Bab 67

Romance Completed 79646

BEG pakaian diletakkan di dalam bonet kereta. Pandangannya kini terhala ke arah Adam yang masih berada dalam dukungan atuknya.

“Salam atuk, Adam. Kita dah nak balik ni.” Arah Zenia lembut. Adam menurut. Kemudian dipandang wajah atuknya dengan mata terkelip-kelip.

“Nanti Adam boleh datang lagi tak atuk?” Mokhtar tertawa mendengar soalan itu.

“Tentulah boleh. Nanti Adam ajak mama balik sini selalu ya.” Ujarnya.

“Yeaayyy!” Adam bersorak gembira. Sesudah Mokhtar menurunkannya, dia berlari pula mendapatkan neneknya untuk bersalam.

“Nanti Adam datang lagi tau!” “Janji?” Maryam menagih janji.

“Janji!” Adam mengangkat tangan kanannya tinggitinggi.

Maryam dan Mokhtar sama-sama ketawa. Zenia menghulur tangan untuk bersalam dengan ayahnya sebelum diikuti ibunya pula. Pelukan ibu yang erat benar-benar membuatkan dia sebak.

“Nia tak tukar fikiran, kan?” Maryam berbisik lembut di telinganya. Zenia menggeleng.

“Nia yakin dengan keputusan Nia.” Balasnya perlahan. Maryam mengangguk. Pelukan dileraikan.

“Jaga diri elok-elok. Rajin-rajinlah telefon ibu dengan ayah kat kampung ni.” Pesan Maryam sebak.

Zenia mengangguk. Pipi ibunya dicium lama. Kemudian barulah tangan Adam dipimpin untuk masuk ke dalam kereta. Keputusan sudah dibuat. Doanya moga segalagalanya dipermudahkan selepas ini.

SETELAH PUAS berfikir baik dan buruk keputusan yang bakal dibuat, akhirnya Zenia memutuskan untuk pergi menemui Hayyan. Dia tahu lelaki itu masih marah kepadanya atau mungkin juga sudah tidak mahu menatap wajahnya. Tetapi dia tidak dapat menolak asakan hati yang terlalu ingin menemui lelaki itu.

Selain berbincang tentang hal mereka, Zenia tahu perasaan rindu yang memaksanya untuk memandu ke pejabat Hayyan pagi Isnin itu. Lagipun dia akan memulakan kerja hari Selasa. Jadi biarlah hari itu dia pergi menemui Hayyan dahulu. Hatinya tidak akan tenang selagi dia belum bertemu lelaki itu dan memohon maaf.

Sampai di tingkat lapan, Zenia keluar dari lif dengan jantung yang berdebar-debar. Kali terakhir dia datang ke sini, pertemuannya dengan Hayyan berakhir dengan begitu tragis sekali. Di sini, di depan lif inilah Hayyan pernah merayu kepadanya agar jangan pergi meninggalkan dirinya lagi. Zenia memejamkan matanya. Cuba menepis bayangan peristiwa itu dari ingatan.

“Ops!” Zenia hampir-hampir terlanggar seorang lelaki yang berjalan bertentangan dengannya.

“Sorry.” Pintanya dengan senyuman kelat.

“It’s okay.” Balas Safwan.

“Hmm...” Raut wanita di depannya itu diperhati penuh minat. Macam pernah tengok aje. Memang rasanya dia tak silap orang sebab dah selalu tengok muka Zenia dalam gambar yang terletak elok di atas meja Hayyan. Cuma bezanya wanita di depannya itu kini bertudung.

“Zenia?” Sempat dia menegur sebelum wanita itu melangkah menjauh. Zenia berpaling semula.

“Ya?” Pelik mendengar namanya dipanggil tapi dia tetap membalas.

Safwan hembus nafas panjang. Penuh kelegaan.

“Akhirnya... awak datang jugak!”

Zenia kerut dahi tak faham. Safwan ukir senyum nipis.

“Saya Safwan... kawan Riz.”

“Ohh...”

“Riz dah lama tunggu awak datang. Walaupun dia tak cakap, tapi saya tahu. Sekarang awak dah datang. Eloklah kalau awak pergi jumpa dia.” Ujar Safwan.

“Dia... okey ke?” Sempat lagi Zenia bertanya. Hatinya terdetik satu rasa mendengar kenyataan Safwan tadi. Hayyan tunggu dia datang?

Safwan mengeluh panjang.

“Awak pergilah jumpa dia dulu.” Hanya itu balasannya sebelum terus berlalu ke arah lif untuk turun ke bawah.

Zenia terdiam di situ. Hati yang tidak sedap cuba ditenangkan. Langkah dilajukan menghampiri meja setiausaha Hayyan.

“Assalamualaikum.” Ucap Zenia sambil cuba mengukir senyuman.

“Waalaikumussalam.” Gadis berambut perang itu mendongakkan kepalanya memandang Zenia. Senyuman Zenia dibalas mesra.

“Ya. Boleh saya bantu cik?”

“Hmm... saya nak jumpa Encik Hayyan. I mean... Encik Rizqi. Dia ada?” Zenia menghembus nafas. Cuba menenangkan hati yang masih berdebar hebat.

“Encik Rizqi ada. Tapi cik ada buat appointment tak?” Tanya gadis itu lagi.

“Err... tak ada.” Jawab Zenia perlahan. “Tapi saya perlu jumpa dia. Ada hal penting.”

“Hmm... sekejap ya.” Gadis itu merapatkan kerusinya dengan interkom yang terletak di hujung meja.

“Boleh saya tahu nama cik?”

“Hmm... Zenia.” Ujar Zenia perlahan. Tak tahu Hayyan akan membenarkan dia masuk atau tidak setelah mendengar namanya nanti. Walaupun tadi Safwan cakap Hayyan dah lama tunggu dia, tapi Zenia masih tetap rasa ragu. Hanya kepada Allah dia berdoa semoga lelaki itu sudi menemui dirinya.

Gadis tadi segera menekan interkom di atas mejanya.

“Encik Rizqi! Ada tetamu nak jumpa. Tapi dia tak ada buat appointment. Should I let her in?”

“Siapa?”

“Nama dia... Zenia.”

Berdebar-debar Zenia menunggu jawapan Hayyan. Lelaki itu terdiam setelah mendengar namanya. Entah apa yang dia fikirkan, Zenia tidak berani meneka.

“Encik Rizqi!” Gadis itu menegur. Mungkin hairan kenapa bosnya itu diam cuma.

“Okey... let her in.” Interkom dimatikan.

Zenia menghela nafas lega tanpa sedar.

“Silakan masuk cik.” Gadis itu mempersilakan dengan senyuman ramah.

“Thanks.” Ucap Zenia.

Langkah dibawa perlahan menghampiri pintu bilik Hayyan. Debaran di jantung semakin bergendang hebat. Berkalikali dia beristighfar. Cuba menenangkan diri sendiri. Dia perlu kuat berdepan dengan Hayyan. Apa sahaja penerimaan lelaki itu nanti,dia tahu dia perlu menelan semuanya.

Zenia mengetuk pintu bilik Hayyan. Kedengaran suara lelaki itu mengarahkannya masuk. Sambil menghela nafas, Zenia menolak daun pintu ke dalam. Kelihatan Hayyan tenang di mejanya dengan kepala menunduk. Ralit sangat menyiapkan kerja barangkali. Zenia menutup pintu semula sebelum melangkah lambat-lambat menghampiri meja Hayyan.

“Assalamualaikum Hayyan!” Zenia mengucapkan salam itu perlahan dan sedikit gugup.

“Waalaikumussalam.” Hayyan menjawab tanpa mengangkat muka. Suaranya pula kedengaran kaku.

“Hayyan! Saya datang ni sebab... ada benda yang saya nak bincangkan dengan awak.” Zenia memberanikan diri bersuara.

Penerimaan Hayyan dingin tetapi itu bukan bererti Zenia akan mengalah begitu sahaja. Apatah lagi apabila terpandangkan gambarnya sendiri dalam bingkai segi empat di atas meja lelaki itu. Tiada reaksi daripada Hayyan. Lelaki itu masih tenang membelek-belek fail di depannya.

“Saya terima pinangan keluarga awak.” Kata Zenia. Berharap sebaris ayat itu mampu menarik perhatian Hayyan. Namun Zenia hampa apabila Hayyan terus membisu seolaholah langsung tidak mendengar kata-katanya tadi.

“Hayyan! Saya tahu saya dah lukakan awak dan saya tahu awak berhak marah saya. Tapi...”

Hayyan masih kekal dengan gayanya tadi. Langsung tidak memandang. Apatah lagi mendongak.

“Saya janji saya takkan ulang lagi semua tu. Beri saya peluang?” Pinta Zenia. Bibirnya diketap kuat. Menahan sebak melihat Hayyan terus begitu. Seolah-olah yang sedang berdiri di depannya ini hanyalah patung yang tidak bernyawa. Sebegitu marahkah lelaki itu kepadanya?

“Awak boleh marah saya selama mana yang awak nak. Tapi satu yang saya nak awak tahu, kali ni saya takkan undur diri lagi. Saya dah buat keputusan dan saya janji saya takkan ulang lagi kesilapan yang sama.” Kata Zenia lagi.

Zenia benar-benar memaksudkannya. Dia mahu Hayyan menyelami isi hatinya dan cuba memahami apa yang ada di situ. Tetapi Hayyan tetap juga begitu. Langsung tidak peduli kehadirannya. Terus juga ralit membelek fail dan kemudian mencatat sesuatu bagaikan Zenia di depannya langsung tidak wujud.

Zenia mengetap bibir menahan sebak. Ini baru permulaan. Dia tahu dia perlu kuat kalau dia benar-benar mahu meraih kemaafan Hayyan lagi.

“Saya balik dulu.” Ujarnya. Melihat Hayyan masih lagi beku, Zenia akhirnya berpaling dan melangkah ke arah pintu.

Hilang sahaja kelibat Zenia dari muka pintu, tangan Hayyan berhenti menulis sesuatu pada kertas di atas mejanya itu. Kepalanya terdongak. Matanya lurus menatap daun pintu yang sudah terkatup rapat. Bukan tidak terkejut melihat penampilan Zenia yang kini bertudung. Bukan tidak terusik hatinya dengan kata-kata wanita itu. Tetapi entah kenapa dia bagaikan sudah tawar hati.

‘Setelah apa yang berlaku, kenapa baru sekarang Nia?’

ZENIA MENANTI sehingga pintu lif terbuka. Ketika dia hendak melangkah masuk, seorang wanita pula baru melangkah keluar dari lif yang sama. Langkah Zenia terhenti di depan pintu ketika tersedar wanita itu sedang asyik merenungnya.

“Zenia?” Herny menegur. Ada senyuman manis di bibirnya. Zenia mengerutkan dahi. Macam mana wanita itu kenal siapa dirinya?

“Kak Herny.” Herny menghulurkan tangan kepada Zenia.

Ohh! Zenia yang baru tersedar dengan siapa dia sedang berdepan segera menyambut huluran salam itu. Tapi, macam mana Herny kenal dirinya sedangkan mereka belum pernah berjumpa?

“Akak cam muka Nia. Akak pernah tengok gambar Nia dalam simpanan Rizqi.” Herny menjelaskan seolah-olah tahu apa yang Zenia fikirkan.

“Ohh...” Zenia mengangguk faham.

“Nia datang jumpa Riz ke?” Tanya Herny. Zenia terdiam sebelum mengangguk.

“Dah cakap dengan dia?” Tanya Herny lagi. Raut wajah Zenia yang suram meyakinkan dirinya ada sesuatu yang telah berlaku.

“Pandang muka saya pun dia tak sudi kak.” Zenia mengeluh kecil. Pasrah benar bunyinya.

Herny memegang bahu Zenia.

“Hati dia tengah panas lagi tu. Nia sabar ya.”

Zenia hanya tersenyum pahit. Baru sahaja mengenali Herny, tetapi dia bagaikan sudah dapat merasakan keserasian antara mereka.

“Nia ada nak ke mana-mana ke lepas ni?” Herny bertanya lagi. Tadi asalnya dia datang untuk bertemu Hayyan. Tapi alang-alang dah terjumpa Zenia di sini, tak salah rasanya dia mengajak wanita itu keluar minum sebentar.

“Tak ada.” Zenia menggeleng kecil.

“Kalau macam tu, jom ikut akak pergi minum-minum dulu? Boleh kita borak-borak.” Ajak Herny.

Awalnya Zenia ingin menolak. Tetapi apabila memandang senyuman manis wanita ramah itu, terasa hatinya mula mencair. Lalu dia bersetuju sahaja.

“RIZQI BUKAN marah. Dia cuma terluka. Ada bezanya Nia.” Kata Herny tenang. Dia tahu Hayyan tidak akan mungkin mampu memarahi dan membenci Zenia kerana dia tahu sedalam mana cinta adiknya itu untuk Zenia.

“Apa yang saya boleh buat untuk buat dia kembali macam dulu? Sungguh kak... saya rasa bersalah sangat tengok dia macam tu.” Zenia menunduk.

Hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan Zenia melihat Hayyan begitu tadi. Seolah-olah sudah betul-betul patah hatinya hinggakan memandang wajah Zenia pun lelaki itu sudah tidak sudi.

“Nia cuma perlu bagi dia peluang untuk maafkan Nia.”

“Maksud akak?”

Herny tersenyum sambil merapatkan duduknya dengan Zenia.

“Dia sayangkan Nia sejak dulu lagi. Jadi tak mungkin dia boleh bencikan Nia hanya dalam masa yang singkat. Kalau dulu Nia boleh buat Riz sayang Nia sampai ke hari ni, tak mustahil sekarang pun Nia mampu, kan?”

Zenia terdiam dengan mata yang tidak berkelip merenung wajah Herny.

“Akak yakin Nia mampu rebut hati dia semula. Buat dia jatuh cinta sekali lagi dengan Nia. Percayalah cakap akak. Dia tetap akan maafkan Nia satu hari nanti.” Herny menggenggam erat tangan Zenia. Dia mahu wanita itu yakin dengan dirinya sendiri untuk merebut semula cinta Hayyan.

Zenia terus terdiam. Kata-kata Herny itu seolah-olah memberi satu suntikan semangat kepadanya. Benar. Kalau dulu dia mampu membuat Hayyan betul-betul mencintainya, tak mustahil sekarang pun dia mampu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience