Bab 52

Romance Completed 79607

SELEPAS menghantar Adam ke sekolahnya, Zenia terus memandu ke pejabat. Sedang ralit memandu sambil mendengar lagu yang dimainkan di radio Hot FM itu tiba-tiba sahaja dia berasa tidak sedap hati. Kereta Honda Civic berwarna merah di belakangnya itu seolah-olah mengekorinya sejak tadi. Dia membelok ke kanan, kereta itu ikut membelok ke kanan. Dia membelok ke kiri, kereta itu ikut membelok ke kiri. Apabila dia melajukan pemanduan, kereta itu semakin rapat mengekori.

Zenia semakin tidak sedap hati. Dia cuba menenangkan diri dan terus memandu ke pejabat. Tiada lain dalam fikirannya kini selain mahu cepat sampai di pejabatnya.

Belok sahaja masuk ke kawasan pejabat, kereta Honda Civic itu tidak mengekorinya lagi. Barulah Zenia mampu melepaskan nafas lega. Setelah selesai memarkir kereta, dia berjalan laju naik ke pejabatnya. Di depan pintu masuk, dia terserempak pula dengan Zatie.

“Eh... eh... kau kenapa laju sangat ni?” Zatie yang terkejut segera menegur. Nasib baiklah tak terlanggar sesama sendiri kat depan pintu tu. Kalau tak, buat malu aje.

“Tie...” Zenia mengurut-urut dadanya yang terasa hampir pecah.

“Kenapa ni? Muka kau pucat semacam aje ni? Apa dah jadi Nia?” Kalau tadi Zatie pelik bercampur terkejut. Sekarang dia panik bercampur risau pula.

Zenia menarik nafas panjang. Cuba menenangkan diri sendiri sebelum bersuara.

“Tadi ada kereta ikut aku.”

“Kereta?”

Zenia mengangguk.

“Kau tahu siapa?”

“Aku tak nampak pemandu dia.”

Zatie terdiam. Kalau dah sampai kena ikut dengan kereta ni dah kes parah. Dah boleh buat laporan polis.

“Aku rasa...” Zenia berjeda. Entah betul atau tidak andaiannya itu. Tetapi hanya lelaki itu sahaja yang ada dalam kotak fikirannya sejak tadi.

“Kau rasa?” Zatie semakin cemas.

“Azfar.” Zenia menyebut juga nama itu.

“Azfar?” Zatie mengerut kening. Zenia terdiam seketika sebelum menjawab.

“Ayah Adam!”

Terbuntang biji mata Zatie. Terkejut. Terperanjat. Tergamam. Semuanya ada.

“Kau jumpa dia?”

“Secara tak sengaja hari tu. Dia tanya aku pasal Adam tapi aku nafikan yang Adam tu anak dia. Aku rasa mungkin dia nak jumpa Adam sebab tu dia ikut aku. Aku tak tahu nak buat apa sekarang ni Tie.” Hampir menangis Zenia ketika itu.

Zatie menggosok-gosok bahu Zenia. Cuba menenangkan rakannya itu.

“Kau jangan panik macam ni. Kalau betul dia nak jumpa Adam, aku yakin dia takkan apa-apakan kau dengan Adam.” Ujarnya yakin.

Zenia tidak terkata apa lagi. Boleh ke dia percaya katakata Zatie tu? Kalau Azfar ada rancangan lain, macam mana?

“Apa-apa pun sekarang, kau kena lebih hati-hati.” Pesan Zatie lagi sebelum mereka sama-sama naik ke ruangan pejabat di tingkat lima.

SEPANJANG HARI itu Zenia tidak dapat fokus dengan kerjanya. Sebab itulah tepat pukul 5.00 petang dia terus keluar dari pejabat menuju ke tempat parkir keretanya. Dia mahu cepat menjemput Adam dan cepat pulang ke rumah. Dalam hati dipanjatkan doa agar tiada lagi kereta Honda Civic merah yang mengekor di belakang.

Tetapi doa Zenia tidak termakbul apabila tiba-tiba sahaja Honda Civic itu menghimpit secara mengejut dan memintanya untuk memberhentikan kereta di bahu jalan. Mahu tidak mahu, Zenia terpaksa juga menurut. Penuh debaran dia menanti pemandu kereta itu keluar mendapatkannya.

Azfar? Kening Zenia bertaut rapat memandang wajah lelaki itu. Ternyata tekaannya benar. Memang Azfar yang mengekorinya sejak pagi tadi lagi.

“Awak nak apa?” Zenia terus bertanya sebaik sahaja turun dari keretanya.

“Saya nak jumpa anak saya.” Azfar berterus terang.

“Jadi awak expect saya tahu anak awak kat mana?”

Zenia membalas dengan riak wajah serius.

“Nia... please... saya tahu Adam anak saya. Tolonglah jangan nafikan lagi.” Nada suara Azfar sudah separuh merayu.

“Apa buatkan awak yakin yang Adam tu anak awak?” Zenia masih tidak mahu mengalah.

“Awak lupa ke? Awak datang kepada saya beritahu yang awak mengandungkan anak saya sebelum kita berpisah dulu.” Ujar Azfar mengingatkan Zenia tentang hakikat itu. Mana mungkin dia lupa peristiwa itu. Masih dia ingat air mata yang membasahi pipi Zenia ketika merayu agar dia bertanggungjawab. Tetapi dia tetap kejam mempertahankan egonya dan menafikan anak yang dikandung Zenia ketika itu adalah dari benihnya sendiri.

Zenia terdiam apabila kisah itu diungkit. Ya. Memang dia tak lupa dan dia takkan lupa sampai bila-bila. Bagaimana Azfar memperlakukan dia macam sampah dan sekarang semudah itu dia mahu menuntut haknya yang memang bukan haknya langsung.

“Memang saya tak pernah lupa semua tu dan saya pun tak sangka awak masih ingat lagi. Entah-entah, dah berapa ramai lagi perempuan lain yang awak buntingkan? Dah berapa orang anak yang awak ada?” Sinis sekali Zenia membalas. Dia tidak peduli apa sahaja perasaan Azfar ketika itu. Lelaki itu memang layak mendapat balasan atas apa yang telah dia lakukan.

Azfar masih mengawal riaknya untuk bertenang. Biarlah apa pun Zenia nak kata. Dia tahu dia memang patut dicerca begitu.

“Saya nak jumpa Adam.” Itu juga yang diulangnya.

“Awak tak ada hak ke atas Adam sejak awak tinggalkan saya dulu.” Zenia bersuara perlahan. Sebak mula merantai jiwa. Dia bertahan sekuat hati untuk tidak menangis.

Azfar menghela nafas. Akhirnya Zenia mengaku juga walaupun bukan itu yang dia mahu dengar dari mulut Zenia.

“Saya tahu saya tak ada hak nak mengaku yang Adam tu anak saya...”

“Baguslah kalau awak tahu!”

“Tapi saya cuma nak jumpa dia. Saya cuma nak dia tahu kewujudan saya sebagai ayah kandung dia. Itu aje Nia.” Rayu Azfar lagi. Zenia boleh bencikan dirinya tetapi Zenia tidak boleh menafikan siapa dia dalam hidup Adam.

“Adam tak perlukan seorang ayah macam awak.” Balas Zenia. Ikutkan hati dia masih belum puas melepaskan semua kemarahannya kepada Azfar. Biar dia tahu apa itu ertinya sakit hati.

Azfar terdiam. Zenia malas menunggu lagi. Daun pintu keretanya ditarik tetapi belum sempat dia masuk ke dalam, Azfar terlebih dahulu menahan.

“Saya tahu sekolah Adam kat mana, jadi saya boleh pergi jumpa dia bila-bila masa yang saya nak. Kalau saya nak buat jahat, saya boleh culik dia dan bawak dia pergi dari sini. Tapi saya tak nak guna cara macam tu. Saya bukannya nak rampas dia daripada awak. Saya cuma nak jumpa dia dan saya nak dia tahu dia masih ada ayah. Itu saja yang saya minta Nia.”

Zenia terdiam di situ dengan kepala yang menunduk. Entah kenapa setiap kata-kata Azfar itu tadi terasa sampai terus ke dasar hatinya. Benarkah cuma itu yang Azfar mahukan? Benarkah lelaki itu bukan lagi Azfar yang dulu?

“Awak boleh bencikan saya selama mana yang awak nak. Saya tahu kesalahan saya dulu memang tak layak untuk dimaafkan. Cuma saya minta awak bagi saya peluang untuk jadi ayah kepada Adam.” Azfar merayu sesungguh hati.

Azfar mahu Zenia tahu dia sudah berubah. Dia bukan lagi Azfar yang hanya tahu mengambil kesempatan. Yang hanya tahu memuaskan nafsu kemudian meninggalkannya untuk gadis lain pula.

Zenia sudah tidak tahu apa yang harus dikatakannya lagi. Sebelum air mata yang ditahan sejak tadi mula menitis, ada baiknya untuk dia pergi sahaja. Pintu kereta ditarik sekali lagi lalu dia masuk ke dalam. Tidak dihiraukan wajah penuh mengharap Azfar. Dia hanya mahu pulang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience