Bab 41

Romance Completed 79607

AWAL pagi lagi Zenia sudah menyiapkan segala barang Adam yang akan digunakan sepanjang berada di rumah Zatie nanti. Mujurlah rakannya itu sudi menjaga Adam selama tiga hari dia di Terengganu bagi menghadiri program Green & Clean Island yang dianjurkan oleh syarikatnya dengan disertai beberapa pelajar dari universiti tempatan dan juga pelajar-pelajar terpilih dari sekolah-sekolah menengah di Kuala Terengganu. Di samping itu, Hayyan juga terlibat dalam program itu memandangkan syarikatnya sendiri secara sukarela memberi tajaan sepenuhnya untuk program itu nanti.

Teringatkan lelaki itu, pergerakan tangan Zenia terhenti. Teringat pula ketika Encik Khairil meminta dia menguruskan semua hal termasuk menempah beberapa bilik dan juga dewan untuk program tersebut yang bakal diadakan di Pulau Redang. Kenapa pulau itu yang menjadi pilihan? Zenia sendiri tidak tahu dan malas bertanya. Cukuplah sekiranya dia menjalankan tugas yang diberikan.

“You must join us.”

“Huh!” Zenia mengerutkan muka. Ingatkan tugasnya setakat menempah resort. Tak sangka pula dia pun kena turut serta.

Khairil mengangguk sambil tersenyum.

“Tapi bukan ke kalau ada event macam ni, Kak Milah yang selalu uruskan?” Zenia masih tidak faham dengan situasi yang berlaku.

“Yup. Betul. Tapi kali ni I nak you yang join. Tak salah kan?”

Zenia menghembus nafas panjang. Sedar dia tiada hak hendak melawan. Sudahnya dia bersetuju juga. Lagipun seronok juga sesekali dapat keluar ke negeri orang dan menghirup udara segar di pulau walaupun mungkin terpaksa meninggalkan Adam untuk beberapa hari.

Keluar dari bilik Encik Khairil dan pulang ke tempatnya sendiri, baru dia teringatkan Hayyan. Adakah ini semua rancangan Hayyan untuk melibatkannya dalam program itu sekali?

Pin! Pin! Bunyi hon yang kedengaran kuat dari luar rumah menyentakkan Zenia. Dada diurut-urut sambil memejam mata seketika. Hayyan dah sampai kut. Fikirnya.

“Mama! Uncle Hayyan dah datang ke?” Adam keluar dari bilik dan berlari mendapatkan Zenia di ruang tamu.

“Ya kut. Cuba Adam pergi tengok...” Tak sempat Zenia menghabiskan ayatnya, Adam sudah berlari ke arah pintu rumah yang terkuak separuh. Terjerit anak itu melihat Hayyan berdiri tegak di luar pagar.

“Adam!” Hayyan memanggil riang. Pintu pagar yang tidak berkunci ditolak dan sekejap sahaja Adam sudah berada dalam dukungannya.

“Hensemnya Adam hari ni. Adam sihat?” Hayyan bertanya mesra.

“Sihat. Mama pun sihat. Uncle?” Tanya Adam pula.

“Uncle lagi sihat!” Balas Hayyan sambil tertawa kecil.

“Adam! Mari sini tolong mama angkat beg ni.” Zenia menjengulkan kepala di pintu rumah.

“Okey!” Sahut Adam. Sebaik sahaja Hayyan menurunkannya ke bawah, dia terus berlari masuk ke dalam rumah.

Zenia menghulurkan beg kecil kepunyaan Adam. Cukup untuk memuatkan pakaiannya untuk tiga hari dia di rumah aunty Zatienya nanti. Kemudian, berlari pula anak itu mendapatkan Hayyan yang masih berdiri di luar rumah.

Zenia membawa keluar sebuah beg yang tidak berapa besar. Setelah mengunci pintu rumah, barulah dia berjalan ke luar pagar. Secepat itu juga Hayyan mengambil beg itu dari tangannya.

“Thanks.” Ucap Zenia.

“You’re welcome.” Hayyan tersenyum manis seraya meletakkan beg Zenia dalam bonet kereta.

“Jom!”

“Adam dah makan?” Hayyan bertanya setelah keretanya bergerak di atas jalan raya.

“Dah. Tadi mama masak nasi goreng.” Cerita Adam. Kedua-dua belah tangannya diletakkan di tepi kepala kedua-dua kusyen di depan sementara dia berdiri di tengah-tengah.

“Uncle nak jugak boleh tak?”

“Adam dah makan habis tadi.”

“Alaaa... kenapa Adam tak simpan untuk uncle sikit?” Hayyan pura-pura merajuk.

“Dah uncle tak cakap. Kalau uncle cakap awalawal, boleh Adam simpan sikit untuk uncle.” Adam tersengih menjawab.

Zenia diam berpeluk tubuh. Sesekali terbit juga senyuman di bibirnya mendengar perbualan Hayyan dan Adam.

“Okey... memandangkan Adam dah makan dan uncle belum makan lagi, Adam kena teman uncle pergi makan dulu. Boleh?” Hayyan memancing sambil menoleh sekilas ke arah Adam di belakang.

“Hmm...” Adam berfikir-fikir sebentar. “Boleh!”

“All right. Set dulu.” Hayyan dan Adam sama-sama membuat high-five.

“Tak lambat ke nanti?” Zenia tiba-tiba bersuara memandang Hayyan. Hayyan yang terkejut mendengar suara Zenia menoleh sebentar ke arah wanita itu.

“Eh... ada suara rupanya...”

Zenia menarik muka. Geram pula tiba-tiba. Tahulah dia diam aje dari tadi. Tapi bukanlah bermakna dia tak boleh bercakap langsung.

Hayyan menahan senyum.

“Tak apa. Diaorang cakap berkumpul pukul 10.00.”

“Pukul 10.00?” Zenia terkejut. Eh, bukan ke malam tadi Hayyan cakap kena siap pukul 8.00? Kenapa tiba-tiba pukul 10.00? Muka tak puas hati Zenia tunjukkan kepada Hayyan. Menyedari pandangan lain Zenia, Hayyan terus tersengih.

“Saya cakap pukul 8.00 sebab ingat nak bawak awak pergi breakfast dulu. Tak sangka pulak awak dah makan.” Jelasnya. Hujung jari mengetuk-ngetuk stereng macam orang tak bersalah.

Zenia menghela nafas berat. Macam-macamlah Hayyan ni...

Suasana sepi seketika sebelum mereka berhenti dan singgah di sebuah kedai untuk sarapan pagi.

“Uncle! Kenapa Adam tak boleh ikut uncle dengan mama pergi Terengganu?” Adam bertanya sambil mulutnya disumbat dengan straw. Air milonya tetap menjadi pilihan.

Zenia mengerling ke wajah Hayyan menunggu jawapan. Dia nak tengok sejauh mana Hayyan sanggup layan Adam.

“Mama ada cakap tak kenapa Adam tak boleh ikut?” Hayyan membalas dengan soalan. Nasi lemaknya disuap lagi ke dalam mulut.

Adam menggeleng-geleng.

“Adam rasa-rasa kenapa?”

“Sebab... mama nak pergi buat kerja kut?” “Tak.” Hayyan menggeleng-geleng.

“Habis tu?”

“Sebab mama dengan uncle nak pergi bulan madu.” Selamba Hayyan menjawab dan serentak itu juga terasa kakinya ditendang di bawah meja.

“Aduh!”

Zenia menjegilkan matanya ke arah Hayyan. Lelaki itu ketawa sahaja.

“Bulan madu tu apa?” Adam yang tidak faham segera bertanya. Zenia menoleh ke arah Adam. “Err... bulan madu tu...”

Hayyan tersengih-sengih menunggu Zenia menjawab.

Zenia merengus geram melihat tingkah Hayyan.

“Taklah Adam. Uncle tipu Adam aje. Betullah Adam cakap tadi tu, mama pergi sana sebab mama kerja. Sebab itulah Adam tak boleh ikut.” Jelas Zenia sambil mengukir senyuman untuk Adam.

“Ohh...” Adam terangguk-angguk faham.

“Bulan madu tu kerjalah ya?” Pecah ketawa Hayyan mendengar rumusan Adam itu. Zenia pula sekadar mampu mengetap bibir. Siaplah Hayyan!

Selesai makan barulah Hayyan memandu keretanya menghala ke rumah Zatie. Ceria sahaja wajah gadis itu menyambut Adam di muka pintu.

“Adam! Nanti duduk dengan aunty jangan nakal-nakal tau? Kesian aunty nak jaga Adam. Janji dengan mama tau?” Zenia berpesan satu per satu. Adam mengangguk-angguk.

“Adam kalau ada apa-apa Adam boleh telefon uncle. Bila-bila masa aje. Uncle janji, uncle jawab.” Hayyan pula yang menyampuk. Kecil mata Zenia memandang Hayyan. Lelaki itu tersengih sebagai balasan.

“Sorry... menyusahkan, Tie. Nanti bila aku dah balik sini aku terus ambik Adam.” Ucap Zenia kepada Zatie.

“Dah. Kau janganlah risau. Adam kan dah macam anak aku sendiri jugak.” Balas Zatie sambil tersenyum.

Setelah mencium pipi Adam dan berlaga pipi dengan Zatie, barulah Zenia mengajak Hayyan beredar. Jam sudah hampir ke pukul 10.00 pagi. Takut lambat bertolak, lewat pula sampai ke sana.

“Baguslah awak pesan macam tu dekat Adam. Nanti dia telefon awak tengah-tengah program tu pandai-pandailah jawab.” Kata Zenia sambil melemparkan pandangan ke luar cermin tingkap kereta.

Hayyan tersengih.

“Adam tu bijaklah... mesti dia tahu pukul berapa boleh telefon.”

“Mana awak tahu?”

“Pernah dia telefon awak setiap kali awak pergi kerja walaupun hari minggu?” Duga Hayyan.

“Tak.” Sepatah Zenia menjawab.

“See?” Hayyan tersenyum menang. Zenia buat muka tanda mengalah. Hayyan tertawa kecil melihat reaksi itu. Dan lagu di radio terus berkumandang...

Ku akan selalu menjadi bintangmu

Menerangi gelap dan mimpimu

Aku setia di sini mengusap tangismu

Menemani sunyi di hatimu

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience