Bab 62

Romance Completed 79607

ZANARIAH keluar dari kereta sambil menanggalkan kaca mata hitam yang menemaninya sepanjang perjalanan ke rumah itu. Setelah menekan alarm kereta, dia berjalan masuk ke kawasan rumah banglo itu sambil melaungkan salam.

Datin Asmida menyambut Zanariah dengan senyuman gembira. Penuh sopan gadis itu tunduk mencium tangannya.

“Kenapa datang tak beritahu? Nasib baik aunty tak keluar pergi mana-mana hari ni.” Kata Datin Asmida ramah. Zanariah tersenyum.

“Saja datang nak melawat aunty.” Jawabnya. Anak matanya tiba-tiba tertancap ke arah seseorang.

Melihat Zanariah yang diam tiba-tiba, Datin Asmida ikut menoleh ke arah yang sama. Arah di mana Hayyan duduk sendiri di tepi kolam sambil termenung. Keadaannya nampak tidak terurus. Dengan rambut yang kusut dan jambang yang sudah mula tumbuh meliar.

“Jom... ikut aunty masuk dapur. Aunty ada nak tunjuk resepi baru kat Zana.” Datin Asmida menarik tangan Zanariah supaya mengikutnya.

Zanariah tersenyum dan menurut sahaja.

“Aunty saja-saja nak cuba resepi pavlova ni. Yalah, aunty tengok sekarang ramai yang try buat dessert ni. Aunty pun nak merasalah jugak buat.” Datin Asmida tersenyum dengan celotehnya.

“Zana nak rasa tak? Kejap aunty ambilkan piring.”

Zanariah menarik kerusi lalu duduk di situ. Fikirannya bagai tidak dapat fokus dengan apa yang dikatakan Aunty Asmida sejak tadi. Masih terbayang-bayang di matanya keadaan Hayyan. Wajah lelaki itu nampak muram. Bukan Zanariah tidak tahu apa puncanya. Dia tahu. Malah lebih daripada tahu. Tetapi kenapa hatinya tidak berasa tenang?

“Nah... cuba Zana rasa. Tak tahulah sedap ke tak ni.” Datin Asmida mendekatkan piring di tangan kepada Zanariah.

Zanariah membawa kek itu masuk ke mulutnya.

“Hmm... sedap.” Puji Zanariah sambil tersenyum manis. Datin Asmida tertawa gembira.

“Ohh ya... aunty ada nak bagi benda kat Zana. Kejap ya aunty pergi ambik kat atas.” Datin Asmida terus berlalu keluar dari dapur.

Zanariah termenung sendiri. Masih lagi teringatkan Hayyan, masih lagi teringatkan Zenia. ‘Ya Allah... kusutnya!’

“Eh... Zana ada.” Zanariah berpaling ke arah pintu masuk ke dapur. Herny muncul di situ dengan senyumannya. Zanariah bangkit menghulur salam sebelum kembali duduk.

“Zana datang sorang?” Herny menegur lembut.

“A’ah.” Zanariah mengangguk.

“Dah jumpa Riz?” Tanya Herny lagi.

Zanariah terdiam mendengar nama itu. Bayangan wajah lelaki itu singgah lagi di matanya. Direnung paras Herny. “Tadi Zana nampak dia kat tepi kolam.” Ujarnya.

“Ohh...” Herny mengangguk-angguk.

“Dia sihat?” Tidak semena-mena Zanariah bertanyakan soalan itu.

“Hmm...” Panjang nafas Herny.

“Kak...” Zanariah memanggil perlahan. “Akak kenal Zenia?”

Herny terkejut apabila Zanariah menyebut nama wanita itu. ‘Mana dia tahu?’

“Akak tahu pasal Zenia dengan Rizqi?” Zanariah bertanya lagi. Asakan hati yang tidak henti-henti memaksanya untuk bertanya begitu.

Herny bersandar di kerusi sebelum mengangguk.

“Boleh akak cerita?”

“Zana nak tahu?”

Zanariah mengangguk yakin. Dia mahu tahu. Dia perlu tahu.

“Hmm...” Herny berjeda seketika.

“Riz dengan Zenia dah bercinta sejak mereka berdua masih belajar lagi. Walaupun akak tak pernah jumpa Nia, tapi akak selalu dengar cerita Riz tentang dia. Daripada setiap cerita Riz, akak tahu Riz betul-betul sayangkan Nia. Dia pernah beritahu akak dia nak melamar Nia lepas habis belajar.”

Zanariah tekun mendengar. Hatinya terdetik satu rasa.

“Tapi... hubungan tu tiba-tiba putus. Riz merana sangat-sangat bila Nia pergi tinggalkan dia. Akak tahu dia kecewa sampaikan dia buat keputusan untuk pergi sambung belajar ke luar negara. Akak tahu, belajar tu cuma alasan. Dia sebenarnya nak lari jauh daripada Nia... Daripada kekecewaan yang dia alami...” Herny berjeda lagi.

“Riz kecewa... sebab tu dia terima aje bila mama cadangkan untuk dia bertunang dengan Zana.”

Tersentak Zanariah dengan sebaris ayat itu. Wajah Herny dipandang lagi.

“Mungkin dia harap dengan cara tu dia akan dapat lupakan Nia. Tapi dia silap. Cinta dia untuk Nia tetap tak pernah padam walau bertahun-tahun mereka berpisah. Mungkin dah takdir, mereka berdua ditemukan lagi. Riz yakin sangat Nia memang ditakdirkan untuk dia... sampaikan dia lupa dia ada Zana sebagai tunang dia.” Herny merenung lembut ke wajah Zanariah.

Zanariah tidak tahu apa yang harus dia katakan. Adakah dia yang menjadi penghalang kebahagiaan Hayyan dan Zenia? Dia tahu Hayyan tidak mencintainya tetapi dia berdegil untuk mempertahankan hubungan yang bagai tidak memberi apa-apa makna ini. Sudahnya... Hayyan dan Zenia sama-sama merana.

Ya. Dia tahu kedua-duanya merana. Walaupun Zenia sudi mengundur diri tetapi dia tahu wanita itu turut sengsara atas apa yang berlaku. Dia boleh nampak semuanya dalam sepasang mata milik Zenia ketika pertemuan mereka tempoh hari. Dia nampak semuanya.

“Akak harap Zana dapat bagi Riz masa untuk dia ubat kekecewaan dia.” Herny memegang tangan Zanariah. Kemudian dia bangkit dari kerusi. Ketika itu juga Datin Asmida muncul semula.

“Tengok ni Zana... cantik tak baju ni? Baju ni aunty beli masa aunty keluar shopping hari tu. Tengok baju ni terus aunty teringatkan Zana tau?” Datin Asmida bersuara teruja.

Herny menoleh ke arah Zanariah. Gadis itu sekadar tersenyum hambar. Malas campur tangan lagi, Herny akhirnya keluar dari dapur.

Zanariah sudah pun pulang. Datin Asmida duduk sendiri di ruang tamu. Memerhati penuh minat ke arah pintu gelangsar yang terletak di hujung sudut ruang tamu itu. Dia dapat melihat bagaimana Herny berusaha menarik minat Hayyan untuk berbual namun anak lelakinya itu hanya diam bagaikan patung. Menoleh pandang ke arah Herny pun tidak sekali.

Datin Asmida tunduk sedih. Dia dengar semua yang diceritakan Herny kepada Zanariah tadi. Hatinya benar-benar pedih mengenangkan penderitaan yang ditanggung Hayyan. Kenapa dia terlalu buta dalam menilai hati anak sendiri? Kejamkah dia kerana memaksa Hayyan mengikut katanya hanya demi sebuah janji?

Datin Asmida membawa langkah ke tingkat atas dan masuk ke bilik. Datuk Azlan yang ketika itu sedang membuat kerja di mejanya berpaling.

“Kenapa?” Tanya Datuk Azlan. Pelik melihat raut suram isterinya itu.

Datin Asmida duduk di birai katil. “Riz...”

“Awak dah fikirkan apa yang abang cakap?”

Datin Asmida merenung suaminya. Memang benar Datuk Azlan ada berbicara dengannya mengenai perkahwinan Hayyan dengan Zanariah. Suaminya itu meminta agar perkahwinan itu dibatalkan tetapi entah kenapa dia terlalu berat hati. Dan sekarang, dia terpaksa menanggung keperitan melihat anak yang sangat disayangi merana sendiri.

“Apa yang saya nak buat sekarang ni bang? Saya dah buntu.” Datin Asmida menunduk. Datuk Azlan bingkas mengambil tempat di sebelah isterinya.

“Awak lebih pentingkan persahabatan awak dengan Datin Rasyidah tu berbanding kebahagiaan anak sendiri?” Tersentap. Tidak terjawab Datin Asmida dibuatnya.

“Persahabatan boleh diganti tapi seorang anak...”

Datuk Azlan menggantungkan ayatnya di situ. Biarlah isterinya itu fikir sendiri tindakan yang bakal diambil selepas ini. Cuma satu doanya, semoga dia tidak membuat keputusan yang silap lagi.?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience