Bab 26

Romance Completed 79607

“Night love.”

“Night...” Perlahan Zenia membalas lalu mematikan talian. Dia menarik selimut menutup seluruh tubuh. Namun belum sempat memejam mata, telefon bimbit berdering lagi.

Azfar? Apa tujuan dia telefon? Dahlah lewat ni. Zenia mengeluh sendiri. Ikutkan hati, malas melayan. Tapi risau pula kalau panggilan itu penting. Lalu punat hijau ditekan.

BERKALI-KALI Zenia pandang jam di tangan. Dah dekat 30 minit. Hayyan tak juga muncul-muncul. Zenia mengeluh. Manalah pulak ‘pak cik’ ni? Tadi janji nak jumpa pukul 3.00 petang tapi sampai sekarang tak nampak bayang pun.

Sedang bosan menunggu, satu SMS tiba-tiba masuk ke dalam telefon bimbit. Zenia mengeluarkannya dari dalam beg. Azfar? Hujung ibu jari menekan punat.

Salam. Sorry ganggu, Nia. Saya nak tanya, boleh tak awak teman saya pergi company pak cik awak tu? Saya tak berapa cam jalanlah. Kalau awak ada, awak boleh tolong tunjukkan jalan. Tapi kalau awak tak sudi, tak apalah.

Zenia menghembus nafas panjang. Pulak dah mamat ni... kalau tak tolong, tak sampai hati pulak. Kalau tolong, takut jadi benda lain pulak. Tapi benda apa ek? Takkanlah setakat tolong orang sampai boleh jadi benda-benda yang tak elok. Zenia cuba meluruskan fikiran sendiri. Tak baik berprasangka kepada orang lain.

Lalu SMS itu dibalas.

Okey. Nanti awak beritahu bila nak pergi.

Send. Zenia kembali menyimpan telefon bimbit ke dalam beg. Tak sempat dia zip beg, balasan SMS itu masuk.

Thank you Nia. Dah banyak sangat awak tolong saya ni.

Takpe. Saya tolong ikhlas.

Kalau macam tu, saya tak payah balas apaapalah, kan?

Zenia tersenyum sendiri. Bagaikan di luar sedar, laju saja jarinya membalas pesanan ringkas itu.

Nak balas pun boleh. Tak kisah pun.

Haha. Okey. Nanti saya belanja awak makan ya.

Eh tak apa. Gurau aje...

Tak apa. Saya ikhlas.

Tidak sempat SMS itu dibalas, Hayyan tiba-tiba muncul. Cepat-cepat Zenia menyimpan telefon bimbit ke dalam begnya semula.

“Kenapa tak datang esok aje?” Soalnya dengan muka masam. Hayyan tayang sengih sambil duduk di sebelah Zenia.

“Sorry... kuliah lambat habis pulak tadi. Itu yang lambat.” Jelasnya.

“Tak boleh text kejap beritahu datang lambat? Kalau tahu lambat, saya pergi makan dulu tadi.” Rungut Zenia tak puas hati. Orang merajuk bukan nak pujuk. Duk tersengihsengih dari tadi. Nasib baik muka hensem. Hmm... boyfriend siapalah ni?

“Mana sempat. Takkan nak text dalam dewan tu pulak.” Hayyan membela diri. Zenia menjeling. Hujung jari bermain-main dengan buku di atas meja. Melihat reaksi itu, tahulah Hayyan memang Zenia merajuk. Mujurlah rajuk Zenia biasanya tak lama. Kalau kena cara pujuk, cepat aje dia cair.

“Keluar jom?” Ajak Hayyan.

“Malas. Nak balik tidur.” Jawab Zenia acuh tak acuh. Beg diangkat lalu disangkut pada bahu.

“Alaa... takkan dari tadi tunggu, lepas tu tiba-tiba nak balik pulak?” Hayyan kerut kening.

“Tahu pun dari tadi saya tunggu!” Zenia geram. Hayyan sengih.

“Okey... sorry love. Jom! Kita pergi makan. Lepas tu kita jalan-jalan.”

“Ke mana?” Tanpa sedar laju saja Zenia memberi respons. Ahh... dengan Hayyan dia mana pandai nak merajuk lama-lama. Hayyan pujuk sikit, dah cair walaupun hakikatnya Hayyan bukannya pujuk sangat tadi. Baru panggil ‘sayang’, hati yang panas terus sejuk beku.

“Mana-mana aje yang awak nak. Haa... saya tahu!” Hayyan membetulkan duduk menghadap Zenia.

“Tengok movie? Ada English movie yang latest tu. Saya tahu awak suka tengok English movie, kan?”

“Hmm...” Zenia diam berfikir. Sengaja buat-buat tak kisah walhal rasa nak melompat sangat sebab Hayyan nak belanja tengok wayang. Yalah... kan masing-masing sibuk semenjak dua menjak ni. Apatah lagi sekarang Hayyan sudah berada di semester terakhir.

“Okey.” Jawab Zenia sejurus kemudian. Hayyan tersenyum lega. “Jom!”

“Jom!” Zenia bangkit berdiri dan mula melangkah tanpa menunggu Hayyan terlebih dahulu.

HUJUNG JARI ligat menaip di bawah meja. Sesekali anak mata merenung ke bawah dan sesekali merenung ke wajah Hayyan pula. Dua kerja dalam satu masa. Yang di depan si kekasih hati. Yang di bawah...

Esok boleh?

Pukul berapa?

Saya habis kelas pukul 11 pagi. Kita pergi dalam pukul 11.30 macam itulah. Boleh?

Saya pun habis pukul 11. Okeylah kalau macam tu.

Okey. Thank you Nia. Awak ni dahlah cantik, baik pulak tu. Hehe.

Spontan terlukis senyuman nipis di bibir Zenia membaca SMS Azfar itu. Hayyan yang sedari tadi memerhati tingkah Zenia mengerutkan dahinya. Bukan main lagi dia bercerita itu dan ini tapi Zenia macam langsung tak fokus. Siap main dengan handphone lagi tu. Hayyan tidak sedap hati tetapi dia cuba untuk tidak berfikiran yang bukan-bukan.

Tak payah nak puji sangat. Lain kali tak...

“Nia!” Panggilan lembut Hayyan itu menghentikan tarian jari Zenia pada papan kekunci telefon bimbit. Kepala diangkat memandang Hayyan. Tak sempat lagi nak habiskan taip mesej tu!

“Esok kelas pagi aje, kan?” Hayyan cuba menarik minat Zenia untuk terus berbual dengannya. Rasa tidak enak dalam hatinya cuba ditepis jauh-jauh.

“Ha’ah. Kenapa?” Balas Zenia ringkas.

“Saya ingat nak ajak awak pergi rumah mak cik saya. Nak tak?”

“Nak buat apa pergi rumah mak cik awak?” Zenia mengerut dahi.

“Dia nak kenal dengan awak.” Jelas Hayyan. Zenia mengangguk beberapa kali tanda faham. Sementara hujung jemari kembali menaip di papan kekunci telefon bimbit.

Tak payah nak puji sangat. Lain kali tak nak tolong dah kang.

Send. Zenia kembali memandang Hayyan.

“Pukul berapa?”

“Lepas kelas.” Hayyan menjawab tenang. Wajah Zenia tidak lepas-lepas dari renungannya.

“Hmm...” Zenia terdiam sebentar. Teringat baru saja tadi dia membuat janji untuk menemani Azfar ke syarikat bapa saudaranya. Aduhai... macam mana ni? Terasa getaran. Zenia kembali tunduk.

Takkanlah. Saya tahu awak mesti akan tolong jugak.

Hujung jari menekan butang ‘reply’.

Mana awak tahu?

“Nia!”

“Hmm... sorry awak... tapi saya ada hal lainlah esok.” Cepat-cepat Zenia menjawab.

“Hal apa?” Hayyan angkat kening.

“Hmm... hal...” Tak sempat Zenia menjawab, terasa getaran lagi menandakan SMSnya tadi sudah dibalas. Dia menundukkan kepala sedikit.

Tahulah. Awakkan baik.

Zenia tersenyum di luar sedar. Hayyan melilaukan mata ke sekeliling. Sungguh dia rasa tidak selesa dengan situasi yang sedang berlaku. Bukan tidak boleh dia bertanya tetapi dia tidak mahu mencetuskan pergaduhan antara mereka. Dia yakin Zenia tidak mungkin berhubungan dengan lelaki lain, apatah lagi ketika mereka bersama.

Cehhh. Ayat memuji tak nak kalah eh?

Send. Zenia memandang wajah Hayyan.

“Saya ada hal... dah janji dengan Eton esok nak keluar dengan dia. Sorry eh?” Pintanya dengan senyuman di bibir. Rasa bersalah cuba dipadam dari hati. Bukan dia sengaja menipu tetapi itu untuk kebaikan mereka berdua. Entah apa Hayyan akan fikir kalau tahu dia sudah mengatur janji untuk keluar menemani Azfar esok.

Hayyan mengangguk faham. Kecewa? Biarlah Zenia tak tahu.

“Nia... awak SMS dengan siapa dari tadi?” Tak dapat menahan, meluncur juga soalan itu dari mulut Hayyan.

Zenia yang sedang membaca balasan SMS daripada Azfar spontan mengangkat muka. Wajah Hayyan kelihatan tegang sedikit. Zenia tahu lelaki itu cuba menahan sabar. Alamak... apa yang aku buat tadi? Berbalas SMS dengan Azfar di depan Hayyan? Gila ke apa?

“Hmm... dengan... dengan kawan. Kita orang bincang pasal assignment.” Kalut Zenia menjawab. Roman wajah cuba dimaniskan. Berharap dengan cara itu Hayyan tidak perasan pembohongannya.

Hayyan diam. Nak percaya ke tak? Entahlah. Dia sendiri tidak tahu. Zenia memandang jam tangan.

“Eh awak! Movie dah nak start. Jomlah!” Ajaknya sambil bangun. Telefon bimbit disimpan ke dalam beg. Melihat wajah ceria Zenia, akhirnya Hayyan memutuskan untuk terus mempercayai gadis itu.

“Saya nak popcorn tau? Yang large punya.” Pinta Zenia sambil senyum comel-comel. Tercuit hati Hayyan dengan tingkah Zenia itu.

“Baiklah sayang.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience