Bab 30

Romance Completed 79607

DARI muka surat 32 sehingga 35, setiap patah perkataan yang dibaca hanya mengingatkannya tentang Azfar. Zenia tidak tahu apa yang tidak kena dengan dirinya. Padahal kalau diikutkan, Hayyanlah yang sebelum ini sentiasa memenuhi ruang fikirannya tidak kira ke mana dia pergi dan apa sahaja yang dia lakukan. Apa yang menariknya Azfar hingga membuatkan dia boleh ‘terangau’ begitu hanya selepas berkenalan dalam tempoh masa yang singkat?

Telefon bimbit Zenia berbunyi menandakan satu SMS masuk sekali gus mengalih tumpuan Zenia yang memang sudah tidak stabil sedari tadi. Telefon itu dicapai. Tak mungkin Hayyan sebab tadi dia sudah berpesan jangan telefon atau SMS memandangkan dia perlu mengulang kaji pelajaran.

“Azfar?” Perlahan nama yang tertera di skrin disebut. Zenia kerutkan dahi. Macam tahu-tahu aje mamat ni orang tengah fikirkan dia...

“Apa Nia?” Eton bertanya tiba-tiba. Tadi dia ada mendengar Zenia bersuara tapi tak berapa jelas.

Zenia menoleh ke arah Eton.

“Hmm... Eh, tak ada apalah.” Kalut dia menjawab sambil tersengih. Eton buat muka sebelum kembali fokus pada buku di atas meja.

Zenia menekan punat inbox SMS. Tanpa sedar terukir satu senyuman di bibir Zenia membaca coretan lelaki itu.

Langit cantik malam ni. Tiba-tiba saya teringat kat awak.

Kenapa pulak? Apa kaitan saya dengan langit?

Awak cantik macam langit la.

Daripada awak cakap saya cantik macam langit, baiklah cakap saya cantik macam bulan. Hehe.

Bulan mana ada cantik, penuh dengan lubang-lubang tau? Muka awak macam tu ke? Hehe.

Kurang asam.

Hahaha. Jangan marah cik langit malam. Gurau aje.

Zenia tidak dapat menahan diri daripada ketawa. Eton yang ralit membaca terus teralih perhatiannya. Mengecil sepasang matanya merenung Zenia. Dengan siapa Zenia berbalas SMS? Biasanya kalau waktu Zenia belajar, Hayyan tidak mungkin mengirim SMS kerana tidak mahu mengganggu fokus Zenia. Itu membuatkan Eton yakin bukan Hayyan orangnya yang membuat Zenia ketawa macam orang tak betul tu.

“Aku nak tidur dah Nia. Kau buka lampu mejalah, boleh?” Eton yang sudah memanjat katil bersuara. Tiada respons. Dia menoleh ke arah Zenia yang masih asyik dengan telefon di tangan.

“Nia?”

“Ya!” Barulah Zenia menyahut dan berpaling.

“Aku nak tidur. Nak tutup lampu. Kalau kau nak study, buka lampu mejalah ya?” Satu per satu Eton mengulangi ayatayatnya tadi.

“Okey.” Zenia mengangguk dan terus menghidupkan lampu mejanya sebaik sahaja lampu bilik dipadamkan. Sehingga jam menghala ke pukul 1.05 pagi barulah Zenia mematikan lampu meja dan naik ke katil. Ketika itu juga telefon bimbitnya berbunyi membawa nama Hayyan di skrin.

“Dah tidur?” Soalan pertama Hayyan kedengaran.

“Baru aje nak tidur.” Jawab Zenia sambil meletakkan kepala ke bantal.

“Awal malam ni? Biasanya pukul 3, 4 pagi baru tidur.” Hayyan pelik.

“Ngantuk...” Lemah suara Zenia menjawab.

“Saya...”

“Hayyan, kita cakap esok ajelah ya? Saya ngantuk sangat ni. Bye. Good night.” Tanpa memberi peluang untuk Hayyan bercakap lagi, Zenia terus mematikan talian.

Skrin telefon bimbit dipandang lagi. Ada senyuman di bibirnya membaca SMS terakhir kiriman Azfar.

Good night cik langit malam. Mimpi indah.

Lalu dia membalas,

Good night untuk awak jugak.

PENSYARAH MENGAJAR di depan, tapi elok sahaja Zenia berbalas SMS dengan Azfar di dalam kelas. Eton menyenggol lengannya dengan isyarat mata menyuruhnya berhenti namun Zenia buat tidak peduli. Pandai-pandailah cover line. Sudahnya Eton putus asa hendak menegur lagi.

Kenapa Zenia buta sangat? Sejak berkawan dengan Azfar, dah banyak sangat dia berubah. Kalau berubah ke arah kebaikan tak apalah, ini ke arah keburukan. Kenapa? Kenapa? Kenapa? Sungguh Eton rasa geram yang amat. Tambah geram apabila lepas tamat kelas, tergesa-gesa Zenia angkat kaki.

“Nia... kau nak pergi mana? Hayyan ada kelas masa ni, kan? Jom lunch sama.” Ajak Eton. Memang kebiasaannya kalau Hayyan ada kelas, mereka akan makan tengah hari bersama.

“Err... sorry, tak dapatlah.” Balas Zenia dengan muka sedikit berkerut. Telefon bimbit kemas dalam genggaman.

Eton kerut dahi. Hatinya seolah-olah dapat menghidu ada yang tidak kena. Zenia memang tak pandai menipu. Kalau dia menipu juga memang penipuan itu akan terserlah dari sepasang matanya.

“Kau nak pergi mana sebenarnya ni?”

“Hmm... aku dah janji nak teman Azfar hari ni pergi ofis pak cik aku tu.” Beritahu Zenia. Eton ternganga.

“Nia... kau sedar tak apa kau buat ni?”

“Aku cuma nak tolong dia. Tak salah, kan? Nanti petang jumpa kat kolej. Bye!” Zenia melambai dan sekejap saja kelibatnya sudah menghilang. Eton mengetap gigi. Kalaulah Hayyan tahu...

LAJU LANGKAHNYA diatur sambil hujung jari menekan-

nekan punat pada telefon bimbitnya. Berkali-kali nombor yang sama didail tetapi jawapan yang diterima tetap serupa sejak setengah jam yang lalu. Tiada satu pun panggilannya berjawab. Hayyan mengeluh entah untuk kali ke berapa. Tak tahu kenapa sekarang ni susah sangat untuk dia menghubungi Zenia. Kalau jawab pun sekejap aje, lepas tu mulalah bersusun-susun alasan keluar dari mulutnya. Buktinya sekarang telefon bimbitnya dimatikan terus. Dah berkali-kali telefon, tetap si operator juga yang menjawab.

“Opppss!” Eton menghentikan langkahnya sertamerta. Tangan kanan naik mengurut dada.

‘Ya Allah... hampir nak gugur jantung ni.’ Bulat matanya merenung Hayyan yang tiba-tiba muncul di depan mata.

“Ingatkan makhluk manalah tadi...”

“Nia mana?” Tanpa mempedulikan kata-kata Eton, Hayyan terus menerjah dengan pertanyaannya.

Sesak nafas sekejap Eton jadinya. Perkara yang paling ditakuti terjadi juga di depan mata. Dia tahu lambat-laun Hayyan tetap akan datang menemuinya untuk bertanyakan Zenia. Bodohlah lelaki itu kalau langsung tidak sedar si kekasih hati sudah berubah laku.

“Eton... aku tanya ni. Nia mana?” Hayyan mengulangi soalannya.

“Hmm... err... Nia...” Dipandang wajah Hayyan yang resah. Eton jadi tidak sampai hati.

“Nia pergi jumpa lecturer. Dia cakap tadi ada benda nak tanya...”

“Tapi kenapa aku call tak dapat?”

“Dia offkan kut. Yalah... takkan nak jawab call depan lecturer. Tak sopan.” Laju pula patah-patah kata itu meniti keluar dari bibir Eton. Hayyan terdiam. Hati bagai meragui tapi entah kenapa tak terluahkan.

Eton makin tak sedap hati tengok Hayyan diam begitu. “Hmm...”

“Tak apalah. Thanks.” Cuma itu balasan Hayyan sebelum melangkah pergi.

Eton perhatikan langkah perlahan Hayyan dengan perasaan bersalah tepu di hati. Kesiannya Hayyan... Langkah yang terhenti tadi dilajukan.

‘Nia! Ni semua kau punya pasal! Tak pasal-pasal aku pun subahat sekali tipu Hayyan. Urgh!’

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience