Bab 47

Romance Completed 79607

“BERSERI-SERI muka. Nak jumpa buah hati ke?” Zatie mengusik sambil duduk bertenggek di hujung meja Zenia. Zenia yang sedang mengemas barang-barangnya terus menoleh.

“Hati aku tak ada buahlah...” Balasnya selamba.

Zatie mencebik. “Eleh...”

Zenia ketawa kecil dengan reaksi gadis itu.

“Dia yang beria-ia nak bawak Adam keluar. Aku ikut ajelah.”

“Itu tandanya hati kau dah makin lembut dengan dia. Tak gitu?” Zatie mengenyit sebelah mata. Dia pula yang terlebih teruja dengan perkembangan hubungan Hayyan dan Zenia. Zenia ketawa sambil menggeleng-geleng.

“Suka hatilah nak cakap apa pun. Aku balik dulu.”

“Yalah. Kirim salam kat Hayyan ya.” Zatie senyum lagi.

“Jangan... nanti ada orang jealous.” Bisik Zenia perlahan.

“Siapa? Fahri? Ahh... boleh jalanlah mamat tu.” Zatie mencebik. Hubungannya dengan lelaki itu sudah sampai di tahap yang meruncing. Entah masih boleh diselamatkan lagi ke tidak.

“Bukan Fahri...”

“Dah tu?”

Zenia memuncungkan bibirnya ke arah Alief yang sesekali mengerling ke arah mereka itu. Zatie membuntangkan biji matanya. Zenia ketawa lalu terus berlalu.

Telefon pintar Zenia berbunyi menandakan pesanan suara masuk ke peti kiriman WeChatnya. Zenia memainkannya sambil melangkah menuruni tangga.

Saya dah sampai. Awak dah siap?

Lalu Zenia membalas,

Dah. Tunggu kejap ya!

Tak sampai beberapa saat, Hayyan membalas lagi,

Okey!

Ketika dia keluar dari bangunan pejabat, kereta Hayyan sudah sedia di tempat parkir.

“Mama!” Adam memanggil riang sebaik sahaja mamanya masuk ke dalam kereta.

“Eh, Adam dah balik? Mama ingatkan uncle baru nak pergi ambik Adam.” Zenia terkejut melihat Adam yang tersengih comel di dalam kereta itu.

“Saya bagi chance kat awak untuk solat dan bersiapsiap dulu.” Hayyan menjawab bagi pihak Adam.

“Ohh...” Zenia mati kata. Sekali lagi Hayyan menawan hatinya dengan cara yang paling lembut.

WALAUPUN MASA yang ada tidak panjang tetapi petang itu Zenia betul-betul rasa bahagia. Bersama Hayyan dia merasakan perasaan yang selama ini hilang, hadir semula dalam dirinya. Benar. Dia gembira setiap kali ada Hayyan di sisinya. Satu perasaan yang tidak mungkin dapat dinafikan lagi. Malah mungkin perasaan itu lebih kuat berbanding apa yang pernah dirasakan untuk lelaki itu suatu masa dahulu.

“Hayyan! Kenapa awak baik sangat?” Zenia bertanya tiba-tiba. Adam di sebelahnya sedang asyik menikmati aiskrim di tangan.

“Hmm... Soalan jenis apa tu?” Hayyan ketawa kecil. Zenia tersenyum pahit.

“Kenapa awak tak pernah marah saya walaupun... saya dah pernah lukakan awak dulu?”

“Nia! Awak jugak yang cakap tak nak ungkit kisah lama, kan? Kenapa tiba-tiba aje ni?” Hayyan tersenyum manis merenung Zenia.

“Saya nak tahu kenapa.” Tekan Zenia. Dia sudah tidak peduli lagi kisah lama atau tidak. Dia cuma mahu tahu apa yang membuatkan Hayyan tetap setia mengharap cintanya setelah apa yang berlaku antara mereka berdua dahulu.

Hayyan terdiam beberapa ketika.

“Masa kali pertama saya jumpa awak dulu, saya dapat rasakan awaklah wanita yang saya tunggu-tunggu selama ni.

Saya yakin awaklah jodoh saya. Keyakinan saya bukan sikit sampaikan saya tetap butakan mata saya walaupun bukti tentang awak dan Azfar dah jelas depan mata saya. Saya cuba pujuk hati untuk tak percaya semua tu. Kamil kata, saya dah dibutakan dengan cinta. Saya tak kisah pun semua tu sebab saya yakin perasaan saya untuk awak...”

“Tapi awak silap. Saya bukan jodoh awak...” Sambung Zenia sebak. Hayyan menoleh merenung Zenia.

“Itu dulu. Lepas saya lepaskan awak untuk Azfar.” Zenia terdiam. Sedih hatinya mendengar sebaris ayat itu.

‘Saya lepaskan awak untuk Azfar?’ Sedangkan hakikatnya dia yang meninggalkan Hayyan demi Azfar.

“Tapi sejak kita jumpa semula, saya makin yakin yang antara kita memang ada jodoh.” Tutur Hayyan perlahan. Sepasang mata Zenia direnung dalam-dalam.

Zenia sudah kematian kata. Keyakinan Hayyan begitu tinggi sekali. Bagaimana kalau antara mereka tiada jodoh? Bagaimana kalau dia terpaksa melukakan hati Hayyan sekali lagi? Bagaimana kalau dia dan Hayyan memang tidak pernah ditakdirkan untuk bersama sejak dulu lagi?

Zenia terasa tangannya digenggam lembut.

“Saya cintakan awak... dan saya nak awak sentiasa ingat tu.” Luah Hayyan penuh perasaan.

Menitis juga air mata Zenia. Dia juga cintakan Hayyan. Perasaan cinta yang lebih mendalam jika dibandingkan dengan dulu. Tetapi dia takut untuk mencuba lagi. Dia tidak tahu apa yang menanti di masa depan. Cuma satu doanya, moga Allah membukakan jalan untuk mereka andai benar ada jodoh yang bakal mengikat cinta mereka suatu hari nanti.

DARI DAPUR, Zenia memasang telinga mendengar perbualan Adam dengan Hayyan di telefon. Ralit sungguh anak itu berbual. Entah topik apa yang dibuka Hayyan, dia sendiri tidak tahu. Tidak cukup dengan keluar berjalan-jalan, rajin pula lelaki itu melayan anaknya walaupun jam sudah hampir ke pukul 11.00 malam.

“Adam. Minum susu ni dulu. Lepas tu tidur tau!” Zenia menegur lembut. Dia duduk di sebelah Adam sambil menghulurkan gelas berisi susu di tangan kepada Adam. Satu yang dia mahu Adam amalkan, minum susu sebelum tidur. Susu bukan hanya untuk bayi malah sampai ke dewasa pun susu tetap diperlukan.

“Alaa kejaplah mama. Adam nak cakap dengan uncle.” Adam merengek.

“Dahlah tu. Dah lewat malam ni. Uncle pun nak rehat. Esok uncle kerja. Adam pun sekolah esok, kan? Orang sekolah tak boleh tidur lewat.” Pujuk Zenia lembut.

“Kejap lagilah mama.” Adam tetap menolak dengan bibir yang tercebik.

“Adam...” Hayyan memanggil lembut dari corong telefon. “Betul kata mama tu. Dah lewat ni. Esok Adam sekolah, kan? Adam pergi tidur dulu. Esok uncle telefon lagi.” Giliran dia pula yang memujuk.

“Esok uncle ambik Adam balik sekolah, boleh tak?” Pinta Adam. Dari riak merajuk, kini wajah itu nampak ceria.

Zenia menjegilkan matanya ke arah Adam. Dia tidak tahu apa yang diumpan Hayyan tetapi tak sepatutnya Adam meminta begitu dengan Hayyan.

“Hmm... esok uncle kerjalah Adam...” “Alah...” Adam kembali memuncung.

“Tapi lepas kerja esok, uncle janji uncle pergi ambik Adam kat rumah. Kita pergi jalan-jalan. Nak?” Umpan Hayyan lagi.

“Hmm... okey!” Cepat saja Adam bersetuju. “Good night uncle!”

Telefon yang dihulurkan Adam diambil Zenia. Kemudian gelas di tangan Zenia dihulurkan pula kepada Adam. “Uncle cakap apa dengan Adam?”

“Uncle cakap, esok lepas uncle balik kerja dia nak bawak Adam jalan-jalan.” Adam tersengih menjawab. Susu di dalam gelas diminum sehingga habis.

Zenia terdiam seketika merenung skrin telefon di tangan. Memang dia suka cara Hayyan melayan Adam. Tetapi perasaan takut dan bimbang itu tetap ada. Dia juga tidak mahu Hayyan rasa terbeban kerana terpaksa melayan kerenah Adam setiap hari.

“Adam sayang uncle?” Zenia tidak tahu bagaimana soalan itu boleh keluar dari mulutnya.

“Sayang!” Adam mengangguk laju.

“Sayang macam mana?” Tanya Zenia lagi.

“Sayang macam Adam sayang mama.” Jawab Adam lalu tersenyum. Gelas di tangan dihulur semula kepada Zenia. Zenia terus terkunci mulutnya.

“Adam tidur dulu. Good night mama!” Pipi Zenia dicium sebelum Adam terus berlari masuk ke dalam biliknya.

Lama Zenia termenung di situ. Mengingati semula setiap apa yang diucapkan Hayyan untuknya tadi. Tangan kanannya menyentuh dada. Ada getaran di situ. Getaran yang menghasilkan satu irama yang sangat indah...

“RIZ...” HAYYAN tersentak. Kepalanya ditoleh ke arah pintu rumah. Mamanya berdiri di situ dengan riak wajah penuh tanda tanya.

“Mama...”

“Boleh mama join?” Tanya Datin Asmida.

Hayyan mengangguk. Dia mengengsot sedikit untuk memberi ruang mamanya duduk di atas bangku yang sama.

“Riz cakap dengan siapa tadi? Happy semacam aje mama tengok.” Datin Asmida mengerutkan dahinya. Sudah lama dia berdiri di muka pintu rumah memerhatikan Hayyan. Entah dengan siapa anaknya itu berbual. Nak kata cakap dengan tunang sendiri, macam mustahil. Lagipun nada yang Hayyan gunakan tadi bukan nada untuk seorang wanita.

“Tadi? Ohh...” Hayyan terdiam seketika mencari jawapan.

“Tak ada siapalah ma. Anak kawan Riz. Memang Riz rapat dengan dia. Tadi tu saja aje call dia tanya khabar.” Dalihnya.

Datin Asmida mengangguk. Walaupun kurang percaya, tapi dia tetap menepis rasa ragu itu.

“Mama tengok Riz sekarang dah makin ceria. Tak macam masa mula-mula Riz balik sini dulu.”

“Ya ke?” Hayyan tersenyum nipis. Datin Asmida mengangguk.

“Nak share dengan mama?”

Hayyan menoleh merenung mamanya. “Tak ada apalah ma. Kenapa? Mama tak suka kalau Riz happy?”

“Tentulah mama suka. Cuma mama nak tahu apa yang buatkan Riz happy.” Balas Datin Asmida.

Hayyan tersenyum. “Apa saja alasannya, mama percayalah... it’s for the best.”

Kening Datin Asmida terangkat sebelah. Lain macam aje bunyi suara anaknya itu.

“Okeylah. Riz nak balik dulu ma. Dah lewat sangat ni.” Hayyan bangkit dari bangku dan bersedia untuk mendapatkan keretanya. Dia cuma singgah sekejap tadi untuk berjumpa mamanya. Lagipun malam ini papanya tidak pulang ke rumah.

“Riz!” Datin Asmida memanggil membuatkan anaknya itu berhenti melangkah dan berpaling semula.

“Hujung minggu ni ikut mama pergi rumah aunty Syidah ya?”

“Aunty Syidah?” Hayyan mengerutkan dahi. Datin Asmida mengangguk.

“Flight Zana hari Jumaat ni. Aunty Syidah nak buat jamuan makan untuk sambut Zana.” Mendengar nama itu disebut, senyuman Hayyan mati. Hanya wajah tanpa riak ditayangkan kepada mamanya.

“Riz dengar tak?” Panggil Datin Asmida lagi.

“Err...” Hayyan bagaikan baru tersedar. “Dengar ma. Okey. Nanti Riz pergi.” Kemudian dia menghulur tangan untuk bersalam sebelum masuk ke dalam keretanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience