Bab 40

Romance Completed 79607

ADAM tersenyum riang melihat mamanya di depan pintu pagar sekolah tadikanya itu. Dan senyuman itu kian melebar memandang lelaki di sebelah mamanya. Uncle Hayyan!

“Adam bukan main happy lagi tadi bila dia cakap hari ni mama dia nak datang ambik awal.” Cikgu Hilda membuka cerita tentang Adam yang sudah berada dalam dukungan mamanya.

Zenia ketawa kecil.

“Yalah. Kebetulan saya tak masuk kerja hari ni. Bolehlah ambik dia awal sikit.” Balasnya.

Cikgu Hilda mengangguk setuju. Pandangannya kini terarah kepada lelaki yang masih setia berdiri di sebelah Zenia. Perasan dirinya menjadi perhatian, Hayyan pantas mengukir senyuman.

“Hayyan... bakal suami Puan Iris.” Selamba Hayyan memperkenalkan diri sendiri. Terbuntang biji mata Zenia mendengar sebaris ayat itu. Mukanya memerah. Entah mana nak disorok muka. Apatah lagi apabila melihat senyuman lebar Cikgu Hilda.

“Ohh... Puan Iris dah nak kahwin ya? Tahniah.” Mesra Cikgu Hilda memegang tangan Zenia. Sudah pastilah dia tumpang gembira mendengar berita itu. Tak lama lagi Adam akan punya ayah macam orang lain.

“Err... okeylah. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Kalut Zenia mencelah. Tangan dihulurkan untuk bersalaman. Kemudian cepat-cepat Zenia menarik hujung lengan baju Hayyan supaya mengikutnya.

“Adam masuk kereta dulu sayang.” Arah Zenia sambil membukakan pintu kereta untuk anaknya itu. Kemudian dia berpaling memandang Hayyan yang berdiri tegak di belakangnya.

“Kenapa cakap macam tu?” Serius Zenia bertanya.

“Cakap apa?” Hayyan pura-pura tidak faham.

Zenia mengetap bibir. “Hayyan!”

“Awak lapar tak? Adam mesti lapar, kan? Jom! Kita pergi makan dulu.” Tanpa menunggu jawapan Zenia, Hayyan segera masuk ke kereta.

Zenia yang geram ikut sama masuk ke kereta.

“Adam lapar tak? Kita pergi makan nak?” Hayyan memusingkan tubuhnya memandang Adam di belakang. Adam mengangguk laju.

“Nak! Nak! Adam lapar sangat ni...” Perutnya digosokgosok dengan riak muka kasihan.

“Adam nak makan apa?”

“Hmm...” Adam berfikir-fikir seketika. “Hah! Adam nak makan burger. Boleh tak uncle?”

“Okey... Adam nak burger kecik ke burger besar?”

“Besar!” Laju Adam menjawab. Hayyan tergelak melihat reaksi itu.

“Okey. Jom kita pergi makan burger.” “Yeayyy!” Adam bersorak gembira.

Zenia membuang pandang ke luar cermin tingkap kereta. Dalam diam, dia kagum dengan cara Hayyan melayan Adam. Dah macam seorang ayah dengan anak kandung sendiri. Tanpa sedar ada seulas senyuman mencuri keluar dari bibir Zenia.

HAYYAN BERJALAN di sebelah Zenia sambil mendukung Adam. Manakala Zenia sekadar memerhati tingkah kedua-duanya. Selepas makan tadi, Hayyan membawa mereka berdua pergi membeli-belah. Apa saja yang Adam nak, semua dilayannya. Bukan Zenia tak suka tapi dia rasa tak sedap hati. Dia tidak mahu terikat kerana kebaikan Hayyan kepada Adam.

“Adam nak ni tak?” Hayyan menuding ke arah kotak permainan kereta lumba.

“Wah! Bestnya mainan ni uncle. Boleh ke kalau Adam nak?” Adam bertanya polos.

“Tentulah boleh. Adam nak apa aje semua uncle boleh belikan.” Jawab Hayyan.

Apa lagi, bersorak sakanlah Adam di situ. Zenia tergeleng-geleng. Bahu Hayyan dicuit. Lelaki itu menoleh ke arahnya.

“Dahlah tu. Dah banyak sangat awak beli untuk dia ni. Nanti dia naik lemak.” Dibisikkan perlahan kata-kata itu ke telinga Hayyan.

Hayyan tersenyum.

“Tak apalah... bukan selalu pun, kan?”

“Tapi...”

“Adam nak ni, kan? Jom kita pergi bayar.” Tanpa mempedulikan Zenia, Hayyan memimpin tangan Adam menuju ke kaunter bayaran.

Zenia mengeluh panjang. Kalau dah Hayyan tu, memang Hayyan jugak. Hayyan... Hayyan...

SELEPAS MELETAKKAN Adam yang tertidur di atas sofa di ruang tamu, Zenia keluar semula. Hayyan masih setia menunggu di sisi keretanya.

“Thanks untuk hari ni.” Ucap Zenia. Kedua-dua belah tapak tangan digosok sesama sendiri. Sekali lagi terasa janggal bersama Hayyan dalam situasi itu. Hayyan mengangguk.

“Sama-sama. Saya happy tengok Adam happy.”

Sungguh tersentuh hati Zenia mendengar kata-kata Hayyan itu. Ikhlaskah lelaki itu? Atau adakah kebaikan yang dihulurkan hanya kerana ingin mengambil hatinya semula?

“Hayyan... kalau awak buat semua ni...”

“Saya ikhlas Nia.”

Zenia terdiam. Hanya sepasang matanya menatap wajah Hayyan. Redup renungan lelaki itu memanah terus ke hatinya.

“Bila saya tengok Adam, saya tahu dia perlukan kasih sayang seorang ayah. Kalau pun awak masih tak dapat terima saya, saya tetap akan layan dia macam anak saya sendiri.” Tutur Hayyan lagi.

“Tapi Adam tu...”

“Saya tak kisah siapa dia.” Pintas Hayyan sebelum sempat Zenia habis bersuara. Dia tahu apa yang bermain dalam fikiran Zenia.

“Saya tak kisah siapa ayah dia yang sebenarnya. Bagi saya, dia tak salah apa-apa.”

Zenia tertunduk. Setiap kata-kata Hayyan, setiap bicara lelaki itu, menghantar satu rasa indah dalam hatinya. Tetapi dia takut mengakui. Dia takut kalau-kalau dia bakal melukakan Hayyan sekali lagi.

Hayyan diam mengambil nafas. Kalau memang Zenia tidak mahu mengungkit kisah lama mereka berdua, dia akan turutkan. Tetapi itu bukan bermakna dia akan mengalah dalam memenangi hati Zenia semula.

“Saya balik dulu. Jumpa lagi.” Ucap Hayyan.

Zenia diam. Salam yang diberikan Hayyan dijawab perlahan. Langkah lelaki itu diperhati dengan pandangan kosong. Walaupun kereta Hayyan sudah semakin menjauh, dia masih tegak di situ. Merenung langit yang kelihatan semakin gelap.

‘Kalaulah dulu Azfar tidak muncul antara kita, mungkinkah kita sudah bahagia hidup bersama? Kalaulah dulu aku tidak berpaling daripada cintamu dengan memilih Azfar, mungkinkah cinta kita sudah semakin utuh kini?’ Puas ditahan, setitis air matanya gugur juga.

‘Kita ditemukan sekali lagi untuk apa sebenarnya?’

HUJAN SUDAH mula rintik-rintik membasahi bumi Kuala Lumpur. Herny memandang jam tangannya sekali lagi sebelum menoleh ke arah Khairil sambil memberi isyarat mata.

“Papa! Mama Ila! Dah lewat malam ni. Kami berdua beransur dululah ya?” Khairil meminta izin untuk pulang. Sudah agak lama mereka bertamu di rumah kedua Datuk Azlan itu. Asalnya mereka datang selepas pulang dari kerja tadi cuma untuk berkenalan dengan Suhaila, tapi berlarutan pula apabila wanita itu mempelawa mereka berdua untuk makan malam bersama di rumah itu. Ironinya, walaupun sudah bertahuntahun papa berkahwin dengan Suhaila, hatinya baru terbuka untuk mengenali wanita itu.

“Yalah...” Suhaila mengukir senyuman manis menyambut huluran tangan Herny.

“Nanti kalau Eny ada jumpa Riz, sampaikan salam Mama Ila kepada dia ya?”

Herny dan Khairil berbalas pandangan seketika.

“Insya-Allah Mama Ila... Nanti Eny kirim salam kepada dia.”

“Mama Ila teringin sangat nak jumpa Rizqi. Nak kenal dengan dia. Tapi Mama Ila tahu dia takkan sudi jumpa Mama Ila. Agaknya... dia dah benci sangat dengan Mama Ila, kan?” Sayu kedengaran suara Suhaila. Walaupun Herny dan Hayyan cuma anak tirinya, dia tetap menyayangi mereka berdua. Setiap hari dia berdoa dan berharap semoga kedua-dua mereka dapat menerima kehadirannya dalam keluarga mereka dengan hati yang terbuka.

“Ila...” Datuk Azlan memeluk bahu Suhaila dan mengusapnya dengan lembut.

“Janganlah cakap macam tu. Insya-Allah... abang yakin satu hari nanti Rizqi akan faham.” Pujuknya lembut.

Herny mengangguk. “Betul tu Mama Ila. Bagi Riz sikit lagi masa ya?”

Suhaila mengangguk. Harapannya hanya satu, semoga keluarga yang pernah hampir punah kerananya dulu dapat disatukan semula suatu hari nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience