Bab 53

Romance Completed 79607

MALAM yang berlalu terasa panjang sekali. Zenia tidak dapat tidur. Puas dia berbaring mengiring ke kiri dan ke kanan tetap juga tak boleh tidur. Sudahnya dia bangkit dari katil dan keluar dari bilik menuju ke dapur. Hajatnya nak bancuh milo sambil melayan cerita di TV nanti. Entah cerita apa lagi yang ada kat TV tengah-tengah malam macam ni. Tak kisahlah. Asalkan dapat melayan mata ni sampai mengantuk.

Mug diletakkan di atas meja sebelum dia melabuhkan duduk di atas sofa. Hujung jari menekan-nekan punat pada alat kawalan jauh TV. Bosan. Tiada langsung siaran yang menarik. Zenia akhirnya bangun menghampiri tingkap rumah. Langsir diselakkan sebelum pandangan ditebarkan ke luar rumah.

Tiba-tiba sahaja Zenia bagaikan terpandang satu kelibat seseorang sedang berdiri di luar pagar rumahnya. Anak mata dikecilkan. Cuba mengamati gerangan kelibat itu.

Adakah... Azfar? Tapi macam mana dia tahu rumah ni? Ah... memang tak hairan pun sebenarnya. Kalau sekolah Adam dia boleh tahu, apatah lagi rumah ini.

Langsir dijatuhkan semula sebelum dia bergegas mendapatkan pintu. Memang benar. Azfar yang sedang berdiri di luar rumahnya itu. Lelaki itu sendiri bagai terkejut melihat dia tercegat di luar rumah. Mungkin tak sangka yang dia akan keluar.

“Awak buat apa kat sini?” Zenia memberanikan diri bertanya. Untuk apa Azfar datang ke rumahnya waktu-waktu macam ni? Pukul 1.30 pagi macam ni sudah cukup untuk mengundang rasa curiga di hatinya.

“Saja... tengok-tengok rumah anak saya.” Jawab Azfar dengan wajah tenang.

Zenia tersenyum sinis. “Kenapa? Takut dia tak ada tempat tinggal? Takut saya tak mampu nak beri dia makan?”

“Zenia... bukan tu maksud saya...”

“Baliklah Azfar. Adam tak perlukan awak. Hidup dia dah cukup sempurna walaupun tanpa awak.” Zenia berkeras. Azfar terdiam seketika. Raut tegang Zenia direnung redup.

“Saya cuma nak jumpa dia Nia. Saya cuma nak dia tahu yang saya wujud. Itu aje. Please...”

Zenia memalingkan wajah. Semudah itu Azfar meminta. Tahukah dia betapa peritnya Zenia menyimpan semua itu sendiri selama ini? “Nia...”

“Balik sekarang.” Tegas Zenia.

“Nia...”

“Awak pergi sekarang atau saya telefon polis.” Tak ada cara lain. Zenia terpaksa mengugut.

“Okey... okey...” Azfar mengangkat kedua-dua belah tangannya tanda mengalah.

“Saya balik sekarang. Tapi Nia... tolonglah pertimbangkan permintaan saya.”

Zenia hanya mendiamkan diri. Apabila kelibat Azfar sudah menghilang ke dalam kereta, dia terus berpaling dan berjalan masuk ke dalam rumah.

ZENIA MENDEKATI Adam yang sedang ralit mewarnakan buku di ruang tamu. Dia duduk di sebelah anaknya itu lalu meletakkan gelas berisi susu di tangannya dekat dengan Adam.

“Adam!” Panggil Zenia lembut.

“Ya mama.” Adam menyahut sambil tangannya terus rancak mewarna.

Zenia diam sebentar. Menyusun ayat dalam kepala agar tidak canggung bunyinya di telinga Adam nanti.

“Hari tu Adam ada tanya mama pasal papa Adam, kan?”

“Ha’ah.” Adam mengangguk-angguk. Masih tidak mengangkat mukanya dari buku di depan.

“Kalau mama cakap papa Adam nak jumpa Adam... Adam nak tak jumpa papa tak?” Cukup berhati-hati Zenia menyusun ayat.

Zenia tidak tahu bagaimana penerimaan Adam terhadap Azfar nanti. Tetapi entah kenapa dia merasakan Adam memang perlu berjumpa Azfar. Dia tahu, dia tidak akan mampu menyorokkan semua itu daripada Adam sampai bila-bila. Sampai masanya nanti Adam tetap akan tahu siapa dirinya yang sebenar.

Kali ini barulah Adam mendongakkan kepalanya.

“Adam kan dah jumpa papa Adam.”

Zenia kerut kening. Tak faham maksud Adam. Adakah Azfar sudah menemui Adam secara senyap-senyap?

“Adam dah jumpa papa? Bila?”

“Kan Adam selalu jumpa papa? Papa Hayyan itulah papa Adam.” Jawab Adam sambil tersenyum comel. Zenia terdiam. Papa Hayyan?

“Papa Hayyan cakap, Adam boleh panggil dia papa. Jadi dialah papa Adam. Kan?” Adam nampak gembira sekali dengan kenyataan yang keluar dari mulutnya itu. Kemudian dia menyambung kerjanya yang terbantut tadi.

Oh Hayyan... Sungguh Zenia tidak tahu Adam sudah memanggil Hayyan dengan panggilan papa. Entah sejak bila semua itu bermula. Dia langsung tak sedar.

“Tapi... Uncle Hayyan bukan papa Adam.” Lembut Zenia menuturkannya. Dia tidak tahu bagaimana harus menjelaskan kepada Adam tetapi dia tetap perlu mencuba.

“Betullah... Papa Hayyan tu papa Adam.” Adam tetap mempertahankan ‘teori’nya itu.

“Adam... sini sayang.” Zenia menarik Adam dekat dengannya.

“Adam dengar sini, mama cakap.” Nafas ditarik dalamdalam. “Uncle Hayyan bukan papa Adam yang sebenarnya. Uncle Hayyan tu... cuma kawan mama. Memang Adam boleh panggil Uncle Hayyan tu papa tapi dia tetap bukan papa Adam.”

Adam terdiam. Barangkali otaknya ligat mencerna maksud kata-kata mamanya itu.

“Adam boleh panggil Uncle Hayyan tu papa tapi dia bukan papa Adam?” Polos sekali renungan Adam ke arah mamanya. Zenia mengangguk.

“Habis tu... siapa papa Adam?”

“Adam nak jumpa dia tak?”

“Dia ada kat sini ke mama? Dulu mama cakap papa Adam jauh...”

Zenia mencium rambut Adam. Tak sangka ingatan Adam begitu kuat sekali. Sebak hatinya mendengar kata-kata anaknya itu.

“Papa Adam dah balik sini. Dia nak jumpa Adam. Adam nak jumpa dia tak?” Sekali lagi soalan itu diulang.

“Hmm... tapi Adam dah ada Papa Hayyan...” Adam menunduk dengan bibir memuncung. Tiba-tiba sahaja dia berasa sedih. Seolah-olah mamanya sedang cuba untuk memisahkannya dengan Papa Hayyan.

“Ya sayang... mama tahu Adam ada Papa Hayyan. Mama tak kata pun Adam dah tak boleh panggil Uncle Hayyan tu papa, kan?” Zenia memujuk lembut.

“Habis tu?”

“Esok... Adam ikut mama jumpa papa Adam. Okey?”

“Mama janji... kalau Adam ikut mama esok, Papa Hayyan tetap papa Adam. Mama janji ya.” Pinta Adam. Seperti biasa setiap kali meminta mamanya berjanji, jari kelengkengnya akan dihulurkan.

Zenia mengangguk dan tersenyum. “Mama janji.”

“TERIMA KASIH Nia... sebab sudi bawak Adam jumpa saya.” Ucap Azfar ikhlas. Renungannya kini lurus ke wajah Adam yang sedang memandangnya dengan riak penuh tanda tanya.

“Saya dah buat apa yang patut. Sekarang giliran awak untuk jelaskan kepada dia, siapa awak sebenarnya. Saya tak nak dia terus keliru.” Jelas Zenia tenang.

Azfar mengangguk. Dia mendekatkan duduknya dengan Adam.

“Adam... salam papa.” Tangan kanannya dihulurkan kepada anak itu. Adam hanya menurut. Kemudian dia memandang mamanya meminta penjelasan.

“Ini ke papa Adam?”

Zenia dan Azfar saling berpandangan. Zenia sekadar mendiamkan diri. Biarlah Azfar yang menjelaskan semuanya.

Azfar kembali memandang Adam.

“Ya Adam. Ni papa Adam. Papa dah lama sangat nak jumpa Adam. Adam tak suka jumpa papa?” Tanya Azfar sambil tangannya mengusap lembut kepala Adam.

“Mama cakap papa jauh. Papa pergi mana? Kenapa papa tak pernah balik jumpa Adam?” Adam bertanya dengan riak polos. Azfar tersenyum nipis. Tumpah kasihnya kepada anaknya itu.

“Papa minta maaf Adam. Bukan papa tak nak jumpa Adam...” Jeda. “Tapi papa kerja. Papa sibuk sangat. Tapi sekarang ni kan papa dah ada dengan Adam. Papa sayang Adam.” Lantas ubun-ubun Adam dikucup penuh kasih.

Sebak hati Zenia menyaksikan adegan itu. Macammacam perasaan melanda hatinya kala ini. Antara terharu melihat apa yang terbentang di depan mata dan juga penyesalan yang tiba-tiba datang atas apa yang telah dia lakukan dulu.

“Adam dah ada Papa Hayyan.” Adam bersuara tiba-tiba.

“Papa Hayyan?” Azfar mengerutkan dahinya. Wajah Zenia dipandang. Tidak sempat Zenia bersuara, Adam terlebih dahulu menyampuk.

“Mama cakap... Papa Hayyan tu kawan mama tapi Adam boleh panggil dia papa. Siapa suruh papa lambat sangat datang jumpa Adam? Kan Adam dah ada papa lain.” Adam tersengih-sengih sendiri.

“Adam...” Zenia menegur.

“Awak jumpa Hayyan?” Azfar bertanya perlahan. Zenia tidak menjawab. Dia jumpa Hayyan atau tidak itu bukan urusan Azfar.

“Awak dah baik semula dengan dia?” Azfar bertanya lagi. Zenia masih tetap mendiamkan diri.

“Dia tahu pasal Adam?”

Zenia tetap diam juga. Melihat reaksi itu, tahulah Azfar dia tidak berhak untuk ambil tahu tentang hubungan Hayyan dan Zenia. Dahulu, dia yang merampas Zenia daripada Hayyan dan sekarang tidak salah kalau Hayyan ingin mencari semula cintanya yang pernah hilang dahulu.

“HOW WAS your day?” Soalan Hayyan itu membuahkan senyuman di bibir Zenia. Lelaki itu sungguh prihatin akan dirinya. Kalau boleh segala apa yang dia buat, Hayyan mahu tahu.

“Okey.”

“Okey aje?”

“Habis tu nak jawab apa?”

“Tak rasa macam... something missing?” Hayyan bermain kata.

“Apa yang missing?” Zenia tidak dapat menangkap maksud lelaki itu.

“Sayalah.” Jawab Hayyan sebelum ketawa kecil.

“Maksudnya? Tak fahamlah.” Zenia masih lagi bingung.

“Nia. Dah banyak hari kita tak jumpa. Takkan awak tak rindu saya langsung?” Hayyan berterus terang akhirnya.

Oh! Barulah Zenia mengerti. Itu rupa-rupanya maksud Hayyan tadi. Rindu...

“I miss you.” Bisik Hayyan perlahan.

Zenia tersenyum di luar sedar.

“Awak tahu apa yang ada dalam hati saya Hayyan...”

“Tapi kadang-kadang saya nak jugak awak luahkan apa yang ada dalam hati awak tu Nia.”

Zenia terdiam tidak terkata apa.

“Dan sekarang saya tahu awak tengah rindukan saya. Kan?” Hayyan meneka sendiri.

Zenia tergelak halus. “I’m glad that you know it.”

“Awak memang tak pernah berubah dari dulu. Tak pernah nak luahkan apa yang awak rasa. Come on Nia... three words only. It will mean so much to me.” Pinta Hayyan lagi.

Zenia terdiam sebentar. Memang sejak dulu hanya Hayyan yang selalu mengucapkan kata cinta, sayang... apatah lagi rindu. Entah kenapa lidahnya benar-benar susah mahu menyebut semua ucapan keramat itu.

“Please...”

“Three words?”

“Yup.”

“Tidur baca doa. Bye.” Lalu Zenia terus mematikan talian. Tawanya meletus sendiri tanpa dapat ditahan. Telefonnya tiba-tiba berbunyi menandakan ada satu pesanan masuk ke peti WhatsAppnya.

Fine Nia. Saya akan tunggu sampai awak akan ucapkan perkataan tu kepada saya. Good night. I love you.

Dan malam itu Zenia tidur dengan senyuman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience