Bab 37

Romance Completed 79607

“WHAT?” Riak muka Azfar tiada perasaan.

Selamba menyeluk tangan ke dalam poket sambil menyandar di pintu kereta. Dia pandang muka Zenia macam gadis itu sedang membuat persembahan sketsa lima minit.

“Azfar...” Zenia ketap bibir. Melihat reaksi lelaki itu, dia hampir pasti telahannya benar.

“Saya mengandung.”

“Then?” Azfar buat muka bodoh. Langsung tiada riak terkejut pada wajahnya.

“Anak awak!” Tekan Zenia namun suaranya masih perlahan. Tidak mahu ada sesiapa pun yang mendengar.

“Are you sure?” Azfar jongket kening. Menitis air mata Zenia ke pipi.

“Apa maksud awak?”

“Nia... saya sentuh awak sekali aje. Takkanlah semudah tu? Entah-entah anak orang lain. Tapi awak kata anak saya...” Tidak sempat Azfar noktahkan ayat, terasa pipi kanannya ditampar kuat. Terteleng kepalanya ke sisi.

“Awak ingat saya ni apa? Perempuan murahan?” Turun naik dada Zenia. Antara menahan sebak dan marah. Azfar senyum sinis. Dipandang wajah Zenia yang merah padam.

“Kalau tak murah, kau takkan semudah tu serah diri kepada aku.” Berdesing telinga Zenia mendengar kenyataan itu. Pedihnya hati... Bisanya terasa menjalar ke seluruh tubuh. Ini bukan Azfar yang dikenali sebelum ini. Bukan. Atau mungkin juga Azfar yang selama ini bersamanya cuma palsu semata? Lakonan yang dipersembahkan hanya untuk mengaburi pandangan mata?

Azfar berpusing untuk membuka pintu kereta namun Zenia lebih pantas menarik lengannya.

“Azfar... awak tak boleh buat saya macam ni! Ini anak awak. Awak kena bertanggungjawab...” Rayu Zenia tanpa rasa malu lagi.

“What? Boleh ulang lagi sekali tak?” Azfar dekatkan telinganya ke bibir Zenia. Zenia cuba mengawal esakannya. Demi anak dalam kandungannya dia rela dilayan macam sampah.

“Azfar... tolonglah! Saya merayu. Jangan buat saya macam ni. Saya tak boleh teruskan hidup dalam keadaan macam ni. Saya perlukan awak...”

Ketawa Azfar menampan telinga.

“Kau ni memang bodohlah Zenia. Kau silap kalau kau fikir aku betul-betulkan nakkan kau. Aku boleh dapat perempuan seribu kali lebih cantik daripada kaulah!” Tangan Zenia ditepis kasar.

“Azfar... Azfar... please!!! Jangan buat saya macam ni. Please Azfar... Azfar!”

Lelaki itu sudah masuk ke kereta. Sekuat hati Zenia mengetuk cermin keretanya namun Azfar buat tidak peduli.

Pedal minyak ditekan lalu keretanya dipecut laju. Zenia terduduk di atas jalan tar itu dengan tangisan yang bagai tiada hentinya lagi.

HABIS MADU, sepah dibuang. Itulah ibaratnya keadaan Zenia ketika ini. Penyesalan datang bertimpa-timpa. Menyesal kerana tidak mendengar nasihat Eton dari awal. Menyesal kerana terlalu mudah mempercayai Azfar dan menyesal kerana memilih untuk meninggalkan Hayyan yang sempurna demi seorang lelaki yang sangat kejam.

Air matanya turun dengan lebat. Bagai tidak mungkin akan ada hentinya lagi sampai bila-bila. Bagaimana dia mahu berdepan dengan ibu dan ayah? Bagaimana dengan penerimaan orang sekeliling? Bagaimana dengan pelajarannya nanti? Masa depannya? Mengenangkan semua itu, Zenia merasakan ada baiknya dia mati daripada terus terseksa begitu.

“Nia!!!” Eton menerjah masuk ke dalam bilik.

Zenia yang sedang memegang pisau tersentak. Terlepas pisau dari tangannya. Melihat Eton berjalan laju ke arahnya, secepat kilat pisau itu dicapai semula.

“Nia! Kau nak buat apa ni?” Eton cuak.

“Aku tak nak hidup lagi Eton! Aku tak nak hidup lagi!” Zenia meraung bagai orang hilang akal.

“Ya Allah... Nia!”

“Kau jangan dekat!” Zenia memberi amaran. Eton menggeleng-geleng.

“Nia! Mengucap... Nia... Ingat Allah. Istighfar Nia...”

Zenia menggeleng laju. Pisau di tangan sudah berada di pergelangan tangannya.

“Nia... ini bukan caranya Nia. Kau tahu kan bunuh diri tu dosa besar? Allah bagi kau peluang untuk bertaubat. Jangan sia-siakan peluang tu! Aku tak sanggup tengok kau macam ni Nia...” Eton masih tetap memujuk.

“Kau jangan lemah macam ni Nia. Aku tahu kau kuat. Aku janji aku akan tolong kau hadapi semua ni. Jangan macam ni Nia...” Air mata Eton sudah mula menitis.

“Ingat ibu dan ayah kau. Ingat Allah Nia...” Perlahanlahan Zenia jatuh terduduk di atas lantai. Air matanya menitis. Eton terus mendekati Zenia. Pisau di tangan Zenia dilarikan sebelum menarik tubuh gadis itu ke dalam pelukannya. “Ingat Allah Nia... mengucap banyak-banyak...” Zenia masih terus teresak di bahu Eton.

“Kau silap kalau kau fikir kau dah tak ada siapa-siapa sekarang. Kau masih ada aku. Dan paling penting kau masih ada Allah. Tak ada istilah terlambat untuk bertaubat Nia...” Lembut suara Eton memujuk.

Zenia mengangguk-angguk. Kesedaran datang dalam dirinya. Allah itu Maha Pengampun. Sebesar mana pun dosa hamba-Nya, Dia akan tetap memaafkan asalkan hamba-Nya mahu bertaubat. Taubat nasuha. Taubat sesungguh hati.

‘Ya Allah... ampuni kekhilafanku, kelalaianku, kelekaanku selama ini Ya Rabb...’ Bisik hati Zenia penuh kesayuan.

“IBU SIHAT?” Zenia bertanya sambil menahan air mata gugur lagi ke pipi. Bibirnya diketap. Cuba menepis rasa sebak yang merantai hati. Kalaulah ibu tahu...

“Sihat! Ayah pun sihat. Nia macam mana?” Ceria suara Maryam membalas.

“Nia sihat bu...” Menitis juga air mata. Zenia menyapu perlahan dengan hujung jari. Esakannya ditahan sekuat hati agar tidak sampai ke telinga ibunya.

“Nia dah nak exam. Tak sabar nak balik kampung.” Ujar Zenia. Memaksa suaranya agar kedengaran lebih ceria.

“Ya... ibu doakan Nia mampu jawab dengan baik. Solat jangan tinggal. Berdoa selalu moga Allah permudahkan semuanya.” Nasihat Maryam lembut. Setiap kata-kata ibunya hanya menambahkan perih di hati Zenia.

“Ibu... maafkan semua kesalahan Nia. Nia nak restu ibu dengan ayah untuk exam nanti...”

“Nia selalu dapat restu ibu dan ayah. Tak payah risau pasal tu. Tiap-tiap hari ibu doa untuk Nia moga Allah sentiasa permudahkan jalan untuk Nia...” Maryam ketawa kecil.

‘Ya Allah... berdosanya aku...’ Air mata di pipi Zenia semakin lebat. Sungguh dia tidak sanggup lagi untuk meneruskan perbualan.

“Okeylah bu... Nia nak tidur. Kirim salam kat ayah ya. Nia sayang ibu.”

“Ibu pun sayang Nia...” Zenia meletakkan kepala ke bantal setelah mematikan talian. Patung Hayyan Comel ditarik rapat ke dada dengan pipi yang masih lagi basah. Air mata sudah menjadi peneman setianya kini. Setiap hari, setiap malam sebelum tidur.

“Nia...” Panggil Eton. Zenia diam tidak menyahut.

“Kau nak aku beritahu Hayyan pasal ni?” Tanya Eton hati-hati.

Zenia menggeleng lambat-lambat. Hayyan tidak perlu tahu. Dia malu untuk berdepan dengan lelaki itu lagi. Rantai pemberian Hayyan erat dalam genggamannya. Dibawa perlahan ke dadanya. Biarlah...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience