Bab 25

Romance Completed 79646

MALAM tadi Zenia langsung tak dapat tidur disebabkan period pain yang tiba-tiba menyerang. Dan pagi ini dia tertidur sampai ke tengah hari. Nasib baiklah hari minggu. Jadi tak adalah kes ponteng kelas lagi macam sebelum-sebelum ini. Eton pun dah faham sangat. Zenia kalau dah diserang penyakit setiap bulan tu, nak bangun pun dia langsung tak larat. Apatah lagi hendak ke kelas.

Lagu dari telefon bimbit mengejutkan Zenia. Terus dicapai gadjet itu untuk menjawab panggilan daripada Hayyan.

“Hai sayang. How are you? Sakit lagi?” Tanya Hayyan dengan suara lembut. Malam tadi, semalaman dia menemani Zenia di talian semata-mata kerana tak mahu membiarkan gadis itu sakit sendiri. Sanggup bersengkang mata walaupun rasa mengantuk yang amat sangat.

“Sakit lagi...” Zenia menjawab dengan mata terpejam. Walaupun rasa itu sudah berkurangan berbanding malam tadi. Tubuhnya masih rasa tidak bermaya. Hayyan mengeluh panjang. Risau.

“Nak pergi klinik tak?” Zenia menggeleng. Macamlah Hayyan nampak gelengannya itu.

“Nia!”

“Tak naklah. Saya nak rehat aje. Nanti okeylah ni.”

“Tak bolehlah macam tu. Awak dah sakit teruk macam tu, takkan nak tahan lagi? Saya pergi ambik awak kat kolej. Kita pergi klinik. Okey?” Suara Hayyan lembut memujuk. Zenia tidak menjawab lagi. Bibirnya bagai terkatup rapat dengan muka yang pucat.

“Nia... dengar tak?”

“Hmm...”

“Siap-siap sekarang. Kejap lagi saya sampai.” Itu pesanan Hayyan sebelum terus memutuskan talian. Zenia lepaskan nafas panjang. Bila Hayyan dah bertegas, terpaksalah dia menurut.

“Hayyan cakap apa?” Eton yang memerhati sejak tadi terus bersuara. Dia menghampiri lalu duduk di birai katil Zenia.

“Dia nak bawak aku pergi klinik.” Jawab Zenia lemah. Dipaksa tubuhnya untuk bangkit dari baringan.

“Okeylah tu. Ikut aje dia. Aku pun tak sampai hati tengok kau macam ni.” Ujar Eton. Dia membantu Zenia bangun, mandi dan bersiap-siap untuk turun ke bawah.

TERPANDANGKAN ZENIA dari luar pagar, Hayyan terus turun dari kereta. Apabila gadis itu sudah melepasi pagar barulah dia menghampiri. Tangan Zenia dipimpin untuk masuk ke dalam kereta.

“Macam manalah awak boleh tahan sakit macam ni setiap bulan?” Hayyan menggumam sendiri sambil mula memandu. Zenia menyandarkan kepala dengan mata pejam.

“Baru awak tahu betapa susahnya jadi perempuan. Bukan awak aje, patutnya semua lelaki kena tahu biar tak ada sorang pun yang berani lukakan hati perempuan tau?” Entah macam mana itu pula yang keluar dari mulut Zenia. Macam tak ada kena-mengena langsung dengan topik. Hayyan tersengih.

“Ya. Saya tahu. Saya kan dah janji banyak kali takkan lukakan hati awak. Saya ingat janji saya tau.” Balasnya dengan sengih mengusik.

Zenia diam mengunci mulut. Rasa sakit yang mencucuk menghalangnya untuk terus bersuara. Matanya dipejam rapat-rapat. Hayyan yang mengerti turut sama mendiamkan diri sehinggalah mereka tiba di klinik.

Keluar sahaja dari klinik...

“Salah satu sebab saya malas pergi klinik, doktor bukan cakap apa pun. Cuma bagi ubat, lepas tu balik.” Rungut Zenia setelah selesai urusan di klinik itu. Kan dia dah cakap tak nak pergi, tapi Hayyan yang berkeras juga.

“Tak apalah. At least dapat ubat. Dah. Jom!” Tangan Zenia ditarik lembut untuk masuk ke kereta.

“Awak dah makan? Kita pergi makan nak?”

“Nak makan pun tak ada seleralah.” Balas Zenia perlahan.

“Mana boleh macam tu. Awak tetap kena makan jugak. Saya bawak awak pergi makan mi kari favourite awak tu. Okey?” Hayyan memujuk lembut. Memang setiap bulan ada masa-masanya Zenia akan menjadi sangat sensitif dan cepat terasa. Jadi dia perlulah memainkan peranan untuk menjaga hati gadis kesayangannya itu sebaik mungkin.

Menyedari usaha Hayyan itu, Zenia sudahnya bersetuju saja. Hayyan makan dengan seleranya sementara Zenia hanya menguis-nguis mi di dalam mangkuk dengan garpu dan sudu di tangan. Sesekali dia memandang ke wajah Hayyan. Entah kenapa dalam keadaan sakit begitu, pintu seleranya seakanakan tertutup terus.

“Tak nak makan?” Tanya Hayyan lembut. Zenia menggeleng.

“Tak ada selera. Kan dah cakap tadi.”

“Kalau macam tu, bungkus ajelah. Nanti petang kalau lapar, awak makan okey.” Hayyan tetap sabar melayan kerenah Zenia. Nasiblah sayang. Jadi tahan sajalah dia.

Zenia sekadar mengangguk. Sementara Hayyan membuat pesanan untuk membungkus mi kari, Zenia semakin rasa tidak selesa. Dia membetulkan duduk beberapa kali, namun rasa tidak selesa itu semakin mencucuk-cucuk. Tak lama kemudian Hayyan kembali ke meja.

“Jom balik.” Ajak Hayyan. Zenia teragak-agak nak bangun. Mukanya kelat semacam.

“Kenapa?” Hayyan yang hairan segera bertanya.

“Err...” Zenia menggaru-garu kepalanya. Tak tahu nak cakap macam mana. Malu usah ceritalah. Memang dah tinggi menggunung.

“Kenapa Nia?” Hayyan semakin hairan. Kepalanya ditundukkan supaya dekat dengan wajah Zenia.

“Saya... saya rasa macam... bocor...” Perlahan Zenia bersuara. Mukanya memerah. Malu dan segan. Semuanya ada. Hayyan terkelip-kelip sebentar. Dua tiga saat berlalu barulah dia faham.

“Oh! Habis tu saya nak buat apa ni? Awak ada bawak spare tak?” Zenia mengetap bibir sebelum mengangguk.

“Saya nak ke tandas. Tolong cover saya.” Walaupun malu bertimpa-timpa, Zenia tetap juga meminta. Sepanjang mereka bersama, ini kali pertama situasi itu berlaku. Dah tentulah jadi kalut semacam.

“Ohh... okey... okey.” Hayyan segera berdiri tegak. Isyarat matanya meminta Zenia bangun.

Nasib baiklah Zenia pakai seluar hitam, jadi tak nampak dari belakang. Sekali pandang dah macam dua robot berjalan. Seorang di depan dan seorang di belakang. Demi menjaga air muka Zenia, Hayyan tahan diri untuk tak ketawa. Memang cari nahaslah kalau dia berani gelak.

Sementara menunggu urusan Zenia selesai, Hayyan berdiri di luar tandas sambil bermain-main dengan telefonnya. Hampir setengah jam, barulah Zenia keluar semula dari tandas.

“Dah?” Tanya Hayyan. Zenia mengangguk teragakagak.

“Jom!” Ajak Hayyan. Namun belum sempat dia melangkah, Zenia terlebih dahulu menahan.

“Kenapa?”

“Seluar saya basah sikit sebab tadi saya basuh. Tak apa ke naik kereta awak?” Zenia mengetap bibir. Nasib baiklah Hayyan tu kekasih hati dia. Memang dah faham sangat dengan dia. Kalau setakat kawan biasa, dia lagi rela balik naik teksi senyap-senyap.

Hayyan terdiam sekejap sebelum bibirnya membuahkan senyuman.

“Tak apalah sayang. Saya tak kisah. Jom!” Ajaknya lagi.

“Betul awak tak kisah?” Zenia masih lagi ragu. Bukan dia tak tahu betapa Hayyan sayangkan keretanya itu. Kotor sikit pun tak boleh. Ini pula nak biarkan kusyen basah?

“Habis tu nak buat macam mana lagi?” Hayyan angkat kening.

“Tak adalah. Kalau awak keberatan, saya boleh balik naik teksi aje.”

“Oh... no, no... Nanti tak pasal-pasal Eton belasah saya. Dah. Jom balik.” Hayyan berkeras. Nak biarkan Zenia balik seorang naik teksi? Memang taklah!

“Oh, jadi awak cuma takut kena belasah dengan Etonlah...” Tak semena-mena hati Zenia terusik. Bibirnya diketap lagi. Perasan nada suara Zenia yang berbaur rasa kecil hati. Hayyan tertawa kecil.

“Tak adalah. Saya memang takkan benarkan awak balik naik teksi. Saya yang bawak awak datang sini, jadi saya yang wajib hantar awak balik. Kusyen yang basah nanti boleh kering. Tapi buah hati yang hilang mana lagi nak cari sayang oi...” Dan tangan Zenia terus ditarik untuk mengikutnya.

Zenia tak dapat menahan senyumannya lagi. Percayalah. Mana-mana perempuan yang ada di tempatnya sekarang mesti akan rasa bahagia yang amat sangat. Sikap Hayyan, kata-kata Hayyan, semua itu hanya membuatkannya terus jatuh cinta.

“DAH MAKAN ubat?” Soalan Hayyan itu membuahkan senyuman di bibir Zenia.

“Dah, saya dah okey. Sakit sikit-sikit aje lagi ni.” Jawab Zenia sambil baring di katil menghadap dinding. Kalau bercakap dengan Hayyan memang tak boleh guna suara kuatkuat. Sampaikan Eton pernah suruh dia masuk dalam lokar dan bercakap dalam tu dengan Hayyan.

Hayyan menghembus nafas lega. “Lega saya dengar...” Zenia tersenyum lagi.

“Kan saya dah cakap. Kita ni dah wajib kahwin. Saya nak jumpa ibu dengan ayah awak, awak tak bagi. Nak cerita kat diaorang pasal saya pun, awak tak berani kan?” Rungut Hayyan tak puas hati.

“Nantilah dulu. Saya bukannya takut. Cuma...”

“Cuma?”

“Cuma... saya rasa tak bersedia lagi nak beritahu ibu dengan ayah. Nantilah. Bila saya dah bersedia, saya beritahu. Okey?” Zenia bersuara lembut. Sengaja memujuk.

“Hmm... yalah.” Balas Hayyan.

“Eh... saya ada kerja ni. Mungkin habis lambat kut. Awak tidur ajelah. Tak payah tunggu saya call.”

“Hayyan...” Zenia memanggil sekali gus menahan lelaki itu memutuskan talian.

“Ya?”

“Selalu macam ni tau! Awak cuma bagi perhatian kat saya bila saya tak sihat. Kalau saya sihat, susah betul nak dapat Hayyan saya.” Bebel Zenia geram. Baru aje nak rasa disayangi, Hayyan dah buat balik perangai dia.

Hayyan ketawa kecil.

“Saya kan dah final sem, jadi memang sibuklah sikit. Nanti bila saya dah tak sibuk, kita keluar okey? Promise.” “Hmm... yalah...” Zenia mengalah juga akhirnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience