Bab 70

Romance Completed 79607

ENTAH mengapa tetapi hati kecil Hayyan berharap akan ada lagi bungkusan dan nota ringkas kiriman Zenia pagi berikutnya. Dan harapannya itu menjadi kenyataan kerana sebaik sahaja masuk ke pejabat, matanya terpandangkan bungkusan di atas meja. Kali ini dia tidak perlu bertanya kepada Syikin lagi. Dia yakin bungkusan itu memang kiriman Zenia. Sama seperti semalam.

Hayyan duduk di kerusi sambil tangannya mencapai bekas plastik di atas mejanya itu. Kali ini Zenia mengirimkannya nasi goreng tomyam pula. Daripada baunya sahaja Hayyan sudah tahu. Nota yang ditinggalkan bersama nasi goreng itu dibaca dalam hati.

________________________________________________________________

Saya tahu awak masih bersedih dan tertekan dengan apa yang berlaku antara kita. saya mungkin boleh ubati luka di hati awak... tapi itu mungkin memerlukan masa. Tapi saya tahu ada yang boleh ubati luka awak tu lebih cepat. Tahu Siapa?

Dia yang kat atas sana...
Allah S.W.T

Awak cuba amalkan zikir-zikir ni. InsyaAllah hai awak akan lebih tenang.

Ya Baasit
Ya Latiff x129
Ya Razaaq x100 ( Selepas solat Jumaat )
Ya Badii'us samaawaati wal ard x100
Ya Majid x100
Ya Muqsit (Sebanyak-banyaknya)
Ya Waasi' x170

Zenia

________________________________________________________________

Kalau awak tahu, saya sekarang pun dalam proses untuk perbetulkan diri saya ke arah yang lebih baik. kalau awak sudi, kita cuba sama-sama ya?

Hayyan tersandar di kerusi dengan perasaan yang sukar untuk ditafsirkan. Zenia menegurnya dengan cara yang begitu lembut. Membawanya kembali kepada Allah S.W.T. pada saat hati terasa tidak mampu untuk meneruskan semuanya lagi. Kenapa dia lupa semua itu? Kenapa dia terlalu leka dengan kekecewaan yang dialami sehinggakan dia lupa ada yang sentiasa memerhatikan dirinya di atas sana?

Mungkin Allah memberinya ujian ini kerana Dia rindukan rintihan hamba-hamba-Nya. Dia mahu hambahamba-Nya mencari diri-Nya. Mengadu segala-galanya kepadaNya dan mengharapkan bantuan-Nya dalam apa juga situasi. Hayyan meraup tapak tangan ke muka. Ya Allah...

KETIKA MEMARKIRKAN keretanya tidak jauh dari pagar sekolah Adam, Zenia mengerutkan dahi melihat kereta Hayyan yang terparkir berdekatan. Hayyan? Apa lelaki itu buat kat sini? Nak jumpa Adam ke?

Zenia keluar dari kereta. Dia berjalan mendekati kereta Hayyan dengan tanda tanya yang besar di kepala. Sampai di kereta itu, Zenia mengintai melalui cermin. Namun cermin gelap kereta itu menghalang pandangannya.

Pintu kereta sebelah pemandu dibuka dari dalam. Kelihatan Adam sedang tersengih memandangnya.

“Adam!” Terkejut Zenia dibuatnya. Selamba sahaja anaknya itu duduk di sebelah Hayyan dengan sengihan panjangnya.

“Kenapa keluar sekolah macam tu aje? Kan mama dah pesan, selagi mama tak datang ambik, Adam tak boleh keluar dari sekolah. Kalau jadi apa-apa nanti, mama jugak yang susah.” Zenia mula membebel-bebel tanpa sedar renungan Hayyan memanah ke wajahnya.

“Alahhh... mama ni kecohlah. Kan Adam ada dengan papa ni. Mana ada jadi apa-apa.” Selamba Adam menjawab sambil berpeluk tubuh.

Zenia ternganga sedikit. Amboi! Dah pandai menjawab nampak? Wajah Hayyan pula yang dipandangnya.

“Awak buat apa kat sini?”

“Nak jumpa Adam.” Hayyan tunduk memandang Adam.

Sungguh... suara itulah yang sangat dirindui Zenia. Akhirnya, Hayyan sudi juga membuka mulut dan bercakap dengannya walaupun mata itu masih tetap merenung Adam. Itu sudah cukup untuk melegakan hati Zenia. Sekurang-kurangnya Hayyan sudah mahu bercakap dengannya.

“Kenapa tak beritahu saya dulu?” Tanya Zenia lagi. Lurus renungannya ke wajah Hayyan.

Hayyan mengangkat kepala. Mata bertemu mata.

“Saya ingatkan, awak takkan benarkan.”

“Kenapa pulak saya tak benarkan?” Zenia memintas laju. “Awakkan... akan jadi papa Adam jugak tak lama lagi.” Kepalanya ditundukkan sebaik sahaja menuturkan sebaris ayat itu.

Lama renungan Hayyan jatuh pada wajah Zenia. Masing-masing terdiam untuk seketika. Adam pula yang terkebil-kebil memandang kedua-duanya silih berganti.

“Okeylah Adam... nanti ada masa kita jumpa lagi ya. Papa pun dah nak balik ni.” Hayyan sengaja menceriakan suaranya bercakap dengan Adam. Wajah Zenia tidak lagi dipandang.

“Okey! Nanti papa datang jumpa Adam lagi tau?” Sempat Adam berpesan.

Hayyan tunduk memandang Adam. Hayyan mengangguk. Adam tunduk mencium tangannya sebelum turun dari kereta. Zenia menutup pintu kereta Hayyan. Tidak lama selepas itu Hayyan mula memandu pergi. Zenia menghela nafas panjang.

“TADI ADAM borak apa dengan papa?” Zenia bertanya sambil matanya memandang lurus ke jalan raya di depan.

“Papa tanya Adam sihat ke tak.” Jawab Adam.

“Lagi?” Zenia mahu tahu lebih daripada itu.

“Papa tanya mama sihat ke tak.” Jawab Adam lagi.

“Adam jawab apa?” Zenia semakin panasaran.

“Adam cakaplah mama sihat. Sama macam Adam.” Adam tersengih menjawab.

Zenia mengangguk faham. Dia masih mahu bertanya tetapi tidak tahu bagaimana mahu menyusun ayat. Macam kelakar pun ada juga. Nak bertanya tentang kekasih hati tetapi perlu menggunakan anaknya sebagai orang tengah. Tak pernah dibuat orang kut?

“Hmm... malam tadi Adam cakap apa dengan papa?” Terluah juga soalan itu dari bibir Zenia.

“Malam tadi?” Adam berfikir-fikir lama. “Hmm... Adam cakap papa janganlah marah mama lagi...”

“Papa jawab apa?” Zenia berdebar-debar menunggu jawapan.

“Papa jawab...” Adam membetulkan duduknya, langsung tidak sedar mamanya sudah tidak senang duduk di sebelah.

“Papa kata... papa bukan marah mama. Cuma sekarang papa tengah sibuk. Nanti bila papa tak sibuk, papa baik balik dengan mama.”

Zenia tidak tahu bagaimana hendak memberi reaksi. Nak gelak? Nanti apa pula kata Adam. Nak menangis? Nanti entah apa lagi Adam akan mengadu kepada Hayyan.

‘Aduhai anak aku yang seorang ni...’

“Kenapa mama tanya Adam macam tu?” Lagak orang dewasa Adam bertanya mamanya.

“Tak ada apalah. Saja nak tahu.” Dalih Zenia. Nafas panjang terhembus keluar. Tak mengapalah. Dia akan tetap setia menanti sehingga Hayyan benar-benar mampu memaafkan dirinya sepenuhnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience