Bab 71

Romance Completed 79607

ZENIA tidak pernah lupa mengirimkan sesuatu kepada Hayyan setiap pagi. Kalau pun tidak sempat menyediakan makanan, dia masih tetap akan mengirimkan sekeping kertas untuk tatapan lelaki itu sebelum memulakan kerja. Bukan cuma coretan biasa yang diberikan, sebaliknya coretan yang bermakna. Yang mampu membuatkan hati Hayyan menjadi tenang selepas membacanya.

Lagipun tujuan dia mengirimkan nota itu bukan untuk menyerabutkan fikiran Hayyan. Dia cuma mahu lelaki itu lebih tenang dan bersemangat melalui hari-harinya. Hari itu, pagi Hayyan dimulakan dengan sesuatu yang lain daripada hari-hari sebelumnya.

________________________________________________________________

Saya tahu dalam hati awak masih terselit kekecewaan dan kesedihan ataas apa yang saya buat. saya dah janji dengan diri saya sendiri yang takkan ulangi kekecewaan awak lagi asalkan awak sudi berikan saya peluang.

saya mahukan cinta yang halal di sisi Yang Maha Esa. InsyaAllah, kalau dah memang jodoh kita, saya janji akan setia menjadi isteri awak sehingga nafas saya terhenti

________________________________________________________________

Hayyan tersandar di kerusi dengan perasaan yang terasa dingin. Seluruh ruang hatinya bagaikan disimbah salju sehinggakan dinginnya terasa sampai ke sudut hati yang paling dalam. Sesungguhnya dia memang tidak akan mampu membenci Zenia. Sekuat mana pun dia berusaha untuk membenci wanita itu, selama mana pun dia bertahan untuk terus membuang Zenia daripada hidupnya, Hayyan tahu dia tetap akan gagal.

Mana mungkin dia mampu membenci wanita yang telah lama ada di hatinya sejak bertahun-tahun dulu. Perasaan untuk Zenia sangat dalam sehingga dia merasakan amat sukar untuk membuang perasaan itu dari hatinya. Kalau dia diberi peluang sekalipun untuk menukar perasaan cinta itu menjadi benci, Hayyan tahu dia tidak akan sanggup.

Hayyan teringat kenangan lama yang pernah terukir antara dia dan Zenia.

“Nia... nanti saya lamar awak, make sure awak terima tau?”

“Bila awak nak melamar saya?” Zenia bertanya dengan muka yang diselambakan. Kononnya kata-kata Hayyan itu hanya dianggap sebagai gurauan yang tidak perlu diambil serius.

“Kalau awak nak, sekarang pun boleh.” Jawab Hayyan sambil tersenyum sumbing.

“Dah cukup duit ke nak pinang anak dara orang ni?” Zenia meleretkan suaranya. Melihat Hayyan menarik muka, dia ketawa terkekeh-kekeh.

“Kita belajarlah dulu sampai habis. Lepas tu kerja. Sama-sama kumpul duit, then barulah fikir langkah seterusnya. Okey?”

“Awak yang cakap macam tu okey... I’ll keep your words.” Hayyan serius.

“Fine!” Dan Zenia ketawa lagi.

Hayyan tersenyum mengingati kenangan itu. Kalau dulu kata-kata itu hanya boleh dikategorikan sebagai gurauan. Kini Hayyan tahu semua itu akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

OLEH SEBAB malam tadi Hayyan keluar dari ofis ketika jarum jam sudah menunjukkan ke pukul 2.00 pagi, dia tidak pulang ke rumah mamanya. Hanya pagi hari minggu itu dia berpeluang untuk pulang ke Kuala Lumpur menjenguk mamanya itu. Ketika dia sampai, mama sedang sibuk membuat gubahan untuk hantaran perkahwinannya. Sudah hampir separuh gubahan hantarannya siap. Semuanya mama yang lakukan sendiri dengan sesekali dibantu Herny.

“Ma!” Hayyan memanggil lalu menghulur tangan untuk bersalam. Datin Asmida tersenyum mengangguk.

“Kenapa tak balik malam tadi?”

“Dah lewat sangat keluar ofis. Malas nak drive jauhjauh. Papa tak balik ke?” Hayyan melilaukan matanya ke sekeliling rumah. Kelibat papanya tidak ada. Kereta orang tua itu juga tidak ada di halaman rumah ketika dia masuk tadi.

“Papa tidur rumah Mama Suhaila malam tadi.” Beritahu Datin Asmida.

Hayyan merenung wajah mamanya yang tampak tenang. Begitu ralit sekali mamanya itu membuat gubahan hantarannya sehingga langsung tidak sedar dirinya direnung sebegitu rupa.

“Macam mana mama boleh terima papa semula lepas apa yang papa buat kepada mama?”

Datin Asmida mengangkat muka memandang Hayyan. Kemudian bibirnya mengukir senyuman.

“Sebab... mama sayangkan papa.”

“Walaupun papa dah lukakan hati mama?”

Datin Asmida terdiam seketika sebelum menjawab.

“Dulu mama pun fikir macam tu. Mama tak rasa mama mampu terima papa lagi lepas dia kahwin dengan Suhaila. Tapi... mama fikir balik... mama renung salah sendiri. Mungkin sebab salah mama sendiri sampaikan papa memilih untuk berkahwin lagi satu. Bila mama muhasabah diri mama sendiri, mama sedar yang mama banyak kekurangan. Mungkin dengan berkahwin dengan Suhaila, diri papa akan lebih lengkap dan kehidupan papa akan lebih bahagia. Masa tu jugak mama sedar Allah tak akan jadikan sesuatu tu tanpa sebab. Kalau papa bahagia dengan kehidupan dia, mama pun akan turut sama bahagia.”

Kata-kata itu meresap jauh ke dalam hati Hayyan. Mama seorang isteri yang dilukakan suaminya tetapi masih mampu memaafkan lelaki itu. Sedangkan dia? Baru diuji sedikit, sudah hampir kehilangan diri sendiri. Insafnya terasa...

“Riz dah okey dengan Nia?” Datin Asmida mengalih topik. Dia benar-benar berharap hubungan antara Hayyan dan Zenia baik-baik sahaja. Dia tidak mahu Hayyan terluka lagi. Cukuplah penderitaan yang ditanggung anaknya itu selama ini.

Hayyan tidak menjawab. Hanya kepalanya yang tunduk merenung lantai. Datin Asmida memeluk bahu Hayyan.

Bahu itu diusap-usap perlahan.

“Masa mula-mula mama tengok Nia, mama yakin dialah yang terbaik untuk Riz. Walaupun dulu mungkin Nia pernah buat silap dalam hidup dia, tapi itu tak bermakna dia tak boleh berubah. Setiap orang ada masa silam Riz. Tetapi bukan itu yang menentukan masa depan.” Nasihat Datin Asmida perlahan dan penuh ikhlas.

Hayyan merenung mamanya. Ada senyuman di bibir itu. Ada cahaya pengharapan pada sepasang mata itu. Hayyan semakin yakin. Memang Zenia wanita yang telah Allah tetapkan untuk menjadi miliknya.

“Minggu depan Riz ikut mama dengan papa pergi kampung Nia ya? Kita jumpa orang tua Nia. Mereka pun tentu dah teringin sangat nak jumpa Riz.” Ujar Datin Asmida. Dalam hati melantun rasa syukur di hatinya kerana Allah S.W.T. telah mempermudahkan segala-galanya sehingga sampai ke hari ini.

Hayyan tidak menunggu lama untuk bersetuju. Ya. Sudah tiba masanya untuk dia pergi menemui kedua orang tua Zenia. Wanita yang dicintai sepenuh hatinya.

ZANARIAH TERMENUNG di dalam biliknya malam itu. Terbayang-bayang seraut wajah seorang lelaki di matanya. Kamil. Itu nama lelaki itu. Semenjak pertemuan tempoh hari, hubungan mereka berdua menjadi semakin rapat. Sampaikan Zanariah hampir terlupa hatinya pernah kecewa dengan pertunangan yang putus di tengah jalan.

Mungkin betullah kata orang, hati seorang gadis yang kecewa mudah diubati jika ada seorang lelaki yang benar-benar mengambil berat tentang dirinya. Bagi Zanariah, Kamil hadir tepat pada masanya.

Baru sahaja diingat-ingat, nama Kamil sudah pun muncul di skrin telefon pintarnya. Zanariah tersenyum menjawab panggilan itu.

“Hai... tak tidur lagi?”

“Assalamualaikum.” Ucap Zanariah dengan nada memerli.

“Err... okey. Waalaikumussalam. Saja aje, kan?” Kamil tergelak kecil.

Zanariah tersengih. “Lambat call malam ni? Ingatkan tak call dah...”

“Busy sikit tadi. Ada hal. Kenapa? Awak ternantinantikan call saya ke?” Usik Kamil. Zanariah mengetap bibir. Niat di hati nak mengusik Kamil, alih-alih dia sendiri yang terkena.

“Mana ada.”

Kamil ketawa. “Zana!”

“Hmm...” Zanariah menyahut perlahan.

“Awak single kan sekarang?”

Zanariah kerut dahi. Apakah soalan ni? Boleh pulak mamat ni tanya dia macam tu.

“Kenapa tanya macam tu?”

“Tadi... tiba-tiba mak saya call. Dia tanya bila saya nak kahwin.” Selamba Kamil berterus terang. Zanariah menahan tawa.

“Habis... awak jawab apa?”

“Saya cakap... saya ada berkawan dengan seseorang. Tapi saya tak tahu dia tu suka saya atau tak.” Jelas Kamil lagi. Mungkin Zanariah tidak tahu Kamil sebenarnya sedang menyampaikan satu maksud melalui kata-katanya itu.

“Ohh...” Zanariah termati kata.

“Sebab tu saya tanya awak. Awak single lagi, kan?”

“Apa kena-mengena saya single atau tak dengan perempuan yang awak maksudkan tu?” Zanariah semakin pelik. Dia tidak berani meneka dan dia memang tidak mahu meneka.

“Mestilah ada kena-mengena... sebab perempuan yang saya maksudkan tu... awaklah.” Kamil tersengih sendiri.

Zanariah terdiam. Pengakuan ke tu? Matanya terkebilkebil. Bagai tidak percaya mendengar kata-kata lelaki itu. Bunyinya selamba saja. Serius ke dia ni?

“Zana!”

“Awak ni pandai sangat bergurau, kan? Dahlah. Saya nak tidur.” Zanariah berpura-pura mahu memutuskan talian.

“Eh, kejaplah!” Kamil terburu-buru menahan.

Zanariah tidak jadi meneruskan niatnya. Berdebardebar menunggu kata-kata Kamil yang seterusnya.

“Saya tak bergurau Zana. Saya serius.” Tiada lagi nada main-main dalam suara lelaki itu.

Zanariah terdiam lagi. Benarkah? Ya Allah... apa yang sedang berlaku sebenarnya ni? Sungguh... dia keliru!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience