Bab 57

Romance Completed 79607

“SAYA tak boleh teruskan hubungan ni.” Tenang Hayyan menyusun sebaris ucapan itu. Tetapi tidak hati Zanariah yang menerimanya.

“Selepas empat tahun?” Senyuman pahit terukir di bibir. Hayyan diam.

“Selepas empat tahun saya tunggu, ini yang saya dapat?” Zanariah mengulangi pertanyaannya. Hayyan masih tetap diam.

“Jangan diam Riz. Jawablah” Pinta Zanariah.

“Saya tak pernah minta awak tunggu saya.” Keluar juga suara Hayyan.

“And you never asked me to leave.” Tekan Zanariah. Entah kenapa dia rasa sebak tiba-tiba. Adakah kerana Hayyan mahu memutuskan hubungan mereka setelah empat tahun dia menunggu atau adakah kerana dia kecewa kerana ada cinta di hatinya untuk Hayyan?

“I am now.” Hayyan memberanikan diri merenung wajah Zanariah. Gadis itu jelas terkejut dengan apa yang baru sahaja keluar dari bibirnya. Biarlah. Itu lebih baik daripada dia terus memberikan gadis itu harapan palsu.

Zanariah menggeleng. Ada gelak pedih di hujung bibirnya.

“Semua ni sebab perempuan yang datang ofis awak semalam ke?”

“Awak tak ada hak untuk tahu hal tu.” Balas Hayyan.

“Saya tunang awak. Saya ada hak untuk tahu!” Nada suara Zanariah meninggi sedikit.

“Saya ingat awak tak pernah peduli pun dengan gelaran tu sebelum ni.” Perlahan Hayyan membalas. Zanariah cuba menyabarkan hati yang tiba-tiba terasa panas.

“Itu sebelum saya jumpa awak.”

“Jadi kita memang tak patut jumpa. Cuma dengan cara tu kita boleh putus dengan cara yang paling mudah.” “Rizqi!” Zanariah sudah hilang sabar.

Kenapa Hayyan boleh bercakap semudah itu? Semudah itu mengikat pertunangan dan semudah itu juga memutuskannya setelah merasakan ia tidak penting lagi? Kalau memang tidak penting, kenapa tidak diputuskan dari dulu lagi? Kenapa perlu menunggu selepas empat tahun? Kenapa perlu menunggu selepas dia benar-benar sudah jatuh cinta dengan lelaki itu?

Namun bagi Hayyan, ia tidak begitu. Dia sanggup gunakan apa sahaja cara asalkan Zanariah setuju untuk membatalkan perkahwinan mereka. Otaknya kosong. Dia sudah tidak mampu untuk berfikir apa-apa lagi. Dia tidak peduli lagi seandainya kata-katanya bakal melukakan hati Zanariah yang sudah sedia tercalar.

“We end it now.”

“No!” Bantah Zanariah. Hayyan terdiam. Merenung gadis itu dengan mata yang tidak berkelip.

Zanariah bangkit berdiri. “Kalau awak minta kita batalkan perkahwinan kita tiga bulan yang lepas, saya akan setuju. Tapi sekarang...” Gelengannya mengakhiri perbualan itu sebelum dia terus berlalu meninggalkan Hayyan di situ.

Hayyan meraup mukanya dengan tapak tangan. Kusut!

KAKI KIRI menekan brek dengan perlahan. Fokus matanya kini lurus merenung ke depan. Jelas di depan mata, Zenia dan Adam bersama seorang lelaki. Apa yang membuatkan hatinya bagaikan dihentak tanpa belas kasihan apabila melihat lelaki itu memeluk dan mendukung Adam. Manakala Zenia pula tersenyum di sebelahnya.

Azfar!

Sejak bila Zenia berhubungan semula dengan lelaki itu? Kenapa dia tidak pernah tahu tentang itu? Kenapa Zenia perlu menyorokkan semua itu daripadanya?

Hayyan terus menunggu di dalam keretanya sambil merenung apa yang sedang berlaku di depan pagar rumah Zenia itu. Azfar meletakkan Adam dan secepatnya anak itu berlari masuk ke dalam rumah. Zenia dan Azfar berbual pendek sebelum lelaki itu akhirnya meminta diri. Sempat Hayyan menangkap lambaian kecil Zenia untuk Azfar.

Hilang sahaja kereta Azfar dari pandangan, Hayyan kembali menekan minyak. Keretanya kemudian berhenti betulbetul di depan pagar rumah Zenia. Zenia yang ketika itu sudah hampir masuk ke dalam kembali berpaling.

Hayyan turun dari kereta. Melihat lelaki itu, Zenia terpaku di situ tanpa kata.

Hayyan berdiri di depan pagar sambil mengunci mulut. Hanya sepasang matanya yang merenung wajah Zenia tanpa jemu. Dia perasan leher Zenia yang kosong tanpa rantai pemberiannya lagi. Lama dia menunggu untuk melihat Zenia memakai rantai itu semula tapi hanya dalam sekelip mata semua itu musnah.

“Hayyan!” Zenia memanggil perlahan. Wajah Hayyan nampak terluka. Adakah dia nampak apa yang berlaku tadi?

“Azfar?” Perlahan nama itu meniti di bibir Hayyan. Zenia mengetap bibir. Kepalanya ditundukkan.

“Sejak bila awak berkawan dengan dia semula?” Masih dalam nada yang sama Hayyan bertanya.

“Dah lama.” Hanya itu yang dijawab Zenia. Dia tahu Hayyan terluka tetapi dia tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia sendiri juga terluka.

“Kenapa awak tak pernah beritahu saya selama ni?” Tanya Hayyan lagi. Wajah Zenia masih direnung.

“Tak penting untuk awak tahu.” Zenia mengeraskan hati. Dia menoleh pandang ke arah lain. Memandang wajah terluka Hayyan hanya akan mengundang air matanya.

Hayyan tersenyum pedih.

“Tak penting untuk saya tahu atau saya memang tak pernah penting untuk awak?”

Tersentap jantung Zenia mendengar pertanyaan itu. Dia mahu menjawab tetapi bibirnya seolah-olah lumpuh.

“Sejak dulu... saya memang tak pernah penting dalam hidup awak, kan Nia?” Hayyan membuang pandang. Terasa pandangannya kabur ketika itu.

Zenia menggenggam jemari sendiri. Dia tidak kuat mendengar luahan Hayyan itu.

“Dulu... awak tinggalkan saya sebab dia. Tapi saya bodoh. Tetap sayangkan awak. Tetap mahukan awak dalam hidup saya. Dan sekarang, awak nak tinggalkan saya lagi. Kali kedua Nia. Kali kedua.”

Menitis juga air mata Zenia.

Hayyan terangguk sendiri. Mengerti.

“Saya memang tak pernah penting dalam hidup awak.” Dan tanpa memandang Zenia lagi, Hayyan terus berlalu masuk ke kereta dan memandu pergi.

Zenia berpaut pada pintu pagar. Air matanya semakin lebat menuruni pipi. Dia nampak betapa terlukanya Hayyan. Dia boleh rasa kekecewaan lelaki itu.

‘Ya Allah... kenapa aku terlalu kejam? Aku berjanji untuk tidak melukakan dia lagi... tapi aku gagal. Aku mungkir janji. Aku kejam. Aku kejam!’ Zenia terduduk di situ dengan tangisan yang bagaikan tiada penghujung.?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience