Bab 56

Romance Completed 79607

HAYYAN pulang ke rumah dengan tergesa-gesa. Keluar dari kereta, dia terus meluru masuk ke dalam. Datin Asmida yang pada awalnya gembira dengan kepulangan Hayyan memandangkan dia sudah merancang hendak masak makanan kegemaran Hayyan sempena hari lahir anaknya itu mula hairan melihat keadaan Hayyan yang bagaikan tidak terurus. Walaupun pakaiannya kemas, tetapi wajahnya nampak sangat kusut.

“Kenapa ni Riz?”

“Ma... please ma... Riz merayu dengan mama.”

“Kenapa ni Riz? Cuba bawak bertenang. Cakap dengan mama satu-satu. Apa yang dah jadi sebenarnya ni?” Datin Asmida semakin risau. Tidak pernah Hayyan merayu sampai begitu sekali. Dia boleh nampak tangisan yang tersembunyi di sebalik sepasang mata anaknya itu.

Hayyan terhenyak di sofa di sebelah mamanya.

“Ma... Riz...” Terasa begitu sukar sekali untuk dia meluahkan semuanya.

Datin Asmida setia mendengar.

“Tolonglah batalkan perkahwinan Riz dengan Zana.” Akhirnya terlafaz juga sebaris ayat itu dari bibir Hayyan. Renungannya mengandungi seribu harapan.

Datin Asmida terdiam untuk sesaat dua. Terkejut.

“Tapi... ke... kenapa?”

“Riz tak cintakan dia ma. Riz cuma cintakan Zenia. Cuma Zenia seorang ma.” Rayu Hayyan lagi.

“Zenia?” Datin Asmida mengerutkan dahinya. Zenia? Siapa Zenia? Tidak pernah dia mendengar nama itu selama ini. Kenapa hari ini tiba-tiba sahaja?

“Zenia... hanya dia satu-satunya wanita yang Riz sayang. Yang Riz cinta. Riz tak cintakan Zana ma. Please... Batalkan perkahwinan Riz dengan Zana. Riz tak boleh teruskan semua ni ma. Hanya dengan cara tu Zenia akan terima Riz semula. Please ma.”

“Riz...” Datin Asmida cuba menenangkan Hayyan yang bagaikan sudah hilang arah itu.

“Jangan macam ni Riz. Hal ni bukan hal main-main. Lagipun Riz dengan Zana dah lama bertunang. Takkan tiba-tiba nak putus macam tu aje? Nanti apa mama nak cakap dengan Aunty Syidah? Mama dah janji dengan dia, Riz.”

“Jadi mama lagi pentingkan Aunty Syidah daripada anak mama sendiri?” Pintas Hayyan laju.

“Bukan macam tu Riz.”

“Habis tu?”

Datin Asmida menghela nafas panjang. Sungguh dia terkejut dengan apa yang baru sahaja terjadi. Dia kasihankan Hayyan tetapi bukan semudah itu untuk mengurai janji yang telah diikat sekian lama.

Hayyan merenung wajah mamanya dalam-dalam.

Berharap mamanya mengerti apa yang tersimpan dalam hatinya sejak sekian lama.

“Riz tak sanggup hilang Zenia untuk kali kedua ma.”

Ya Allah... renungan itu terasa bagai memanah terus ke dalam hati Datin Asmida.

‘Meranakah anakku sekarang? Mata itu... bagai menghantar satu rasa yang sangat dalam. Bagai menyimpan duka yang sudah terlalu lama dipendam. Ya Allah...’ “Mama!” Hayyan memanggil sayu.

“Riz... mama...” Datin Asmida termati kata. Dia buntu. Benar-benar buntu.

“Fine.” Hayyan mengangguk pedih. Reaksi mama sudah cukup memberikannya jawapan.

“Riz...”

Hayyan tidak mempedulikan panggilan mamanya lagi. Dia bangun dan berjalan laju keluar dari rumah. Enjin kereta dihidupkan dan sekejap sahaja keretanya sudah dipecut meninggalkan rumah itu... dengan hati yang sarat rasa hampa dan kecewa.

Tiada tempat yang boleh dituju. Yang ada dalam fikirannya hanyalah... rumah papa. Dia sudah tidak peduli lagi apa yang telah berlaku pada hubungannya dengan lelaki itu. Dia cuma mengikut gerak hati. Seolah-olah hanya papa yang boleh membantunya untuk membetulkan semuanya.

Pintu rumah dibuka dari dalam. Suhaila muncul di muka pintu. Wanita itu nyata terkejut melihat Hayyan tercegat di depan pintu pagar. Walaupun belum pernah bertemu Hayyan secara empat mata. Dia tetap yakin itu Hayyan.

“Abang!” Suhaila memanggil sambil memalingkan wajah ke dalam rumah.

“Ya... siapa da...” Suara Datuk Azlan termati di situ.

Tidak berkelip matanya merenung Hayyan. Apatah lagi apabila memandang raut mendung anaknya itu. Jelas dia terkejut menerima kedatangan Hayyan. Tidak pernah walau sekali pun Hayyan menjejakkan kaki ke rumah keduanya ini walaupun anaknya itu tahu di mana dia tinggal.

Hayyan tidak bersuara. Hanya kepalanya yang tunduk merenung jalan tar di depan pintu pagar berukir cantik itu.

“Rizqi...” Datuk Azlan merapati Hayyan. Bahu anaknya itu ditepuk.

Hayyan mengangkat muka. Air matanya tumpah lagi.

“Riz...” Datuk Azlan tidak terkata apa lagi apabila Hayyan sudah memeluknya dengan erat. Pelukan itu dibalas.

Hayyan tidak bersuara sebaliknya terus menghamburkan tangisan di bahu papanya. Dia sudah tidak punya tempat lain lagi. Dan pada ketika ini dia tahu papanya sudi mendengar semua luahannya. Semuanya...

HAYYAN TIDAK terus pulang ke rumahnya sebaliknya dia singgah di pejabat. Suasana di pejabatnya gelap dan sunyi sepi. Ketika berada di dalam lif menuju ke tingkat lapan, fikiran Hayyan menerawang mengingati semua yang berlaku di rumah papanya petang tadi.

“Riz tak sanggup hilang dia lagi pa...” Hayyan menunduk dengan sebak yang sarat di dada.

Datuk Azlan memaut bahu Hayyan. Bahu itu ditepuktepuk. Cuba menyalurkan semangat yang mungkin sahaja sudah jatuh ke titik sifar.

“Papa faham perasaan Riz.” Hayyan menggeleng sayu. “Tapi Riz tak boleh lemah macam ni. Riz lelaki, Riz kena kuat.” Pujuk Datuk Azlan.

Sekian lama Hayyan menghindarkan diri daripadanya. Kini Hayyan muncul untuk mengadu nasib. Dan dia sebagai seorang bapa tidak mungkin akan mengabaikan anaknya itu lagi. Entah kenapa dia merasakan Hayyan di depannya kini, anaknya yang masih kecil. Yang dibesarkan dengan sepenuh kasih sayang.

“Riz tak boleh terima Zana pa!” Hayyan mengadu lagi.

“Hal tu Riz jangan risau. Papa janji papa akan cakap dengan mama. Ini hidup Riz. Hak Riz untuk tentukan sendiri. Papa akan sokong apa saja yang Riz buat.” Janji Datuk Azlan. Dia mahu Hayyan tahu apa sahaja yang berlaku, anaknya itu akan sentiasa mendapat restunya.

Hayyan tersenyum pedih. Sekali lagi dia memeluk papanya dengan erat. Sementara Suhaila yang memandang dari arah dapur menitiskan air mata keharuan.

Hayyan tidak tahu mengapa kakinya melangkah ke rumah papanya petang tadi. Fikirannya buntu. Dia terus berjalan perlahan masuk ke bilik pejabatnya. Lampu meja dihidupkan sebelum dia merebahkan badan di atas kerusi empuk di situ. Pandangannya jatuh pada kotak sederhana besar di atas mejanya. Mungkin Zanariah yang meletakkannya di situ sebelum meninggalkan pejabatnya siang tadi. Kotak yang dibawa Zenia.

‘Ahh... Kenapa perlu semuanya terbongkar hari ini?’

Perlahan tangan Hayyan menyentuh kotak itu. Penutupnya dibuka. Di dalamnya ada kek cawan dengan krim bermacam-macam bentuk dan warna. Di atasnya terukir hurufhuruf yang akhirnya membentuk satu ayat apabila dicantumkan.

‘SELAMAT HARI LAHIR HAYYAN RIZQI’

Air mata Hayyan menitis lagi tanpa dapat ditahan. Hari ini air matanya begitu murah. Hanya kerana Zenia... wanita yang amat dicintainya. Percayalah. Kalau perlu dirobek hatinya untuk membuktikan betapa dalam cintanya untuk wanita itu, dia sanggup.

Kenapa dia perlu melalui semua ini lagi? Kenapa dia perlu merasai peritnya kehilangan Zenia untuk kali kedua? Kenapa semua itu harus terjadi pada saat dia dan Zenia baru sahaja mengecap kebahagiaan bersama? Kenapa?

Hayyan bersandar di kerusi. Hujung jarinya menyentuh sedikit krim kek cawan yang sudah comot itu lalu dibawa masuk ke dalam mulut. Sedap. Pasti Zenia yang membuatnya sendiri dengan harapan kek itu dapat mencipta kenangan baru untuk mereka berdua hari ini pada hari lahirnya sendiri.

‘Ya Allah... hanya Engkau yang mengerti betapa pedihnya hati aku ketika ini. Kenapa semua ini harus terjadi lagi? Aku tidak sanggup kehilangan dia lagi.’

Mata dipejam rapat-rapat. Berharap semua yang berlaku hari ini cumalah satu mimpi ngeri yang hanya akan punah apabila dia membuka semula matanya nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience