Bab 60

Romance Completed 79607

TEPAT jam 8.30 malam, kereta Hayyan berhenti di depan rumah Zenia. Zenia keluar dari rumah menyambut Adam. Jelas Adam nampak gembira sekali. Malah pelukan Adam pada Hayyan waktu itu erat sekali seperti tidak mahu dilepaskan lagi seolah-olah kalau dilepaskan dia tidak akan dapat memeluk lelaki itu lagi.

“Adam masuk dulu. Papa ada benda nak cakap dengan mama.” Suruh Hayyan lembut. Ada senyuman di bibirnya.

“Okey!” Adam mencium pipi Hayyan sebelum terus berlari masuk ke rumah.

Hayyan bangkit berdiri. Renungannya jatuh pada wajah Zenia. Wajah yang sangat dirindui...

“Esok saya balik kampung.” Beritahu Zenia tanpa memandang Hayyan. Memandang wajah terluka itu hanya akan mengundang air matanya lagi.

“Berapa lama?” Perlahan Hayyan bertanya.

“Dua minggu.”

Hayyan mengangguk.

“Azfar melamar saya.” Entah kenapa itu pula yang keluar dari mulut Zenia. Bibirnya diketap. Perlukah dia melukai Hayyan lagi?

Hanya tiga patah perkataan tetapi benar-benar merobek hati Hayyan. “Awak terima?”

Zenia diam tidak menjawab. Dia belum menerima tetapi biarlah Hayyan fikir dia sudah menerima. Hanya dengan cara itu Hayyan akan melepaskan dia pergi. Hanya dengan cara itu...

Hayyan mengangguk. Mengerti. Hatinya rasa berdarah lagi.

“Selepas apa yang terjadi, kenapa dia juga yang awak pilih?”

Sungguh... soalan itu bagai memberi tamparan yang sangat hebat kepada Zenia. Tahulah dia. Hayyan sudah benarbenar terluka. Tidak mungkin luka itu dapat disembuhkan lagi. Tidak mungkin.

“Saya doakan awak bahagia dengan dia.” Hayyan tidak menunggu lagi. Dia berpaling dan terus masuk ke kereta.

Deruman enjin kereta Hayyan kian menjauh. Zenia masih berdiri di situ. Membiarkan air matanya menitis ke pipi. Kata-kata Hayyan tadi bagai terngiang-ngiang di telinga. Kata-kata yang diucapkan dengan nada yang lirih. Benar-benar menggambarkan hatinya yang sarat dengan kelukaan dan kekecewaan.

‘Selepas apa yang terjadi kenapa dia juga yang awak pilih?’

“Sebab saya tak mampu nak pilih awak Hayyan...” Dan... air matanya terus menitis.

ZENIA DUDUK di birai katil merenung pakaian yang sudah siap dimasukkan ke dalam beg. Esok dia akan pulang ke kampung. Mungkin inilah hikmah atas apa yang terjadi. Allah menjadikan semuanya begini kerana Dia mahu Zenia pulang mencari reda ibu dan ayah yang telah lama ditinggalkan.

Pintu bilik ditolak dari luar. Adam muncul di situ bersama robot Ben10 di tangannya. Tidak perlu bertanya, dia tahu itu hadiah pemberian Hayyan. Tangannya menggamit supaya Adam menghampirinya. Diangkat anak itu supaya duduk di ribaannya.

“Kita nak pergi mana mama?” Tanya Adam sambil berpaling merenung mamanya.

“Kita nak balik kampung.” Jawab Zenia sambil menahan air mata. Kasihan Adam... dia tidak mengerti apa-apa tetapi dia yang bakal menjadi mangsa selepas ini.

“Balik kampung?” Bersinar-sinar mata Adam merenung mamanya itu. Zenia mengangguk. “Adam nak tak jumpa atuk dengan nenek?” “Nak!” Laju Adam mengangguk.

Zenia tersenyum. Dipeluk Adam erat-erat dan tidak semena-mena air matanya menitis lagi. Esakan yang cuba ditahan akhirnya sampai juga ke telinga Adam.

“Mama... kenapa mama nangis?” Adam bertanya perlahan. Tangan kecilnya mengesat air mata yang basah di pipi Zenia.

“Siapa yang buat mama?”

Zenia menggeleng. Tangan Adam digenggam dan dibawa ke bibirnya.

“Tak ada apa sayang...”

“Mama sedih ya?” Adam bertanya lagi. Rautnya yang polos itu makin menambahkan sebak di hati Zenia.

Zenia memeluk Adam semula. Dahi anaknya itu dikucup penuh sayang. ‘Ya Allah... semoga keputusan yang aku buat ini adalah keputusan yang terbaik. Amin.’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience