Bab 34

Romance Completed 79607

“HEI! Sayang! Kenapa ni monyok aje? Ada masalah ya?” Azfar menyapa mesra. Zenia geleng perlahan.

“Tak ada apa.”

“Habis... kenapa monyok aje ni?” Tanya Azfar lagi dengan nada prihatin. Hujung jarinya menyapu kesan air mata di pipi Zenia.

“Saya dengan Hayyan dah putus.” Perlahan Zenia memberitahu. Sebelah kening Azfar terangkat sedikit.

“Jadi awak sedih sebab tu?”

Zenia tidak menjawab. Tiba- tiba saja hatinya rasa semacam. Tak tenang. Tak tahu kenapa.

Azfar capai tangan Zenia. Sesuatu yang jarang sekali Hayyan lakukan. Tapi entah kenapa Zenia buta dalam menilai semua itu.

“Kan kita dah cakap pasal ni. Awak setuju untuk tinggalkan Hayyan dan kita boleh bersama. Kan?”

Zenia diam merenung ke wajah Azfar. Lembut jemari lelaki itu mengelus pipinya.

“Saya janji saya takkan sia-siakan awak. Saya boleh bagi lebih daripada apa yang Hayyan pernah bagi kepada awak. Percayalah sayang.” Mudah sungguh menabur kata-kata manis. Azfar mengukir senyum lagi.

“Awak janji takkan tinggalkan saya walau apa pun yang jadi?” Tanya Zenia perlahan. Azfar mengangguk. Belakang tangan Zenia dikucup lembut. “Saya janji.” Zenia diam.

“Jom.” Azfar mengajak tiba-tiba.

“Ke mana?” Zenia kerut dahi hairan.

“Satu tempat special.” Azfar menyimpul senyum. “Malam-malam ni?” Azfar mengangguk.

“Tapi dah lambatlah awak.”

“Alah tak apa. Sekejap aje. Saya ada something untuk awak. Jom!” Bijak sungguh Azfar memanipulasikan Zenia. Zenia yang sememangnya lurus, tidak pernah terfikir keputusan yang diambil malam itu bakal merubah seluruh kisah hidupnya. Permulaan kepada episod duka dalam hidupnya.

TEPUKAN DI bahu mengejutkan Hayyan. Lamunannya bubar. Ditoleh kepala ke sebelah kanan. Kamil tarik sengih sambil duduk di sebelahnya.

“Kau okey?” Hayyan faham maksud soalan Kamil itu. Dipaksa bibir untuk tersenyum.

“Aku okeylah. Kau janganlah tanya macam aku ni baru mati isteri.”

Kamil tergelak kecil. Syukurlah Hayyan masih mampu berlawak.

“Baguslah macam tu. Final kita dah nak dekat ni. Aku tak nak kau hanyut.” Ikhlas dia menasihati sebagai seorang rakan. Hayyan mengangguk.

“Tak payahlah risau pasal aku. Aku okey. Tak mati hanya sebab seorang perempuan.” Sedalam mana pun sayangnya untuk Zenia, tiada guna juga sekiranya Zenia memilih untuk bersama Azfar.

Bahu Hayyan dipaut Kamil.

“Syukur Alhamdulillah.” Kemudian dia menadah tangan ke langit sebelum meraupnya ke muka.

Terlepas juga tawa kecil Hayyan. Biarlah... kalau itu pilihan Zenia, dia akan menerima. Bukan salah Zenia semua itu berlaku. Bukan salah Zenia. Meski luarannya dia nampak kuat menempuh apa yang baru sahaja berlaku, hanya Allah yang benar-benar tahu apa yang terbuku di hati.

Kamil tiba-tiba menghidupkan radio. Tidak sempat Hayyan meminta Kamil untuk mematikannya semula, lagu That’s Why You Go Away nyanyian MLTR mula berkumandang. Terus dia terdiam mendengar lagu itu. Bait-bait lirik yang hanya mengundang ingatannya terhadap Zenia. Betapa sakit luka di hatinya waktu itu.

You’re the one who set it up

Now you’re the one to make it stop

I’m the one who’s feeling lost right now

ETON MENOLEH ketika terdengar pintu bilik dikuak dari luar.

Zenia muncul dengan wajah pucat. Eton mengerut dahi.

“Kau kenapa?”

“Hmm?” Zenia bagaikan terpinga-pinga dengan pertanyaan itu.

“Apa yang kenapa?”

“Nampak macam lain aje. Tak sihat eh? Kau pergi mana tadi?” Dua soalan sekali Eton ajukan. Sungguh. Zenia nampak lain benar. Macam orang baru lepas dipaksa terjun kolam dan kemudian naik semula dengan wajah yang pucat dan badan yang menggigil. Boleh pulak si Eton ni buat perbandingan macam tu? Eton tergeleng sendiri dengan suara hatinya.

Zenia menghampiri katil. Tangannya rasa menggigil ketika meletakkan begnya di situ.

“Tak ada apalah. Tak ada pergi mana pun.”

Makin pelik Eton jadinya. Suara Zenia bagaikan terketar-ketar. Belum sempat dia bersuara lanjut, Zenia sudah berlalu keluar dengan tuala dan barang mandian di tangan.

Zenia menutup rapat pintu bilik mandi. Kepala paip dipulas. Laju air menderu turun dari corong shower. Dan serentak itu juga air matanya menitis satu per satu. Perlahanlahan tubuhnya melurut jatuh ke atas lantai. Daripada esakan kecil, kini tangisannya memenuhi ruang bilik mandi yang kecil itu. Dia duduk memeluk lutut dan membenamkan mukanya di atas kedua-dua lututnya.

Fikirannya jauh mengingati apa yang berlaku tadi. Azfar membawanya ke satu tempat. Sangkanya, memang betul ada ‘sesuatu’ untuknya bagai yang dikatakan lelaki itu. Rupa-rupanya, ‘sesuatu’ yang membawa bala dalam hidupnya. Teringat semua janji manis yang ditaburkan Azfar. Setiap kata-kata cinta yang melembutkan hati sehingga Zenia lupa segalanya. Lupa dosa pahala, lupa dunia, lupa ibu dan ayah dan yang paling penting dia lupa ada yang memerhati di atas sana.

Kenapa begitu mudah dia menyerahkan diri kepada Azfar? Adakah dia begitu bodoh? Adakah dia perempuan murahan? Kenapa setelah perkara itu terjadi baru dia merasakan penyesalan yang maha hebat di sudut hati? Kenapa dia buta dalam menilai peribadi Azfar selama ini? Kenapa dia sanggup meninggalkan Hayyan yang ikhlas dengannya dan memilih Azfar yang nyata punya agenda tersendiri?

‘Ya Allah... berdosanya aku. Ampunkan aku Ya Allah... Ampunkan aku...’ Semakin kuat penyesalan itu datang menghimpit, semakin kuat tangisan Zenia. Tangisan penuh penyesalan yang tidak dapat didengari oleh sesiapa pun.

PULANG SEMULA ke bilik, wajah tidak puas hati Eton yang menyambutnya. Zenia buat-buat tidak nampak dan terus menuju ke arah lokarnya untuk mengambil baju.

“Kau pergi mana tadi? Dari petang tadi hilang tak ada beritahu apa-apa pun.” Eton mula menyerang dengan soalansoalannya.

Zenia menyarungkan baju ke tubuhnya.

“Keluar ambik angin aje.”

“Dengan Hayyan?” Teka Eton. Terhenti seketika pergerakan Zenia mendengar nama itu. Bibir diketap dengan hati yang bergetar. Mujurlah dia berdiri menghadap lokar jadi Eton tidak nampak air jernih yang mula memenuhi kolam matanya.

“Aku dengan dia dah break.”

“What?” Terbuntang biji mata Eton. Berita itu benarbenar mengejutkannya. Memanglah dia tahu hubungan Zenia dan Hayyan sedikit bergolak sejak kebelakangan ini, tapi tak sangkalah sampai putus.

“Apa yang dah jadi Nia? Kau putus dengan Hayyan lepas tu kau keluar entah ke mana? Balik dengan muka pucat? Mata bengkak? Apa yang dah jadi ni Nia?”

Zenia menutup pintu lokarnya. Langkah dibawa ke katil dengan kepala yang ditundukkan. Tidak mahu Eton nampak wajahnya.

“Aku penatlah... nak tidur.”

“Nia!”

“Nanti kau matikan lampu!” Kata Zenia lalu terus baring mengiring menghadap dinding. Patung pemberian Hayyan ditarik rapat ke dalam pelukan.

Eton menggeleng kepala. Lampu mejanya dihidupkan sebelum mematikan lampu bilik. Dan Zenia tidak dapat menahan air matanya daripada terus gugur ke pipi.

MASUK KE dewan kuliah, Zenia merasakan semua mata terhala ke arahnya. Entahlah. Mungkin perasaannya sahaja. Memandangkan Eton elok sahaja melenggang menuju ke tempatnya, Zenia mengambil tempat di sebelah Eton. Suasana dewan yang sejuk dengan pendingin hawa yang dipasang makin membuatkan Zenia rasa badannya menggigil. Perutnya terasa sebu. Hati rasa tidak sedap seolah-olah semua pelajar di dalam kelas itu sudah tahu apa yang dia lakukan.

‘Ya Allah... bantu aku untuk hadapi semua ini. Aku tahu aku bersalah. Aku tahu aku berdosa. Engkau kuatkanlah aku untuk berdepan dengan semuanya. Aku mohon Ya Allah...’

Sepanjang kuliah Zenia tidak dapat fokus. Kalau yang lain seronok ketawa dengan setiap lawak jenaka yang dibuat oleh pensyarah mereka pagi itu, Zenia pula bagaikan hanyut ke alam lain. Mereka ketawa, Zenia tetap murung mengingati apa yang telah terjadi. Tamat sahaja kuliah, para pelajar beransuransur keluar. Zenia pula lambat-lambat menyimpan barangbarangnya ke dalam beg.

“Nia! Aku nak pergi jumpa Puan Hashimah kejap. Kau pergilah makan dulu.” Hanya itu pesanan Eton sebelum dia terus berlalu keluar.

Zenia menghembus nafas panjang. Perutnya kosong tetapi entah kenapa dia langsung tidak berasa lapar. Hanya mengikut langkah kaki yang entah menghala ke mana. Tibatiba sahaja dia sudah tiba di kafe. Suasana di situ bingit dengan suara pelajar-pelajar yang memenuhi ruang. Tidak sanggup berdepan dengan mereka semua, walaupun mereka semua tidak tahu tentangnya dan mungkin lebih separuh tidak kenal siapa dirinya. Dia terus berpaling dan berlalu keluar.

Entah apa nasibnya di situ, dia terserempak dengan Hayyan. Lelaki itu hanya memandangnya sekilas sebelum tunduk dan menyambung langkah masuk ke kafe. Zenia menahan air mata yang hampir gugur. Hayyan sendiri sudah benci menatap wajahnya. Tapi biarlah... memang patut pun dirinya dibenci. Kalau semua orang tahu apa yang telah dia lakukan, pasti tiada seorang pun yang sanggup menerima dirinya lagi.

Telefon bimbit dikeluarkan dari dalam beg sambil berjalan pulang ke kolej. Nombor telefon Azfar didail. Lama menanti tiada jawapan. Dia cuba menelefon lagi, tetap tiada jawapan daripada lelaki itu. Zenia terhenyak di atas sebuah bangku dengan air mata yang lebat di pipi.

Kalaulah boleh ditukarkan air matanya dengan dosa yang telah dibuat, dia sanggup lakukannya. Sungguh dia menyesal. Penyesalan yang tidak mungkin dapat diukur setinggi dan sehebat mana pun. Dia menyesal. Dia buntu.

‘Ya Allah... sesungguhnya aku tak kuat melalui keperitan ini...’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience