Bab 63

Romance Completed 79607

SEGALA kisah yang diceritakan Herny tentang Hayyan dan Zenia tadi bagaikan terngiang-ngiang di telinga Zanariah. Setiap rentetan peristiwa yang berlaku sehingga membawa wataknya sendiri dalam kisah cinta Hayyan dan Zenia mengganggu fikirannya.

Benarkah dia hanya penghalang kebahagiaan mereka berdua? Benarkah dirinya cuma layak dianggap sebagai orang ketiga yang hanya merosakkan hubungan Hayyan dan Zenia? Benarkah?

Zanariah meraup tapak tangan ke muka. Dahulu, ketika mummy mula-mula mengkhabarkan berita tentang keluarga Hayyan yang ingin menyunting dirinya, dia hanya menerima kerana itu pilihan orang tuanya sendiri. Bertahun-tahun dia setia kepada lelaki yang langsung tidak dikenali hati budinya. Lelaki yang tidak pernah berusaha untuk menghubunginya dan berkenalan dengan dirinya dengan lebih rapat lagi.

Bertahun-tahun juga dia menanti sehingga saatnya dia dapat bertemu Hayyan Rizqi. Dan pada ketika hatinya sendiri sudah dapat menerima lelaki itu sepenuhnya, kenapa lelaki itu sendiri yang meminta untuk memutuskan pertunangan mereka?

Sepasang mata Zanariah kini terpaku ke arah telefon pintar yang diletakkan di atas meja di tepi katil. Dia sengaja tidak memulangkan telefon itu kepada Hayyan kerana hatinya sendiri melarang. Dia tidak mahu Hayyan menjadi milik Zenia. Dia pentingkan diri sendiri. Tetap mahukan lelaki yang langsung tidak punya perasaan kepadanya itu menjadi miliknya.

Perlahan telefon milik Zenia itu dicapai. Hatinya meronta-ronta meminta agar dia menghidupkan telefon pintar itu dan melihat isinya. Punat kecil di bahagian atas telefon itu ditekan. Terketar-ketar tangannya menanti telefon itu berfungsi sepenuhnya. Hujung ibu jarinya mula menyelongkar satu per satu apabila telefon pintar itu mula berfungsi.

Bermula dengan ruang Photos yang banyak menyimpan gambar-gambar Hayyan, Zenia dan Adam. Mereka bertiga kelihatan sangat gembira dalam gambar-gambar itu. Seperti sebuah keluarga bahagia. Ibu jari Zanariah beralih pula ke arah aplikasi WhatsApp. Hampir menitis air mata membaca setiap pesanan kiriman Hayyan kepada Zenia. Dia mula sedar, cinta Hayyan untuk Zenia terlalu dalam. Tidak mungkin akan dapat diganti atau ditukar dengan apa sekali pun.

Air mata yang basah di pipi dikesat dengan hujung jari. Sepasang matanya kini merenung cincin yang masih tersarung kemas di jari manisnya. Perlahan-lahan cincin itu ditanggalkan sebelum dia bangun dan berjalan keluar dari bilik.

“Mummy!” Zanariah memanggil perlahan mummynya yang sedang bersantai di ruang tamu bersama adiknya Airin.

Datin Rasyidah berpaling ke arah Zanariah. “Ya.”

Airin ikut memandang kakaknya itu dengan mata terkebil-kebil.

Zanariah mendekati mummynya. Sebentuk cincin yang masih dalam genggaman diletakkan di atas telapak tangan mummynya.

“Zana... apa ni? Kenapa bagi mummy cincin ni?” Datin Rasyidah hairan.

“Nanti mummy bagi balik pada keluarga Rizqi ya.” Pinta Zanariah dengan suara perlahan. Puas dikawal agar sebaknya tidak kedengaran di telinga mummynya. Renungan pelik Airin hanya dibuat tidak nampak.

“Dan ni lagi satu...” iPhone 5S di tangan juga dihulurkan kepada mummynya. “Bagi kepada Rizqi.”

Datin Rasyidah yang terkejut segera bangkit berdiri. Bulat matanya merenung wajah Zanariah yang hanya menunduk.

“Kenapa Zana? Apa yang dah jadi ni?”

“Zana tak boleh terima Rizqi jadi suami Zana. Kami tak serasi dan... Zana tak cintakan dia.” Perlahan Zanariah menuturkan kata-kata itu.

Datin Rasyidah terdiam. Terkejut sehingga langsung tiada suara yang keluar dari mulutnya. Sementara Airin pula sudah terlopong. Setahunya, kakaknya itu sudah mula menyayangi Hayyan tetapi kenapa tiba-tiba itu pula yang keluar dari mulut kakaknya itu.

“Zana minta maaf sebab ambil masa yang lama untuk beritahu mummy hal ni. Zana minta maaf.” Ucap Zanariah lagi dan tanpa menunggu balasan mummynya, dia segera angkat kaki keluar dari rumah itu.

Enjin kereta dihidupkan. Setelah masuk ke dalam kereta, dia memandu tanpa arah tujuan. Entah ke mana hendak dituju ketika hati sedang lara dengan apa yang telah berlaku. Memang benar... dia dan Hayyan tidak pernah bercinta. Walaupun empat tahun menjadi tunangan lelaki itu, dia sedar ikatan itu tidak pernah memberi apa-apa makna kepada Hayyan.

Hanya dia yang menganyam impian dalam mimpi indahnya sedangkan hati Hayyan sudah lama menjadi milik insan lain.

‘Ya Allah... aku tahu semua ini ketentuan-Mu. Aku tahu dia bukan ditakdirkan untuk aku. Aku tahu dan aku yakin dengan takdir-Mu. Kuatkanlah aku untuk melalui semua ini. Bantu aku untuk lupakan dia Ya Allah...’

Air mata yang masih lebat di pipi disapu kasar dengan tapak tangan. Tiba-tiba sahaja kereta di depannya yang jaraknya tidak sejauh mana memperlahankan kereta. Zanariah yang terkejut tidak sempat menekan brek menyebabkan bahagian depan keretanya terlanggar kereta itu. Mujurlah dia memakai tali pinggang keledar.

Pemandu kereta di depan keluar dari keretanya. Zanariah sudah mula pucat wajah. Dipastikan tiada walau setitis air matanya yang berbaki di wajah sebelum turut keluar dari kereta.

“Cik...” Lelaki itu baru sahaja ingin menegur ketika terpandangkan wajah suram gadis yang melanggar keretanya itu.

“Kenapa?” Zanariah meninggikan suara.

“Awak nak salahkan saya sebab langgar kereta awak? Patutnya saya yang marah awak sebab awak yang berhentikan kereta awak secara tiba-tiba.”

Lelaki itu terdiam. Tadi nampak macam sedih sangat. Sekarang siap boleh sembur dia dengan suara lantang lagi. Tetapi entah kenapa dia masih dapat menangkap raut sedih itu dalam sepasang mata gadis itu.

“Awak tahu tak saya tengah ada masalah sekarang? Dan sekarang awak nak tambahkan masalah saya lagi?” Zanariah terus menghamburkan amarahnya. Otak yang serabut membuatkan dia tidak sedar apa yang keluar dari mulutnya ketika itu.

“Tak boleh ke bawak kereta tu elok-elok? Yang awak brek tiba-tiba tu kenapa? Nak kata kat depan tu lampu merah, tak ada pun. Ke mata awak yang rabun? Atau awak memang tak reti bawak kereta?”

Lelaki itu terkebil-kebil memandang. Cuaca yang panas di tengah-tengah jalan dan ditambah lagi dengan pandangan pemandu-pemandu kereta yang lalu-lalang bagaikan langsung tidak menghalang gadis itu untuk menghamburkan kata-kata itu kepadanya.

“Lain kali kalau tak pandai nak bawak kereta tak payah bawak! Menyusahkan pengguna lain, tau tak!” Kasar Zanariah menuturkan kata-kata itu.

Melihat lelaki itu hanya diam dengan mata yang terkebil-kebil merenungnya. Barulah dia tersedar situasi ketika itu. Mata dililaukan ke sekelilingnya.

‘Erk... apa yang sedang berlaku ni? Apa yang aku tengah buat ni? Marah-marah dengan lelaki yang aku tak kenal kat tengah-tengah jalan ni?’ Baru Zanariah sedar ketika itu ada beberapa buah kereta yang membunyikan hon ke arah mereka berdua.

“Hmm...” Lelaki itu berdehem. Zanariah melarikan wajahnya ke arah kereta. Tadi bukan main marah. Sekarang dah kekok jadinya.

“Saya minta maaf kalau awak rasa saya salah. Tadi tu saya tengah cari barang kat seat sebelah. Barang saya tu jatuh. Tak sedar pulak saya dah terperlahankan kereta. Sorry ya.” Ucap lelaki itu dengan nada serba salah.

Asalnya tadi dia yang nak marah, tapi alih-alih dia yang kena marah. Dan sekarang tak tahu kenapa dia rasa tak sampai hati pula untuk memulangkan amarahnya kepada gadis yang nampak sangat tertekan itu. Ada masalah kut. Teka hatinya.

“Hmm... tak apalah.” Zanariah membalas perlahan.

“Kereta awak boleh hidup tak? Atau awak nak saya telefon mekanik?” Lelaki itu menawarkan bantuan pula.

Zanariah terdiam. Tadi lelaki itu teruk dimarahinya. Sekarang dia pula yang mahu menghulurkan bantuan. Zanariah jadi malu sendiri. Terasa hendak dicili-cili mulutnya. Betullah kata orang, kalau tengah marah, jangan cakap apa-apa sebab setiap kata-kata yang keluar itu tidak diiringi kebijaksanaan akal fikiran.

“Err... awak.” Lelaki itu menegur apabila melihat Zanariah hanya diam.

Air mata Zanariah menitis tiba-tiba. Dia tidak tahu kenapa dia perlu menangis begitu. Tetapi air matanya sudah tidak dapat ditahan lagi. Menangis di depan orang yang tak dikenali pula tu! Mungkin kerana waktu itu Zanariah benarbenar memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan dan lelaki itu hadir tepat pada masanya.

“Eh, awak nangis ke? Err... awak... awak okey?” Kalut lelaki itu jadinya. Kepala yang tidak gatal digaru-garu. ‘Ahh... sudah... Apa nak buat ni? Takkan nak kena pujuk kut?’

Zanariah menyapu air matanya. Nafas ditarik dalamdalam untuk menenangkan diri sendiri. Tetapi semakin dia mencuba, semakin lebat air itu jatuh ke pipinya. Sementara lelaki itu terus merenungnya dengan satu pandangan yang sukar untuk dimengertikan.

GAGANG TELEFON diletakkan di tempatnya. Kemudian dia berpaling ke belakang. Merenung satu per satu wajah yang bagaikan menanti apa yang baru sahaja dikhabarkan ke telinganya sebentar tadi.

“Datin Syidah telefon. Dia kata Zana dah buat keputusan nak putus tunang. Esok keluarga dia akan datang untuk pulangkan cincin.” Beritahu Datin Asmida dengan nada perlahan.

Masing-masing terdiam dan saling berpandangan antara satu sama lain.

“Zana betul-betul dah nekad ke ma?” Herny bertanya.

Datin Asmida mengambil tempat di sebelah suaminya.

“Mama tak tahu. Tapi bila dia sendiri yang buat keputusan tu, kita nak buat macam mana lagi. Lagipun mama tengok Riz pun macam tak ada hati nak teruskan perkahwinan dia dengan Zana.”

“Mungkin dah memang bukan jodoh Zana dengan Riz. Kita semua tahu yang Riz tak cintakan Zana. Kalau pun Zana cintakan Riz, mereka berdua tetap takkan kahwin kalau dah memang tak ada jodoh.” Tenang Datuk Azlan menuturkannya.

Dalam hati Datuk Azlan ada terselit rasa lega kerana Zanariah sendiri yang memutuskan pertunangan itu. Jadi, pihak keluarga Datin Rasyidah tidak boleh menyalahkan Hayyan dalam hal itu. Dan dia juga lega kerana permintaan Hayyan untuk membatalkan perkahwinan itu akhirnya terlaksana. Bukan kerana dia tidak sukakan Zanariah, tetapi dia lebih mementingkan kebahagiaan anak sendiri.

“Betul kata papa.” Celah Khairil pula. Dia dan isterinya saling berbalas pandang untuk seketika.

“Tapi mama kesiankan Zana. Mama tahu dia terpaksa buat keputusan tu. Bertahun-tahun dia tunggu Riz. Tapi akhirnya jadi macam ni.” Datin Asmida mengeluh. Dia tahu Zanariah memang mengharap kepada Hayyan hanya melalui renungan mata gadis itu.

Datuk Azlan mengusap-usap bahu isterinya.

“Kita doakan yang terbaik ajelah untuk Zana. Mungkin Allah dah tetapkan jodoh dia dengan lelaki yang lebih baik.

Lagipun Zana tu budak baik. Awak kena yakin tu.” Pujuknya.

Datin Asmida mengangguk-angguk tanda bersetuju.

“Eny nak naik atas kejap. Nak cakap dengan Riz.” Herny seolah-olah meminta izin. Melihat anggukan di kepala papanya, dia segera berlalu ke tingkat atas.

ZANARIAH MENDONGAKKAN kepalanya apabila terasa kerusi di depannya ditarik. Lelaki yang masih belum diketahui namanya itu melabuhkan duduk di situ. Ada senyuman di bibir lelaki itu membuatkan hati yang tadinya tegang menjadi lebih tenang.

“Kereta awak mungkin boleh siap minggu depan kut. Apa-apa hal nanti saya akan beritahu awak.” Ujar lelaki itu. Mujurlah dia ada rakan yang membuka bengkel sendiri. Dapat juga meminta bantuan pada saat-saat begini.

“Ohh... okey. Terima kasih.” Ucap Zanariah lega.

“Tapi... ada masalah sikit.” Tambah lelaki itu.

“Masalah apa? Duit? Awak jangan risau. Nanti saya bayarkan semua. Kalau awak nak saya bayar ganti rugi kereta awak pun boleh.” Tenang Zanariah membalas. Walaupun masih terkesan rasa malu kerana menangis beria-ia di depan lelaki itu tadi, dia tetap cuba untuk menepis semua itu dari ingatan.

Lelaki itu tersenyum sebelum menggeleng.

“Bukan pasal tu.”

“Habis?”

“Macam mana saya nak contact awak nanti?” Tanya lelaki itu.

“Ohh...” Barulah Zanariah berfikir tentang itu. Terasa nak ketuk kepala sendiri pun ada. Cepat-cepat dia mengeluarkan sekeping kad dari beg tangannya lalu menghulurkannya kepada lelaki itu.

“Ni kad saya.”

Lelaki itu menyambut. “Nur Zanariah...” Perlahan nama itu disebut.

“Just... Zana.” Ujar Zanariah sambil mengukir senyuman manis. Lelaki itu membalas senyuman Zanariah.

“Saya Kamil.” Barulah dia memperkenalkan dirinya.

Zanariah mengangguk-angguk.

“So... boleh saya tahu kenapa awak menangis tadi? Sebab saya dah buat kereta awak rosak ke?” Kamil meneka. Sumpah. Memang dia terkejut tadi sampaikan tak tahu nak kata apa. Nasib baiklah idea untuk menelefon rakannya melintas dalam fikiran dan ketika itu juga Zanariah sudah semakin tenang.

Zanariah tertunduk segan. Sangkanya Kamil sudah lupa soal itu. Rupa-rupanya dia ingat lagi.

“Tak adalah.”

“Awak ada masalah ke?” Kamil bertanya lagi. Nadanya yang cukup lembut dan prihatin itu tanpa sedar sedikit sebanyak mengusik hati gadis cantik di depannya itu.

Zanariah terdiam. Perlukah dia bercerita? Takkanlah nak cerita masalah sendiri kepada lelaki yang baru dikenali tak sampai beberapa jam? Boleh percaya ke lelaki ni? Entah-entah sengaja nak ambil kesempatan. Tapi entah kenapa Zanariah bagai dapat merasakan keikhlasan lelaki itu melalui renungan matanya yang sangat redup.

“Eh, saya ni bertanya macam kita dah lama kenal pulak. Maaflah kalau saya buat awak rasa tak selesa.” Kamil ketawa kecil.

“Saya baru putus tunang.” Terkeluar juga sebaris ayat itu dari bibir Zanariah. Dia menunduk.

“Ohh...” Kamil terdiam. Sekarang baru dia faham kenapa wajah Zanariah nampak muram dan sedih ketika mulamula menatap wajah itu tadi.

“Bertahun-tahun saya tunggu dia tapi akhirnya saya tak dapat apa-apa.” Luah Zanariah lagi dengan kepala yang masih menunduk.

“Dia yang putuskan?” Tanya Kamil.

Zanariah menggeleng. “Saya.”

“Kenapa? Sebab... dia dah ada orang lain?” Kamil meneka lagi.

Zanariah mengangkat kepala memandang Kamil.

“Kalau dia ada orang lain, patutnya dialah yang putuskan. Kan?”

Kamil tertawa mendengar kata-kata itu. Kepalanya mengangguk kecil.

“Betul jugak tu.”

“Tapi memang betul pun dia ada orang lain.” Tambah Zanariah tiba-tiba. Kening Kamil terangkat sebelah.

“Maksud saya... dia dah bercinta dengan perempuan tu sebelum saya hadir dalam hidup dia. Jadi... saya sebenarnya penghalang hubungan cinta diaorang berdua.” Jelas Zanariah kembali memperlahankan suara. Rasa pedih itu bagaikan masih ngilu di hatinya.

“Tak faham.” Kamil mengerutkan muka.

“Kalau diaorang dah bercinta lama... macam mana pulak awak boleh bertunang dengan dia?”

“Pilihan keluarga. Kami cuma ikut apa yang parents nak.” Jelas Zanariah lagi.

“Ohh...” Kamil terangguk-angguk. Barulah dia faham kronologi kisah gadis di depannya itu. Kasihan... bertepuk sebelah tangan rupa-rupanya.

“Mungkin dah memang ditakdirkan dia bukan jodoh awak. Atau mungkin jugak awak akan jumpa seseorang yang lebih baik daripada dia selepas ni?” Ada senyuman di bibirnya ketika menuturkan kata-kata itu.

Zanariah mengangguk. Renungan Kamil dibalas. Agak lama berbalas renungan sehinggalah telefon yang berdering mengejutkan kedua-duanya. Tergesa-gesa Zanariah menjawab panggilan itu.

“Ya mummy!”

“Zana kat mana ni? Dahlah keluar tadi tak beritahu nak ke mana. Risau mummy dibuatnya.” Datin Rasyidah mengeluh panjang. Lega kerana Zanariah menjawab panggilannya.

“Err...”

Zanariah menjeling Kamil yang masih tenang memandangnya dengan ekor mata.

“Zana... tak ke mana pun mummy. Mummy tak payahlah risau. Kejap lagi Zana balik.” Ujarnya dengan harapan mummynya tidak lagi risau yang bukan-bukan.

“Yalah kalau macam tu. Jangan balik lambat sangat.”

“Okey.” Talian dimatikan. Zanariah tunduk sambil mengetap bibir.

“Awak nak balik?” Kamil bertanya.

“Hmm...” Lambat-lambat Zanariah mengangguk.

“Saya nak hantar awak pun, kereta saya tengah ICU sekarang ni. Hmm macam inilah, saya call teksi untuk awak. Okey?”

“Eh, tak apalah... jangan susah-susah...” Tak sempat Zanariah menahan, Kamil sudah bangkit lalu mengeluarkan telefon pintarnya. Sudahnya dia diam di tempatnya sehingga lelaki itu duduk semula.

“10 minit lagi teksi tu sampai.” Maklum Kamil sambil tersenyum manis.

“Thanks.” Teragak-agak Zanariah mengucapkan sebaris ayat itu.

“Sama-sama. Boleh... saya tahu rumah awak kat mana?”

“Hmm?” Zanariah blur. Tak faham kenapa Kamil mesti tanya soalan tu.

Kamil tertawa kecil. “Just... asking.”

Dan tanpa sedar bibir Zanariah mula mengukir senyuman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience