Bab 33

Romance Completed 79646

HAYYAN sedar sekarang Zenia sudah semakin berubah. Semakin jauh. Apa puncanya, dia tidak tahu dan dia hampir pasti dia sudah memberikan yang terbaik dalam hubungan mereka berdua selama ini. Kenapa semua ini harus terjadi pada saat hatinya hanya ada nama Zenia? Kenapa setelah siang dan malamnya hanya terkenangkan Zenia sepanjang masa? Kenapa setelah seluruh hatinya diserahkan hanya untuk gadis itu seorang? Kenapa setelah dia memasang angan untuk hidup bersama Zenia hingga ke akhir waktu?

Kamil menggeleng melihat Hayyan yang bagaikan sedang termenung jauh. Dihampiri rakannya itu.

“Riz...”

Hayyan menoleh. Dibetulkan duduknya supaya muat untuk Kamil duduk di sebelahnya di atas kerusi yang sama.

“Kenapa lagi ni?” Kamil bermukadimah. Tengok cara Hayyan, dia sudah tahu mesti ada masalah melibatkan Zenia lagi.

Hayyan sekadar menggeleng. Malas nak cerita lebih.

Hal Zenia tidak perlulah dicanang satu dunia walaupun sekarang hangat gosip tentang gadis itu sedang diperkatakan di kampus. Lagipun dia yakin Kamil sendiri sudah tahu.

“Aku nak cakap pun serba salah jugak ni.” Kamil hembus nafas. Risau.

“Cakap ajelah. Aku dengar.” Perlahan Hayyan menjawab.

Kamil mengambil masa untuk meneruskan ceritanya. Bukan dia tidak kasihankan Hayyan, tapi rakannya itu tidak boleh dibiarkan terus membutakan diri begitu. Dia yakin Hayyan tahu tentang Zenia cuma lelaki itu memilih untuk tidak mempercayainya.

“Aku bukanlah nak buruk-burukkan Nia tapi... dah ramai orang bercakap pasal dia dengan Azfar. Kau dengan Nia kan couple popular kat kampus. Dah tentu diaorang semua hairan kenapa sekarang ni Nia lagi banyak spend time dengan Azfar.”

Hayyan diam. Kepalanya tunduk merenung lantai. Benar. Dia tidak buta. Dia juga tidak pekak. Tetapi dia memilih untuk jadi buta dan pekak. Sering dipujuk hati untuk tidak mempercayai semua itu. Zenia tak begitu. Nur Iris Zenia yang dikenali, seorang gadis yang lurus dan innocent. Mustahil gadis itu sanggup mencuranginya. Apatah lagi dengan Azfar. Walaupun bukti sudah jelas dan dia sendiri yang melihat semua itu, Hayyan tetap menafikan. Seolah-olah dengan cara itu dia tidak merasa sakitnya dilukai gadis yang sangat dia cintai.

“Buka mata Riz. Aku tahu kau sayang Nia, tapi janganlah sebab sayang kau tu, kau sanggup butakan mata atas apa aje yang dia buat.” Kamil menepuk bahu Hayyan.

Hayyan paksa bibir untuk tersenyum. Anggukkannya membalas nasihat Kamil. Tanpa menjawab apa-apa, dia bangkit meninggalkan Kamil di situ. Orang lain hanya tahu bercakap, sedangkan yang melaluinya dia seorang. Hanya dia.

MUNGKIN ALLAH telah aturkan semuanya jadi begini. Mungkin juga Allah yang mahukan Hayyan melihat semuanya. Semuanya... agar mata yang buta itu mampu melihat apa sebenarnya yang telah berlaku. Tidak disangka pada hari dia keluar seorang diri dengan tujuan menghilangkan perasaan bosan sambil mengubat hati yang lara sendiri, dia terserempak dengan Zenia. Bukan bersendiri, bukan juga bersama Eton bagai yang sering dikata, tetapi bersama Azfar. Berpegangan tangan sambil berbual mesra bagai pasangan kekasih yang sangat bahagia.

Melihat Hayyan di depan mata, Zenia terpaku. Sepantas kilat pegangan tangan Azfar dilepaskan. Masing-masing kaku di situ tanpa suara. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Paling penting tidak tahu reaksi bagaimana yang harus ditunjukkan.

Azfar sembunyi senyum. Jika sepatutnya dia berasa bersalah kerana keluar bersama kekasih rakan sendiri. Perasaan itu langsung tiada dalam hatinya. Malah lebih membahagiakan kerana semuanya berjalan lebih lancar daripada yang dirancang.

Hayyan mengangguk-angguk dengan hati yang pedih. Tidak perlu lagi dia meminta penjelasan Zenia mahupun Azfar. Semuanya sudah jelas kini. Lalu tanpa berkata apa-apa, dia berpusing dan melangkah pergi. Ditahan rasa sebak yang merantai hati. Dia lelaki. Tidak seharusnya dia menitiskan air mata kerana hal remeh sebegini.

Remeh?

Ya. Remeh.

HARI-HARI SETERUSNYA dilalui bagai tiada apa-apa yang telah berlaku. Hayyan tetap tersenyum menemui rakanrakannya. Tetap tertawa jika ada antara mereka buat lawak bodoh. Tetap enjoy main game di hujung minggu. Tetap siapkan assignment yang diberikan mengikut masa yang ditetapkan. Tetap melaksanakan final project mengikut tempoh waktu yang diberi. Tetap fokus ketika berada di dalam kelas. Tetap tersenyum hormat setiap kali terserempak dengan pensyarah di fakulti dan tetap mengulang kaji untuk peperiksaan akan datang.

Sekalipun dia tidak menghubungi Zenia. Baginya, kalau Zenia sudah memutuskan untuk pergi bersama Azfar, pergi sahajalah. Tidak perlu meminta untuk dilepaskan. Tidak perlu dilafazkan kata-kata perpisahan. Menyaksikan semuanya sahaja Hayyan sudah cukup terluka. Apatah lagi sekiranya mendengar kata perpisahan dari bibir Zenia.

Bukan tidak ada Zenia menghubunginya, malah sudah berkali-kali setiap hari. Namun Hayyan pekakkan telinga. Dia tidak mahu mendengar apa-apa daripada Zenia lagi. Cukuplah hatinya dilukai sekejam itu.

Bohonglah kalau dia kata langsung tidak rindukan Zenia. Setiap kali tiba waktu malam, ditemani hujan yang mencurah ke bumi dalam suasana yang dingin, ketika itu rasa rindunya sering memuncak. Tetapi untuk apa perasaan itu kalau Zenia tidak pernah menghargai. Kalau benar Zenia ingin pergi, pergi sahajalah. Dan dia akan meletakkan noktah pada hubungan mereka berdua.

Kutahu dari gerak-gerimu

Adanya sesuatu mengganggu fikiranmu

Ku tahu kau tak seperti dulu

Masa telah mencemar kemesraan kita

Ku sedar sinaran kian pudar

Hati semakin kuat menguji kesabaran

Namunku sukar untuk melepaskan

Andai kau ingin pergi tunai permintaan ini

Jangan lafazkannya hasrat di jiwa

Oh kerana ia kan menambah luka

Biarku sendiri mengubati hati

Jangan lafaz kau sudah membenci

Tak ingin kucuba untuk mengerti

Berdepan realiti kau tak cintai lagi

Tak ingin tahu apa terjadi

Kau dah punya pengganti

Biar ku butakan hati

Janganlah lafaz apa yang kau rasa

Kerana semua sudah kubaca Tak usah kau ucap selamat tinggal Pergilah, jangan kau lafazkan...

“NIA! BILA awak nak settle dengan Hayyan?” Suara lembut itu membunuh lamunan Zenia. Suara yang sering menemani hari-harinya kini. Bukan lagi suara Hayyan, tetapi suara Azfar. Zenia akur yang dia tidak dapat menolak kehendak hati yang mahukan Azfar dalam hidupnya.

“Saya dah banyak kali cuba call dia tapi dia tak pernah jawab. Awak bagi saya masa lagi sikit. Boleh?” Balas Zenia dengan suara lembut.

Azfar hulur senyum. Tangan Zenia yang putih dan halus itu dicapai dan digenggam erat. Perlahan tangan itu dibawa ke bibir. Sesuatu yang tidak pernah Hayyan lakukan.

“Okey sayang... saya boleh tunggu. Asalkan awak tak balik kepada dia semula.”

Zenia menggeleng.

“Tak mungkin. Kan saya dah ada awak.”

Kembang hati Azfar mendengar sebaris ayat itu.

“Kisah saya dengan Hayyan dah jadi sejarah. Tak guna nak kenang lagi.” Zenia meyakinkan. Mungkin tidak adil bagi Hayyan, tapi itu kenyataannya. Zenia sendiri tidak tahu kenapa semudah itu perasaan untuk Hayyan hilang kesemuanya.

“Awak yakin?” Azfar masih mahukan kepastian. Zenia mengangguk. Ada senyuman manis di bibirnya. Sekali lagi Azfar membawa tangan Zenia ke bibirnya.

HAYYAN TIDAK dapat mengelak lagi apabila Zenia sendiri sudah muncul di depan matanya. Dia menunduk pura-pura tidak nampak dan terus berjalan. Namun Zenia pantas menghalang.

“Hayyan!”

Hayyan berhenti melangkah. Zenia kini berdiri betulbetul di depan matanya. Kepalanya masih lagi menunduk. Tidak sanggup menatap wajah Zenia. Apatah lagi sepasang matanya itu pernah memancarkan cinta buatnya dulu.

“Hayyan, sampai bila awak nak mengelak daripada saya ni?” Tanya Zenia.

“Saya sibuk.”

“Hayyan! Please! Kita sama-sama sedar apa yang dah jadi antara kita. Kenapa awak tetap nak nafikan lagi?” Wajah Hayyan direnung. Wajah itu nampak terluka. Zenia rasa sebak tiba-tiba.

“Tak ada apa yang nak dicakapkan lagi.” Itu sahaja balasan Hayyan. Dia mula melangkah tetapi masih sempat dihalang Zenia.

“Saya nak putus.” Senafas Zenia menuturkan sebaris ayat itu.

Hayyan terasa dunianya gelap tiba-tiba. Sebaris ucapan yang paling tidak mahu didengarinya akhirnya dilafazkan juga oleh Zenia. Betapa pedihnya sang hati kala ini.

“Saya tak boleh teruskan hubungan ni lagi...”

“Kenapa Nia? Apa salah saya?” Lirih suara Hayyan bertanya. Zenia menunduk. Kolam matanya penuh dengan air jernih. Walaupun memang ini yang dimahukan, hatinya tetap terasa berat. Entah kenapa...

“Apa salah saya Nia? Saya ada lukakan hati awak ke? Saya ada buat awak nangis ke? Saya ada buat awak kecewa ke?”

Hanya gelengan yang mampu Zenia berikan sebagai jawapan kepada soalan-soalan Hayyan itu. Sesungguhnya Hayyan tak pernah buat salah kepadanya. Tak pernah buat dia menangis. Tak pernah kecewakan dia. Cuma... hatinya sendiri yang berubah memilih insan lain.

“Sebab Azfar?”

“Saya mintak maaf Hayyan. Saya tak mampu pertahankan hubungan kita...” Hayyan menggeleng.

“Bukan salah awak Nia. Salah saya sebab saya yang tak pandai jaga hati awak. Saya leka sampaikan hati awak boleh beralih untuk orang lain. Salah saya...”

Puas ditahan, menitis juga air mata Zenia. Dia tahu Hayyan juga menangis. Tetapi tangisannya cuma kedengaran dalam hati. Apa yang sebenarnya berlaku antara kita Hayyan? Mana silapnya?

“Saya mintak maaf Hayyan...”

“Bukan salah awak Nia. Bukan salah awak...” Berkalikali kata-kata itu diulang Hayyan.

Zenia mengesat air mata di pipinya. Kepalanya menunduk. Kenapa berat sangat perasaan yang ditanggung kala ini? Seolah-olah hati tidak merelakan.

“Nia...” Zenia mengangkat muka. Sayu renungan Hayyan memanah wajahnya.

“Janji dengan saya...” Pinta Hayyan. Zenia mengetap bibir. Diam menanti kata-kata Hayyan yang seterusnya.

“Janji dengan saya... awak takkan jadi wanita yang lemah walau apa pun yang jadi dalam hidup awak lepas ni. Jangan mudah mengalah. Awak kena kuat.” Zenia mengangguk perlahan.

“Janji awak akan jaga diri awak. Jaga diri awak baikbaik sebab lepas ni saya dah tak ada nak jaga awak...”

Menitis lagi air mata Zenia. Dia menundukkan wajah.

“Janji...” Hayyan berjeda seketika. Seolah-olah payah benar dia mahu menuturkannya.

“Janji awak takkan rindu saya.”

Esakan kecil Zenia kedengaran juga akhirnya. Hatinya terasa ngilu mendengar pesanan itu. Mampukah dia? Ya Allah...

“Jangan rindu saya. Jangan ingat semua kenangan kita. Jangan simpan semua tu lagi. Teruskan dengan Azfar.” Pohon Hayyan. Dia tetap bertahan untuk tidak menitiskan air mata walau setitis pun.

“Nia... tolong cakap awak bahagia selama awak dengan saya. Please...”

Zenia merenung wajah Hayyan. Sukar untuk dia menatap wajah itu bila mana tangisannya sendiri sudah menjadi penghalang. Sedihnya hati kala ini hanya Allah yang tahu.

“Please Nia...” Pinta Hayyan lagi. Zenia mengangguk perlahan.

“Saya bahagia dengan awak.” Hayyan ukir senyum kecil.

“Janji... awak akan terus bahagia dengan Azfar sampai bila-bila. Saya bahagia kalau awak bahagia Nia.”

Buat seketika mereka saling bertatapan. Bagai ada sesuatu yang ingin dikatakan Zenia tetapi semuanya bagaikan tersekat.

“Saya pergi dulu.” Tanpa memandang Zenia lagi, Hayyan mengatur langkahnya pergi.

Kabur pandangan Zenia memerhatikan Hayyan pergi. Adakah ini kali terakhir dia dapat melihat Hayyan? Adakah ini kali terakhir dia dapat mendengar suara Hayyan? Adakah ini kali terakhir... kali terakhir untuk dia dan Hayyan?

Zenia sapu air mata di pipi. Bukankah ini yang dia mahu? Dia yang memutuskan untuk memilih Azfar. Kenapa pula dia harus bersedih?

‘Ya Allah... Kau temukanlah Hayyan dengan wanita lain... yang jauh lebih baik daripadaku.’ Bisik Zenia dalam hati.

Sementara langkah Hayyan semakin perlahan dan akhirnya terhenti di satu sudut. Wajah Zenia bagaikan masih terbayang di ruangan matanya. Dia nampak leher Zenia sudah tiada lagi rantai pemberiannya.

Selepas melangkah pergi

Janganlah berpaling lagi

Ku bukannya insan kau kenali Seperti sebelum kita berpisah

“Nia... pakai rantai tu selalu tau?”

“Ya...”

Hayyan masih teringat janji Zenia untuk selalu memakai rantai itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience