Bab 21

Romance Completed 79646

“NIA... awak pernah bercinta tak?” Tiba-tiba soalan Hayyan itu memanggil Zenia untuk mengangkat muka memandangnya.

“Apa dia?”

“Awak pernah bercinta tak?” Hayyan mengulangi soalannya. Zenia melilaukan mata ke sekitar restoran Secret Recipe itu. Bukan senang dia nak bodek Hayyan ajak dia makan kat restoran ni. Siap suruh belanja lagi tu. Alaa... Hayyan kan loaded. Tak jadi hal punya.

“Nur Iris Zenia... saya tanya awak ni. Dengar tak?” Hayyan menguatkan suaranya sedikit. Zenia kembali memandang Hayyan. Ada sengihan di bibirnya.

“Tak pernah.”

“Tak pernah apa?”

“Tak pernah bercintalah.”

“Betul ke?” Hayyan angkat kening. Zenia angguk sungguh-sungguh.

“Saya tak pandailah nak bercinta...”

“Serius?”

Zenia kerut kening. “Awak ni kenapa? Beria-ia aje tanya. Orang dah jawab. Tak nak percaya pulak...” Cebiknya.

“Tak adalah. Saja nak kepastian.” Hayyan tertawa kecil. “Betullah. Saya tak pernah bercinta.” Tekan Zenia lagi.

“Kalau awak tak pandai nak bercinta, saya boleh ajarkan.” Ujar Hayyan sambil tersenyum penuh maksud tersirat.

“Awak nak ajar?” Zenia angkat kening. Sengaja beriak selamba padahal dalam hati hanya Allah saja yang tahu.

Hayyan mengangguk.

“Nak ajar macam mana? Cinta tu bukannya subjek yang boleh awak nak ajar-ajar. Mengarutlah!” Zenia menggeleng sambil tunduk menyedut minuman yang masih tinggal separuh.

“Cinta tu sesuatu yang awak tak boleh belajar secara teori. Tapi awak kena rasa sendiri baru awak akan faham. Atau orang panggil belajar secara praktikal.” Hayyan bagaikan berfalsafah.

“Lagilah mengarut!” Balas Zenia. Apakah praktikal? Miring kut Hayyan ni.

“Mana ada mengarut. Saya cakap betul ni...” Bersungguh Hayyan menegakkan kenyataannya tadi.

“Habis, nak praktikal macam mana? Dengan siapa?”

“Dengan sayalah.” Jawapan Hayyan itu nyata menggetarkan hati Zenia. Terkunci terus mulutnya. Langsung tak dapat jawab walau sepatah pun.

Hayyan membetulkan duduknya. Renungannya lembut memanah terus ke dalam sepasang mata Zenia.

“Nia... saya ada sesuatu nak beritahu awak...”

“Err... apa dia?” Zenia tak sedap hati. Rasa lain macam.

Jantung sudah mula berdegup tidak tentu arah.

‘Apa semua ni? Hayyan... jangan buat saya macam ni!’

“Saya... saya...” Hayyan menarik nafas. Sukar benar hendak menyusun ayat.

“Awak apa?” Zenia makin berdebar-debar. Kenapa macam susah sangat nak cakap?

“Saya... sebenarnya...” Hayyan merenung sepasang mata Zenia. Zenia kerutkan mukanya. Menanti penuh debar.

“Kalau saya cakap, awak jangan gelak tau?” Pinta Hayyan tidak semena-mena. Mukanya kelat.

“Kenapa pulak saya nak gelak?” Zenia buat-buat ketawa.

“Okey...” Hayyan mengangguk sambil duduk tegak. “Saya... saya cintakan awak...” Akhirnya terluah juga sebaris ucapan keramat itu dari bibir Hayyan. Zenia terus jadi ais. Terpaku, terpegun, terpanar... semua ada. Benarkah?

“Nia... saya tahu kita kenal tak lama. Tapi perasaan ni...

bukannya boleh dipaksa atau ditahan. Tapi saya faham kalau awak tak ada perasaan yang sama kepada saya.” Hayyan cuba untuk tersenyum walaupun dia rasa macam nak putus nyawa tadi.

“Hayyan... awak betul ke?” Zenia sudah tidak tahu macam mana nak susun ayat.

“Betul apa?” Hayyan kerut kening.

“Betul ke awak... err... awak...” Zenia garu kepala yang terasa gatal tiba-tiba. Sesungguhnya ini kali pertama dia berada dalam situasi ini.

“Betul Nia. Saya tak tipu awak...” Lembut berbisik Hayyan menuturkannya.

‘Aduhai... lemah lutut aku dibuatnya...’ Zenia membalas renungan Hayyan. Benar. Sepasang mata itu tidak menipu. Dia boleh nampak sinar cinta di situ. Adakah ini masanya untuk dia mula mengenal apa itu erti cinta?

ETON BERPALING apabila terdengar bunyi pintu terkuak. Zenia masuk dengan wajah berseri-seri. Senyuman tidak lekang dari bibir gadis itu. Eton kerut dahi.

“Assalamualaikum.” Ucap Eton. Sengaja nak tengok reaksi Zenia.

“Waalaikumussalam.” Jawab Zenia sebelum duduk di atas katil. Eton angkat kening. Okey. Waras lagi. Dihampiri rakannya itu dengan riak wajah penuh tanda tanya.

“Nia... apa dah jadi?”

“Kenapa?”

“Kau tu macam orang tak berapa betul aje aku tengok. Sihat?” Dengan selamba Eton meletakkan tangannya di atas dahi Zenia. Normal.

“Aku tak sakitlah.” Zenia menepis perlahan tangan Eton.

“Dah tu? Kau jangan buat aku risau, boleh?” Eton bercekak sebelah pinggang. Zenia bangkit berdiri. Kedua-dua belah bahu Eton dipegang. Eton terkelip-kelip. Bertambah risau pula jadinya melihat tingkah rakannya itu.

“Kau tahu tak apa jadi tadi?” Tanya Zenia dengan riak muka yang sukar ditafsirkan.

“Apa? Hayyan buat apa kat kau?”

“Hayyan...”

“Ya...”

“Dia...”

“Ya...” Eton sudah hampir hilang sabar.

“Hayyan lamar aku jadi girlfriend dia!” Zenia terjerit sebaik sahaja sebaris ayat itu terlepas dari mulutnya.

Eton ternganga. Terkejut dan tidak menyangka itu sebenarnya yang terjadi. Wajah Zenia dipandang. Ceria benar wajah itu. Tak lekang-lekang dengan senyuman siap menarinari lagi. Tak cukup dengan itu, tangan Eton ditarik sekali supaya menari sama dengannya.

“Habis kau cakap apa?” Eton bertanya lagi.

“Kau agak?” “Yes or no?”

Zenia tersenyum-senyum.

“Nia... jawablah!”

“I said yes!”

“Arrrghh!!!” Eton terjerit kuat. Terus ditarik Zenia ke dalam pelukannya.

“Aku tak expect langsung dia akan confess hari ni Eton.” Cerita Zenia.

“Aku rasa dia memang dah lama suka kau... sejak kau langgar dia kat tangga hari tu lagi. Kan?” Balas Eton pula. Kalau dia gembira, Zenia lebih-lebihlah lagi.

Zenia ketawa mengingati kejadian itu. Doanya dalam hati moga hubungan yang baru terjalin ini kekal sehingga ke alam perkahwinan apabila sampai masanya nanti.

ZENIA SUNGGUH-SUNGGUH tidak menyangka hubungannya dengan Hayyan akan sampai di tahap ini. Siapa sangka kan... lelaki yang sebelum ini dipuja dalam diam rupa-rupanya ditakdirkan untuk jatuh hati kepadanya dan kini mereka menyulam cinta bersama. Janji Hayyan, hubungan yang terbina itu biarlah sampai ke jinjang pelamin satu hari nanti.

Seperti biasa setiap kali ada kelapangan Zenia akan menemani Hayyan bermain futsal bersama kawan-kawannya. Selain bermain tenis, Hayyan juga suka habiskan waktu lapang di gelanggang futsal. Walaupun sering mendapat usikan daripada rakan-rakan Hayyan dan Eton yang sering kali merajuk sebab Zenia sudah tidak ada masa hendak diluangkan dengannya, Zenia tak kisah semua tu. Yang dia tahu, dia bahagia setiap kali ada Hayyan di sisinya.

“Nah!” Zenia menghulur sebotol air mineral kepada Hayyan. Hayyan menyambutnya dengan senyuman.

“Thanks.” Tuala kecil di tangan Zenia digunakan untuk mengesat peluh di sekitar dahi dan muka Hayyan. Terdengar deheman kecil daripada kawan-kawan. Tapi Zenia buat tidak dengar walaupun rasa malu yang amat.

“Kau orang ni, aku tengok dah macam suami isteri dah. Kahwin ajelah terus Riz...” Selamba Kamil menegur sebelum meneguk air dalam botol di tangannya.

“Eh... aku okey aje. Tapi Nia ni... nak tunggu habis study dulu.” Seperti selambanya Kamil, begitu juga Hayyan membalas. Satu jelingan tajam dihadiahkan Zenia. Dia tersengih.

“Memanglah kena habis study dulu. Kalau tak, nanti bila dah kahwin mana nak urus suami, mana nak urus hal belajar lagi... Tanggungjawab berat tau?” Zenia mendapat akal untuk membalas. Sejak menjalin hubungan serius dengan Hayyan, kawan-kawan Hayyan sudah jadi kawan-kawan dia juga.

“Alaa... nak seribu daya.” Balas Hayyan dan kemudian disambut dengan gelak rakan-rakannya. Terjegil biji mata Zenia ke wajah Hayyan. Namun lelaki itu hanya tersenyum-senyum.

Boleh dikatakan semua pelajar di kampus tahu tentang hubungan Hayyan dan Zenia. Yalah... kan Hayyan tu popular orangnya, sudah pastilah tempiasnya juga terkena kepada Zenia. Walaupun gembira ada Hayyan di sisi, ada kalanya Zenia tetap rasa tidak selesa mengenangkan Hayyan tu punya ramai peminat. Kalau ada yang cemburu dan dengki, macam mana?

Setiap kali diajukan persoalan itu kepada Hayyan, dengan senyuman lelaki itu membalas, “Kalau diaorang cemburu pun, saya nak buat apa? Hati saya ni awak dah ambik. Awak dah simpan ketat-ketat sampaikan tak ada orang lain pun boleh capai.”

Hati perempuan manalah tak cair apabila kekasih hati cakap macam tu, kan?

“Kalau macam tu, saya bagi baliklah hati awak. Senang!”

Hayyan geleng kepala. “Saya tak nak. Awak simpanlah hati saya tu sampai bila-bila. Dan ingat... jangan sesekalipun awak pulangkan hati saya tu kepada saya semula.”

“Tak aci!”

“Kenapa pulak tak aci?”

“Habis hati saya?” Zenia tak puas hati. Nak jugak...

“Sayalah yang simpan!” Hayyan kenyit sebelah mata. Zenia tertawa dengan hati yang berbunga-bunga.

Hayyan dan Zenia... melalui masa-masa yang indah bersama tanpa masing-masing tahu ada ‘sesuatu’ yang menanti mereka di hadapan sana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience