Bab 50

Romance Completed 79646

MUG berisi Nescafe panas diletakkan di atas meja.

“Zenia?”

Hayyan mengangguk. Muka berkerut kakaknya itu direnung. Awal-awal pagi lagi dia sudah muncul di rumah Herny hanya untuk bercerita tentang Zenia. Herny berfikir-fikir seketika.

“Bekas kekasih Riz dulu tu?”

Hayyan tunduk sebelum mengangguk. Perkataan bekas itu membuatkan hatinya rasa ngilu seketika.

“Riz jumpa dia semula?” Herny bertanya lagi. Cerita yang dibawa Hayyan itu benar-benar mengejutkannya.

“Riz tak minta semua ni jadi kak.” Ujar Hayyan dengan suara lemah. Herny menarik kerusi lalu duduk di sebelah Hayyan.

“Apa Riz nak buat sekarang?”

“Riz tak tahu. Tapi yang pasti Riz takkan kahwin dengan Zana. Riz tak boleh terima dia kak. Riz cuma cintakan Nia dan Riz tahu Nia pun sama.” Tekan Hayyan. Dia mahu kakaknya itu yakin dengannya.

“Tapi Riz jugak yang setuju untuk bertunang dengan Zana dulu.” Herny mengingatkan Hayyan tentang hakikat itu.

“Masa tu Riz tak tahu yang Riz akan jumpa dengan Nia semula. Percayalah kak... kalau Riz tahu semua akan jadi macam ni, Riz takkan terima Zana sebagai tunang Riz. Takkan!” Hayyan menekan suaranya. Mengharap pengertian daripada seorang kakak.

Herny terdiam. Memang dia kasihankan Hayyan. Dia tahu betapa sengsaranya Hayyan dahulu ketika ditinggalkan Zenia. Dan sekarang apabila dia sudah bertemu bahagianya semula, ada halangan lain pula yang menanti di depan. Bahu Hayyan diusap-usap.

“Akak pun tak mampu nak buat apa Riz. Riz kena beritahu mama dan papa.” Hanya itu yang mampu Herny katakan. Kalau ikutkan hatinya sendiri, dia akan menyokong pilihan Hayyan kerana dia tahu Zenia adalah kebahagiaan Hayyan. Tetapi, entahlah...

“ENY KENAL Zenia?” Khairil bertanya dengan dahi berkerut. Pelik juga dia apabila Herny bercerita kepadanya tentang Hayyan dan wanita bernama Zenia itu.

“Eny tak pernah jumpa dia tapi Eny selalu dengar Riz cerita pasal Zenia tu sejak dulu lagi.” Keluh Herny.

“Sejak dulu? Maksudnya?” Khairil semakin bingung.

“Riz pernah bercinta dengan Zenia dulu tapi tak kekal sebab... Zenia tinggalkan Riz untuk orang lain. Tapi sekarang diaorang dah jumpa balik dan Riz beritahu Eny, dia dan Zenia masih saling mencintai. Riz nak kahwin dengan Zenia tapi dia tak tahu caranya untuk beritahu mama dan papa. Lagipun sekarang dia dah bertunang dengan Zana.” Cerita Herny lagi. Langsung tidak sedar riak muka Khairil semakin lama semakin terkejut.

“Patutlah!” Nada suara Khairil naik tinggi tiba-tiba.

“Apa yang patutnya?” Giliran Herny pula yang bingung.

“Kalau sayang nak tahu, Zenia tu pekerja abang. Patutlah masa Riz jumpa Zenia dulu, diaorang berdua lain macam aje abang tengok. Rupa-rupanya ada kisah silam. Hmm...” Khairil menggumam sambil tergeleng-geleng sendiri.

Herny tenganga. “Zenia tu pekerja abang?”

“Ya.” Jawab Khairil. Kemudian dia ketawa kecil. Dunia ni walaupun orang cakap besar, kadang-kadang kecil jugak.

“Jadi abang tahulah Zenia tu ada anak?” Tanya Herny lagi.

“Mestilah tahu. Kesian dia. Dah lama menjanda...” Khairil mengeluh di hujung ayatnya.

“Menjanda? Riz beritahu Eny, Zenia tak pernah kahwin.” Makin bingung kepala Herny dibuatnya. Kenapalah berbelit sangat ni?

“Tak pernah kahwin? Habis tu... err...” Kata-kata Khairil termati di situ.

“Riz cakap... anak dia tu... hmm.” Herny mengeluh. Tak tergamak rasanya menggelarkan anak itu sebagai ‘anak luar nikah’. Lagipun dia tahu betapa sayangnya Hayyan dengan anak Zenia itu. Anak Zenia yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.

“Ya Allah...” Khairil bersandar di kepala katil dengan tangan mengurut dahi. Jadi selama ini Zenia tidak pernah berkahwin? Sangkanya bahawa Zenia itu seorang janda yang ditinggalkan suami selama ini silap sama sekali.

“Tapi abang janganlah beritahu orang lain. Nanti tak pasal-pasal buka aib si Zenia tu.” Pesan Herny sungguhsungguh. Apa yang mereka baru bualkan biarlah tamat di sini sahaja tanpa perlu ada orang lain yang tahu.

“Abang tak sangka sehebat tu cinta Riz untuk Zenia. Sanggup terima Zenia walau apa pun yang dah jadi antara diaorang berdua sebelum ni. Zenia tinggalkan dia. Mengandung anak lelaki lain tapi Riz tetap tak peduli semua tu.” Khairil tergeleng-geleng kagum. Mana lagi nak jumpa lelaki setulus Hayyan Rizqi itu?

“Itulah namanya cinta sejati bang. Sanggup terima orang yang dia sayang seadanya tanpa syarat.” Kata Herny pula. Turut sama kagum dengan keteguhan cinta Hayyan untuk Zenia walau apa sahaja yang melanda hubungan mereka.

ZANARIAH TERMENUNG di tepi tingkap sambil tersenyumsenyum. Fikirannya melayang mengingati Hayyan Rizqi. Benarlah. Hatinya memang sudah jatuh cinta dengan lelaki itu. Hairan? Hayyan tak ada buat apa-apa untuk mengambil hatinya pun dia masih boleh jatuh cinta. Sedangkan sebelum ini bukan main ramai lagi lelaki yang cuba mengurat tapi tak ada seorang pun yang betul-betul menambat hati. ‘Hayyan Rizqi lain...’

“Ehem!” Deheman itu mengejutkan Zanariah. Spontan kepalanya tertoleh ke belakang.

“Amboi Kak Long! Senyum sorang-sorang macam orang angau je nampak? Teringat Abang Riz ke?” Usik Airin. Adik Zanariah yang muda tiga tahun daripadanya.

“Hesy... mana ada. Memandai aje!” Zanariah menafikan. Biarpun pipinya sudah memerah tanda malu.

“Eleh... dengan Rin pun nak sorok-sorok. Gediklah!” Selamba Airin menyenggol lengan Kak Longnya itu.

Zanariah ketawa.

“Alah... Kak Long ingatkan bakal suami Kak Long. Bukannya orang lain. Apa nak kisah?”

“Yalah... untung orang ada bakal suami hensem kan?” Panjang ‘kan’ nya itu ditarik. Airin tergelak-gelak sendiri.

“Kak Long bila nak kahwin? Dah lama sangat bertunang Rin rasa. Kan?”

Zanariah tersenyum.

“Belum masanya lagi kut. Kalau ikut mummy cakap, mungkin hujung tahun ni. Lagipun Kak Long bukannya muda lagi. Dah masuk 28 tahun dah. Elok sangat dah kalau nak kahwin.”

“Betul tu! Rin setuju!” Sahut Airin.

“Tak sabar nak dapat abang ipar.” Bisiknya di telinga Zanariah. Sempat mengenyit mata sebelum berlalu dengan tawanya yang nakal.

Zanariah tersenyum sendiri. Wajah Hayyan terbayang lagi di ruangan matanya. Memutikkan satu perasaan yang sangat indah di hati.

“ITULAH... AKU dah ingatkan awal-awal lagi... jangan main dengan api. Kau tak nak dengar.” Safwan tergeleng-geleng sambil mengeluh panjang. Kisah cinta Hayyan makin lama makin berbelit sampai dia sendiri pun dah naik pening.

“Kau ingat aku minta ke semua ni jadi?” Hayyan menyandar dengan muka kusut. Yang sebelah sini yang dia cinta. Yang sebelah sana keluarga yang dia sayang. Tersepit di tengah-tengah. Tak tahu apa yang harus dilakukan untuk keluar dari dilema itu.

“Satu cara aje. Sama ada kau jelaskan kat Zenia yang kau dah ada tunang atau kau beritahu famili kau yang kau dah ada Zenia.” Tenang Safwan memberi cadangan. Sebagai orang luar hanya setakat itu yang mampu dia tolong.

Hayyan terdiam lama. Berfikir-fikir keputusan mana yang harus dia ambil. Safwan angkat kening. Sabar menunggu jawapan Hayyan.

“Aku pilih option kedua.” Balas Hayyan kemudian separuh yakin.

“Dah fikir habis?” Safwan masih lagi menduga.

“Aku tak nak hilang Zenia lagi.” Itu pula yang dijawab Hayyan. Jawapan yang terus membuatkan Safwan terdiam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience