Bab 66

Romance Completed 79607

TELEFON BIMBIT di tangan direnung dengan fikiran yang keliru. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Kalau benar keluarga Hayyan datang meminangnya, kenapa lelaki itu tidak menyampaikan apa-apa kepadanya? Kenapa langsung tiada panggilan daripada lelaki itu untuk memaklumkan tentang hal peminangan itu?

Telefon itu diangkat tinggi. Berkira-kira sama ada perlu atau tidak dia menghubungi Hayyan. Ikutkan hati, dia memang mahu menelefon Hayyan. Dia mahu mendengar jawapan dari mulut lelaki itu sendiri. Atau mungkin juga pengesahan. Tetapi entahlah... bagaikan ada sesuatu yang menghalang keinginannya itu.

Puas berfikir, akhirnya Zenia memutuskan untuk tidak menghubungi Hayyan. Kalau betul lelaki itu benarbenar mahu menyuntingnya, pasti dia akan mencarinya juga nanti. Baru sahaja telefon itu diletakkan di atas meja, tiba-tiba ia berdering. Zenia mengerutkan dahi memandang nombor yang tidak dikenali muncul di skrin. Telefon itu dicapai semula sebelum menekan punat hijau.

“Assalamualaikum.” Ucap Zenia dengan nada sedikit ragu.

“Waalaikumussalam. Zenia ya?” Tanya suara lembut itu.

“Ya. Saya Zenia. Ni siapa ya?” Zenia membalas dengan soalan. Dahinya tambah berkerut.

“Akak... Herny. Kakak Rizqi. Nia kenal?”

Zenia terpegun di situ tidak bergerak. Rizqi? Hayyan Rizqi? Panggilan lelaki itu yang dinanti, tetapi kakaknya pula yang menghubungi. Zenia semakin rasa tidak sedap hati.

“Err... ada apa ya akak telefon saya?”

“Macam ni...” Jeda seketika Herny mengambil nafas.

“Tadi akak dan keluarga akak ada pergi rumah Nia. Rasa-rasanya, tentu Nia dah tahu sebab apa, kan?”

Zenia terdiam sebentar. Ya. Memang dia tahu. Tetapi dia tidak tahu kenapa peminangan itu harus dilakukan. Dia benar-benar tidak tahu dan dia mahu tahu jawapannya.

“Ya... tapi...”

“Keluarga akak memang nak satukan Nia dengan Rizqi.” Jelas Herny seakan-akan tahu apa yang bermain dalam fikiran Zenia.

“Nak satukan saya dengan Rizqi?”

Zenia rasa nafasnya hampir putus ketika itu. “Err... tapi... bukan ke Rizqi dah bertunang?” Terasa pelik menyebut nama Rizqi. Tetapi dia tetap teruskan.

Herny tertawa kecil. “Dia dah putus tunang.” Tenang Herny memberitahu. Sementara Zenia yang mendengar semakin bertambah rasa terkejutnya. Putus tunang? Bila?

“Kalaulah Nia tahu keadaan Rizqi sekarang macam mana...” Herny mengeluh pula.

“Kenapa kak? Kenapa dengan dia?” Zenia tidak dapat menafikan desakan hatinya. Kenapa dengan Hayyan? Harapnya lelaki itu baik-baik saja.

“Dia dah banyak berubah sekarang. Lebih banyak termenung. Tak banyak cakap. Suka berkurung dalam bilik dia tu. Kalau dia keluar pun, cuma pergi kerja aje. Itu pun selalu balik lambat. Kadang-kadang tu... dah tengah malam baru dia balik. Hari-hari berulang dari rumah mama akak ke ofis dia, sedangkan sebelum ni dia tak macam tu. Akak pun tak tahu sangat sebab akak tak duduk sekali dengan dia. Kadang-kadang aje akak balik rumah mama akak tu. Tapi mama akak selalu cerita Rizqi dah lain sangat sekarang ni. Sedih akak tengok keadaan adik akak tu Nia...” Suara Herny terkandung sebak.

Zenia mengetap bibir. Cerita itu benar-benar mengusik hatinya. Terlalu terlukakah Hayyan? Adakah semua itu kerana dirinya?

“Sebelum ni, dia sendiri yang minta dengan mama akak untuk putuskan pertunangan dia dengan Zana. Tapi bila Zana sendiri yang putuskan, dia tetap macam tu. Tak ada perubahan. Malah makin teruk. Akak pun dah tak tahu nak buat apa Nia.”

“Jadi... pinangan tu?” Zenia mengetap bibirnya lagi.

“Keluarga akak buat keputusan untuk satukan Nia dengan Rizqi.” Jelas Herny lagi.

“Dia tahu?” Tanya Zenia. Herny terdiam seketika.

“Akak dah beritahu dia... tapi dia diam aje. Macam orang tak ada hati.”

Zenia memejam mata. Memang... sebab dia sendiri yang telah menghancurkan hati Hayyan. Zenia tahu betapa terlukanya lelaki itu atas tindakan yang telah dilakukannya.

“Dia dah bencikan saya kak...” Perlahan Zenia menuturkannya.

“Tak mungkin Nia.” Bantah Herny.

“Akak tahu macam mana sayangnya dia dengan Nia. Takkan semudah tu dia akan benci Nia. Percayalah cakap akak...”

Puas ditahan, menitis juga air mata Zenia. Benarkah begitu?

“Dia tak marah Nia. Jauh sekali nak membenci. Dia cuma... terluka...”

Zenia mengawal esakan agar tidak sampai ke telinga Herny. Ya. Hayyan terluka. Dan dia yang menoreh luka itu di hati Hayyan. Bukan sekali. Tetapi dua kali. Dua kali dia melakukannya dan masih mampukah Hayyan memaafkannya?

“Akak harap sangat Nia terima pinangan tu. Akak yakin, cuma Nia aje yang mampu sembuhkan luka Rizqi...” Herny separuh merayu. Demi kebahagiaan adiknya, dia sanggup.

Zenia diam tidak menjawab.

“Bagi dia peluang untuk bahagia dan bagi diri Nia sendiri peluang untuk tebus balik kesalahan Nia kepadanya. Akak yakin, jodoh kamu berdua masih kuat. Kalau Nia sanggup teruskan, akak yakin Rizqi akan maafkan Nia.”

Herny terus-terusan memujuk. Bukan pujukan kosong semata tetapi dia benar-benar memaksudkannya. Dia yakin kalau Zenia ikhlas sayangkan Hayyan dan cuba untuk mengubati luka lelaki itu, pasti Hayyan akan tetap memaafkannya.

Zenia termenung di katil sesudah talian dimatikan. Puas dia mengesat air matanya, ia tetap mengalir sederasnya. Sungguh dia buntu ketika itu. Kata-kata Herny ada benarnya. Dia yang melukakan Hayyan, jadi hanya dia yang mampu mengubati luka itu. Tetapi masih mahukah Hayyan memberikannya peluang ketiga?

KEPADA IBU, Zenia ceritakan segala-galanya. Dia sudah tidak larat lagi memendam dan menyimpan semua daripada ibunya. Dia tahu hanya ibu yang mampu membantunya menyelesaikan semua kebuntuan itu.

“Nia masih sayangkan dia?” Maryam bertanya perlahan.

Seumur hidupnya, tidak pernah sekali pun dia mendengar nama Hayyan Rizqi dari bibir Zenia. Tetapi setelah mendengar cerita anaknya itu dengan air mata yang tidak berhenti mengalir sedari cerita itu bermula, membuatkan dia yakin memang ada cinta yang mendalam antara kedua-duanya.

Zenia menunduk sebelum mengangguk. Esakannya kedengaran lagi. Maryam menarik Zenia ke dalam pelukan.

“Nia sayang dia ibu. Nia dah banyak kali lukakan dia.

Dia kecewa sebab Nia...”

“Jadi Nia nak terima pinangan dia?”

“Kalau itu dapat ubatkan luka di hati dia, Nia terima bu...” Zenia teresak lagi. “Tapi Nia tak tahu sama ada dia boleh terima Nia lagi atau tak...” Sungguh. Dia terasa seolah-olah peluang untuk Hayyan memaafkannya lagi sangatlah tipis. Malah, mungkin hampir ke titik sifar.

Maryam meleraikan pelukan. Kepala Zenia diusap perlahan.

“Istikharah sayang. Petunjuk Allah tu yang sebaikbaiknya.” Itu pesanannya sebelum dia meninggalkan Zenia di bilik itu.

Zenia baring di sebelah Adam yang sudah lama lena. Robot Ben10 pemberian Hayyan masih erat dalam pelukannya. Kalau Adam sendiri tahu bagaimana rasanya rindu, Zenia lebihlebihlah lagi. Teringat pesanan ibunya tadi, dia akhirnya bangun dari katil. Dia mahu beristikharah. Hanya Allah S.W.T. yang ada jawapan pada persoalannya.

Selesai mengambil wuduk, Zenia menyarung telekung dan menghamparkan sejadah. Penuh khusyuk dia mengangkat takbir dan melafazkan bacaan surah-surah suci Al-Quran. Dia mahu menyembah Allah. Mahu mengadu semuanya dan meminta semoga Dia mempermudahkan segala urusan. Memberikannya petunjuk jalan mana yang harus dipilih agar dia tidak tersilap lagi membuat keputusan.

Lama Zenia berdoa di atas sejadah. Air matanya pula tidak henti-henti mengalir. Benar-benar mengharapkan agar Allah S.W.T. membantunya. Dia sedar dia banyak berdosa selama ini. Terkadang terasa malu untuk meminta banyak daripada-Nya sedangkan terlalu sedikit yang telah diberikan sebagai ganti. Tetapi kepada siapa lagi dia harus meminta kalau bukan kepada-Nya yang di atas sana?

“Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu sesuatu yang dalam pengetahuan-Mu dan aku memohon kekuatan kudratMu. Aku meminta kepada-Mu sebahagian daripada limpah kurnia-Mu yang Maha Besar. Sesungguhnya, Engkau berkuasa sedangkan aku tidak berupaya. Engkau mengetahui sedangkan aku jahil. Sesungguhnya Engkau juga mengetahui segala yang ghaib.”

“Ya Allah, sekiranya dalam pengetahuan Engkau, memilih Hayyan Rizqi adalah baik dalam urusan agamaku di dunia dan baik demi akhiratku, tentukan dan permudahkannya untuk aku. Berkatilah diriku. Sekiranya dalam pengetahuanMu, memilih Hayyan Rizqi membawa keburukan dalam urusan agamaku, dalam urusan hidupku di dunia dan buruk juga dalam urusan akhiratku, elakkannya daripada aku. Kemudian, Engkau tentukan apa yang terbaik untuk aku dan redai aku.”

Kasih sayang Allah itu cukup luas. Bandingkanlah dengan apa sahaja tetap tidak terlawan kasih sayang Allah untuk hamba-hamba-Nya.

Zenia ingin menjadi hamba-Nya yang taat. Yang sentiasa ingat kepada-Nya walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Yang bukan hanya tahu mencari-Nya ketika susah. Zenia sedar. Selama ini sudah terlalu banyak masa yang dihabiskan mengejar keindahan dunia yang sementara sehingga dia lupa syurga Allah yang kekal abadi. Kini dia mahu merubah semuanya dan mengubah dirinya sendiri menjadi insan yang lebih baik.

Kata ibu, jodoh seseorang sudah ditentukan sejak azali lagi. Ada yang bertemu jodoh pada waktu usia masih lagi muda. Ada juga yang lambat ditemukan dengan jodoh sendiri. Semua itu bukan kerana siapa yang layak berkahwin dahulu atau tidak. Ia cuma kerana faktor persediaan diri sendiri.

Mungkin Allah memberi rintangan dalam kisah cinta Hayyan dan Zenia kerana masing-masing masih belum bersedia. Mungkin juga kerana diri masing-masing masih belum punya iman yang kuat. Mungkin juga kerana masing-masing masih belum mampu mempersiapkan diri menjadi hamba Allah yang taat hanya kepada-Nya. Atau mungkin juga kerana Dia mahu Zenia membetulkan apa yang silap. Kembali ke pangkuan orang tua memohon maaf dan restu mereka kemudian barulah jodoh itu akan datang kepadanya.

Mungkinkah... jodohnya itu Hayyan Rizqi?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience