Bab 48

Romance Completed 79646

SELEPAS menjemput Adam di sekolahnya, Zenia singgah di sebuah restoran untuk membeli hidangan makan malam. Tiba-tiba sahaja hari ini dia rasa malas nak masak. Kerja yang banyak di pejabat membuatkan otaknya penat dan dia hanya mahu berehat malam nanti.

“Adam nak makan nasi lauk apa?” Zenia bertanya kepada Adam di sebelahnya. Tangan anak itu erat dalam pegangannya.

“Adam nak paha ayam!” Laju Adam menjawab pertanyaan mamanya itu.

“Okey.” Zenia mula membuat pesanan lauk yang diinginkan. Sambil menanti pekerja kedai itu membungkuskan lauk untuknya, matanya dililaukan ke sekeliling restoran yang agak penuh dengan orang ramai. Barangkali semua orang singgah selepas pulang dari kerja kut fikir Zenia sendiri.

Bahu Zenia tiba-tiba dilanggar dari belakang membuatkan dia terkejut.

“Ops... sorry cik. Saya tak sengaja.” Ucap lelaki yang melanggarnya tadi.

“Tak apa.” Zenia berpaling lantas mengukirkan senyuman nipis. Tetapi senyuman itu kian memudar ketika matanya bertentangan dengan sepasang mata milik lelaki itu. Tidak semena-mena juga seluruh badannya terasa dingin dan kaku.

“Zenia!” Lelaki itu menyebut nama Zenia perlahan. Ada senyuman nipis di bibirnya. Mungkin gembira dengan pertemuan ini. Tidak seperti Zenia yang terasa dirinya bagaikan tersesat dalam mimpi ngeri.

“Zenia... Sihat?” Tanya Azfar.

Zenia bagaikan baru tersedar. Segera kepalanya ditoleh ke arah pekerja yang sedang mengikat plastik berisi lauk yang dipesan tadi.

“Dah ke dik?”

“Dah kak. RM 7.00 semua sekali.” Ujar pekerja kedai itu sambil menghulurkan plastik kepada Zenia.

Zenia mengeluarkan sekeping not RM 5 dan dua keping not RM 1 dari dompetnya. Wang dan plastik bertukar tangan. Kemudian tanpa bertangguh, tangan Adam terus dipimpin untuk meninggalkan restoran itu menuju ke arah tempat keretanya diparkir.

“Zenia!” Panggilan itu tidak dihiraukan Zenia. Langkahnya dilajukan. Namun ternyata Azfar lebih pantas bertindak. Sekejap sahaja lelaki itu sudah berdiri tegak di depannya sekali gus menghalang laluannya untuk masuk ke dalam kereta.

“Nia!” Azfar menahan dengan sedikit termengahmengah. “Saya tahu awak masih kenal dan ingat saya. Sebab tu awak sengaja mengelak, kan?”

“Saya tak faham apa yang awak cakapkan.” Zenia cuba untuk melangkah tetapi tetap dihalang Azfar. Dia hampir naik angin ketika itu.

“Ada perkara yang kita perlu selesaikan.” Tahan Azfar.

“Perkara apa? Semuanya dah tamat lama dulu. Tak payahlah awak nak muncul depan saya dengan gaya kononnya awak ni baik sangat nak ambik tahu hal saya lagi.” Zenia mula hilang sabar. Sungguh dia benci memandang wajah itu. Wajah yang telah menghadiahkan luka kepadanya dan telah merosakkan hidupnya.

Azfar menghela nafas panjang.

“Saya tahu, dulu saya jahat dan awak berhak untuk benci saya. Tapi please Nia... beri saya peluang untuk cakap dengan awak. Saya takkan berhenti merayu sampai awak beri saya peluang tu.” Rayunya sungguh-sungguh.

“Peluang apa awak nak?” Zenia masih cuba mengawal nada suaranya.

Azfar terdiam seketika. Anak matanya kini teralih ke arah kanak-kanak lelaki yang tangannya erat dalam pegangan Zenia. Zenia juga ikut memandang ke arah Adam. Anaknya yang tidak mengerti apa-apa itu hanya terkebil-kebil sejak tadi.

“Mama... ni siapa?” Mungkin sedar dirinya menjadi perhatian, Adam mula bersuara.

“Err...” Zenia tidak tahu apa yang harus dikatakan kepada Adam. Nak jawab apa? ‘Ohh... ini papa Adam yang hilang selama ni. Kan ke Adam nak sangat jumpa papa? Inilah dia orangnya.’ Macam tu ke? Kalaulah semudah itu...

“Nia...” Azfar memanggil perlahan dengan isyarat mata menagih penjelasan. Atau mungkin juga pengakuan.

“Tak ada siapa-siapa sayang. Adam pergi masuk kereta dulu ya.” Arah Zenia. Kunci penggera kereta ditekan dan sekejap sahaja Adam sudah masuk ke dalam. Mujurlah Azfar tidak menahan langkah anaknya itu. Hanya mata lelaki itu yang masih tidak lepas-lepas merenung wajah Adam.

“Dia...” Azfar kembali menoleh ke arah Zenia.

“Dia anak saya.” Tekan Zenia.

“Anak?” Azfar menyebut semula patah perkataan itu.

“Berapa umur dia?”

“Kenapa awak sibuk nak tahu? Dia tak ada kenamengena dengan awak.” Zenia cuba tidak untuk berterus terang. Azfar tidak boleh tahu tentang siapa Adam. Lelaki itu tidak berhak langsung!

“Berapa umur dia Nia?” Azfar tidak peduli. Tetap juga bertanyakan umur anak Zenia itu. Dia tahu Zenia ada menyorokkan sesuatu daripadanya. Bukankah ketika mereka berpisah dahulu Zenia sedang mengandungkan anaknya? Jadi tidak mustahil kalau Adam itu adalah anak mereka berdua. Ya. Tidak mustahil!

Zenia tidak menjawab pertanyaan itu. Dadanya bagai hampir pecah menahan debaran. Doanya janganlah Azfar dapat meneka apa yang sedang disorokkannya daripada pengetahuan lelaki itu.

“Siapa ayah dia?” Azfar bertanya lagi. Melihat Zenia terus diam. Dia hampir pasti tekaannya benar.

“Dia dibinkan dengan nama siapa?” Zenia masih juga mendiamkan diri.

“Nia...”

“Abdullah.” Akhirnya Zenia membuka mulut.

Giliran Azfar pula yang terdiam.

“Dia dibinkan dengan nama Abdullah. Itu ayah dia dan awak tak ada kaitan dengan dia walau sehama pun. Jadi tolong jangan ganggu saya lagi.” Tanpa mempedulikan riak tidak percaya Azfar, Zenia terus berlalu masuk ke kereta. Pintu kereta dikunci dan sekejap sahaja keretanya sudah memecut laju pulang ke rumah.

LAMA ZENIA termenung di tepi tingkap biliknya. Mengingati pertemuan yang tidak diduga dengan Azfar petang tadi. Sungguh dia tidak menyangka akan bertemu lagi dengan lelaki itu. Sangkanya setelah Azfar meninggalkannya dahulu, dia tidak akan menatap wajah lelaki itu lagi. Wajah yang hanya akan menghantar fikirannya kembali mengingati kisah lampau. Dosa yang pernah dia lakukan bersama lelaki itu. Zenia menyapu air mata di pipinya.

‘Ya Allah... untuk apa pertemuan itu? Kalau benar jodohku bersama Hayyan, kenapa mesti muncul Azfar antara kami? Untuk apa semua ini Ya Rabb?’

Bunyi pintu bilik terkuak mengejutkan Zenia. Sepantas kilat dia mengesat pipi yang basah sehingga kering. Adam tidak boleh tahu dia menangis.

“Mama... ni gambar siapa?” Adam duduk di sebelah Zenia di atas katil lalu menghulurkan sekeping gambar kepada mamanya itu.

Zenia mengambil gambar dari tangan Adam. Sekali lagi sebak menghurung jiwa.

“Ini atuk dengan nenek Adam.” Beritahunya. Kepala anaknya itu dicium sayang.

“Atuk dengan nenek? Bila mama nak bawak Adam jumpa atuk dengan nenek? Adam nak juga jumpa atuk dengan nenek.” Tanya Adam dengan wajah polosnya.

Zenia memaksa bibir untuk senyum. Bahu Adam dipeluk rapat dengannya.

“Nanti kita balik kampung ya? Kita jumpa atuk dengan nenek. Atuk dengan nenek pun dah tak sabar sangat nak jumpa Adam.” Ujarnya lembut.

“Tapi bila mama?” Adam bertanya lagi. Tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan mamanya itu.

“Nanti...” Zenia berjeda seketika mengawal sebak.

“Nanti bila mama dah cuti, mama janji kita balik kampung jumpa atuk dengan nenek.”

“Janji?” Adam masih mahukan kepastian.

Zenia mengangguk. “Janji.”

Adam menghulurkan jari kelengkengnya kepada mamanya. Zenia yang mengerti segera menyatukan jari Adam itu dengan jari kelengkengnya. Barulah dia dapat melihat senyuman riang di bibir Adam.

Telefon pintar Zenia tiba-tiba berbunyi. Cepat sahaja tangan Adam menyambar telefon itu.

“Uncle Hayyan telefon. Adam jawablah.” Suruh Zenia setelah membaca nama di skrin.

Laju Adam menurut. Entah mana dia belajar, cepat aje skrin itu disentuhnya untuk menjawab panggilan.

“Helo uncle!”

Zenia hanya diam memerhatikan Adam berbual dengan Hayyan. Walaupun suara Hayyan tidak dapat didengarinya, tingkah Adam sudah cukup untuk membuatnya tersenyum keharuan.

“Uncle... kejap! Adam nak keluar dari bilik mama. Adam ada benda nak cerita dekat uncle...” Adam turun dari katil dan sekejap sahaja dia sudah menghilang ke luar.

Zenia tersenyum sendiri. Adam... Adam... Baru empat tahun dah pandai nak berahsia dengan mama sendiri. Entah siapalah yang ajar.

Baru sahaja Zenia meletakkan kepalanya ke bantal, Adam muncul semula.

“Mama! Papa... eh! Uncle nak cakap dengan mama.”

Adam menghulurkan telefon di tangan kepada mamanya. Nasib baik dia sempat membetulkan panggilannya terhadap Uncle Hayyan tadi. Kalau tidak, mesti mama marah.

Zenia kembali mengangkat kepala. Telefon di tangan Adam diambil. Tidak sempat dia bertanya apa-apa kepada Adam, anaknya itu sudah menghilang sekali lagi.

“Helo...” Perlahan Zenia menyapa.

“Adam cakap awak nangis. Kenapa Nia?”

Lembut nada suara Hayyan membuatkan sebak yang tadinya sudah hilang kembali menghuni ruang hati. Zenia mengetap bibir. Dia sangkakan Adam tidak nampak air matanya tetapi dia silap.

“Nia?” Hayyan memanggil lagi. Zenia tidak tahu sama ada perlu atau tidak dia beritahu perihal Azfar kepada Hayyan.

“Nia! Kalau awak ada masalah, awak boleh share dengan saya.” Pujuk Hayyan lagi.

“Tak ada apalah Hayyan. Saya okey...” Dalih Zenia.

“So... sekarang awak nak beritahu saya yang awak cuma menangis sebab suka-suka. Macam tu?” Hayyan jelas tidak puas hati dengan jawapan Zenia.

Zenia tidak dapat menahan diri daripada tersenyum. Kolam mata yang basah dikesat dengan hujung jari.

“Lebih kuranglah...”

“Haha... Kelakarnya.” Jelas Hayyan menyindir. Zenia tergelak kecil.

“Saya okeylah Hayyan. Betul. Tak dengar saya gelak tadi? Ni pun saya tengah senyum tau?”

“Hmm...” Hayyan sekadar menggumam. Zenia senyum lagi.

“Nia! Kalau awak ada masalah atau awak ada nak share cerita apa-apa, you can always count on me.”

Kata-kata itu benar-benar membuatkan Zenia disapa keharuan.

“Pernah dengar tak lagu Bruno Mars tu?” Hayyan bertanya tiba-tiba. Zenia mengerutkan dahi.

“Lagu apa?”

“Tajuk dia Count On Me la. Macam ni lagu tu...” Hayyan membetulkan suaranya.

“You can count on me like one, two, three... I’ll be there. And I know when I need it I can count on you like four, three, two... you’ll be there. ‘Cause that’s what lovers are supposed to do...”

Zenia ketawa lagi. Dia memang pernah dengar lagu itu dan dia tahu Hayyan suka-suka hati mengubah perkataan ‘friends’ menjadi ‘lovers’.

“Gelak tu lagi honest dari tadi.” Puji Hayyan sebelum ketawa perlahan. Zenia tergeleng sendiri. Hanya dengan satu panggilan. Hayyan mampu membuat dia tenang semula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience