki itu untuk dirinya?

“Saya malu Hayyan. Saya malu nak berdepan dengan awak lepas apa yang jadi antara kita. Saya rasa diri saya kotor. Langsung tak ada harga lagi.” Luah Zenia. Bibirnya diketap kuat.

Suasana bisu antara mereka untuk seketika. Hayyan mendongak merenung langit yang gelap.

“Nia... saya nak jawapan awak.” Kata Hayyan tiba-tiba.

“Jawapan?”

“Jawapan untuk soalan saya...” Hayyan mencapai tangan Zenia.

“Sudi tak awak jadi isteri saya?”

Zenia terdiam. Terpaku dan terpegun hingga langsung tidak mampu mengeluarkan suara. Ini kali kedua Hayyan melamarnya setelah hubungan mereka mula bertaut kembali.

‘Ya Allah... situasi apa yang sedang berlaku ini? Kenapa hatiku terasa benar-benar kasih kepadanya? Kenapa aku seolaholah tidak mampu menolak dirinya lagi? Bantulah aku Ya Allah...’

“Nia... I’ve been waiting this for too long. Saya tak nak bazirkan masa lagi. Kalau awak setuju, saya nak kita cepat-cepat kahwin. Cukuplah masa yang selama ni kita bazirkan dan dosa yang kita buat...”

Zenia menarik tangannya dari genggaman Hayyan sebelum sempat lelaki itu menoktahkan ayatnya.

“Awak dah habis fikir ke Hayyan?”

“Lama dulu Nia...”

“Awak lupa apa yang saya pernah buat dulu? Awak tak takut kalau saya akan ulang lagi semua tu untuk kali kedua?” Zenia menduga lagi.

“You won’t.” Tenang Hayyan menjawab. Zenia tersenyum sinis.

“Awak tak tahu apa yang akan jadi pada masa depan.”

“Awak pun. Dan kalau awak sanggup, kita boleh lalui semua tu sama-sama. Apa saja dugaan selepas ni, saya nak awak tahu yang awak ada saya.” Jawab Hayyan sungguh-sungguh. Dia sudah puas berfikir. Dia mahukan jawapan Zenia malam ini juga.

Zenia menahan air matanya.

“Keluarga awak? Boleh ke orang tua awak terima saya?

Terima Adam?”

“Mama dan papa saya akan terima.”

“Takkan semudah tu?” Zenia tidak percaya.

Hayyan terdiam. Ya. Memang takkan semudah itu. Tetapi dia tetap tidak akan berputus asa. Takkan semudah itu.

“Percayalah cakap saya Nia. Mama dan papa saya akan terima awak.” Hayyan cuba meyakinkan Zenia. Kalau perlu merayu dan melutut, dia sanggup lakukan asalkan Zenia bersetuju untuk menjadi suri hidupnya.

Zenia memejam matanya seketika. ‘Ya Allah... apa yang harus aku lakukan sekarang?’

Hayyan merebahkan lututnya ke tanah. Zenia yang melihat terkejut dengan tindakan berani lelaki itu.

“Hayyan! Apa awak buat ni?”

Hayyan mengeluarkan sekotak cincin dari poket seluarnya.

“Saya mungkin tak pandai nak bermain kata untuk pujuk hati awak dan saya cuma ada hati yang ikhlas, yang betulbetul sayangkan awak. Saya janji saya akan jaga awak dan Adam hingga akhir hayat saya. Beri saya peluang tu Nia!”

Menitis juga air mata Zenia ketika itu. Apatah lagi ketika Hayyan membukakan penutup kotak baldu itu dan sebentuk cincin berlian terhidang di depan matanya. Sesungguhnya dia juga terlalu mengharapkan Hayyan dalam hidupnya. Benar. Dia masih cintakan Hayyan dan dia mahu lelaki itu menjadi suaminya. Menjadi imam yang akan membimbingnya hingga ke syurga. Dia mahukan Hayyan Rizqi dalam hidupnya.

Lama begitu, akhirnya Zenia mengangguk juga. Hayyan tenggelam dalam tangisan kebahagiaan. Itulah yang dia inginkan daripada Zenia. Apa sahaja yang berlaku selepas ini, dia akan melaluinya dengan tabah.

‘Terima kasih Ya Allah...’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience