Bab 45

Romance Completed 79607

SEPERTI yang dijanjikan, Hayyan datang menjemput Zenia di pejabat tepat jam 9.30 pagi memandangkan majlis di sekolah Adam akan bermula pada pukul 10.00 pagi. Masuk-masuk aje ke dalam kereta, Zenia ternganga memandang kotak segi empat tepat yang dihulurkan Hayyan kepadanya.

“Saya ada minta hadiah dengan awak ke?” Dipandang muka Hayyan dengan raut kebingungan.

Hayyan senyum panjang.

“Tak. Tapi saja nak bagi awak. Cuba tengok.” Suruhnya lembut.

Zenia tunduk memandang kotak yang sudah pun bertukar tangan itu. Perlahan dan sedikit terketar tangannya membuka penutup kotak itu. Sebaik sahaja isinya terpampang di depan mata, mulutnya ternganga dengan kepala yang tergeleng.

“Apa ni Hayyan?”

“Tak tahu ke apa tu?” Hayyan bertanya dengan reaksi selamba. Gadjet berwarna gold yang masih berada dalam kotak itu dicapai dan ditayangkan di depan mata Zenia.

“iPhone 5s.” Ujarnya sambil tersenyum semanis yang boleh.

Zenia ternganga lagi. “Err... Hayyan... ke... kenapa?”

“Saya belikan smartphone tu untuk awak. Lengkap dengan simcard dan jugak mobile internet. Nanti bolehlah saya nak WhatsApp awak ke, nak WeChat ke...” Senyumnya lagi. Riak Hayyan selamba. Langsung tak nampak muka orang bersalah. Lagipun apa yang nak disalahkannya?

Zenia masih terdiam. Otak tak dapat mencerna apa yang sedang berlaku. iPhone 5s itu bukannya murah. Mahu makan ribu-ribu jugak tu. Hayyan ni betul ke tidak? Waras ke mamat ni?

“Kenapa Nia?” Hayyan kerut muka.

“Hayyan... kenapa awak nak bazirkan duit belikan saya handphone macam ni? Handphone saya kan elok lagi. Lagipun saya tak perlukan benda-benda macam ni. Saya...”

“Nia! Nia! Dengar sini!” Hayyan cepat-cepat menahan meminta agar Zenia berhenti bersuara.

“Saya beli smartphone ni untuk kemudahan awak jugak. Tapi ingat... hanya saya yang boleh tahu nombor phone yang baru ni. Saya tak benarkan awak bagi nombor ni kat orang lain.” Lagak bos besar Hayyan bersuara.

“Dan lagi satu... bil internet bulan-bulan pun biar saya yang bayar. Okey?”

Zenia terus ternganga tak terkata apa.

“Dah lewat ni. Nanti marah pulak Adam kalau kita lambat sampai.” Hayyan menggumam sendiri sebelum mula memandu dengan riang.

“LIKE A diamond in the sky...”

Suasana dalam dewan kecil itu gamat dengan tepukan daripada para ibu bapa yang hadir pada hari itu. Zenia tersenyum memandang Adam bersama rakan-rakannya di atas pentas. Hayyan yang duduk di sebelahnya langsung tidak dipandang. Dia tahu lelaki itu asyik menoleh pandang ke arahnya sejak tadi... sejak nama penuh Adam diumumkan di atas pentas.

“Muhammad Adam Rizq Bin Abdullah!”

Pasti lelaki itu tertanya-tanya kenapa dia meletakkan Rizq di belakang nama Adam. Muhammad Adam Rizq, bukankah hampir sama dengan Hayyan Rizqi?

Selesai persembahan, para ibu bapa dijemput menjamu hidangan yang disediakan di bawah kanopi di luar dewan. Zenia masih juga mendiamkan diri walaupun Hayyan di sebelah benar-benar kelihatan panasaran mahukan penjelasannya.

“Muhammad Adam Rizq...” Perlahan nama itu disebut dengan hujungnya yang dileretkan.

“Any explanation?”

“Kebetulan.” Sepatah Zenia menjawab. Masih tidak memandang wajah Hayyan. Hayyan menggeleng dengan senyuman kecil.

“Saya tak percaya.”

Zenia mendiamkan diri. Hati rasa sebak tiba-tiba.

“Saya tahu ada sebab kenapa awak bagi nama tu kepada Adam dan saya rasa saya tahu sebabnya...” Hayyan bermain kata. Wajah Zenia yang menunduk direnung redup.

Zenia masih tetap diam. Bertahan sekuat hati untuk tidak menangis. Tidak di sini. Apatah lagi di depan Hayyan.

“Tak apa kalau awak tak nak jawab. Saya takkan paksa. I’ll just keep it to myself.” Perlahan Hayyan menuturkannya.

Hampir menitis air mata Zenia ketika itu. Mujurlah Adam muncul tepat pada masanya. Berlari anak itu ke dalam dukungan Hayyan.

“Uncle... sedap tak Adam nyanyi tadi?” Adam bertanya tidak sabar-sabar. Hayyan mengangguk laju.

“Sedap. Pandai tau Adam nyanyi. Uncle pun tak pandai nyanyi macam tu.”

“Ya ke?” Teruja sekali muka Adam waktu itu. Hayyan mengangguk dengan riak muka yakin. Adam ketawa suka.

“Adam lapar tak?” Tanya Hayyan.

“Lapar!” Laju Adam menjawab.

“Jom kita pergi makan. Uncle tengok macam sedap aje makanan tu.” Ajak Hayyan. Adam didukung ke arah kanopi yang tersedia tidak jauh dari situ.

Tingkah kedua-duanya diperhati Zenia dengan perasaan sayu. Tanpa sedar bibirnya melakar senyuman nipis. Hayyan memang lelaki yang sangat baik. Bukan sahaja kepada dia tetapi juga kepada Adam.

LAGU DARI rancangan kartun SpongeBob SquarePant bergema di seluruh ruang tamu. Adam yang berdiri di depan TV sibuk menggoyangkan badannya. Menari mengikut rentak lagu itu. Zatie yang memerhati dari belakang hanya ketawa lucu.

“Nah!” Zenia muncul dari arah dapur. Gelas berisi minuman diletakkan di atas meja di depan Zatie sebelum dia duduk di sebelah gadis itu.

“Thanks.” Ucap Zatie. “So... nak cerita apa jadi pagi

tadi?” Soalnya sambil memandang tepat ke muka Zenia. Selepas tamat waktu bekerja tadi, dia terus memandu ke rumah Zenia. Selain melawat Adam, dapat juga dia mengorek cerita terkini daripada Zenia.

“Biasa aje.” Zenia tayang muka tak ada perasaan. Zatie mengajuk riak muka rakannya itu dengan gaya menyampah. Zenia tergelak.

“Cakaplah betul-betul. Apa jadi tadi? Okey tak?” Desak Zatie tidak sabar.

“Tak ada apalah...” Zenia mengeluh. Hujung jarinya bermain dengan sarung bantal di atas ribanya.

“Aku tahu dia masih mengharapkan aku...”

“Kau sepatutnya bersyukur tau Nia. Kau yang lukakan dia. Kau yang tinggalkan dia. Tapi sekarang... dia pulak yang minta peluang kedua. Mana lagi kau nak cari lelaki macam tu Nia?”

Kata-kata Zatie membuatkan Zenia termenung jauh. Benar. Kalau ikutkan... dia yang seharusnya merayu kepada Hayyan supaya memberi peluang kedua tapi sebaliknya pula yang berlaku. Ohh Hayyan... lelaki itu terlalu baik untuknya.

“Apa sebenarnya yang menghalang kau untuk terima dia balik?” Tanya Zatie lagi. Kadang-kadang dia tidak faham dengan Zenia. Dia tahu masih ada sisa cinta di hati Zenia untuk Hayyan tetapi entah kenapa sukar sekali untuk rakannya itu menerima Hayyan kembali dalam hidupnya.

“Aku takut aku tak mampu bahagiakan dia Tie. Aku pernah lukakan dia sekali dan aku tak nak perkara tu berulang lagi. Aku tak nak tengok dia kecewa lagi. Aku nak dia bahagia...” Zenia menunduk dengan rasa sebak.

“Kau boleh buat.” Zatie memberi semangat sambil menggenggam erat tangan Zenia. Zenia menggeleng.

“Aku tak tahu.”

“Kau sayang dia?”

Soalan itu membuatkan Zenia terdiam.

“Jawab Nia...”

Zenia menghembus nafas panjang. Payah sekali untuk dia mengangguk.

“Cuba Nia... Aku tahu kau boleh.” Kata Zatie lagi.

Zenia tidak menjawab. Benarkah dia mampu? Sungguh dia takut untuk mencuba lagi. Kalau dengan bersama orang lain Hayyan akan lebih bahagia, dia sanggup mengundur diri.

“Entahlah Tie... aku sendiri pun tak tahu apa yang aku rasa. Kadang-kadang hati aku rasa kosong sampaikan aku dah tak mampu untuk terima dia lagi. Tapi kadang-kadang jugak aku rasa masih ada cinta untuk dia dalam hati aku ni. Lebihlebih lagi bila aku tengok betapa sayangnya dia dengan Adam. Aku tahu dia mampu jadi papa untuk Adam.” Zenia menunduk.

Mungkin angan-angan Zenia terlalu tinggi. Kalaupun dia menerima Hayyan semula, belum tentu keluarga lelaki itu akan menerima dia juga. Seorang wanita yang tidak pernah berkahwin tetapi punya seorang anak? Ibu mana yang akan benarkan anaknya berkahwin dengan wanita sebegitu?

“Berdoalah Nia... itu aje cara yang ada. Allah tu Maha Tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Aku yakin. Dia takkan temukan kau dengan Hayyan semula tanpa sebab.” Nasihat

Zatie lagi.

Zenia sekadar mengangguk. Benar kata Zatie. Setiap yang terjadi itu ada hikmahnya. Dan sudah pastilah, Allah S.W.T. telah mengaturkan sesuatu untuk dia dan Hayyan.

PETANG ITU Hayyan pulang ke rumah mamanya dengan separuh hati. Kalau tidak mengingatkan mama dan nasihat kakaknya, jangan harap dia nak pandang muka papanya lagi. Sejak pulang dari London pun dia lebih suka duduk sendiri. Apatah lagi dia kini sudah punya perniagaan sendiri. Sedikit pun dia tidak harapkan ihsan papanya untuk mencari duit. Segala duit yang dikeluarkan papa untuk menampung pelajarannya walaupun satu sen tidak diminta, dia tetap akan membayarnya semula sehingga langsai.

“Riz...” Datuk Azlan tersenyum memandang Hayyan yang baru sahaja masuk ke rumah.

Hayyan menghulur tangan untuk bersalam. Hanya salam ala kadar sebelum dia terus mengambil tempat di atas sofa. Tak perlu bertanya, dia tahu mama dan Herny ada di dapur dengan hanya mendengar suara mereka yang rancak berbual. Khairil pula mungkin berada di tingkat atas.

Datuk Azlan duduk di depan Hayyan.

“Riz sihat? Lama sangat papa tak jumpa Riz.” Datuk Azlan bertanya. Memang dia rindukan Hayyan. Bukan sahaja Hayyan di depannya ini tetapi juga Hayyan yang telah ‘hilang’ sejak dia menikahi Suhaila.

“Sihat.” Sepatah Hayyan menjawab.

“Papa gembira Riz sudi balik hari ni. Dapatlah kita berkumpul satu keluarga.” Kata Datuk Azlan dengan nada gembira.

“Riz balik sebab kakak yang minta.” Ujar Hayyan dengan kepala yang tunduk. Walaupun nadanya perlahan tetapi cukup untuk menggores hati papanya itu tanpa dia sedari.

Datuk Azlan tersenyum pahit.

“Tak apalah. Yang penting Riz sudi jugak balik. Malam ni tidur sinilah ya. Bolehlah kita borak panjang-panjang sikit.

Dah lama papa tak bercerita dengan Riz.”

“Esok Riz kerja.”

“Riz boleh pergi kerja dari sini, kan?”

“Takut jalan jam.”

Datuk Azlan menghela nafas panjang. Sudah mati akal untuk meneruskan perbualan lagi. Mungkin sampai bila-bila pun Hayyan tidak akan mungkin dapat memaafkannya.

SELESAI MAKAN malam Hayyan meminta diri untuk pulang.

“Riz tak tidur sini ke?” Datin Asmida sempat menahan Hayyan yang sudah hampir tiba di muka pintu. Datuk Azlan, Khairil dan Herny ikut sama menoleh ke arah Hayyan.

“Esok Riz kerja ma. Takut jalan jam esok. Lambat pulak sampai ofis.” Hayyan masih memberikan alasan yang serupa.

“Masuk kerja lambat sikit, apa salahnya? Riz kan bos. Lagipun bukan selalu Riz tidur sini.” Herny mencelah, memujuk.

“Staylah Riz. Aku pun kerja esok.” Sampuk Khairil pula. Herny berpaling ke arahnya dan mengangkat kening.

“Riz tidur sini ya. Papa tak puas lagi nak borak dengan Riz.” Datuk Azlan pula bersuara. Masih berharap Hayyan akan menukar keputusannya untuk bermalam di situ.

“Papa tak balik rumah perempuan tu ke malam ni?” Dengan muka selamba tanpa memandang papanya, Hayyan meluahkan pertanyaan itu. Masing-masing terkejut. Hanya Datuk Azlan yang masih berwajah tenang.

“Riz...” Datin Asmida menegur. Dia tidak suka dengan cara Hayyan itu. Tidak pernah diajar anaknya itu untuk biadab dengan papa sendiri.

“Riz... malam ni papa tidur sini.” Ujar Datuk Azlan. Masih menyabarkan diri untuk tidak naik angin.

“Kenapa? Dah bosan tidur rumah sana?” Hayyan semakin berani. Kali ini pandangan matanya beradu dengan pandangan mata papa.

“Bila dah bosan, baru tahu balik sini? Baru ingat anakanak kat sini? Macam tu?”

“Rizqi!” Suara Datuk Azlan naik tinggi akhirnya. Datin Asmida, Khairil dan Herny pula yang kecut perut dengan suasana yang semakin tegang itu.

Hayyan tersenyum pahit. Tanpa berkata apa-apa lagi, dia segera berlalu keluar dari rumah itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience