Bab 32

Romance Completed 79646

“SORRY tau saya tak sempat nak belikan awak hadiah. Kalau awak nak, hujung minggu ni kita keluar. Saya belanja awak makan okey?” Ujar Zenia sambil tersenyum menatap wajah Hayyan. Berhari-hari tidak bertemu, kenapa tiada rasa rindu di hatinya seperti selalu?

“Nia...” Hayyan memanggil perlahan.

“Tengok awak senyum aje pun dah cukup untuk saya. Tak payah nak bazirkan duit untuk belanja saya makan.” Lembut kata-kata itu dituturkan. Dia mahu Zenia tahu walau apa pun situasi yang mereka lalui, cinta untuk gadis itu tetap akan selalu ada.

Zenia terdiam. Tidak tahu apa yang harus dikatakan lagi. Wajah Azfar kini muncul dalam ingatan. Makin membuatkan hatinya keliru dengan apa yang sedang berlaku.

“Saya sayang awak.” Perlahan dan penuh romantis Hayyan menuturkan sebaris ucapan keramat itu.

Zenia mengetap bibir. Renungan Hayyan, bicara Hayyan, semuanya semakin membuatkan hatinya terasa berat.

Dia bagaikan tersepit di tengah-tengah. Terasa sukar benar untuk dia membalas ucapan itu.

“Saya tahu sekarang ni kita masing-masing sibuk. Nak jumpa pun susah... tapi saya tetap nak awak tahu yang tak pernah seminit pun saya lupa awak. Tau?” Ujar Hayyan lagi. Kali ini senyuman manis menghiasi bibirnya.

Zenia paksa bibir untuk ikut tersenyum. Hayyan mengingatinya setiap minit yang ada, sebaliknya dia membazirkan setiap minit itu merindui orang lain. Kejamnya aku...

SIULAN KAMIL mengalih tumpuan Hayyan. Tangan yang sejak tadi diletakkan di atas dahi dialihkan sebelum dia bangkit membetulkan duduk.

“Tak keluar?” Kamil bertanya sambil duduk di sebelah Hayyan. Badannya ditundukkan sedikit untuk menyarung stoking.

Hayyan sekadar menggeleng.

“Kau ni kenapa? Lain benar aku tengok sekarang. Nak kata putus cinta, dua hari lepas baru nampak kau date dengan Nia bawah pokok tu. Apa halnya lagi ni?” Tanya Kamil tanpa memandang Hayyan. Dalam rumah itu, memang dia yang paling rapat dengan Hayyan dan Hayyan pun tidak keberatan bercerita dengannya.

“Itu yang kau nampak. Yang kau tak nampak?” Lemah Hayyan membalas.

“Apa yang aku tak nampak?” Tanya Kamil lagi. Siap pakai stoking, kasut pula yang disarungnya.

Hayyan mengeluh panjang. “Entahlah...”

Mendengar keluhan itu, barulah Kamil menoleh ke sebelahnya. Kusut benar nampak rakannya itu.

“Kenapa sebenarnya ni? Cuba cerita kat aku.” Desaknya.

“Nia sekarang dah lain...” Perlahan Hayyan bercerita.

“Lain macam mana?” Kamil kerut dahi.

“Lain... entahlah. Aku pun tak tahu nak cakap macam mana. Cuma yang pasti, dia memang bukan Nia yang aku kenal dulu. Dia dah betul-betul berubah. Aku nak jumpa dia bukan main susah lagi sekarang ni. Bila call pula selalu engaged. Kadang-kadang tak angkat langsung. Tak fahamlah aku.” Keluh Hayyan lagi. Kepala disandarkan pada sofa.

Kamil terdiam seketika mendengar luahan Hayyan itu. Dia ingatkan hubungan kedua-duanya baik-baik sahaja.Tak sangka pula bergolak dalam diam.

“Kau rasa dia ada orang lain tak?” Soal Kamil penuh hati-hati.

Hayyan angkat bahu.

“Aku tak nak fikir sejauh tu.”

“Tapi kemungkinan tu ada.” Tekan Kamil.

Hayyan terdiam.

“Kau ingat lagi aku pernah beritahu yang aku nampak dia dengan... Azfar?” Kamil cuba membawa ingatan Hayyan tentang itu.

Hayyan masih diam.

“Aku bukanlah nak cakap dia ada hubungan dengan Azfar cuma... kau kena hati-hati.” Bahu Hayyan ditepuk Kamil.

“Kalau kau nak kepastian, baik kau tanya dia betulbetul. Jangan tuduh melulu nanti lagi teruk jadinya.” Nasihat Kamil.

Hayyan tetap diam. Matanya dipejamkan rapat-rapat. Berharap apa yang sedang berlaku pada hubungannya dengan Zenia hanyalah mimpi semata.

“Aku pergi dulu.” Kata Kamil. Melihat tiada respon daripada Hayyan, dia terus berlalu keluar.

Hayyan membuka mata setelah pintu rumah ditutup rapat. Telefon bimbit di atas meja dicapai. Ringan jarinya menari di papan kekunci mencari nombor telefon Zenia.

Malam ni keluar makan sama. Saya ambik awak kat kolej lepas maghrib.

Agak lama menanti, barulah Zenia membalas. K.

Hayyan tersenyum hambar. Telefon itu diletakkan semula di atas meja sebelum kembali baring di atas sofa dan memejamkan matanya.

KEKOK. BAGAIKAN baru pertama kali keluar bersama. Sepatah Hayyan bertanya, sepatah Zenia menjawab. Dia lebih suka mendiamkan diri menikmati hidangan di depan mata. Bukan Hayyan tidak perasan reaksi dingin Zenia. Malah terlebih perasan. Baru sahaja dia membuka mulut untuk bertanya apa yang tidak kena, Zenia terlebih dahulu bersuara.

“Saya nak ke tandas kejap.” Zenia bangkit dan terus berlalu.

Langkahnya Hayyan perhatikan dengan hati yang lelah. Matanya terpandangkan telefon bimbit Zenia di atas meja. Tertinggal barangkali. Ringan sahaja tangannya mencapai telefon itu. Tiada apa yang dia lakukan melainkan terus memeriksa peti masuk setiap kiriman SMS yang diterima Zenia. Nafas Hayyan terasa semput melihat hampir semua SMS dikirim Azfar.

Saya tahu awak ada Hayyan, tapi saya tak mampu nak tolak perasaan saya ni. Saya betul-betul sayangkan awak Nia. Kalau awak sanggup tinggalkan Hayyan, saya janji saya akan cintakan awak dan jaga awak sampai bila-bila.

Lagi cepat awak beritahu Hayyan, lagi cepat kita boleh teruskan.

Good night sayang. I love you.

Hayyan sudah tidak sanggup membaca SMS yang seterusnya. Telefon itu dikembalikan di tempat asalnya. Ketika itu juga Zenia kembali semula ke meja.

“Jom balik.” Hayyan bangkit berdiri.

Zenia kerut muka. Kenapa tiba-tiba aje? Makanan Hayyan di pinggan belum pun luak separuh. Tapi apabila Hayyan sudah mula melangkah terpaksalah dia menurut sahaja. Sempat dia mencapai telefon bimbit di atas meja sebelum mula berjalan mengikut Hayyan di belakang. Riak muka Hayyan sukar untuk dia baca. Langsung tiada riak marah pada wajah itu, sebaliknya riak terluka. Zenia mula tidak sedap hati. Adakah...

Zenia mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar. Laju jarinya menari di papan kekunci. Macam mana dia boleh lupa SMS daripada Azfar memenuhi ruang telefon bimbitnya? Adakah benar Hayyan sudah membaca semua itu?

Salah dia juga, macam mana boleh tertinggal telefon tu tadi? ‘Aduhai... Tolong aku Ya Allah...’

Perjalanan pulang hanya ditemani lagu Gila Tanpamu yang dimainkan di corong radio. Sungguh... kalaulah Zenia mampu menyelami isi hatinya, Hayyan mahu Zenia menghayati setiap patah lirik lagu itu. Lagu yang benar-benar menggambarkan perasaan yang terlukis di hatinya tika itu.

Bila malam berlalu tanpa ada cahaya

Pastinya semua manusia berjalan tak tentu arah

Begitu juga bila ku tanpa senyummu

Ku akan lelah mencari di mana cinta sejati

Dan tak ingin kau pergi

Tetap genggamlah tangan ini

Serasa hidup bagai mati

Terbawa angin dan berakhir

Kamu jangan pergi tinggalkan ku sendiri

Diriku tiada erti tanpamu

Dan tetaplah di sini

Di dalam hati ini

Aku bisa gila tanpamu

“Hayyan...” Zenia yang tidak senang duduk dalam situasi itu mula bersuara. Hayyan tetap diam. Keretanya semakin perlahan sebelum berhenti tidak jauh dari pintu pagar kolej yang didiami Zenia.

“Hayyan, look... sebenarnya...”

“Awak nak explain apa?” Hayyan memintas dengan suara perlahan.

Zenia mengetap bibir. Dia tahu Hayyan tidak mahu mendengar apa-apa. Tetapi sampai bila? Lambat-laun masa itu akan tiba juga.

“Hayyan! Saya...”

“Dah lewat ni. Pergilah naik. Esok pagi ada kelas pulak.” Ujar Hayyan tanpa memandang wajah Zenia. Jika dia menoleh, hatinya akan rasa lebih terluka.

Zenia geram. Begnya digalas sebelum dia terus turun dari kereta. Pintu kereta itu dihempas kuat dan terus berjalan laju masuk ke dalam kawasan kolej.

Hayyan menyandar di kusyen kereta dengan mata yang pejam. Hatinya terasa pedih...

Kamu jangan pergi tinggalkan ku sendiri

Diriku tiada erti tanpamu

Dan tetaplah di sini Di dalam hati ini

Aku bisa gila tanpamu...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience