Bab 68

Romance Completed 79607

PETANG itu Eton dan Zatie sama-sama singgah di rumah Zenia setelah pulang dari kerja. Sengaja Zenia mengajak kedua-duanya datang kerana dia memerlukan teman untuk berborak. Takkanlah nak bercerita dengan Adam? Memang Adam langsung tak akan faham walaupun dia menerangkan dengan menggunakan bermacam-macam jenis formula.

“Kau dah fikir masak-masak?” Zatie bertanya setelah selesai Zenia bercerita. Eton di sebelahnya menghirup minuman yang disediakan. Pertama kali bertemu Eton, Zatie sudah merasakan keserasian antara mereka.

Zenia mengangguk.

“Aku dah istikharah banyak kali. Aku yakin memang Hayyan jodoh yang Allah tetapkan untuk aku.”

“Yup!” Eton memetik jarinya tiba-tiba. Cawan di tangan diletakkan di atas meja. “Kalau tak, takkan kau masih tetap ditemukan dengan dia semula lepas apa yang jadi. Kan?”

Zatie mengangguk setuju. Kalau dah ke hulu ke hilir tetapi tetap orang yang sama juga yang jumpa, bukankah itu petanda memang ada jodoh antara mereka? Dia juga yakin Allah S.W.T. sudah memberi petunjuk kepada Zenia melalui gerak hati wanita itu sendiri.

“Aku janji dengan diri aku, aku takkan lukakan Hayyan lagi. Aku takkan kecewakan dia lagi. Aku janji aku akan sayang dia macam mana dia sayang aku sejak dulu lagi.” Tekad Zenia.

Zatie dan Eton saling berpandangan sebelum masingmasing tersenyum.

“Good.” Puji Zatie sebelum ketawa kecil.

“Cuma... dia masih lagi dingin dengan aku.” Zenia mengeluh pula.

“Kau sabarlah sikit. Bagi dia masa. Aku yakin, dia takkan buang kau daripada hidup dia semudah tu. I know how much he loves you.” Ujar Eton pula meyakinkan sahabatnya itu.

“Yup. Setuju.” Zatie menyokong.

Zenia tersenyum dan mengangguk. Ya. Hayyan tidak akan mungkin membuangnya semudah itu. Apa pun yang berlaku selepas ini, dia tidak akan mengalah dalam merebut kembali cinta Hayyan Rizqi.

HUJUNG MINGGU itu Zenia memenuhi jemputan Datin Asmida untuk makan tengah hari di rumahnya. Kata Herny, wanita itu terlalu ingin menemui dan mengenalinya dengan lebih rapat lagi. Cuma satu yang Zenia bimbangkan, kalaukalau Datin Asmida tidak dapat menerima kehadiran Adam. Dia yakin mereka satu keluarga sudah tahu siapa Adam.

“Assalamualaikum!” Zenia melaungkan ucapan salam. Pegangan pada tangan Adam dikemaskan.

“Mama... ni rumah siapa? Adam tak pernah datang sini

pun?” Adam bertanya sambil menarik sedikit tangan mamanya supaya menoleh ke arahnya.

Zenia menundukkan kepalanya memandang Adam.

“Ni rumah...” Tidak sempat dia menjawab, Herny sudah muncul di depan pintu rumah.

“Zenia!” Herny memanggil dengan suara teruja.

Zenia mengukir senyum. Tangan yang dihulurkan tidak bersambut sebaliknya Herny menariknya ke dalam pelukan. Adam pula sekadar memerhati dengan mata terkebilkebil. Barangkali sedang membuat pengecaman wajah wanita yang sedang memeluk mamanya itu.

“Ni... Adam.” Zenia memperkenalkan Adam kepada Herny. “Adam! Salam auntie.” Suruhnya lembut.

Herny duduk melutut di depan Adam. Tangannya dihulurkan untuk disalam Adam. Riak wajah anak itu nampak takut-takut. Herny menarik Adam dekat dengannya sebelum memberi satu kucupan pada dahi anak itu.

“Jom! Kita masuk dalam.” Pelawa Herny lalu terus memimpin tangan Zenia dan Adam untuk masuk ke rumah.

Berdebar-debar jantung Zenia ketika melangkah masuk ke dalam rumah banglo itu apatah lagi setelah terpandangkan kereta Hayyan ada terparkir di halaman. Teringat pula cerita Herny tempoh hari. Hayyan sekarang lebih suka menghabiskan masa di rumah mamanya. Entah lelaki itu tahu atau tidak kedatangannya ini.

“Zenia... dah sampai ya!” Datin Asmida menegur mesra. Tangan dihulurkan kepada Zenia lalu disambut wanita muda itu dengan penuh sopan. Wajah lembut Zenia benarbenar membuatkan hatinya terasa sejuk. Apatah lagi dengan penampilannya yang kini bertudung, sesuai dengan baju kurung yang digayakan.

“Nia sihat?” Tanya Datin Asmida.

“Sihat aunty.” Jawab Zenia sambil membalas senyuman manis Datin Asmida. Penerimaan wanita itu menjadikan debaran di hatinya semakin berkurangan.

Pandangan Datin Asmida terhala pula ke arah anak kecil yang berdiri rapat di sebelah Zenia. Dia tahu itu Adam. Sekali pandang sahaja terasa kasihnya sudah mengalir kepada anak kecil yang nampak sangat polos itu.

“Salam nenek sayang.” Pinta Datin Asmida sambil menghulurkan tangannya kepada Adam.

Adam memandang mamanya. Melihat anggukan mamanya itu, barulah tangan Datin Asmida disalami. Datin Asmida mencium pipi Adam. Entah kenapa dia rasa terharu tiba-tiba.

“Jemput duduk dulu Nia. Aunty dah nak siap masak. Nanti kita makan sama-sama ya.”

“Aunty nak Nia tolong tak?” Zenia menawarkan bantuan.

“Tak apalah. Aunty boleh uruskan sendiri. Lagipun Eny ada untuk tolong aunty.” Mata Datin Asmida melilau ke sekeliling, mencari kelibat Herny yang hilang tiba-tiba.

“Dia ke atas kejap kut. Nia duduklah dulu ya. Buat macam rumah sendiri. Kejap lagi uncle baliklah tu. Bolehlah kenal-kenal dengan dia pulak.” Ramah Datin Asmida bersuara. Kemudian dia menghilang semula ke arah dapur.

Zenia menarik Adam untuk duduk di sebelahnya. Sempat matanya memerhati sekitar ruang tamu yang luas itu. Cantik. Memang padanlah dengan empunya rumah ini.

“Mama! Tadi tu siapa? Adam tak kenal pun.” Adam berbisik perlahan di telinga mamanya. Barangkali takut didengari orang lain.

“Tu nenek Adam jugak. Adam pun kena panggil dia nenek jugak tau.” Jawab Zenia lembut.

“Ramainya nenek Adam.” Adam menggumam sendiri dengan riak muka kagum.

Zenia tertawa kecil. Tetapi tawanya mati ketika terpandangkan Khairil bersama Herny di hujung tangga sementara Hayyan menyusuli langkah mereka di belakang. Zenia tertelan air liur. Dia hampir lupa bahawa Herny itu sebenarnya isteri Khairil. Sekali gus menjadikan bosnya juga sebahagian daripada keluarga ini. Ah... kecilnya dunia.

“Hai Nia!” Khairil menegur ramah sambil duduk di depan Zenia bersama isterinya.

“Hai bos.” Zenia membalas sambil tersenyum. Cuba berlagak selamba sedang hati dan perasaan sedang berperang sesama sendiri.

“Papa!” Adam yang baru perasan kelibat Hayyan terus terjerit. Sekejap sahaja dia sudah berlari mendapatkan lelaki itu.

Hayyan tersenyum melihat Adam. Adam yang menerpa ke arahnya disambut lalu diangkat dalam dukungannya. Sementara Zenia yang memandang terpegun seketika. Betapa setelah apa yang berlaku, Hayyan tetap menyayangi Adam seperti dulu. Malah hubungan mereka tetap mesra bagaikan seorang ayah dengan anaknya.

“Macam mana cuti hari tu? Okey?” Khairil memulakan perbualan. Hampir seminggu Zenia masuk bekerja semula, dia masih belum sempat berbual secara peribadi dengan wanita itu. Herny di sebelah setia mendengar.

“Okey aje bos. Adam pun gembira dapat jumpa atuk dengan nenek dia.” Jawab Zenia. Namun ekor matanya masih sempat mengekori langkah Hayyan yang membawa Adam ke arah pintu gelangsar yang membawa mereka ke arah kolam renang yang terletak di tepi kawasan rumah itu. Adam nampak gembira sekali berbual dengan papa yang sangat dirinduinya itu.

“Tak sangka kan... rupanya dunia ni kecik aje. Awak dah nak jadi biras saya tak lama lagi.” Kata Khairil sebelum ketawa kecil.

“Kalau macam tu, abang kena bagi Nia naik pangkatlah. Kan Nia?” Herny mengusik.

Zenia hanya sekadar tertawa kecil. Menyelit rasa lega di hatinya. Sekurang-kurangnya dia tahu ahli keluarga Hayyan menerima dirinya dengan baik. Dia cuma perlu berusaha lebih untuk memikat hati Hayyan semula. Itu sahaja.

Ketika menjamu selera, Hayyan lebih banyak berbual dengan Adam. Bukan setakat berbual, malah dia turut menyuap nasi ke mulut Adam yang duduk di sebelahnya. Ralit dia melayan kerenah Adam tanpa langsung mempedulikan kehadiran Zenia. Seolah-olah wanita itu tidak wujud di situ.

“Nia dah lama ke kerja dengan Khairil?” Datuk Azlan bertanya sambil memandang Zenia.

“Hmm... dah lama jugak. Sejak Adam baru lahir lagi.” Jawab Zenia ringkas.

Khairil mengangguk.

“Staf Ril yang rekemenkan Nia pa. Nasib baiklah Nia ni menepati ciri-ciri pekerja yang Ril nak. Rajin pun rajin.” Pujinya sambil tersengih memandang Zenia.

Zenia tertunduk segan dipuji begitu.

“Itulah yang orang katakan jodoh agaknya.” Sampuk Datin Asmida pula sebelum mereka sama-sama ketawa.

Zenia mengerling ke arah Hayyan. Kebetulan lelaki itu juga sedang merenung ke arahnya. Pandangan mereka bertemu untuk sesaat dua sebelum Hayyan kembali menundukkan wajah memandang Adam. Zenia menunduk dengan hati yang rawan.

“Lain kali, ada masa Nia datanglah lagi. Uncle pun tak puas nak main dengan Adam ni.” Pesan Datuk Azlan ketika Zenia meminta diri untuk pulang petang itu.

“Atuk jangan risau. Adam janji... nanti Adam datang lagi.” Adam pula yang beria-ia menjawab.

“Kalau mama tak bagi?” Herny bertanya, sengaja mahu melihat reaksi Zenia.

“Tak apa. Nanti Adam paksa mama bawak Adam datang sini.” Adam menjawab selamba membuatkan mereka yang ada di situ ketawa besar kecuali Hayyan yang hanya diam bagai orang bisu dan pekak.

“Papa... Adam balik dulu ya. Nanti papa datanglah rumah Adam. Boleh kita pergi jalan-jalan macam selalu tu.” Kata Adam sambil menarik-narik tangan Hayyan yang berdiri di sebelahnya.

Zenia dan yang lain-lain hanya memerhati penuh minat. Masing-masing kagum melihat hubungan rapat antara Hayyan dan Adam.

“Ada masa nanti papa datang.” Hayyan mengusap kepala Adam sambil tersenyum.

“Yeaayyy!” Adam bersorak gembira. Sesudah menyalami tangan Hayyan, barulah dia mendapatkan Zenia.

Zenia keluar dari rumah itu setelah meminta diri dan terpaksa berjanji untuk datang lagi sekiranya ada kelapangan. Wajah Adam nampak gembira. Tidak seperti hatinya yang sedang remuk mengenangkan reaksi dingin Hayyan tadi.

‘Tak apa Nia... Jangan putus asa semudah itu. Kalau Hayyan sanggup setia mempertahankan cintanya kepada kau bertahun-tahun lamanya, kenapa kau tak boleh?’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience