Bab 74

Romance Completed 79607

“AKU terima nikahnya Nur Iris Zenia Binti Mohd Mokhtar dengan mas kahwinnya RM120 tunai.” Senafas Hayyan menuturkan sebaris akad itu.

“Sah?”

“Sah!”

Alhamdulillah... Hayyan meraup tapak tangannya ke muka. Tetamu-tetamu yang hadir di situ turut sama mengaminkan doa yang dibacakan. Hanya Tuhan yang tahu betapa leganya hati Hayyan ketika itu. Akhirnya Nur Iris Zenia sah menjadi miliknya.

Hayyan mengerling ke arah Zenia setelah mengaminkan doa. Wanita itu tersenyum ke arahnya. Dia nampak sepasang mata Zenia yang berkaca-kaca. Bagaikan terpancar kasih wanita itu untuknya hanya melalui renungan matanya itu.

Hayyan bangun dari tempatnya dan berlalu masuk ke dalam bilik yang telah disediakan untuk menunaikan solat sunat. Sementara Zenia yang menanti sudah mampu menghembus nafas lega. Wajah ibu yang menggenggam erat tangannya dipandang. Satu kucupan singgah pada dahinya. Zenia tersenyum dalam keharuan.

“Mama!” Adam yang duduk di sebelah Zenia memanggil perlahan. Zenia menoleh.

“Ya sayang...”

“Papa pergi mana?” Adam berbisik perlahan di telinga Zenia.

“Papa pergi solat kejap. Nanti papa keluar balik.” Jawab Zenia. Adam mengangguk-angguk faham. Teringat gelagat anaknya itu pagi tadi. Adam terkejut melihat dia dalam busana pengantin serba putih itu. Ditambah lagi dengan wajahnya yang sudah disolek. Hampir-hampir membuatkan Adam tidak dapat mengecam wajahnya.

“Kenapa mama pakai macam ni? Mama nak pergi mana?” Adam bertanya dengan mata yang membulat. Reaksi terkejutnya itu nyata mengundang tawa mereka semua yang ada di situ.

“Hari ni... hari bahagia mama. Adam suka tak tengok mama gembira?” Maryam pula yang menjawab bagi pihak Zenia.

“Tentulah Adam suka. Adam kan sayang mama.” Jawab Adam sambil tersenyum.

“Kalau macam tu, Adam jangan tanya apa-apa lagi tau? Bagi mama bertenang dulu. Nanti Adam akan tengok mama gembira.” Kata Maryam lagi.

“Mama dah tak nangis-nangis lagi macam selalu?” Tanya Adam mahukan kepastian.

Maryam menoleh ke arah Zenia. Anaknya itu tersenyum menahan sebak. Dia kembali menoleh ke arah Adam yang sedang menanti jawapan.

“Ya. Mama takkan nangis-nangis lagi dah.”

“Okey!” Adam mengangkat tangan kanannya. Tanda berjanji.

Tidak lama menunggu...

“Itu papa!” Adam menuding jarinya ke arah papanya yang sudah muncul semula.

Debaran Zenia kembali terasa. Apatah lagi ketika Hayyan merebahkan lutut di depannya. Bersedia untuk menyarung cincin di jari manisnya. Ketika lelaki itu memegang tangannya, Zenia hanya mampu menunduk. Hayyan sembunyi senyum. Dia tahu Zenia sedang berdebar. Tangan isterinya dingin semacam.

Selesai menyarungkan cincin, giliran Zenia pula menyarungkan cincin ke jari manis Hayyan. Kemudian dia tunduk menyalami tangan lelaki itu. Sebagai balasan, Hayyan meletakkan tapak tangan kanannya di atas dahi Zenia lalu membacakan doa.

Zenia memejam mata. Doa yang dilafaz Hayyan itu benar-benar menyentuh hatinya yang paling dalam. Air matanya tidak segan silu lagi menitis menuruni pipi. Perlahan Hayyan mengesat air mata itu dengan hujung jarinya. Kemudian perlahan dan penuh kelembutan dahi Zenia dikucupnya.

Para tetamu tidak melepaskan peluang untuk merakamkan saat-saat indah itu dengan kamera masingmasing. Adam yang tidak mengerti apa yang sedang berlaku hanya sekadar diam di situ tanpa berbuat apa-apa.

Zenia kemudiannya menarik Adam dekat dengannya untuk bergambar. Adam yang masih terpinga-pinga hanya sekadar tersenyum sambil memberikan tanda peace apabila banyak kamera terhala ke arahnya. Masing-masing ketawa melihat tingkah Adam itu.

Zenia dan Hayyan saling berpandangan. Bibir masingmasing terukir senyuman bahagia. Alhamdulillah. Terima kasih untuk cinta ini Ya Allah...

MAJLIS PERSANDINGAN diteruskan pada sebelah petangnya. Maryamlah antara yang paling sibuk dalam memastikan majlis itu berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Tidak menang tangan dia melayan tetamu-tetamu yang tidak putus-putus datang meraikan majlis perkahwinan anak tunggalnya itu. Syukur. Tiada seorang pun yang mengungkit kisah lama Zenia. Allah itu Maha Besar. Dialah yang memberi peluang untuk Zenia bertaubat dan kembali meraih bahagia yang dahulunya pernah hilang daripada hidupnya.

“Sayang!” Zenia berpaling ke arah Hayyan apabila mendengar suara lembut itu memanggilnya.

“Setakat ni, saya tak nampak lagi patung beruang yang saya pernah bagi kat awak dulu. Apa nama dia? Hayyan Comel, kan?”

Zenia tergelak halus. Tak sangka Hayyan ingat lagi tentang patung itu.

“Saya cakap... tapi awak jangan marah tau?”

Hayyan angkat sebelah kening. Zenia menarik nafas sebelum bersuara.

“Saya tinggalkan kat kolej masa hari terakhir saya kat sana. Jadi sekarang, saya tak tahu kat mana patung tu berada.”

Reaksi Hayyan diperhatikan dengan ekor mata. Riak wajah itu tenang. Langsung tak ada tanda-tanda marah.

“Tak apalah. Saya tak marah pun. Lagipun sekarang awak dah dapat the real Hayyan comel. Tak perlu lagi nak peluk patung tu waktu tidur. Kan?” Hayyan kenyit sebelah matanya.

Zenia membuntangkan mata sebelum ketawa. Tak menahan betul puji diri sendiri comel.

“Nia! Riz! Buat apa kat dalam tu? Takkan baru lepas sanding dah masuk bilik kut? Keluarlah dulu. Layan tetamu nak jumpa tu.” Suara Maryam kedengaran dari luar bilik.

Zenia dan Hayyan saling berpandangan.

“Ibu dah salah faham tu. Jom keluar.” Ajak Zenia.

“Biarlah dia salah faham pun. Dah tak jadi dosa...” Hayyan sengaja mengusik. Tak puas lagi habiskan masa berdua dengan Zenia.

“Haa... jangan nak mengada ya, Encik Perasan Comel. Jom keluar!” Lengan Hayyan ditarik supaya mengikutnya.

“Macam-macam gelaranlah awak bagi saya Nia.” Sempat lagi Hayyan membebel.

“Awak pun panggil saya macam-macam. Kira adillah.” Balas Zenia tak mahu mengalah.

Ruang luar rumah meriah dengan suara tetamutetamu yang datang. Dalam ramai-ramai tetamu itu, sepasang mata Zenia tertarik memerhatikan satu pasangan yang duduk berbual bersama.

“Tu bukan Zatie ke?” Hayyan yang juga perasan terus menuding jarinya ke satu arah.

Zenia tidak berkelip memerhati. Ya. Itu memang Zatie. Tetapi bukan itu yang membuatkan Zenia terus tertarik untuk memandang. Sebaliknya lelaki yang sedang berbual mesra dengan Zatie itu... Alief!

Sejak bila pula Alief dan Zatie boleh duduk berbual semesra itu? Biasanya kalau jumpa, tak sah kalau tak bergaduh. Tapi tengok dari gaya mereka berdua tu, Zenia yakin ada sesuatu yang telah berlaku.

“Yup. Zatielah tu.” Jawab Zenia sambil tersenyum penuh makna.

“Lelaki sebelah dia tu? Kalau tak silap saya, itu pun

kawan sekerja awak jugak, kan?” Hayyan bertanya lagi.

Zenia mengangguk. “Atau mungkin saya patut kata... kekasih Zatie...”

Hayyan menjongket kening. Senyuman nakal di bibir Zenia membuatkan dia tertawa.

Kalau Zatie datang bersama Alief, Eton pula datang bersama bakal tunangnya. Tersipu-sipu gadis itu memperkenalkan Aniq kepada Zenia dan Hayyan.

“Kau tak pernah cerita kat aku pun pasal Aniq. Ini yang nak merajuk ni!” Zenia menarik muka. Merajuk kononnya.

Mana tidaknya, selama ini Zenia saja yang selalu mengadu itu ini kepada Eton sedangkan Eton siap berahsia lagi siapa lelaki yang telah berjaya merebut hatinya. Dah nak bertunang, baru nak beritahu.

“Alaaa... janganlah merajuk. Aku bukan tak nak beritahu, cuma aku cari masa yang sesuai untuk kenalkan dia kat kau.” Jelas Eton sambil tersengih-sengih.

Zenia menjeling. “So... bila nak langsung?”

“Insya-Allah kalau tak ada aral, bulan depan aku tunang.” Eton tersipu sendiri. Zenia ketawa. Susah nak tengok Eton malu-malu macam ni. Yakinlah Zenia, memang sahabatnya itu sudah benar-benar jatuh cinta kepada Aniq.

“Kau jemput aku tak ni?”

“Soalan kalau tak macam nak minta kaki boleh?” Eton bercekak pinggang. Tahu Zenia sengaja bertanya untuk mengusiknya. Sudah tentulah dia mahu Zenia ada di hari pertunangannya nanti.

Zenia ketawa terkekeh-kekeh. Bahu Eton dipaut rapat. “Aku tumpang happy untuk kau.”

“Aku pun. Gembira aku tengok kau senyum macam ni. Akhirnya kahwin jugak dengan Hayyan Rizqi kau tu.” Kata Eton. Dia dan Zenia berpandangan lagi sebelum sama-sama ketawa.

SOLAT ISYAK berimamkan suami sendiri, hati Zenia berasa sangat tenang. Terasa cintanya untuk lelaki itu semakin bercambah setiap saat. Tidak terucap rasanya ucapan syukur itu ke hadrat Allah yang Maha Agung. Apatah lagi ketika mendengar doa yang sangat kudus yang dilafazkan Hayyan pada penghujung solat.

Selesai mengaminkan doa, Zenia menghulurkan tangan untuk bersalam. Kemudian Hayyan memegang lembut dagu Zenia sebelum menghadiahkan satu kucupan pada dahinya.

“Sayang!” Hayyan menggenggam erat tangan Zenia.

Zenia masih lagi diam.

“Terima kasih sebab sudi jadi isteri saya. Kalau ikutkan, saya sendiri pun tak percaya awaklah jodoh yang saya tunggu-tunggu selama ni.” Ucap Hayyan penuh keharuan. Jarijemari Zenia dibawa ke bibirnya dan dikucup lembut.

Zenia mula dihurung sebak.

“Saya...”

“Yes love...” Hayyan tidak sabar menunggu Zenia habis bersuara.

Zenia tertawa kecil. Tak jadi nak nangis. Dia tahu Hayyan sengaja panggil macam tu. Tapi memang dalam banyakbanyak panggilan yang Hayyan ciptakan untuknya, panggilan love itulah yang paling dia suka.

“Saya pun tak sangka dapat jadi isteri awak. Kadangkadang bila fikir balik, rasa macam mimpi... Kan?”

Hayyan mengangguk.

“Itulah namanya anugerah kurniaan Allah. Rahmat Dia untuk kita terlalu besar.”

Zenia menunduk sambil mengangguk.

“Saya janji... saya akan jaga awak. Sayang dan cintakan awak sampai akhir hayat saya.” Janji Hayyan. Sekali lagi dia mengucup jari-jemari Zenia.

Zenia mengukir senyum. Tidak perlulah Hayyan menyusun janji beribu-ribu kali, dia akan tetap mempercayai lelaki itu kerana dia yakin Hayyan memang jodoh terbaik yang telah Allah S.W.T. tetapkan untuknya.

“Saya pun macam tu.” Balas Zenia perlahan. Hayyan mengucup dahi Zenia sekali lagi.

‘Semoga cinta ini terus mendapat rahmat-Mu Ya Allah.

Amin!’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience