Bab 36

Romance Completed 79607

SEJAK peristiwa itu, tidak sekalipun Hayyan menunjukkan muka di depan Zenia. Nampak sahaja gadis itu dari jauh, awal-awal lagi dia sudah mengelak. Tengok sahaja gadis itu berjalan satu haluan dengannya, dengan secepatnya dia akan menukar haluan lain. Katalah dia pengecut kerana tidak berani berdepan dengan kenyataan, dia tidak peduli. Hati dia, perasaan dia, tidak siapa boleh baca melainkan hanya Dia yang di atas sana.

Musim peperiksaan sudah bermula. Semenjak itu juga Zenia merasakan perubahan berlaku kepada dirinya. Dia kerap kali pening kepala. Tekak rasa loya hendak muntah dan cepat terasa letih. Hatinya pula tidak pernah berasa tenang sejak... sejak malam itu. Malam di mana dia dengan rela hati menyerahkan segala-galanya kepada Azfar.

Zenia tidak tahu apa yang merasuknya malam itu. Dia seolah-olah lupa semuanya. Lupa di mana kakinya berpijak.Lupa ada penjaga di bahu kiri dan kanannya dan... paling penting dia lupa Allah yang Maha Melihat. Dosa? Sikit pun perkataan itu tidak melintas dalam kepalanya ketika itu.

Azfar begitu bijak memujuk rayu. Menabur segala kata-kata manis hinggakan dia terlentok dan menyerah dengan sebegitu mudah sekali. Entah ke mana harga dirinya hilang. Maruah diri yang selama ini dilindungi dan dipelihara rosak sekelip mata.

Zenia memejam mata rapat-rapat. Ada air yang menitis keluar dari birai matanya. Nak menyesal dah tak ada gunanya lagi. Azfar kian menyepi. Kalau sebelum ini tiada hari-hari Zenia berlalu tanpa mendengar suaranya. Kini sukar sekali untuk melihat namanya muncul di skrin telefon bimbit.

Pintu bilik terkuak. Cepat-cepat Zenia menyapu air mata.

“Kau kenapa?” Eton bertanya sambil memandang Zenia dengan ekor mata. Tangannya lincah menyusun barang di atas meja. Memang dia tidak setuju dengan keputusan Zenia meninggalkan Hayyan, tapi itu tidak bermakna dia juga harus menjauhi gadis itu. Apatah lagi sejak kebelakangan ini Zenia sering kali tidak sihat.

Zenia geleng kepala.

“Tak ada apa.”

“Kau nampak lainlah sekarang. Apa hal sebenarnya ni?” Eton berpusing menghadap Zenia yang masih baring di katil. Asalnya dia malas nak menegur sebab merasakan Zenia mungkin sakit sebab diserang penyakit setiap bulannya itu tapi bila dah berpanjangan, risau juga hatinya.

Zenia tetap menggeleng. Dia tidak mahu Eton tahu. Perasaan malu membataskan semuanya.

Eton hembus nafas panjang.

“Suka hatilah. Cuma aku nak pesan, jagalah kesihatan tu elok-elok. Sekarang ni musim exam. Kalau kau sakit, dengan aku sekali tak boleh fokus study. Hayyan dah tak ada nak tolong bawak kau pergi klinik.”

Mungkin pada Eton itu cuma pesanan biasa, tetapi hati Zenia bagai terhiris pedih. Patung pemberian Hayyan direnung sayu. Hatinya menangis memanggil nama Hayyan. Kalau Hayyan tahu keadaannya sekarang, masih pedulikah lelaki itu tentangnya?

Zenia gagahkan diri untuk turun dari katil. Eton yang kasihan melihat kepayahan Zenia segera mendekati.

“Tak apa. Aku boleh jalan sendiri.” Ujar Zenia menolak bantuan Eton.

Eton angkat bahu dan kemudian berlalu keluar dari bilik. Zenia kembali terduduk di atas katil. Air matanya menitis lagi. Hayyan mahu dia kuat. Hayyan pesan dia tetap kena kuat walau apa pun yang terjadi.

Hayyan Rizqi... Perlahan hatinya menyeru nama lelaki itu. Memanggil dan terus memanggil namun tidak mungkin didengari Hayyan lagi.

MIMPI NGERI Zenia akhirnya menjadi kenyataan. Perkara yang paling ditakuti akhirnya terjadi juga kepada dirinya. Katakata pengesahan daripada doktor tentang kehamilannya terus terngiang- ngiang di telinga. Zenia terhenyak di atas katil. Air matanya lebat turun. Esakan pilunya memenuhi ruang bilik.

Saat itu segala apa yang telah berlaku bagai kembali tertayang di depan mata. Rentetan peristiwa yang berlaku sehinggalah sampai ke tahap menyakitkan ini. Wajah ibu dan ayah silih berganti muncul dalam ingatan. Pesanan mereka, harapan mereka bagaikan lebur kini. Zenia rasakan, masa depannya gelap serta-merta.

Eton yang baru masuk ke bilik terkejut melihat Zenia menangis begitu. Pantas rakannya itu dihampiri.

“Nia! Kenapa ni?”

Zenia tidak menjawab soalan itu sebaliknya terus menangis semahunya. Tangisan yang akhirnya bertukar menjadi raungan.

“Nia... kenapa ni? Cuba cakap dengan aku. Kenapa ni?” Eton panik melihat Zenia begitu. Hatinya rasa tidak sedap. Adakah sangkaannya selama ini benar? Dia tidak bodoh dalam menilai apa yang telah berlaku cuma dia takut untuk menyuarakannya. Dia tidak mahu menuduh dan berfikiran yang bukan-bukan tentang Zenia. Tapi apabila sudah sampai ke tahap ini, Eton hampir pasti kata hatinya benar.

“Eton... aku dah tak ada apa-apa lagi. Aku dah hilang semuanya. Hidup aku dah tak ada maknanya lagi...” Tangis Zenia tanpa henti.

Eton tarik Zenia ke dalam pelukannya.

“Nia...”

“Aku tak nak anak ni Eton. Mana aku nak letak muka ni kalau orang lain tahu? Ibu dan ayah aku... macam mana kalau ibu dan ayah aku tahu? Aku tak sanggup Eton...”

Eton turut sama menitiskan air mata. Tangisan Zenia mengundang pilu di hati. Dia tahu Zenia menyesal. Menyesal sangat-sangat. Tetapi penyesalan itu tidak mungkin dapat mengembalikan apa yang telah hilang. Apatah lagi kini ada satu nyawa lain yang mula membesar dalam rahim Zenia.

“Siapa yang buat kau Nia? Azfar?” Walaupun yakin memang Azfar orangnya, Eton tetap bertanya juga.

Makin kuat raungan Zenia. Tidak peduli lagi di mana dia berada. Biarlah satu blok kolej itu dengar raungannya, dia tetap tidak peduli.

“Ya Allah...” Hanya itu yang mampu Eton ucapkan. Benarlah kata orang, menyesal kemudian tiada gunanya. Zenia meninggalkan Hayyan kerana memilih untuk bersama Azfar.

Dan pengakhirannya, dia hilang kedua-duanya sekali. Hayyan pergi dengan hati yang luka, Azfar pergi meninggalkan ‘sesuatu’ untuk Zenia.

“KAU TAK nak beritahu Azfar?” Tanya Eton setelah Zenia mulai tenang. Zenia yang sedang memeluk bantal di hujung katil hanya sekadar menggelengkan kepala.

“Tak boleh macam tu Nia. Tu anak kau dengan Azfar. Dia perlu tahu.” Tegas Eton.

“Aku tak nak anak ni!” Zenia kembali teresak kecil.

“Habis tu? Nak buang?” Eton bercekak pinggang dengan mata yang mencerlung. Zenia terdiam.

“Kau dah berzina dengan Azfar. Kau tahu tak zina tu dosa besar? Dan sekarang kau nak tambahkan lagi dosa kau tu dengan buang anak dalam perut kau tu? Mana perginya akal kau Nia?” Eton menggeleng kesal. Sungguh dia hampir tidak kenal Nur Iris Zenia di depannya ini.

Zenia menggeleng-geleng.

“Aku tak tahu nak buat apa Eton. Aku malu...”

“Beritahu Azfar. Dia tak boleh lepas tangan macam tu aje. Dia kena bertanggungjawab!”

“Kalau dia tak nak macam mana?”

“Kau pernah fikir tak semua ni sebelum kau serahkan tubuh kau tu kepada dia?” Suara Eton naik meninggi.

Zenia tertunduk. Berdosanya dia... Eton menggelenggeleng.

“Terus terang aku cakap Nia... aku dah tak kenal siapa kau sekarang. Aku dah tak kenal siapa Nur Iris Zenia sekarang.

Mana perginya Zenia yang lurus, yang naif, yang...” Tak sanggup lagi Eton meneruskannya. Begitu mudahnya Zenia dibutakan dengan mainan cinta Azfar.

Zenia menyapu air mata di pipi. Makin disapu makin lebat ia turun. Emosinya tak menentu ketika ini. Ditambah lagi dengan tekanan demi tekanan yang diberikan Eton. Makin dia merasakan dirinya kosong. Tiada sesiapa lagi di dunia ini.

“Beritahu Azfar. Dia perlu tahu.” Itu pesanan Eton sebelum terus berlalu keluar dari bilik.

Zenia merebahkan kepala ke bantal. Penyesalan datang bertubi-tubi.

‘Ya Allah... ampunkan hamba-Mu ini. Ibu... ayah... maafkan Nia. Eton... maafkan aku. Hayyan... maafkan saya...’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience