Bab 39

Romance Completed 79607

ZENIA merenung wajah yang terbias di dada cermin. Matanya bengkak dan layu. Wajahnya pula pucat sekali. Mengingati kisah lalu membuatkan air matanya menitis sepanjang malam. Menangis tanpa henti. Mengenang kebodohan sendiri satu masa lalu. Muka diraup dengan keduadua belah tapak tangan. Nafas dihembus lemah.

Kakinya dihalakan ke arah almari. Laci paling bawah tempat dia menyimpan rantai pemberian Hayyan ditarik. Menitis lagi air matanya ketika rantai itu berada dalam genggamannya. Percayalah. Kalau masa boleh diputar, tidak sekuman pun hati Hayyan akan dilukai.

‘Ya Allah... bantu aku untuk lupakan semua tu. Aku tahu aku pernah buat silap. Ampun Ya Allah...’ Hatinya berbisik sendiri membuatkan setitis lagi air matanya gugur mengenai pipi.

“Mama! Mama!”

Suara Adam memanggil disertai ketukan di pintu mengejutkan Zenia. Cepat-cepat dia mengesat pipi dan mata yang basah sebelum menyimpan semula rantai itu di tempatnya. Rambut panjangnya diikat menjadi satu kemudian barulah dia menapak ke arah pintu bilik.

“Mama!” Adam memanggil sambil tersenyum riang menayangkan baju yang sudah tersarung di tubuhnya.

“Eh, anak mama dah pandai pakai baju sekolah sendiri ya... Pandainya...” Zenia tersenyum lalu menarik Adam ke dalam pelukannya. Dahi anaknya dicium lama.

“Mama cepatlah. Nanti lambat Adam pergi sekolah.” Adam menarik-narik hujung lengan baju Zenia.

“Ya sayang... jom!” Zenia memimpin tangan Adam menuju ke dapur.

“Adam nak makan apa? Mama tak sempat masaklah sayang. Roti nak? Mama buat roti bakar.”

“Okey. Adam tak kisah pun.” Adam menjawab sambil memanjat kerusi dan duduk di situ.

Zenia tersenyum.

“Okey.” Lincah tangannya menyediakan roti bakar untuk Adam. Kebiasaannya dia akan masak sarapan untuk Adam tapi memandangkan selepas subuh tadi dia tak keluar dari bilik, jadi tak sempat untuk memasak. Badannya terasa lesu dan dia perlukan rehat yang cukup. Mujurlah Encik Khairil membenarkan dia mengambil cuti hari ini. Untung ada bos yang baik hati dan pemurah macam bosnya itu.

“Adam makan dulu. Mama pergi tukar baju kejap ya?” Diusap rambut Adam. Melihat anaknya itu mula menjamah roti yang disediakan, barulah dia berlalu ke bilik untuk menukar pakaian.

PULANG DARI menghantar Adam ke sekolah, Zenia berkurung di rumah. Berbaring di atas sofa di depan TV yang menyiarkan drama Melayu. Perlahan-lahan mata yang layu semakin terkatup rapat. Terasa baru beberapa minit dia melelapkan mata, terdengar suara orang memberi salam dari luar rumah. Loceng pada pintu pagar juga dibunyikan membuatkan Zenia terpaksa bangun walaupun kepala terasa pening.

Zenia mengintai melalui tingkap rumah. Jelas kelihatan seorang lelaki sedang berdiri di luar pagar rumahnya. Mata dikecilkan.

‘Eh, Hayyan? Apa dia buat kat sini? Paling penting macam mana dia tahu rumah ni?’ Selepas apa yang berlaku semalam, Zenia tak sangka Hayyan masih sudi datang berjumpa dengannya. Lelaki itu memang tak pernah kenal erti putus asa.

Zenia memaksa langkah untuk keluar dari rumah. Hayyan yang tadinya bersandar pada pintu kereta, kini sudah berdiri tegak.

“Hayyan... apa awak buat kat sini? Err... maksud saya mana awak tahu rumah saya?” Zenia bertanya sebaik Hayyan dihampiri. Namun jarak mereka masih dipisahkan dengan pintu pagar yang bermangga.

“Khairil beritahu saya. Dia cakap awak minta cuti sebab tak sihat. Awak sakit ke?” Hayyan bertanya dengan suara lembut. Hanya Tuhan yang tahu betapa risaunya dia tadi apabila Khairil mengkhabarkan berita tentang Zenia. Awalnya dia sengaja singgah di pejabat abang iparnya itu untuk menemui Zenia. Tak sangka pula dia akan menerima berita mengejutkan itu. Tidak sempat Khairil menahan, dia sudah memecut kereta menghala ke rumah Zenia.

Zenia menggeleng kecil.

“Tak adalah. Rasa tak sedap badan sikit aje. Menyusahkan awak aje datang sini.” Balasnya segan. Sedikit sebanyak tersentuh juga hatinya dengan keprihatinan Hayyan itu. Masih sama seperti dulu.

“Err... awak... period?” Soalan itu membuatkan Zenia terdiam. Kepalanya tertunduk. Kenapa Hayyan tanya macam tu? Tak tahu ke aku dah malu tahap angkasa lepas ni?

“Nia...” Hayyan memanggil lembut. Bukan niatnya nak memalukan Zenia. Cuma dia risau keadaan wanita itu. Lagipun dia memang tak pernah lupa segala-galanya tentang Zenia. Manalah tahu kalau-kalau Zenia tak sihat sebab datang bulan.

Zenia lekas-lekas menggeleng. “Taklah. Saya cuma rasa tak sedap badan sikit aje.” Jawabnya sambil cuba tayang muka selamba.

Hayyan mengangguk. Lega hatinya mendengar jawapan Zenia itu. Kelakar pula teringatkan reaksi kalutnya meninggalkan pejabat Khairil tadi.

“Hmm... Nia! Boleh kita cakap kejap?” Zenia diam memandang Hayyan.

“Kat taman hujung sana?” Hayyan menuding jari ke arah taman permainan yang dimaksudkan. Zenia tidak menjawab.

“Please...” Hayyan merayu perlahan.

“Awak tak kerja ke Hayyan?” Hayyan tidak menjawab soalan itu sebaliknya hanya tersenyum.

“Okey.” Zenia menghembus nafas panjang.

MEREKA BERJALAN beriringan menuju ke arah taman permainan itu tanpa sepatah kata. Janggalnya terasa tetapi kedua-duanya cuba berlagak tenang. Lebih-lebih lagi Zenia. “Jom duduk kat bangku tu.” Hayyan bersuara akhirnya. Zenia sekadar mengangguk sebelum mengikut langkah Hayyan menghampiri sebuah bangku yang terletak di hujung taman.

“Nia...” Hayyan memanggil perlahan. Zenia diam. Menanti kata-kata Hayyan yang seterusnya.

“Saya tahu mungkin saya terlalu memaksa awak sebelum ni. Tak sepatutnya saya desak awak untuk terima saya balik sedangkan kita baru aje jumpa semula.” Tenang Hayyan menuturkannya.

Zenia masih lagi diam. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Paling penting dia tidak tahu bagaimana harus memberi reaksi.

“Lebih tiga tahun saya kat negara orang. Tak pernah sesaat pun saya lupa awak Nia. Kenangan kita dulu terlalu indah untuk saya buang.”

“Hayyan... semua tu dah lama berlalu. Saya dah ada kehidupan saya sendiri dan awak ada kehidupan awak sendiri.”

“Tapi tu bukan alasan untuk awak terus buang saya dari hidup awak Nia.”

Zenia terdiam. Sebak mula hadir. Ditahan agar tidak kelihatan di mata Hayyan.

“Dulu...”

“Saya tak nak ungkit kisah lama Hayyan.” Cepat-cepat Zenia memintas sebelum sempat Hayyan menoktahkan katakatanya. “Please...”

Hayyan mengangguk faham. “Okey. Kita lupakan kisah lama. Kalau awak sudi, kita mulakan kisah baru.” Spontan Zenia menoleh merenung Hayyan.

“Awak lupa ke apa yang saya dah buat kepada awak dulu? Kenapa awak masih lagi mengharapkan saya sekarang ni?”

Hayyan tersenyum tiba-tiba. Zenia mengerutkan keningnya.

“Awak jugak yang cakap tak nak ungkit kisah lama, kan?” Renungan Zenia dibalas redup. Zenia mengalihkan wajah. Matanya dipejam seketika.

“Nia... saya tak paksa awak untuk terima saya sebagai kekasih atau orang paling istimewa dalam hidup awak semula. Cuma saya nak awak bagi saya peluang untuk buktikan kepada awak yang saya betul-betul cintakan awak. Bagi saya peluang tu dan saya janji, saya takkan sia-siakan peluang tu lagi.”

Zenia menunduk. Air matanya hampir-hampir menitis. Cara Hayyan bercakap seolah-olah peluang yang ada dulu telah disia-siakan. Padahal hakikatnya Zenia yang berubah hati. Bukan salah Hayyan cinta mereka putus dulu, dan sekarang... Hayyan pula yang meminta peluang kedua. Sungguh Zenia rasa bersalah. Hayyan tak sepatutnya terus menagih cintanya. Lelaki itu layak mendapat wanita yang lebih baik daripadanya. Wanita yang jauh lebih sempurna.

“Nia...”

“Hayyan! Boleh tak kita jangan cakap pasal ni? Saya buntu sekarang ni. Tak boleh nak fikir apa lagi. Please...” Rayu Zenia. Muka ditekup dengan kedua-dua tapak tangan.

Hayyan terdiam. Kepalanya mengangguk faham. Baiklah. Kalau itu yang diminta Zenia, dia tidak akan meminta lagi. Mungkin dia perlu memberikan Zenia ruang untuk berfikir dengan tenang tentang hubungan mereka selepas ini. Dia tidak mahu kerana desakannya, Zenia akan lebih jauh daripadanya.

“Pukul berapa sekarang?” Zenia bertanya tiba-tiba.

Hayyan pandang jam di tangan. “Dah dekat pukul 12.00.”

“Ohh!” Kelam-kabut Zenia bangkit berdiri. Hayyan juga ikut sama.

“Kenapa Nia?”

“Saya nak pergi ambik Adam.” Zenia berjalan laju ke depan. Biasanya Adam hanya akan dijemput setelah pulang dari kerja. Tapi hari ini, memandangkan dia tidak bekerja, dia mahu menjemput Adam lebih awal.

Masuk ke dalam rumah, Zenia mencapai kunci keretanya. Ketika keluar semula menghampiri kereta, dahi dikerutkan memandang Hayyan yang masih tidak berganjak.

“Awak boleh balik tak Hayyan?” Mungkin agak kurang adab berkata begitu kepada seorang tetamu tetapi Zenia tidak peduli. Hayyan senyum dengan kepala digelengkan.

“Jom! Saya hantar awak.”

“Hayyan... Saya boleh drive.”

“Awak tak sihat. Biar saya yang drive. Jom!” Ajak Hayyan lagi. Pintu kereta sebelah tempat pemandu dibuka untuk Zenia.

Zenia tercegat di sisi keretanya merenung Hayyan dengan pandangan tidak puas hati.

“Awak nak ikut saya atau biar Adam tunggu kat sekolah sampai petang.” Hayyan separa mengugut. Zenia merengus perlahan. Nak tak nak, terpaksalah dia mengikut rentak Hayyan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience