Bab 55

Romance Completed 79607

SENYUMAN manis terukir di bibir Zenia. Kalau dibandingkan dengan senyuman yang diukirkan hari-hari sebelumnya, masih senyumannya hari ini yang paling manis dan paling ikhlas. Teringat perbualannya dengan Adam awal pagi tadi sebelum dia meninggalkan rumah untuk ke pejabat Hayyan.

“Kenapa Adam tak boleh ikut mama? Adam pun nak jumpa papa!” Adam merengek-rengek tak puas hati.

“Bukan mama tak nak bagi Adam ikut...”

“Habis tu?” Adam bercekak pinggang dengan muka tak puas hati.

“Sini...” Zenia menarik Adam dekat dengannya.

“Hari ni kan hari jadi papa, jadi mama nak buat kejutan untuk papa. Nanti bila mama dah jumpa papa, mama ajak papa pergi ambik Adam kat rumah Aunty Zatie. Lepas tu kita pergi jalan-jalan. Okey?”

Adam diam berfikir-fikir dengan muka yang dikerutkan.

“Promise?” Jari kelengkengnya dihulurkan di depan mata mamanya. Zenia mengangguk dan tersenyum.

“Promise.” Lalu jari kecil itu Zenia tautkan dengan jarinya.

LIF BERHENTI di tingkat lapan. Zenia melangkah keluar. Kotak segi empat tepat yang tidak seberapa besar berisi kek cawan yang dibuat sendiri dikemaskan dalam pelukan. Suasana pejabat sunyi sepi memandangkan hari itu hari cuti hujung minggu. Zenia tahu Hayyan ada di pejabat pun sebab malam tadi lelaki itu sendiri yang memberitahunya ketika berbual di telefon. Mungkin Hayyan fikir Zenia tak ingat tarikh hari lahirnya tetapi hakikatnya tak pernah satu pun tentang Hayyan yang Zenia lupa.

Sampai di depan pintu bilik yang tertulis nama ‘Hayyan Rizqi Datuk Azlan’, langkah kaki Zenia mati. Tangan kanannya menyentuh rantai berloket bunga Zinnia yang kemas tergantung pada lehernya. Benar-benar berharap Hayyan gembira melihat dia memakai rantai itu. Nafas ditarik dalamdalam sebelum menghembusnya perlahan-lahan. Pintu itu diketuk tiga kali sebelum terus menolaknya ke dalam.

Buat seketika Zenia terkaku di situ. Bukan Hayyan yang ada di dalam bilik itu sebaliknya seorang gadis bertudung yang cantik berbaju kurung sedang duduk di sofa yang ada di situ sambil membelek majalah di tangan. Melihat Zenia, gadis itu bangkit berdiri.

“Ya?”

“Err... Hayyan ada?” Tergagap-gagap Zenia mengeluarkan suara. Nak kata dia salah bilik, dah memang betul bilik Hayyan. Siapa pula perempuan ni?

“Hayyan?” Zanariah mengerutkan dahi. “Ohh... You mean... Rizqi?”

Zenia tidak menjawab. Otaknya bagai tidak dapat berfikir apa-apa ketika itu. Hayyan ke? Rizqi ke? Dia cuma mahu tahu siapa perempuan itu ketika ini.

“Rizqi turun bawah kejap. Dia kata ada hal. Nanti dia datang balik. Hmm... awak ni siapa ya? Ada hal penting ke nak jumpa dia?” Zanariah bertanya ramah. Walaupun tidak kenal siapa gadis di hadapannya, dia tetap mengukir senyuman manis.

“Err... awak ni siapa? Setiausaha dia?” Entah dari mana Zenia mendapat keberanian untuk bertanya begitu.

“Setiausaha? Do I look like one?” Zanariah ketawa kecil dengan jenaka Zenia itu.

Zenia paksa bibir untuk tersenyum. Hatinya sudah terasa lain macam. Pegangan pada tombol pintu semakin kuat tanpa dia sendiri sedari.

“Saya Zanariah. Tunang Rizqi.” Zanariah memperkenalkan dirinya.

Waktu itu Zenia terasa dunianya bagai terhenti untuk seketika. Senyuman gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai tunang Hayyan Rizqi itu seolah-olah merobek-robek hatinya. Apa maksud semua ini? Tunang? Sejak bila Hayyan ada tunang? Dan... kenapa dia tidak tahu semua ini?

“Nia!” Panggilan itu menyentakkan Zenia. Dia tahu itu Hayyan tetapi dia tidak mahu berpaling.

“Riz...” Zanariah pula yang memanggil Hayyan.

“Saya tak tahu siapa dia, tiba-tiba aje datang cari awak. Awak kenal ke dia?”

Hayyan tidak mempedulikan Zanariah. Fokus matanya hanya pada wajah Zenia yang kian menunduk.

“Nia!”

Zenia menggeleng. Kotak di tangannya terlepas jatuh ke lantai berkarpet dalam bilik itu. Tanpa memandang Hayyan, dia terus berlari menuju ke arah lif.

“Nia!” Hayyan tidak menunggu lama. Laju langkah Zenia, laju lagi dia mengejar. Lengan Zenia ditarik sebelum sempat wanita itu masuk ke dalam lif.

“Nia! Please... dengar dulu penjelasan saya.” Pinta Hayyan. Dia yakin Zenia sudah tahu tentang Zanariah. Reaksi wanita itu sahaja sudah membuktikan semuanya.

Zenia menggeleng-geleng. Kepalanya menunduk. Namun masih tidak mampu menghalang esakannya daripada sampai ke telinga Hayyan. “Nia...”

“Siapa dia?” Zenia bertanya perlahan.

“Nia...”

“Siapa dia Hayyan?” Kali ini Zenia mengangkat muka memandang Hayyan. Pipinya basah dengan air mata yang bagaikan tidak mahu berhenti mengalir.

“Nia...” Hayyan bagaikan hilang suara. Tangisan Zenia benar-benar merentap jantungnya. Apatah lagi apabila melihat rantai pemberiannya bertahun-tahun dahulu tergantung elok di leher Zenia.

“Awak tipu saya?” Sayu Zenia bertanya.

Hayyan menggeleng.

“Tak Nia. Saya tak tipu awak...”

“Habis tu... dia siapa? Tunang awak? Sejak bila awak ada tunang? Kenapa saya tak pernah tahu semua tu? Kenapa awak sorokkan semua tu daripada saya? Kenapa Hayyan?” Bertalu-talu Zenia mengajukan soalan.

Kenyataan yang terbentang di depan mata benar-benar melumpuhkan seluruh semangatnya. Impiannya untuk membina hidup baru bersama Hayyan sudah hancur punah.

“Saya tak pernah berniat nak sorokkan semua ni daripada awak Nia. Percayalah. Saya tak pernah mahukan semua ni dalam hidup saya. Pertunangan tu, tak pernah ada erti bagi saya. Saya cuma mahukan awak Nia. Cuma awak...” Jelas Hayyan satu per satu. Tangan Zenia digenggam erat dan dibawa ke dadanya. Dia mahu Zenia rasa getaran cinta di situ yang tidak pernah pudar sejak dulu lagi.

Zenia terus teresak. “Kenapa awak tak beritahu saya hal sebenar?”

“Sebab saya harap semua ni tak pernah berlaku. Saya tak nak awak tahu saya dah bertunang sebab saya yakin yang pertunangan saya takkan bertahan lama. Saya cuma perlukan masa untuk jelaskan kepada orang tua saya.” “Tapi awak gagal...” Pintas Zenia.

Hayyan menggeleng. “Tak Nia. Please... bagi saya masa. Saya janji... Saya akan betulkan semua ni.”

Zenia pula yang menggeleng. Gelengan yang diiringi air mata yang kian lebat membasahi wajahnya.

“Nia...”

“Tunang awak macam mana?”

“Saya tak cintakan dia!” Akui Hayyan sungguhsungguh. “Saya cuma cintakan awak Zenia...”

“Tapi dia cintakan awak.” Zenia menekan suaranya.

Hayyan terdiam. Dia tiada jawapan untuk soalan itu. Benarkah Zanariah cintakannya? Gadis itu tidak pernah menyatakannya tetapi melihat caranya, Hayyan tahu gadis itu sudah mula menyimpan rasa itu untuknya.

“Dia cintakan awak, kan?” Zenia menahan sebak di dada.

Hayyan tertunduk. Pegangan di tangan Zenia dilepaskan. Masing-masing terdiam tanpa suara. Hanya esakan Zenia yang memenuhi ruang itu. Zenia menyapu air mata di pipinya.

“Kita memang tak patut teruskan hubungan ni dari awal lagi Hayyan...”

Hayyan mengangkat mukanya semula. “No...” Dia menggeleng.

“Saya minta maaf... tapi saya tak boleh teruskan.”

“Nia! Jangan! Tolong jangan buat saya macam ni. Tolong jangan tinggalkan saya lagi...” Hayyan merayu. Jatuh air matanya di depan Zenia. Dia sudah tidak peduli lagi. Yang dia tahu, Zenia tidak boleh tinggalkan dirinya begitu. Tidak untuk kali kedua.

“Saya tak boleh hidup bahagia atas tangisan gadis lain.”

“No Nia... please!”

Zenia tidak pedulikan rayuan Hayyan lagi. Dia terus masuk ke dalam lif dan menekan butang supaya pintu cepat tertutup. Di situ, di ruang yang kecil itu, tanpa ada sesiapa pun yang memandang kecuali Dia yang di atas sana. Zenia terduduk sendiri menangis dan terus menangis. Hanya Allah yang mengerti betapa remuk hatinya ketika ini. Pada saat diri sudah bersedia untuk kembali menerima cinta, hidupnya disinggahi kekecewaan sekali lagi.

‘Ya Allah... andai ini ketentuan-Mu, berikan aku kekuatan untuk bertahan dan reda atas takdir-Mu ini.’

AIR MATA masih lebat di pipi. Walaupun sudah puas dipujuk hati untuk tidak menangis lagi, dia tetap gagal. Telefon pintarnya tidak berhenti-henti menjerit sejak tadi. Hayyan tidak putus asa menelefonnya. Tetapi tidak satu pun panggilan lelaki itu dijawabnya.

Terasa diri semakin lemah, Zenia akhirnya memberhentikan keretanya di kawasan tasik. Telefon pintarnya dicapai. 58 missed calls. Air matanya tumpah lagi. Perlahanlahan rantai yang masih tergantung pada leher ditanggalkan. Rantai itu diletakkan di dalam laci dashboard. Telefon pintarnya pula dimatikan sebelum dia turun dari kereta.

Perlahan kakinya melangkah di kawasan tasik itu dengan tangisan yang masih belum reda. Dia sudah tidak peduli lagi apa sahaja pandangan orang sekeliling. Biarlah... dia sudah bertahan terlalu lama. Kalau dulu dia yang memilih meninggalkan Hayyan kerana lelaki lain. Sekarang dia perlu membuat keputusan itu sekali lagi. Dan ia tetap bukan salah Hayyan.

‘Ya Allah... kenapa semuanya harus berakhir begini? Adakah aku dan Hayyan memang tidak pernah ditakdirkan untuk bersama?

Kenangan-kenangan lalu bersama Hayyan bagai kembali tertayang di ruang mata... Janji-janji Hayyan untuk mereka hidup bersama selamanya... Setiap gelak tawa yang Hayyan hadiahkan dalam hidupnya... Kenangan yang dicipta bersama Adam... semuanya... segalanya...

Zenia terduduk di situ. Air mata semakin lebat. Bukan ini yang dia mahukan. Dia cuma mahu hidup bahagia bersama Hayyan. Tetapi kenapa semua ini harus terjadi? Adakah dia tidak layak untuk hidup bahagia bersama Hayyan? Adakah dosa lampau yang dia lakukan telah menjadi penghalang untuk dia mengecapi kebahagiaan untuk selama-lamanya?

‘Ya Allah... aku tak kuat untuk semua ini.’

“Zenia!” Satu suara tiba-tiba memanggil. Zenia mengangkat muka. Perlahan-lahan dia berpaling ke belakang.

“Zenia!” Gadis itu memanggil lagi. Dia menghampiri Zenia yang masih menangis.

“Zenia!”

“Eton!” Zenia bangkit berdiri. Serentak itu juga dia berlari mendapatkan Eton dan memeluk gadis itu dengan erat. Tahun-tahun yang berlalu masih belum mampu memadamkan gadis itu dari ingatannya. Eton... sahabat yang sentiasa dirindui. Tak sangka pada waktu dia dalam kedukaan begini, Allah pertemukan dia dengan Eton semula. Alhamdulillah...

Tangan Zenia digenggam erat. Eton setia mendengar segala cerita Zenia sedari tadi. Langsung tiada riak jemu dan bosan yang terlukis di wajah. Walaupun sudah empat tahun berlalu sejak mereka berpisah, Zenia tetap sahabat terbaik dalam hidupnya.

“Aku takut untuk terima dia semula... sebab aku takut aku akan kecewakan dia sekali lagi. Dan...” Zenia menunduk dengan air mata yang menitis di pipi.

Eton setia mendengar.

“... aku kecewakan dia lagi Eton...” Zenia terus teresak.

Eton menarik Zenia ke dalam pelukannya.

“Kau terpaksa Nia...”

“Aku tak sanggup nak hadapi semua ni Eton. Aku cintakan dia. Aku sayang dia... tapi...”

Eton mengeratkan pelukannya.

“Aku faham Nia. Kau tak minta semua ni jadi. Anggaplah semua ni dugaan Allah untuk kau.”

“Tapi aku tak kuat Eton...”

“Jangan cakap macam tu. Aku tahu kau kuat.” Eton memaksa Zenia memandang wajahnya.

“Nur Iris Zenia yang aku kenal seorang yang kuat. Kau kuat, kan?” Zenia tidak menjawab apa-apa. Hanya air mata yang masih setia mengalir di pipi.

‘Kalau benar aku kuat, kenapa hati ini rasa terlalu rapuh untuk menerima semua ini?’?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience