Bab 73

Romance Completed 79646

HAYYAN menunggu di dalam kereta. 10 minit kemudian barulah Zenia muncul dengan senyuman manisnya. Senyuman yang sangat Hayyan rindukan selama ini.

“Adam?” Hayyan mengerutkan dahinya melihat hanya Zenia yang masuk ke keretanya.

“Adam tak ikut. Saya minta Eton datang jaga dia.” Jelas Zenia.

“Tak meragam pulak dia?”

Zenia menggeleng sambil tersenyum penuh makna. Hayyan turut membalas senyuman itu sebelum mula memandu. Tidak banyak yang dibualkan di dalam kereta. Masing-masing lebih banyak tersenyum. Seolah-olah pasangan muda yang baru belajar bercinta. Tiba-tiba sahaja rasa kekok mengambil tempat antara mereka berdua.

Sampai di kawasan tasik itu, Zenia mengajak Hayyan duduk di salah sebuah bangku di bawah pohon. Dia mahu berbual dengan Hayyan tanpa ada gangguan sesiapa. Walaupun pada mulanya tadi Adam berkeras mahu mengikut, mujurlah akhirnya anak itu diam setelah diumpan untuk dibawa ke I-City apabila ada kelapangan nanti.

“Boleh saya tahu... sejak bila awak mula bertudung?” Hayyan bertanya dengan nada hati-hati.

“Sejak saya balik kampung. Hati saya rasa terbuka untuk tutup aurat dengan sempurna. Mungkin itu hidayah Allah untuk saya.” Zenia menunduk. Perasaan di hatinya terasa indah sekali waktu ini.

“Saya cuba amalkan zikir-zikir yang awak bagi kepada saya hari tu. Alhamdulillah... hati saya rasa makin tenang sekarang ni.” Ujar Hayyan sambil merenung jauh ke arah tasik.

“Mungkin Dia memang nak kita baiki diri kita dulu, perteguhkan iman kita, kemudian barulah dia ikat hati kita dalam satu ikatan yang dipanggil... jodoh.” Tutur Zenia.

Hayyan mengangguk setuju. Dia menoleh merenung Zenia. Tidak semena-mena senyumannya terukir di bibir.

“Kenapa?”

“Tiba-tiba aje saya rasa macam tengah bercakap dengan ustazah.” Kata Hayyan diiringi tawa kecilnya.

“Kalau saya ustazah, awaklah ustaznya. Kan?” Balas Zenia sambil tersenyum manja.

“Lagi sedap kalau awak kata saya ni... imam awak.” Hayyan menggumam sendiri.

“Sama ajelah tu.” Balas Zenia pula. Hayyan tersengih.

“Insya-Allah. Kita akan cuba bina keluarga yang bahagia, yang diberkati Allah lepas ni.”

“Amin.” Zenia meraup tapak tangannya ke muka. Mereka saling berpandangan seketika sebelum masing-masing tersenyum manis. Penuh makna.

“Nah!” Hayyan mengeluarkan iPhone 5S yang pernah diberikan kepada Zenia dulu. Dihulurkan telefon pintar itu kepada Zenia.

Zenia kerut dahi.

“It’s still yours.” Hayyan merenung lembut ke dalam sepasang mata Zenia. Zenia tersenyum keharuan.

MALAM ITU Zenia memenuhi undangan Datin Asmida untuk datang ke rumah kerana mereka sekeluarga ada membuat barbeku. Adamlah yang paling seronok kerana dapat meluangkan masa bersama Papa Hayyannya dan juga ahli keluarga lelaki itu yang tidak jemu-jemu melayan kerenahnya. Datuk Azlan juga mengundang isteri keduanya, Suhaila untuk turut sama menjamu selera malam itu. Apabila satu keluarga berkumpul, jadilah rumah itu meriah dengan gurau senda dan gelak tawa.

Herny membawa berita gembira apabila dia sudah disahkan mengandung dua bulan. Memandang senyuman bahagia di bibir Herny dan Khairil, Zenia memasang angan sendiri di dalam hati untuk jadi seperti mereka.

“Kenapa duduk sini sorang-sorang?” Hayyan menegur Zenia yang sedang duduk bersendirian di tepi kolam renang.

Zenia tersenyum untuk tatapan Hayyan.

“Saya tengok awak asyik sangat melayan Adam. Malaslah nak kacau.” Ujar Zenia. Hayyan tertawa kecil sebelum duduk di sebelah Zenia.

“Saya happy malam ni... rasa macam hidup saya dah lengkap sekarang. Ada awak... ada Adam...”

“Ada Mama Ila.” Tambah Zenia. Terus membuatkan Hayyan terdiam. Senyuman lelaki itu juga semakin memudar.

“Hayyan! Saya tahu awak dah boleh terima Mama Ila sebagai mama tiri awak, kan?”

Hayyan menghela nafas panjang. Wajah Zenia direnung lembut.

“Saya benci dia selama ni... tapi saya tak pernah cuba untuk kenal dia. Saya kagum dengan mama saya yang masih boleh terima papa walaupun papa dah lukakan dia dan dia mampu terima Mama Ila sebagai madu dia. Kalau mama yang lalui semua tu mampu terima, kenapa saya tak mampu, kan?” Senyuman kembali terukir di bibir itu.

Zenia mengangguk setuju.

“Lagipun saya tengok Mama Ila tu baik orangnya. Tak salah kalau kita bagi dia peluang untuk jadi sebahagian daripada keluarga kita.” Kata Zenia sambil membuang pandang ke arah Mama Suhaila yang sedang berbual dengan Datin Asmida. Sementara Datuk Azlan, Herny dan Khairil sibuk melayan keletah Adam.

“Kita?” Nada suara Hayyan seolah-olah mengusik.

Zenia kembali menoleh ke arah Hayyan. Senyuman di bibir lelaki itu membuatkan dia jadi segan sendiri.

“Salah ke apa saya kata?”

“Tak.” Hayyan menggeleng. “Cuma... bunyinya sedap sangat. Kita!” Hayyan menyebut lagi patah perkataan itu dengan senyuman penuh makna.

Zenia memalingkan wajahnya ke arah lain. Pipinya sudah terasa memerah. Terdengar tawa Hayyan, dia terus menunduk malu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience