Bab 59

Romance Completed 79646

ZATIE mengukir senyuman manis ketika terlihat Zenia keluar dari bilik Encik Khairil.

“Dah settle?”

Zenia mengangguk. Barang-barang yang memenuhi mejanya dikemaskan satu per satu.

“Berapa lama kau cuti?” Tanya Zatie. Dia sudah maklum dengan keputusan Zenia untuk pulang ke kampung buat sementara waktu.

“Dua minggu.” Jawab Zenia perlahan.

“Okeylah tu... Sekurang-kurangnya kau balik sana boleh tenangkan fikiran. Adam pun mesti tak sabar-sabar nak jumpa atuk dan nenek dia.” Zatie menceriakan suaranya sedikit. Dia tidak mahu Zenia berduka lagi. Cukuplah air mata yang telah rakannya itu bazirkan atas apa yang telah terjadi.

Zenia tersenyum pahit. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan Hayyan. Semenjak peristiwa Hayyan datang ke rumahnya tempoh hari, tidak pernah sekali pun lelaki itu menghubunginya. Zenia tahu Hayyan terluka. Malah luka lelaki itu pasti lebih dalam berbanding luka di hatinya sendiri. Tetapi biarlah. Memang itu yang terbaik antara mereka. Hayyan lebih layak bersama Zanariah. Gadis yang lebih baik dan jauh lebih sempurna daripadanya.

“Terima kasih Tie... Kau banyak tolong aku selama ni.” Ucap Zenia sambil tersenyum keharuan.

Zatie memeluk tubuh Zenia dengan erat. “Bila-bila masa kau perlukan aku, just call me. Anytime.”

Zenia mengangguk. Semoga Allah membalas segala jasa yang telah ditaburkan gadis itu untuknya selama ini.

Selesai mengemas barang, Zenia bersalam dan meminta diri daripada semua rakan-rakan sekerjanya. Kemudian barulah dia membawa langkah turun ke tingkat bawah. Dia sudah berjanji untuk menemui Azfar di restoran berhadapan dengan kawasan pejabat. Setelah menyimpan barang di dalam kereta, dia segera berlalu mendapatkan restoran itu.

Senyuman Azfar menyambut Zenia. Lelaki itu mempersilakan Zenia duduk di depannya.

“Bila awak balik kampung?” Tanya Azfar.

“Esok. Insya-Allah. Dua minggu saya kat sana.” Tenang Zenia menjawab.

Azfar mengangguk. Nafas dihela panjang. Ada sesuatu yang mahu diluahkan tetapi entah kenapa terasa payah sekali.

“Nia!” Panggilnya perlahan.

Zenia mengangkat muka memandang Azfar. Entah sejak bila, wajah itu tidak lagi dibencinya. Mungkin kerana keikhlasan yang lelaki itu tunjukkan telah memadamkan kebencian itu dari hatinya.

“Saya tahu saya dah banyak buat salah kepada awak selama ni dan saya tahu, memang saya tak patut dimaafkan.

Tapi...” Azfar menunduk seketika.

Zenia sabar menanti kata-kata lelaki itu yang seterusnya.

“Kalau awak sudi... for Adam’s sake, sudi tak awak jadi isteri saya?” Terluah juga sebaris kata-kata itu.

Zenia terdiam. Benarkah apa yang dia dengar? Azfar melamarnya?

“Saya tahu awak tak cintakan saya. Dan saya jugak tahu awak cintakan Hayyan lebih daripada segala-galanya. Tapi untuk kebaikan Adam...” Azfar merenung tepat ke dalam sepasang mata Zenia. “Tak salah kalau kita mencuba demi Adam, kan?”

Zenia diam. Otaknya kosong. Lamaran Azfar bagaikan hanya melintasi telinga tanpa langsung singgah di hati. Dan dia tiada jawapan untuk lamaran lelaki itu.

“Nia!”

“Saya kena balik. Banyak benda saya nak uruskan sebelum bertolak balik esok.” Zenia bangkit berdiri. Azfar ikut berdiri. Dia mahu menghalang tetapi bibirnya seakan-akan lumpuh untuk bersuara lagi. Sudahnya, dia hanya mampu memandang langkah wanita itu yang kian menjauh.

KATA-KATA yang keluar dari mulut Cikgu Hilda tadi benarbenar membuatkan hati Zenia jadi haru-biru. Kata cikgu muda itu, Hayyan yang datang menjemput Adam tadi. Hendak dihalang, Adam pula nampak sangat gembira dengan kedatangan lelaki itu. Sudahnya Zenia hanya mampu tersenyum dan terus meminta diri seolah-olah dia langsung tidak kisah sekiranya Adam pulang bersama Hayyan.

Masuk ke kereta, Zenia cepat-cepat menghubungi Hayyan. Lama dia menanti barulah panggilannya berjawab.

Perlahan kedengaran suara Hayyan ketika itu.

“Awak bawak Adam pergi mana?” Laju soalan itu keluar dari mulut Zenia.

“Jalan-jalan.”

“Hayyan! Kenapa awak buat macam ni? Awak tahu tak betapa risaunya saya tadi? Kenapa tak beritahu dulu kalau awak nak ambik dia?” Bertalu-talu Zenia mengajukan soalan. Hatinya masih belum dapat bertenang.

“Kalau saya beritahu, awak izinkan ke?” Hanya satu soalan Hayyan sudah cukup membuatkan mulut Zenia terkunci rapat.

Hayyan menghela nafas panjang. “Awak jangan risau. Adam selamat dengan saya. Lagipun dia gembira bila saya ajak dia jalan-jalan.”

Terdengar sayup-sayup suara Adam yang sedang bersorak gembira. Entah ke mana Hayyan membawa anaknya itu, Zenia langsung tidak dapat mengagak.

“Bagi saya peluang untuk habiskan masa dengan Adam hari ni. Hari ni aje saya minta Nia. There will be no more next time.” Nada suara yang seakan-akan merintih itu benarbenar meresap masuk ke sudut hati Zenia yang paling dalam. Sepasang mata Zenia terasa panas tiba-tiba.

“Saya janji saya akan hantar Adam balik sebelum malam.” Ujar Hayyan lagi. Mungkin kerana tiada balasan daripada Zenia, lelaki itu bertindak memutuskan talian.

Zenia tersandar di kusyen kereta. ‘Hayyan... maafkan saya sebab saya terpaksa lukakan hati awak. Saya tak layak untuk awak. Awak terimalah Zanariah dalam hidup awak. Saya yakin, awak akan bahagia dengan dia. Lupakan saya Hayyan...’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience