Bab 38

Romance Completed 79607

TAMAT saja kertas yang terakhir, Zenia terus pulang ke kampung tanpa menunggu Eton pulang ke bilik terlebih dahulu. Patung Hayyan Comel sengaja ditinggalkan di atas katil. Biarlah. Dia sudah tidak perlukan patung itu lagi. Langkah kaki diseret perlahan untuk turun. Ketika berjalan keluar dari kawasan kolej, dia masih berharap dapat bertemu Hayyan. Bertemu untuk kali terakhir mungkin. Namun hingga ke saat kakinya melangkah keluar, bayangan Hayyan tetap tidak kelihatan. Zenia ukir senyum pahit. Satu kenyataan yang sangat pedih untuk dikenang.

Di depan ibu dan ayah, Zenia tunduk mengaku kesalahan yang dia telah lakukan. Tiada guna menyembunyikannya kerana lambat-laun mereka akan tahu juga. Air mata yang lebat di pipi disapu perlahan dengan hujung jemari.

“Kenapa sampai jadi macam ni Nia? Kenapa buat ibu dan ayah macam ni? Kenapa Nia?” Esak Maryam pilu.

“Nia mintak maaf ibu, ayah. Ampunkan Nia...” Zenia sujud mencium kaki kedua-dua orang tuanya. Terasa kepalanya disentuh. Dia mendongak memandang ayah.

“Bukan salah Nia sorang. Salah ayah dan ibu jugak sebab jarang ambik tahu pasal Nia selama ni. Kami ingatkan Nia mampu jaga diri sendiri... tapi kami silap. Nia tanggungjawab ayah dan ibu. Ayah dan ibu yang salah. Bukan Nia...”

Tangisan Zenia pecah lagi. Dipeluk erat kedua-dua ayah dan ibu. Syukur Alhamdulillah... walaupun jelas dia yang berdosa, mereka berdua tetap tidak membuangnya. Masih memberi peluang untuk dia menebus kesalahan lalu.

Namun tak selamanya langit itu akan terus cerah. Setiap hari Zenia menjeruk rasa mendengar sindiran ibuibu saudaranya, jiran-jiran tetangga dan rakan-rakan yang tinggal berdekatan rumahnya. Dia tahu ibu dan ayah sentiasa menyokongnya. Tetapi sampai suatu ketika dia rebah juga. Lalu, keputusan yang paling sukar terpaksa diambil. Dia rela meninggalkan rumah kalau itu dapat mengurangkan beban perasaan malu dan sedih yang melingkari hati ayah dan ibu. Dia rela berhenti belajar walaupun masih tinggal satu tahun lagi tempoh pengajiannya. Dia rela...

Maryam mengusap kepala Zenia. Esakannya masih berpanjangan.

“Nia betul ke nak tinggalkan ibu? Tinggalkan ayah?”

“Nia terpaksa bu... Nia tak nak... sebab Nia, ibu dengan ayah kena hina dengan orang kampung. Nia sanggup pergi kalau itu yang boleh buat orang kampung tutup mulut...”

“Tapi Nia nak ke mana sayang?”

“Itu ibu jangan risau. Pandailah Nia nak hidup sendiri lepas ni. Cuma Nia minta ibu doakan Nia supaya Nia terus kuat. Boleh kan ibu?” Zenia meminta dalam tangis.

Maryam terus memeluk Zenia dengan erat. Hati seorang ibu terasa amat pedih apabila satu-satunya anak yang dia ada akan pergi meninggalkannya. Pergi ke suatu tempat yang dia sendiri tidak tahu di mana. Dahi Zenia dikucup lama. Menzahirkan rasa kasih dan sayang yang tidak mungkin akan pudar walau apa saja yang terjadi.

“Nia sayang ibu...” Bisik Zenia perlahan.

“Ibu pun sayang Nia...” Balas Maryam.

Zenia melepaskan pelukan ibu lalu memusingkan tubuhnya memandang ayah pula. Tangan yang sudah berkedut itu dicapai lalu dikucup. Air hangat yang mengalir menyentuh tangan itu membuatkan Mokhtar sebak. Terus tubuh Zenia ditarik ke dalam pelukannya. Walau apa pun yang terjadi Zenia tetap anaknya. Biarlah orang terus menghina dan mencaci, tidak sedikit pun rasa kasih dan sayang untuk Zenia pudar.

“Nia mintak maaf ayah...”

“Nia tak salah. Semua ni salah ayah. Ayah yang tak pandai didik Nia. Ayah tak bertegas dengan Nia selama ni. Maafkan ayah sayang...”

“Jaga diri baik-baik Nia. Selalu telefon ibu dengan ayah. Jaga kesihatan. Jaga anak dalam kandungan.” Pesan Maryam untuk kali terakhir.

‘Ya Allah... ampunkan aku kerana terpaksa meninggalkan mereka. Aku pergi kerana aku tak sanggup melihat mereka dicerca dan dihina setiap hari. Jika dengan ketiadaanku orang sekeliling akan lupa semuanya, aku rela pergi.’

“RIZ DAH fikir masak-masak?” Datin Asmida bertanya mahukan kepastian.

Hayyan yang duduk menyandar di sofa sekadar mengangguk.

“Biarlah ma... Bagi peluang untuk Riz bina hidup dia sendiri. Eny sokong kalau dia pergi sana.” Sampuk Herny. Sekilas dia memandang Hayyan. Ada senyuman nipis di bibir adiknya itu. Tanda ucapan terima kasih.

Datin Asmida mengambil tempat di sebelah Hayyan. Bahu anaknya itu ditepuk-tepuk perlahan.

“Okeylah. Mama setuju kalau dah itu pilihan Riz. Satu yang mama harap... Riz belajar rajin-rajin. Buktikan kepada mama, kepada papa dan kepada kakak yang Riz mampu berjaya.” Kata-kata semangat disuntikkan ke dalam diri Hayyan. Hayyan tersenyum.

“Terima kasih ma.” Lalu tubuh mamanya itu dipeluk erat.

Datin Asmida membalas pelukan itu. Dia sudah dapat semula anaknya yang ‘hilang’ selama ini. Hayyan Rizqi. Anak yang dikasihi sepenuh hati. Tak mungkin dapat ditukar ganti walau dengan apa sekalipun.

Herny dihurung rasa terharu. Dia menghampiri mama dan Hayyan lalu memeluk kedua-duanya. Insya-Allah. Segalagalanya akan lebih baik nanti.

SEJAK MENINGGALKAN rumah, Zenia belajar untuk hidup berdikari. Walaupun pada awalnya dia tidak inginkan anak dalam kandungannya itu tetapi akhirnya dia sedar kerana anak itu, dia menjadi semakin kuat untuk meneruskan hidup. Zenia bersyukur kerana diterima untuk bekerja di sebuah kedai makan sebagai seorang pelayan. Walaupun gajinya tidak seberapa, tapi itu sudah cukup sebagai permulaan untuk fasa baru dalam hidupnya.

Ibu dan ayah tidak pernah lupa untuk menelefon.

Setiap kali menelefon, pasti mereka memujuk supaya Zenia pulang ke rumah. Namun bagi Zenia, biarlah dia belajar untuk hidup sendiri dahulu. Kesusahan telah mengajarnya untuk menjadi insan yang lebih bersyukur dan yang penting lebih dekat dengan Yang Maha Pencipta.

Eton juga sudah tidak dihubungi. Zenia telah menukar nombor telefonnya. Sengaja menyepikan diri daripada gadis itu.

“Hai Nia! Macam mana hari ni? Okey?”

Zatie yang tiba-tiba menegur mengejutkan Zenia yang sedang mengelap sebuah meja di dalam restoran tempat dia bekerja itu. Zatie, adik kepada pemilik kedai itu sangat baik orangnya. Selalu mengambil berat tentang dirinya. Zatie juga sudah menjadi sahabat baiknya semenjak hari pertama dia bekerja di situ. Kepada Zatie juga dia menceritakan kisah hidup yang telah dilalui sebelum ini. Syukur. Mereka sekeluarga masih menerima dia di situ walaupun tahu dia mengandungkan anak luar nikah.

“Okey.” Jawab Zenia sambil tersenyum. Rambut yang berjuntaian di tepi dahi diselit di celah telinga. Alhamdulillah. Dia tidak mengalami alahan yang teruk ketika mengandung. Disebabkan itu juga dia mampu bekerja untuk menyara diri dan anaknya yang bakal lahir itu.

“Aku tengok kau ni kerja kuat sangatlah. Sepatutnya kau kena banyakkan berehat. Kau kan mengandung.” Tegur Zatie sambil menarik kerusi lalu duduk di depan Zenia.

Zenia menggeleng dengan senyum hambar.

“Kalau aku tak kerja, macam mana aku nak sara diri aku? Hidup kat sini bukannya senang Tie. Lagipun orang cakap kalau masa mengandung banyak bergerak, nanti senang nak bersalin.”

Zatie angkat bahu. Bukan sekali dua dia menasihati Zenia tapi tetap itu juga yang dijawabnya. Bukannya apa, dia risau kalau-kalau sesuatu menimpa rakannya itu. Walaupun dia kenal Zenia tak lama, tapi dia sudah menganggap gadis itu seperti ahli keluarganya sendiri. Lagipun siapa lagi yang boleh Zenia harapkan kalau bukan dia?

“Eh, kau datang sini ni tak kerja ke?” Zenia bertanya ketika teringatkan hal itu.

“Sekarang waktu rehatlah. Kau kerja kuat sangat sampai waktu rehat pun tak sedar.” Bebel Zatie. Zenia ketawa kecil.

“Tak adalah...”

“Jom! Join aku lunch.” Zatie mengajak. Tangannya menarik kerusi di sebelah untuk Zenia duduk di situ.

“Aku kena kerjalah.” Bantah Zenia perlahan.

“Sekejap aje. Kakak aku bukannya kejam sangat sampai tak nak bagi kau rehat langsung. Dah... duduk. Aku belanja.” Tegas Zatie.

Mahu tidak mahu terpaksalah Zenia menurut. Dalam hati sempat dia melafazkan syukur kerana Allah menemukan dia dengan orang sebaik Zatie pada saat dia terasa kehilangan seluruh hidupnya.

Memandang tingkah Zatie yang sangat baik dengannya, dia teringatkan Hayyan. Minggu lepas dia bertemu Kamil yang secara kebetulan singgah di restoran itu untuk makan tengah hari. Nasibnya baik kerana ketika itu dia memakai baju yang agak besar sekali gus melindungi perutnya yang belum sebesar mana.

Zenia mendapat tahu daripada lelaki itu bahawa Hayyan sudah meninggalkan bumi Malaysia. Kata Kamil, Hayyan pergi menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Hanya Tuhan yang tahu betapa peritnya hati menanggung rasa bersalah kepada Hayyan. Cuma satu doanya, walaupun di mana saja Hayyan berada, moga lelaki itu terus berada di dalam reda-Nya.

HAYYAN TERMENUNG di tepi tingkap. Suasana yang tenang dan damai sedikit sebanyak mampu menghantar rasa nyaman dalam hatinya. Bayangan wajah seseorang bermain di ruangan mata. Wajah yang sedang tersenyum ke arahnya. Tanpa sedar, bibir Hayyan turut sama mengukir senyuman.

Hayyan menguak rambutnya yang sudah semakin panjang ke belakang. Mata dipejamkan dengan keluhan yang terlepas dari mulutnya. Sejauh mana pun dia lari, sekuat mana pun dia berusaha, perasaan cinta untuk Zenia masih kuat. Tidak dapat dibuang walau dia berusaha untuk membuang gadis itu dari ingatan.

Dua bulan Hayyan di bumi London, mama menghubunginya dengan satu berita.

“Mama nak kenalkan Riz dengan anak kawan mama. Baik budaknya Riz.”

Hanya ayat-ayat ringkas. Tetapi Hayyan sudah faham kehendak orang tuanya itu. Mungkin mama fikir dia tak pandai soal mencari kekasih hati sampaikan terpaksa memilih jodoh untuknya.

“Siapa dia ma?”

“Namanya Zanariah. Mama berkenan dengan dia Riz. Mama yakin dia memang yang terbaik untuk Riz.”

“Mama buatlah apa yang mama rasa baik untuk Riz. Riz ikut aje ma.” Balas Hayyan dengan suara lemah. Biarlah... dia sudah malas memikirkan soal cinta. Kalau mama yakin Zanariah yang terbaik untuknya, dia akan menerima.

Pandangan Hayyan kini terarah pada gambar seorang gadis yang terpampang di skrin komputer ribanya. Gambar yang dihantar melalui emel oleh mamanya. Gambar gadis yang telah pun menjadi tunangannya. Mengikut kata mama, sebaik saja dia menamatkan pelajarannya nanti, mereka berdua akan dinikahkan.

Hayyan sedikit pun tidak menghalang kerana dia percaya sepenuhnya dengan pilihan mama. Mungkin benar gadis itu jodohnya. Cuma untuk melupakan Zenia memang satu perkara yang amat mustahil. Tapi Hayyan tahu kalau Allah tetapkan Zanariah untuknya, pasti Allah juga akan meniupkan rasa sayang untuk gadis itu apabila tiba masanya nanti.

“Termenung lagi?” Safwan yang baru masuk ke bilik itu terus bertanya. Beg di bahu diletakkan di tepi katil sebelum dia terus baring di katil yang sama. Dua bulan tinggal sebilik dengan Hayyan. Semua kisah lelaki itu sudah tersimpan kemas dalam poketnya.

Hayyan berlalu menjauhi tingkap. Dia duduk di katil sambil menyandar tenang di kepala katil.

“Aku dah bertunang.” Maklumnya. Safwan teranggukangguk.

“Alhamdulillah...”

“Kau rasa, betul ke apa yang aku buat ni?” Pandangan Hayyan kini terarah ke muka Safwan. Safwan silangkan keduadua tangan di bawah kepala.

“Aku nak cakap pun tak pandai jugak. Tapi rasanya kalau kau sendiri pun dah setuju, kira okeylah tu. Manalah tahu memang tunang kau dah ditakdirkan akan jadi isteri kau nanti. Jodoh Riz...” Balasnya.

Hayyan diam mengunci mulut. Ya. Jodoh. Macam yang dia katakan tadi, kalau betul Zanariah jodohnya, rasa cinta itu akan tumbuh juga suatu hari nanti.

MUHAMMAD ADAM Rizq Bin Abdullah selamat dilahirkan ke dunia. Cukup sifatnya. Ibarat seperti kapas yang bersih tanpa sebarang kotoran. Zenia sedar yang melakukan dosa adalah dia dan Azfar dan tidak layak untuk sesiapa pun menghukum Adam yang tidak berdosa. Malah, nama untuk anaknya itu juga dipilih sempena nama seorang lelaki yang sangat bermakna dalam hidupnya. Walaupun dia tidak mungkin bertemu Hayyan Rizqi lagi, cukuplah dia ada Muhammad Adam Rizq di sisinya.

Zenia bersyukur sangat-sangat apabila abang Zatie, Hafizi sudi untuk mengazankan Adam.

“Nia... aku tahu aku dah banyak buat baik dengan kau. Tapi kalau aku nak buat baik dengan kau lagi, boleh tak?” Zatie bertanya tiba-tiba dengan senyuman mengusik. Zenia mengerutkan dahi. Tidak faham apa maksud gadis itu. Zatie tersenyum penuh makna.

“Bos aku tengah nak pakai orang. Kau nak kerja dengan dia tak?”

Zenia terdiam tanpa kata. Bermacam-macam perasaan bermain di hati dan fikirannya kini. Entah bagaimana mahu dia mengucapkan rasa terima kasih yang menggunung tinggi dalam hatinya.

“Nak tak?”

“Tapi aku tak ada kelulusan Tie. Aku belajar pun tak habis...”

Zatie mengangkat kedua-dua tangannya sekali gus memaksa Zenia berhenti bercakap.

“Aku dah cerita kepada dia tentang kau dan dia tak kisah. Kau tak tahu betapa baiknya bos aku tu. Kau cuma perlu cakap ‘ya’ dan pergi temuduga. Aku yakin kau akan dapat kerja tu.”

“Kau cerita pasal aku?” Tersentak Zenia mendengar penerangan Zatie itu. Zatie mengangguk.

“Jangan salah faham. Aku cuma cakap yang kau perlukan kerja yang lebih baik daripada kerja seorang pelayan restoran. Kau perlukan duit untuk sara Adam.” Jelasnya. Kepada Encik Khairil dia mengatakan Zenia seorang janda yang diceraikan suami dan terpaksa menjaga seorang anak yang baru lahir.

Zenia mengesat air mata di pipinya.

“Bila aku boleh pergi temuduga tu?”

“Selepas kau habis pantang.” Zatie tersenyum manis.

“Kau jangan risau. Bos aku tu memang dah ‘cop’ tempat tu untuk kau.”

Tak terucap rasanya ucapan terima kasih untuk Zatie. Masih ada insan yang berhati mulia begitu di dunia ini. Lafaz syukur bergema di setiap sudut ruang hatinya. Alhamdulillah.

Terima kasih Ya Allah...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience