Bab 44

Romance Completed 79607

KERTAS putih yang dihulur Adam dipandang dengan kerut di dahi.

“Apa ni?”

“Cikgu suruh bagi. Mama tengoklah.” Kata Adam.

Zenia mengangguk sebelum mengambil kertas dari tangan Adam. Sehelai surat. Dibaca satu per satu apa yang tertulis di situ. Kemudian dipandang muka innocent Adam.

“Cikgu cakap apa kat Adam?”

“Cikgu cakap, minggu depan Adam kena menyanyi dengan kawan-kawan atas pentas.”

“Nyanyi lagu apa?”

“Lagu... ‘tinkel tinkel lite star’.” Jawab Adam dengan bahasa pelatnya.

“Ooo...” Zenia meleretkan suaranya. Ditarik tangan Adam supaya duduk di atas ribanya.

“Pandainya anak mama nyanyi. Adam ada berlatih tak kat sekolah?”

Adam mengangguk.

“Ada. Hari-hari Adam berlatih. Cikgu cakap Adam pandai nyanyi.”

“Ya ke?” Zenia ketawa kecil. Pipi Adam dicium sayang.

“Cikgu cakap mama dengan papa kena datang.” Tambah Adam lagi.

“Papa?” Terdiam seketika Zenia dibuatnya. Adam mengangguk.

“Kawan-kawan Adam cakap, papa diaorang nak datang. Tapi... Adam...”

“Tak apa. Mama kan ada? Mama janji nanti mama datang. Kalau Adam pandai nyanyi, mama bagi hadiah kat Adam. Okey tak?” Zenia pantas memujuk. Rambut Adam yang sedikit menutup dahi diselak ke belakang. Renungan penuh kasih seorang ibu. Dia akan meminta cuti hari Isnin nanti semata-mata untuk pergi ke sekolah anaknya itu.

“Adam nak papa jugak macam orang lain.” Protes Adam. Kening Zenia terangkat tinggi. Inilah yang payahnya... Entah apa yang harus dijawab kepada anaknya itu. Takkan nak menipu? Atau bagi harapan palsu?

“Mama carilah papa untuk Adam.” Pinta Adam sambil menarik-narik hujung lengan baju Zenia.

“Mama...” Zenia bagaikan kehilangan kata. Tidak tahu apa yang harus dikatakan lagi.

“Haa! Adam tahu!” Adam bersorak tiba-tiba. Daripada duduk di ribaan Zenia, dia kini berdiri tegak di depan mamanya itu.

“Apa dia sayang?”

“Uncle Hayyan boleh jadi papa Adam!” Ternganga Zenia mendengar sebaris ayat Adam itu. Sepasang matanya membulat luas. Hayyan? Adam dilihatnya tersenyum riang. Tapi... Hayyan? Ohh... Masalah!

“Tapi...”

“Uncle Hayyan boleh jadi papa Adam, kan? Bolehlah mama... bolehlah...” Lengan mamanya ditarik-tarik dengan riak muka kasihan.

Zenia terdiam. Apabila nama Hayyan disebut ingatannya melayang mengingati peristiwa di Pulau Redang tempoh hari. Sewaktu dia dan Hayyan sama-sama duduk di kafe menanti rakan-rakan yang lain turun untuk bersarapan, dia terkejut apabila tiba-tiba Hayyan menunjukkan kepadanya sekeping gambar di dalam dompetnya.

“Ingat lagi gambar ni?” Hayyan bertanya sambil tersenyum penuh makna.

Zenia bagaikan hilang suara untuk beberapa saat. Memandang gambar sendiri bersama Hayyan dalam dompet lelaki itu, dia rasa macam nak pitam.

“Kenapa awak simpan lagi gambar ni?”

“Kalau nama awak pun saya tak pernah buang dari hati saya, kenapa pulak saya nak kena buang gambar ni?” Selamba Hayyan membalas. Renungannya penuh makna.

“Hayyan... kan saya dah cakap, yang lepas tu biarlah lepas. Saya tak nak ingat lagi.” Keluh Zenia. Apabila Hayyan sudah mula bercakap tentang masa silam, serta-merta perasaannya jadi tidak menentu. Dosa lampau seolah-olah kembali menghantui dirinya.

“Kalau macam tu, tak payahlah ingat lagi. Kita buang kisah lama. Kita mulakan kisah baru. So...” Hayyan membetulkan duduknya di sisi Zenia.

“Nur Iris Zenia... would you try again... with me?”

“Mama!” Panggilan Adam mengejutkan Zenia. Terbang melayang menungannya tadi.

“Ya?”

“Mama telefonlah Uncle Hayyan...” Rengek Adam. Dicapai telefon bimbit Zenia lalu dihulurkan telefon itu kepada mamanya itu.

Zenia tergeleng sendiri. Tak sampai hati menghampakan permintaan Adam. Telefon bimbit itu dicapai juga. Perlahan jarinya mendail nombor telefon Hayyan.

“Assalamualaikum...” Lembut suara Hayyan kedengaran.

“Waalaikumussalam...” Tidak sempat Zenia bersuara lanjut, Adam sudah merampas telefon di tangannya. Ternganga dia melihat aksi selamba anaknya itu.

“Uncle!” Jerit Adam riang. Gembira benar dia dapat bercakap dengan Uncle Hayyannya itu.

Zenia mengeluh panjang. Perbualan Adam dengan Hayyan diperhati. Setiap gaya, setiap reaksi Adam, semuanya jelas menunjukkan anaknya itu gembira. Tidak semena-mena, Zenia terasa seluruh ruang hatinya dingin bak salju.

“Boleh tak uncle?” Adam diam menanti jawapan Hayyan. “Betul?” Diam lagi. “Yeaaayy! Sayang uncle!” Soraknya pula sejurus kemudian.

Tak payah ditanya... Zenia tahu Hayyan sudah bersetuju dengan permintaan Adam. Telefon bimbitnya yang dihulur Adam diambil semula. Kemudian sekejap sahaja anaknya itu berlari masuk ke biliknya.

“Hayyan...” Zenia memanggil perlahan.

“Lupa nak tanya tadi, bila event tu?” Hayyan bertanya.

“Isnin ni.” Balas Zenia.

“Ohh...”

“Kalau awak rasa tak dapat datang, jangan paksa diri. Saya tahu awak sibuk dengan kerja. Saya tak nak disebabkan Adam, awak terpaksa tinggalkan kerja-kerja awak.” Zenia serba salah. Dia tidak mahu Hayyan mengabaikan kerja-kerjanya hanya kerana ingin meluangkan masa dengan Adam.

“Tak adalah. Saya free Isnin ni.” Balas Hayyan tenang.

“Hayyan...” Zenia bagaikan tidak percaya dengan jawapan lelaki itu. “Tak apa Hayyan. Jangan susahkan diri sendiri. Saya pun tak nak susahkan awak...”

“Saya datang.” Ujar Hayyan lagi lebih terang.

“Tak apa Hayyan. Saya faham. Nanti saya pujuk Adam.”

“Nia! Saya kata saya datang, maknanya saya datang. Okey?” Lembut suara Hayyan membuatkan Zenia terdiam. Kalau dah itu kata Hayyan, dia sudah tidak tahu apa lagi yang harus dikatakan. Satu yang pasti, dia benar-benar terhutang budi dengan lelaki itu.

SENYUMAN MASIH di bibir Hayyan walaupun panggilan sudah tamat 15 minit yang lalu. Hanya dengan mendengar suara Zenia, harinya sudah cukup membahagiakan. Sehinggalah terdengar kerusi di depannya ditarik barulah dia tersedar.

“Hai kak!” Sapa Hayyan ceria. Tangan kakaknya dicapai dan disalam hormat.

Herny duduk di depan Hayyan.

“Ceria benar akak tengok Riz hari ni. Ada apa-apa ke ni?” Usiknya. Jarang dia lihat Hayyan gembira begitu sejak patah hati empat tahun lalu. Apatah lagi setelah dia menjadi pelarian di bumi London. Tetapi sejak kebelakangan ini Hayyan nampak lebih gembira. Dia yakin ada sesuatu yang telah berlaku dalam hidup adik kesayangannya itu.

Hayyan tersenyum menafikan.

“Tak ada apalah kak. Saja nak happy. Kenapa? Tak suka tengok adik akak ni happy?”

“Mestilah suka. Yalah... adik akak ni kan dah 30 tahun. Memang patut pun happy. Nanti sampai ke sudah tak ada orang nak.” Usik Herny lantas ketawa kecil.

Hayyan memuncungkan bibirnya. Memang umurnya sudah mencecah 30 tahun. Tetapi terkadang sifat manjanya masih belum dapat dibuang sepenuhnya.

“Ada apa akak nak jumpa Riz ni?” Hayyan mula ke topik utama. Dia mahu tahu tujuan apa Herny mengajaknya berjumpa hujung-hujung minggu begini.

“Esok birthday mama. Papa nak kita semua balik berkumpul kat rumah.” Ujar Herny. Dia tahu tujuan papa memanggil anak-anaknya pulang bukan kerana hari lahir mama semata, tetapi kerana dia rindukan anak-anaknya terutama sekali Hayyan.

Air muka Hayyan yang tadinya ceria terus mendung jadinya.

“Riz sibuklah...”

“Riz...” Herny menghela nafas panjang. Dia tahu Hayyan sengaja mencari ruang untuk mengelak daripada bertemu papa mereka.

“Riz dah janji dengan mama dan akak yang Riz akan cuba berbaik dengan papa, kan? Kalau akak dengan mama boleh terima papa semula, kenapa Riz tak boleh?” Hayyan diam tidak bersuara.

“Lupakanlah hal lama tu. Lagipun Mama Suhaila tu baik orangnya.” Tambah Herny lagi.

Spontan teralih anak mata Hayyan ke muka Herny.

“Akak dah jumpa dia. Baik orangnya Riz.” Jelas Herny.

“Akak jumpa dia? Kenapa akak tak beritahu Riz?”

Hayyan jelas tidak puas hati.

“Kalau akak beritahu Riz, Riz nak buat apa? Nak pergi serang Mama Suhaila?” Duga Herny.

Hayyan mengunci mulut. Herny tergeleng-geleng.

“Dahlah. Akak pun dah janji dengan Abang Khairil nak datang sekejap aje. Akak pergi dulu. Oh ya... Mama Suhaila kirim salam kat Riz.” Ujarnya. Melihat Hayyan terus diam, dia lantas bangkit berdiri.

“Riz balik ya. Kalau pun tak nak jumpa papa, sekurangkurangnya Riz tunaikanlah permintaan dia tu.” Itu nasihat terakhir Herny sebelum beredar pergi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience