Bab 75

Romance Completed 79607

Sebulan kemudian...

“APA ni?” Zenia mengerut dahi memandang kertas berlipat di tangannya.

Hayyan tersenyum.

“Pakej percutian ke Istanbul. Kita honeymoon kat sana ya.”

“Istanbul?” Zenia hampir terbuntang biji mata.

Hayyan ketawa melihat reaksi itu. Isterinya itu dihampiri dan dipeluk dari belakang.

“Ya. Istanbul. Kenapa? Tak nak pergi?”

“Tak cakap pun!” Laju Zenia menjawab. Dia tersengih memandang Hayyan.

“So... setujulah ni?” Hayyan menagih jawapan.

“Betul ke awak nak bawak saya pergi Istanbul?” Zenia seakan ragu-ragu.

“Laa... betullah. Kenapa susah sangat nak percaya ni...

hmm?” Hayyan mencuit pipi Zenia.

“Bukan tak percaya...”

“Habis tu?”

Zenia memusingkan tubuhnya menghadap Hayyan.

“Kita ada masalah sikit.”

“Masalah apa? Awak takut naik flight?” Sesuka hati Hayyan meneka.

“Bukanlah!” Zenia berdecit geram. Pandai-pandai aje Hayyan buat kesimpulan. Hayyan ketawa lagi.

“Dah tu apa masalahnya?”

“Adam.”

“Adam?” Hayyan kerut kening. Zenia mengangguk.

“Yup. Adam masalahnya.”

Hayyan terdiam dengan muka berkerut. Menunggu Zenia menjelaskan apa maksud isterinya itu.

“Kalau kita pergi sana, Adam macam mana? Awak ingat semudah tu Adam nak biarkan kita pergi?” Zenia cuba menjelaskan perkaitan Adam dalam masalah mereka untuk ke Istanbul. Hayyan sendiri sudah faham dengan perangai Adam yang susah berjauhan dengan mereka berdua. Nak tinggal kat rumah nenek sekejap pun dia dah bising. Inikan pula nak ke Istanbul? Hmm...

“Yang tu... awak tak payah risau. Nanti pandaipandailah saya pujuk dia.” Hayyan tersenyum penuh makna.

“Nak pujuk macam mana? Ingat senang ke?” Zenia mengecilkan anak matanya merenung Hayyan. Lagak memandang rendah keupayaan suaminya itu.

“Belum cuba belum tahu. Just wait and see... okay dear?” Hayyan mengenyitkan sebelah matanya.

Zenia mengangkat bahu. Okay. Just wait and see...

“TAK NAK!”

Hanya dua baris perkataan sudah cukup membuatkan senyuman di bibir Hayyan hilang. Zenia yang mengintai dari arah dapur hanya mampu menahan tawa.

“Tak lama pun. Seminggu aje mama dengan papa pergi. Adam duduklah dengan nenek sekejap ya...” Hayyan masih berusaha memujuk anaknya itu.

“Tapi Adam nak ikut mama dengan papa. Adam tak nak kena tinggal.” Adam memuncung. Kalau dah itu reaksinya, tak lain tak bukan mesti nak merajuk.

Hayyan menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Okey macam ni...” Adam ditarik rapat dengannya. “Nanti lepas mama dan papa balik dari sana, papa ambik cuti. Lepas tu kita pergi jalan-jalan lagi. Adam nak pergi mana, cakap aje. Nanti papa bawakkan.” Umpannya.

Adam terdiam lama. Barangkali sedang berfikir tentang tawaran papanya itu. Zenia pula masih memasang telinga dari arah dapur.

“Papa janji?” Adam merenung papanya dengan mata mengecil.

“Ya. Janji!” Hayyan menghulurkan jari kelengkengnya kepada Adam.

Adam yang merasakan jari kelengkeng itu menjadi jaminan janji yang dibuat tidak akan dapat dimungkiri, terus sahaja bersetuju. Hayyan tersenyum lega sementara Zenia di dapur terkekeh ketawa mengenangkan telatah kedua-duanya.

Satu yang Hayyan pasti selepas ini dia tidak akan dapat mengelak lagi daripada janjinya itu dengan Adam. Kalau ke Disneyland Adam kata, maka Disneylandlah yang harus dijejaki.

SELESAI SOLAT isyak, Hayyan dan Zenia sama-sama mengajar Adam membaca muqaddam. Bermula dengan mengenal huruf dalam buku iqra’, kini Adam sudah mampu untuk membaca surah-surah lazim dalam kitab suci Allah. Walaupun mungkin tajwidnya masih belum betul sepenuhnya, itu sudah cukup sebagai permulaan untuk anak seusia Adam.

Selesai mengajar Adam, giliran Zenia pula mengaji bersama Hayyan. Hayyan kini mula mengikuti kelas-kelas tajwid sekiranya ada kelapangan. Dia bukan sahaja mahu menjadi seorang suami yang penyayang tetapi juga seorang suami yang dapat membimbing isteri dan anak-anak menuju ke syurga Illahi.

Usai mengaji, Zenia bangun dari sejadah. Al-Quran diletakkan di bahagian paling atas rak sebelum menanggalkan telekung. Hayyan melabuhkan punggung duduk di hujung katil setelah menanggalkan songkok di kepala. Adam pula sudah menghilang ke ruang tamu untuk menonton rancangan kartun di channel Astro.

Zenia menghampiri Hayyan di katil. Tidak sempat dia duduk apabila Hayyan sudah menariknya untuk duduk di atas ribaan lelaki itu.

“Awak dah makin beratlah sekarang ni sayang.” Kata Hayyan selamba sebelum tertawa sendiri. Zenia mencebik.

“Eii... awak ni...”

Hayyan ketawa lagi. Bahu Zenia dicium sebelum meletakkan dagunya di situ.

“Tak lama lagi... Zana dah nak kahwin, kan?” Tanya Zenia sambil menoleh sedikit ke belakang.

Hayyan mengangguk.

“Saya terkejut sangat masa dapat tahu Zana nak kahwin dengan Kamil. Tak sangka betul... kawan baik awak masa zaman belajar dulu akan kahwin dengan bekas tunang awak sendiri, kan?”

“Haa... bekas-bekas jangan sebut eh?” Hayyan menegur pantas.

Zenia ketawa. Dia tahu lelaki itu memang tidak suka jika hal lama itu diungkit kembali.

“Okey. Tak sebut dah.”

“Good.” Hayyan mencium pipi Zenia pula. “Hmm... tiba-tiba saya teringat something.”

“Apa dia?” Zenia kerut dahi.

“Mana rantai yang saya bagi awak dulu? Simpan lagi ke tak?”

“Rantai? Ohh... rantai Zinnia tu eh?” Zenia tersengih melihat Hayyan mengangguk.

“Tentulah simpan lagi. Kejap saya pergi ambik.” Zenia bangun dari ribaan Hayyan menuju ke arah meja solek. Laci dibuka. Di situlah tempat dia menyimpan rantai itu di dalam sebuah kotak. Setelah mengambil rantai itu dari dalam kotak kecil itu, dia kembali semula ke katil.

“Sini...” Hayyan mengambil rantai itu dari tangan Zenia. Kemudian tanpa berkata apa-apa rantai itu dipakaikan pada leher Zenia.

“Mulai hari ni, saya tak nak awak buka lagi rantai tu. Biar dia stay kat situ sampai bila-bila. Itu tanda cinta awak kepada saya.” Ujar Hayyan dengan suara yang seakan berbisik.

Zenia tunduk memandang rantai itu. Kalau Hayyan tidak meminta pun, memang dia sudah berniat untuk terus memakai rantai itu selepas ini. Rantai berloket Zinnia yang telah menyimpan seribu satu kenangannya bersama Hayyan. Mana mungkin dia boleh buang rantai yang seperti sudah menjadi simbolik percintaannya dengan lelaki bernama Hayyan Rizqi itu.

“Okey. Saya janji Encik Suamiku Sayang.”

Hayyan tersenyum gembira. Satu doanya sejak hari pertama dia menjadi suami kepada Zenia, semoga cinta mereka terus kekal dan mekar harum mewangi sampai bila-bila.

Abang Adidas ke, Encik Crush ke, Hayyan Comel ke, Encik Perasan Comel ke, atau Encik Suamiku Sayang sekalipun, tetap orang yang sama di hati Zenia. Yang dia sayang dari dulu lagi.

Sama juga seperti Hayyan. Sayang ke, sweetheart ke, dear ke, love ke, malah tuan puteri sekalipun, tetap Nur Iris Zenia satu-satunya wanita yang bertakhta di hati dari dulu, kini dan Insya-Allah untuk selama-lamanya selagi nyawa dikandung badan.

GAMBAR-GAMBAR ADAM yang sedang tersenyum riang terpampang di skrin komputer ribanya membuahkan senyuman pada bibir. Sudah berbulan-bulan dia tidak menemui anaknya itu. Tetapi itu tidak bermakna dia tidak lagi mengambil berat soal Adam. Zenia masih tetap sudi mengirimkan emel kepadanya tentang perkembangan terkini Adam dan juga gambar-gambar anaknya itu setiap masa.

Azfar termenung seketika di depan komputer ribanya. Zenia kini bahagia bersama Hayyan. Dan dia tahu, dia juga harus memulakan hidup yang baru tanpa perlu berpaling ke belakang lagi. Sekeping kad berukir cantik di tepi komputernya dicapai. Kad itu dibelek-belek seketika dengan senyuman di bibir. Dia bangkit dari kerusi meletakkan kad itu di tempatnya semula sebelum berlalu keluar dari bilik.

JEMPUTAN KE MAJLIS PERKAHWINAN
AZFAR & AINI

.::TAMAT::.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience