Bab 49

Romance Completed 79607

SEJAK pagi tadi lagi hati Hayyan sudah tidak tenang. Dia tahu malam nanti dia bakal bertemu Zanariah buat pertama kali dan dia takut untuk membayangkan apa yang bakal berlaku nanti. Kalau ikutkan hati, sudah lama dia meminta mama membatalkan rancangan untuk menemukan mereka tetapi dia tahu masa yang ada tidak begitu sesuai. Zanariah sudah pun menjadi tunangannya dan tidak semudah itu dia boleh membuang gadis itu daripada hidupnya.

“Riz ni kenapa? Macam orang tak betul aje mama tengok. Risau sangat ke nak jumpa tunang sendiri?” Datin Asmida mengusik melihat tingkah Hayyan. Dia boleh nampak betapa resahnya anak lelakinya itu.

“Eh... tak adalah ma. Riz okey aje.” Dalih Hayyan. Dia tidak mahu mamanya salah sangka. Dia bukan risau sebab baru kali pertama nak jumpa tunang tapi risau apa yang harus dilakukan selepas malam ini. Dia dan Zanariah tidak mungkin bersatu kerana hanya ada nama Zenia di hatinya sejak dulu hingga sekarang dan dia yakin untuk selama-lamanya.

“Papa masa mula-mula nak jumpa mama dulu pun macam tu jugak.” Datuk Azlan yang duduk di kusyen pemandu turut sama menyampuk untuk menceriakan keadaan.

Hayyan diam cuma.

“Alah abang tu lain... senyap-senyap aje hantar rombongan nak pinang saya. Lepas tu buat muka tak malu pulak datang rumah sebab nak jumpa saya.” Tingkah Datin Asmida sebelum dia dan suaminya itu sama-sama ketawa.

Hayyan tersenyum pahit sendiri. Itu kenangan mama dan papa... sebelum hati papa direbut insan lain yang akhirnya membuatkan mama menangis siang dan malam. Tetapi entah kenapa begitu mudah mama menerima papa dalam hidupnya semula seolah-olah tiada apa-apa yang pahit pernah berlaku antara mereka.

Sampai di rumah Datin Rasyidah, hati Hayyan semakin rasa tidak sedap. Ketika mamanya bersalaman dengan Datin Rasyidah yang ayu bertudung itu dan memperkenalkan dirinya, dia hanya mampu menghulur senyum tanpa berkata apa-apa.

“Marilah masuk. Semua tetamu dah ada kat dalam.” Ajak Datin Rasyidah mesra.

Datin Asmida dan Datuk Azlan segera masuk ke rumah. Hayyan hanya mengikut dari belakang. Ramai juga tetamu yang diundang. Ahh... sudah. Makin susahlah kalau semua tetamu yang hadir itu akan tahu bahawa dia adalah bakal menantu Datin Rasyidah.

Ketika mama dan papanya ralit bersembang dengan tetamu-tetamu yang hadir, Hayyan hanya duduk bersendiri di hujung sudut laman rumah sambil mengambil angin malam. Suara riuh sekumpulan gadis yang baru sahaja tiba langsung tidak mengganggu fokus Hayyan yang asyik termenung. Tetapi apabila perasan mereka semua asyik tertoleh-toleh ke arahnya sambil berbisik-bisik, Hayyan berpaling juga akhirnya. Dalam ramai-ramai gadis yang ada di situ, hanya seorang di antara mereka yang betul-betul memandang ke arahnya sambil tersenyum manis.

Hayyan kembali menghalakan pandangan ke langit malam. Suara riuh tadi sudah tiada lagi. Barangkali semua sudah masuk ke dalam rumah. Namun Hayyan terkejut apabila terasa ada seseorang sedang berdiri dekat dengan bangku yang dia duduk. Dia menoleh.

“Assalamualaikum!” Ucap gadis itu. Wajahnya lembut dengan senyuman yang sangat manis. Dipadankan pula dengan baju kurung dan selendang yang dililit kemas di atas kepala. Benar-benar mampu mencairkan hati setiap mata yang memandang.

“Waalaikumussalam.” Jawab Hayyan perlahan. Kalau tadi dia tak berapa cam tapi sekarang dia macam sudah mula kenal siapa gadis itu. Wajahnya saling tidak tumpah dengan wajah gadis di dalam gambar yang pernah diberikan mama kepadanya dulu. Adakah ini...

“Saya Zanariah.” Gadis itu memperkenalkan dirinya. Bibirnya masih tetap manis dengan senyuman.

“Ohh! Hmm... Rizqi.” Balas Hayyan tenang. Dia tahu gadis itu lebih mengenalinya dengan nama belakangnya itu.

Zanariah mengangguk.

“Boleh saya duduk?”

Hayyan sekadar mengangguk kecil. Zanariah segera mengambil tempat di sebelahnya.

“Tak sangka... dapat jugak kita jumpa akhirnya, kan?” Zanariah tersenyum lagi. Agaknya memang dia ni murah dengan senyuman. Fikir Hayyan sendiri.

Hayyan mengangguk dengan muka tanpa riak.

“Kenapa awak duduk sorang-sorang kat sini? Panas ke kat dalam?” Tanya Zanariah lagi. Nampak sangat dia sedang berusaha menarik minat Hayyan untuk berbual dengannya. “Tak. Saja nak ambik angin.” Ringkas Hayyan menjawab. Hanya sekilas dia memandang Zanariah sebelum kembali merenung langit.

Kalau mengikut cerita mama lelaki itu sendiri, Hayyan Rizqi orangnya sangat mesra berbual kalau kena caranya. Tapi lain pula dengan Hayyan Rizqi yang ada di depannya sekarang. Atau adakah mungkin lelaki itu tidak suka dengan dirinya? Kalau tak suka, kenapa setuju untuk bertunang?

Ironinya, sudah hampir empat tahun mereka bertunang tetapi ini kali pertama mereka bertemu empat mata. Namun reaksi Hayyan benar-benar mengecewakan Zanariah. Entah apa yang ada dalam fikiran lelaki itu dia sendiri tidak dapat meneka.

Bagi Hayyan pula dia cuma mahu cepat pulang. Dia takut kalau-kalau Datin Rasyidah memperkenalkannya kepada rakan-rakannya yang lain. Dia tidak mahu itu berlaku kerana dia dan Zanariah tidak mungkin bersatu. Cintanya hanya untuk Zenia. Cuma Zenia.

“La... kat sini rupanya budak berdua ni. Merata dah mummy cari.” Suara Datin Rasyidah mengalih perhatian Hayyan dan Zanariah.

“Kenapa mummy?” Zanariah bertanya dengan riak muka hairan.

“Mummy nak kenalkan Riz dengan kawan-kawan mummy.” Jelas Datin Rasyidah teruja.

Hayyan tahu dia tidak akan dapat mengelak lagi.

“Kawan-kawan Zana pun ada kat dalam mummy.” Beritahu Zanariah pula seolah-olah meminta izin untuk memperkenalkan tunangnya itu kepada kawan-kawannya.

“Elok sangatlah kalau macam tu. Jom! Kita masuk dalam. Mari Riz.” Pelawa Datin Rasyidah mesra.

Hayyan pasrah...

PULANG DARI rumah Datin Rasyidah, Hayyan terus pulang ke Shah Alam dengan keretanya. Tetapi bukan rumahnya yang dituju sebaliknya rumah Zenia. Dari luar kelihatan ruang tamu rumah itu masih lagi cerah walaupun jam sudah menunjukkan pukul 11.45 malam. Hayyan menekan loceng di hujung pintu pagar.

Agak lama menunggu barulah pintu rumah dibuka. Zenia keluar dengan hanya berbaju T dan berkain batik. Hayyan mengukir senyuman manis.

“Hayyan?” Zenia mengerutkan dahinya. Mimpi apa pulak datang malam-malam buta macam ni? Pintu pagar dihampiri juga.

“Awak buat apa kat sini?”

“Nak jumpa awak.” Jawab Hayyan.

“Tapi kan dah malam sangat ni? Kenapa tak datang esok aje?” Zenia semakin pelik. Hayyan ni makin lama makin buat dia jadi bingung.

“Saya dari KL. Malas nak balik rumah lagi, jadi saya singgahlah sini dulu. Kita cakap kejap boleh?”

“Dah malamlah Hayyan. Lagipun Adam dah tidur.”

“Kat bangku depan tu aje. Saya bukannya nak masuk dalam bilik awak.” Sempat lagi Hayyan bergurau.

Zenia menjeling. Kalau dilayankan, meleret pulak jadinya. Pintu pagar yang bermangga dibuka. Hayyan masuk ke dalam dan mengikut Zenia untuk duduk di bangku di laman rumah yang tidak seberapa besar itu.

“Nak saya buatkan air tak?” Tanya Zenia.

“Tak payahlah. Saya dah minum tadi.” Balas Hayyan.

“Awak buat apa pergi KL?” Tanya Zenia lagi. Tengok dari cara Hayyan berpakaian, dia yakin ada sesuatu yang memaksa lelaki itu untuk ke sana. Kalau saja-saja, takkan siap berkemeja kotak-kotak lengan panjang?

“Hmm...” Hayyan berdiam seketika. “Saya balik rumah mama kejap.”

“Ohh...” Zenia terangguk-angguk faham.

Hayyan diam merenung wajah Zenia. Dia mahu berterus terang tetapi entah kenapa mulutnya terasa berat sekali.

“Kenapa Hayyan?” Zenia diburu hairan. Tingkah Hayyan pelik dan berlainan sekali malam ini. Apa yang telah merasuk lelaki itu?

“Nia... kita kahwin?”

Hampir luruh jantung Zenia mendengar sebaris ayat ringkas itu. Hanya tiga patah perkataan tetapi sudah cukup untuk membuatkan Zenia keras dan kejang di situ. Benarkah apa yang dia dengar tadi? Hayyan melamarnya?

“Saya tahu saya tak seromantik macam orang lain yang akan bawak orang yang dia sayang pergi candle light dinner ataupun pergi menari tepi kolam yang ditabur lilinlilin, ataupun beli cincin mahal-mahal dan berlutut sebelum melamar... tapi saya ikhlas Nia. Kahwin dengan saya?” Panjang lebar penjelasan Hayyan.

Zenia masih lagi kaku di situ. Matanya tidak berkelip merenung wajah Hayyan. Memanglah hatinya sudah boleh menerima Hayyan. Tetapi tidak disangka secepat itu Hayyan akan melamarnya.

“Nia!” Hayyan memetik jemarinya di depan mata Zenia. Barulah wanita itu tersedar.

“Apa?” Zenia tidak tentu arah seketika. “Apa awak cakap tadi? Kahwin?”

Hayyan mengangguk. “I’m asking you to marry me. Would you?”

“Hayyan... kahwin ni bukan kerja main-main tau?” Zenia masih dengan riak terkejutnya.

“Saya tak ajak awak main-main pun Nia. Saya minta awak kahwin dengan saya.” Jelas Hayyan lagi.

“Tapi kenapa tiba-tiba aje?” Zenia pelik. “Awak datang sini dari KL semata-mata untuk melamar saya?”

Hayyan menunduk untuk beberapa saat.

“Saya dah simpan hajat untuk melamar awak dah lama dulu Nia...”

Zenia terkunci mulutnya. Luahan Hayyan itu sampai terus ke hati.

“Cuma baru kali ni saya ada peluang tu.” Hayyan kembali menatap wajah Zenia. “Saya cuma nak awak jadi isteri saya dan saya akan jadi suami dan seorang ayah yang terbaik untuk Adam. Saya janji.” Hayyan melafazkan ikrar itu sepenuh perasaan.

Zenia masih lagi terdiam tanpa suara. Seumur hidupnya dia langsung tidak pernah berangan akan melalui situasi sebegini.

“Nia!”

“Famili awak?” Zenia bersuara juga akhirnya.

Zenia tidak tahu kenapa apabila soal keluarga disentuh Hayyan terdiam untuk seketika. Melihat reaksi itu yakinlah dia yang keluarga Hayyan memang tidak tahu tentang dirinya.

“Famili awak lebih penting Hayyan. Saya takkan kahwin dengan awak tanpa restu mereka.” Ujar Zenia tenang. Dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu.

“Saya janji saya akan beritahu famili saya pasal awak.” Hayyan menabur janji lagi.

Zenia membalas renungan mata Hayyan. Renungan yang benar-benar mengharap.

“Saya bagi awak masa untuk beritahu famili awak dan dalam masa yang sama awak bagi saya masa untuk berfikir.” Ujar Zenia. Itu sahaja cara yang ada. Sekurang-kurangnya kalau keluarga Hayyan menolak dirinya, dia masih mampu mengundur diri kerana persetujuan belum diberikan.

Hayyan terdiam dengan kepala yang tertunduk.

“Baliklah Hayyan. Dah malam sangat ni.” Suruh Zenia. Hayyan tidak menjawab. Tanpa berkata apa-apa lagi dia segera bingkas berdiri dan berjalan keluar mendapatkan keretanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience