Bab 51

Romance Completed 79646

KALAU ikutkan hati memang Hayyan langsung tak mahu mengikut mamanya keluar untuk membeli barangan persiapan majlis perkahwinannya nanti. Apatah lagi apabila Zanariah juga ikut serta. Tapi alasan apa yang dia ada untuk mengelak selain malas? Jadi terpaksalah dia tunjuk muka juga di depan Zanariah yang jelas-jelas menunjukkan minat kepadanya hanya melalui renungan mata gadis itu.

“Zana dah fikir nak buat tema apa untuk wedding kat rumah Zana nanti?” Ramah Datin Asmida bertanya.

“Hmm... entahlah aunty. Zana tak bincang apa-apa pun lagi dengan mummy.” Jawab Zanariah. Sesekali matanya mengerling ke arah Hayyan yang hanya diam dengan muka kayu.

“Kenapa nak kena bincang dengan mummy dulu? Inikan majlis kahwin Zana. Sepatutnya Zanalah yang pilih nak tema warna apa... konsep apa...”

Hayyan hanya menadah telinga mendengar perbualan antara mamanya dengan Zanariah. Apa-apa sahajalah mama sebab perkahwinan tu tak mungkin akan berlaku. Desis hatinya sendiri.

“Riz diam aje? Tak ada nak bagi cadangan ke apa yang patut mama beli ni?” Datin Asmida menegur Hayyan yang cuma diam sedari tadi. Tak ada sepatah perkataan pun yang dia dengar keluar dari mulut anaknya itu.

“Nak buat apa beli awal sangat ma? Kan majlis lambat lagi.” Rendah nada Hayyan menjawab. Matanya fokus pada telefon pintar di tangan.

“Memanglah lambat lagi. Tapi tak salah kan kalau nak buat persiapan awal. Nanti tak adalah kelam-kabut. Kan Zana?” Datin Asmida tersenyum memandang bakal menantunya itu.

Zanariah membalas dengan anggukan. Wajah Hayyan dipandang lagi. Sekilas pun lelaki itu tidak menoleh ke arahnya. Kenapa ya? Adakah dia tidak cukup cantik dan menarik di mata Hayyan? Atau adakah mungkin... lelaki itu sudah punya orang lain? Kalau betul... kenapa sanggup bertahan dalam pertunangan yang telah diikat bertahun-tahun ini? Kalau betul tak sudi, sepatutnya sudah lama dulu Hayyan mengundur diri. Bukan sekarang. Bukan setelah ada cinta di hatinya untuk lelaki itu.

“Mama penatlah jalan. Jomlah kita pergi makan dulu.” Cadang Datin Asmida. Tanpa menanti jawapan Hayyan, dia segera menarik tangan Zanariah mencari restoran untuk mengisi perut.

Hayyan hanya mengekor tanpa suara. Ketika pelayan datang mengambil pesanan pun dia hanya membiarkan mamanya membuat pesanan untuknya. Perbualan rancak mama dengan Zanariah langsung tidak disampuk. Entahlah. Memang dia langsung tiada mood. Setiap masa. Setiap saat... Hanya Zenia yang diingatinya.

“Aunty pergi tandas kejap ya Zana?” Datin Asmida lantas bangkit menuju ke arah tandas.

Zanariah melilaukan mata ke sekitar restoran itu sebelum matanya berhenti di wajah Hayyan.

“Riz...” Panggilnya perlahan. Hayyan hanya menoleh sekilas sebelum kembali tunduk.

“Awak memang tak suka ya ikut mama awak keluar shopping?” Tanya Zanariah. Dia cuma mahu mengajak Hayyan berbual dengannya. Keadaan bisu antara mereka sangat tidak menyelesakan baginya.

“Tak adalah. Biasa aje.” Ringkas Hayyan menjawab tanpa memandang Zanariah.

“Tapi awak nampak macam tak suka. Atau sebab saya ada?” Teka Zanariah.

Hayyan diam tidak menjawab. Dia takut kalau dia menjawab ‘ya’, ada pula hati yang tergores.

Zanariah menghembus nafas panjang. Susahnya cakap dengan patung bernyawa ni. Macam manalah dia boleh jatuh cinta dengan lelaki ini?

“Saya rasa kita kena mula bincang tentang konsep wedding kita nanti.” Zanariah masih tidak putus asa untuk menarik minat Hayyan bercakap dengannya.

“Saya rasa tak payah. Lagipun belum tentu lagi majlis tu jadi.” Perlahan Hayyan menjawab.

“Apa dia?” Zanariah bertanya semula. Dia dengar. Tapi entah kenapa dia berharap dia cuma tersilap dengar.

“Nothing.” Pendek Hayyan menjawab semula. Ketika itu juga Datin Asmida muncul dari tandas.

“Riz kena balik ma. Ada hal lain pulak lepas ni.”

“Alaa... kan tak habis lagi beli barang?” Datin Asmida terkejut sementara Zanariah hanya mendiamkan diri. Dia tahu. Hayyan sengaja mencari peluang untuk mengelak daripadanya.

“Lain kalilah ma. Tak pun... esok mama datang lagi berdua dengan dia. Riz tak boleh lama kat sini.” Ujar Hayyan dengan wajah tanpa riak. Lebih senang menyebut ‘dia’ berbanding nama Zanariah sendiri.

“Hmm... Riz ni macam-macamlah.” Datin Asmida membebel tak puas hati. Hayyan tidak berkata apa lagi. Dia cuma mahu menemui Zenia. Yang lain-lainnya sudah tidak penting lagi.

“LAIN KALI kita shopping lagi tau? Nak ajak mummy sekali pun boleh.” Itu pesanan Datin Asmida sebelum kereta Hayyan bergerak meninggalkan Zanariah di rumahnya. Lambaian gadis itu dibuat tidak nampak sahaja. Biarlah... biar Zanariah tahu hubungan antara mereka tidak sepatutnya terjalin. Jadi tidak perlulah gadis itu mengharap lebih-lebih.

“Kenapa mama tengok Riz macam ada masalah aje?” Datin Asmida menegur perlahan. Dia bukan buta sehingga tidak nampak apa yang berlaku tadi. Cuma dia diamkan sahaja sebab tidak mahu Hayyan malu di depan Zanariah.

“Tak ada apalah ma. Riz okey aje.” Dalih Hayyan sambil terus fokus memandu.

“Riz tak payahlah nak tipu mama. Mama jaga Riz dari kecik sampai besar. Mama tahu bila masa Riz okey, bila masa Riz tak okey.” Tekan Datin Asmida tidak puas hati dengan jawapan Hayyan.

“Perasaan mama aje tu...” Itu pula jawapan Hayyan. Sebenarnya dia mahu memberitahu mama tentang Zenia tetapi entah kenapa mulutnya bagai terasa berat. Setiap cerita yang terangka dalam kepala bagaikan tidak terluah.

“Riz...”

“Riz hantar mama balik dulu, lepas tu Riz terus balik Shah Alam ya.” Hayyan memintas laju sebelum sempat mamanya habis bersuara.

Datin Asmida mengeluh panjang. “Yalah...”?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience