Bab 43

Romance Completed 79646

SELESAI sarapan pagi itu, masing-masing bersedia untuk pulang. Zenia masih menjadi penumpang tetap Hayyan. Bukannya dia tidak berusaha untuk lari tetapi Hayyan seolaholah telah mengikat kakinya supaya dia tidak boleh menumpang kereta orang lain.

“Orang demam boleh ke drive ni?” Zenia bertanya sambil menghulurkan begnya kepada Hayyan.

“Hai... perli nampak?” Balas Hayyan. Beg Zenia diletakkan di dalam bonet kereta.

Zenia tergelak kecil. “Mana ada perli. Orang tanya ajelah.”

“Yalah. Saya tahu awak ambik berat pasal saya, kan? Jangan risau Cik Nur Iris Zenia sayang, saya sihat dan saya boleh drive sampai Shah Alam. Okey?” Hayyan berikan senyuman paling manis untuk tatapan Zenia. Zenia menahan senyum.

“Okey. Tapi nanti kalau tak tahan pening, beritahu tau? Saya boleh drive.” Sempat lagi Zenia berpesan sebelum masuk ke dalam kereta.

Hayyan memasang tali pinggang keledarnya.

“Tak macholah bagi perempuan drive.” Balasnya dengan nada meninggi diri. Zenia mencebik.

“Nak macho sangatlah kononnya? Kalau awak pening ke, mabuk nak muntah ke, siapa yang susah?”

“Kalau saya pening ke, mabuk nak muntah ke, awak kan boleh jaga saya? Nak bawak saya balik rumah awak pun boleh.” Mudah Hayyan membalas sambil mengenyit sebelah matanya.

Malas melayan, Zenia terus mengunci mulut. Hayyan sempat melepaskan tawa sebelum mula memandu.

“NIA...” HAYYAN memanggil perlahan. Bahu Zenia disentuh lembut. Sempat dia memerhati wajah wanita itu ketika tidur. Nampak tenang dan... comel. Walaupun pipi Zenia dah tak lagi setembam dulu.

“Dah sampai ke?” Zenia terjaga daripada tidur. Keduadua belah matanya digenyeh-genyeh.

“Dah.” Hayyan tersenyum. Kalau masa tidur Zenia nampak comel. Dah bangun lagilah comel.

Zenia menguap kecil. Kemudian barulah dia tersedar di mana dia berada.

“Eh, kat mana ni?”

“Rumah saya.” Jawab Hayyan.

“Rumah awak?” Zenia terkejut. Berkerut mukanya. Hayyan mengangguk.

“Nak buat apa pulak balik rumah awak? Kan kita nak pergi ambik Adam. Lepas tu awak terus hantar saya balik rumah!” Zenia makin bingung.

“Hmm... about that...” Hayyan memandang jam di tangannya.

“Sekarang dah masuk waktu asar. Apa kata kita turun solat dulu? Lepas tu, nanti saya hantar awak balik.” Cadangnya.

“Kalau awak hantar saya balik sekarang pun, sempatlah nak solat kat rumah.” Bantah Zenia. Nak solat kat rumah Hayyan? Dahlah rumah bujang. Nanti entah apa pulak kata jiran-jiran sekeliling.

“Tak sempat.” Balas Hayyan.

“Sempat!”

“Tak sempat.”

“Sempat!”

“Tak sempat sayang.”

Terus terkunci mulut Zenia apabila panggilan ‘sayang’ itu keluar dari mulut Hayyan. Zenia merengus.

“Awak pergilah solat dulu. Nah kunci.” Hayyan menghulurkan kunci rumahnya kepada Zenia.

Lagilah berkerut-kerut muka Zenia.

“Habis awak?”

“Awak solat dulu, nanti saya pulak yang solat. Kalau nak masuk sama-sama, apa pulak jiran-jiran saya cakap. Pergilah!” Suruh Hayyan lagi. Senyuman masih di bibirnya.

Sungguh Zenia tidak faham kenapa dengan Hayyan. Pelik sungguh! Apa yang tak sempatnya kalau hantar dia balik rumah dulu?

‘Kalau ya pun nak berhenti sebab nak solat dulu, boleh aje berhenti kat mana-mana masjid tadi. Tak payah susah-susah nak tunggu lama-lama semata-mata nak ambik giliran solat. Kalau kat masjid kan boleh solat sama-sama aje. Huh!’ Namun Zenia turutkan juga.

“Arah kiblat?”

“Belah sana.” Hayyan menunjukkan arah kiblat dengan kedua-dua tangannya.

Zenia mengangguk lalu turun dari kereta. Masuk ke rumah Hayyan, melilau matanya memerhatikan hiasan dalaman rumah itu. Tertinjau-tinjau dia dari satu ruang ke satu ruang yang lain. Mencari bilik yang sesuai untuk digunakan. Hayyan pun satu, bukannya nak beritahu bilik mana yang boleh dia gunakan untuk bersolat.

Pandangan Zenia terhala ke arah sebuah bilik yang terletak di hujung sudut rumah. Pintu bilik itu ditolak dari luar. Zenia yakin yang bilik itu bukan bilik Hayyan. Dia akhirnya memutuskan untuk solat di situ sahaja.

Selesai dia solat, giliran Hayyan pula yang masuk ke dalam rumah bersama beg pakaiannya. Tidak lama selepas itu dia keluar semula dengan pakaian yang sudah berganti. Lebih santai dengan baju T berkolar dan jeans hitam. Bau harumannya pula usah cakaplah... macam nak keluar dating.

“Mana aci.” Kata Zenia tiba-tiba.

“Apa yang tak aci?” Hayyan pelik. Gear dimasukkan lalu dia mula memandu.

“Awak siap mandi dan tukar baju lagi. Saya ni baju sama dari pagi tadi.” Bebel Zenia.

“Laa... kenapa tak cakap nak mandi? Boleh aje guna bilik air kat rumah saya tu tadi.” Balas Hayyan selamba.

“Hesy... ada pulak macam tu.” Zenia tergeleng-geleng. Hayyan ketawa cuma.

“Tak apalah awak tak mandi pun. Tetap nampak cantik dan wangi di mata saya.” Ujarnya sambil tersengih mengusik. Zenia buat tidak dengar. Kalau dilayan makin meleret jadinya nanti.

Hayyan tenang memandu. Matanya lurus ke depan memandang jalan raya yang sudah mula agak sesak. Zenia mengerutkan keningnya sekali lagi. Ni nak ke mana pulak ni?

“Hayyan!”

“Kita pergi jalan-jalan dulu ya?” Cepat sahaja Hayyan menjelaskan sebelum sempat Zenia bertanya. Dia sudah tahu apa yang bermain dalam fikiran wanita itu.

“Ohh! Jadi sebab itulah awak beria-ia suruh saya solat dulu tadi? Takut tak sempat sebab awak nak bawak saya pergi jalan-jalan dulu?” Zenia sudah mula dapat menangkap.

Hayyan mengangguk lalu tersengih.

“Pandai!”

Zenia tersandar di kusyen kereta. Nak marah pun tak boleh. Kenapalah Hayyan ni jadi macam budak-budak sangat sekarang? Tak padan dengan umur dah masuk 30.

“Saya dah janji nak pergi ambik Adam bila sampai sini.” Zenia mengingatkan tentang hal itu.

“Tak apa. Adam tak marah punya.” Selamba Hayyan menjawab.

“Mana awak tahu? Awak tak tahu lagi macam mana kalau Adam merajuk tau?”

“Mesti Adam ikut perangai mama dia. Senang aje nak pujuk. Kan?” Zenia terdiam lagi. Memang dia selalu kalah berlawan cakap dengan Hayyan. Atau mungkin juga dia lupa bahawa Hayyan tahu dan kenal semua tentang dirinya.

Dalam terpaksa Zenia mengikut juga Hayyan berjalanjalan. Tidak cukup dengan kawasan Shah Alam, dibawanya pula ke kawasan Klang. Mujurlah tidak terus sampai ke bandar Kuala Lumpur. Kalau tidak, mahunya sampai tengah malam baru dapat balik. Kasihan Adam...

“Hayyan! Dahlah tu. Jomlah kita balik. Saya dah rindu sangat dengan Adam ni.” Ajak Zenia lagi. Geram sungguh dia dengan Hayyan. Kalau bukan disebabkan kereta yang dia naik tu kereta Hayyan, dah lama dia tinggalkan lelaki itu sendiri di sini.

“Boleh tak awak bagi peluang kat saya hari ni?”

“Peluang?” Zenia tidak faham maksud soalan Hayyan itu.

Hayyan menarik tangan Zenia supaya duduk di sebelahnya.

“Awak boleh spend time dengan Adam bila-bila masa aje. Tapi saya cuma ada hari ni dengan awak. Hari-hari lain, entah bila lagi kita dapat jumpa macam ni. Tak boleh ke bagi saya peluang untuk habiskan masa ni cuma dengan awak seorang?”

Redup renungan Hayyan membuatkan Zenia terkunci mulut. Tak sangka itu sebenarnya tujuan Hayyan membawanya keluar berjalan-jalan hari ini. Penat memandu dari Terengganu pagi tadi sanggup diketepikan hanya untuk menghabiskan masa dengannya.

“Saya minta sekejap aje. Nanti saya hantarlah awak balik. Okey?” Hayyan mengukir senyuman.

Zenia sudah tidak terkata apa lagi. Deringan telefon bimbit menyelamatkannya. Nama Zatie muncul di skrin tetapi dia tahu Adam yang sebenarnya menelefon.

“Mama! Mama kat mana? Lama Adam tunggu mama tak sampai-sampai pun.” Kuat suara Adam dari corong telefon.

“Hmm... mama...” Zenia mengerling ke arah Hayyan. Nak jawab apa ni?

Hayyan yang faham maksud pandangan Zenia segera mengambil telefon dari tangan wanita itu.

“Adam! uncle ni.”

“Uncle! Uncle kat mana? Dah balik ke belum? Bila uncle nak datang ambik Adam?” Bertalu-talu Adam mengajukan pertanyaannya. Tak sabar sangat nak balik rumah agaknya.

“Adam duduk rumah aunty Zatie sampai malam ni boleh? Mama dengan uncle nak keluar jalan-jalan dulu. Kejap aje. Tak lama pun. Nanti uncle belikan hadiah untuk Adam. Okey?” Hayyan mengumpan.

Zenia setia mendengar di sebelahnya.

“Lama tak?” Adam bertanya lagi.

“Kejap aje... uncle janji. Sebelum pukul 10.00 malam ni uncle datang ambik Adam.” Janji Hayyan.

“Hmm... aunty! Uncle cakap pukul 10.00 nanti dia datang ambik Adam!” Terdengar suara Adam menjerit memberitahu aunty Zatienya itu.

“Okey!” Suara Zatie pula yang menyahut sayup-sayup.

“Uncle! Aunty cakap okey.” Beritahu Adam.

“Okey. Adam behave tau? Jangan nakal-nakal.” Pesan Hayyan sambil tersenyum.

“Okey!”

“Good boy.”

Kemudian talian dimatikan. Telefon bimbit diserahkan semula kepada Zenia.

“Lapar tak?” Tanya Hayyan lembut. Zenia mengangguk.

“Jom pergi makan dulu!” Ajak Hayyan lantas bangkit berdiri.

Kalau tadi mungkin Zenia akan membantah. Tetapi setelah mendengar luahan Hayyan tadi, cepat sahaja dia bersetuju. Ahh hati... memang tidak pernah dapat bertahan dengan lelaki ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience