Bab 29

Romance Completed 79607

DUA ekor burung yang hinggap di atas dahan pokok menjadi mangsa renungan Zenia sejak 30 minit yang lalu. Bosan merenung burung yang langsung tak ada faedahnya tu, Zenia alihkan pandangan ke sekitar taman. Tiada apa pun yang menarik perhatiannya kala itu. Jam tangan dipandang lagi. Hayyan sudah lambat 40 minit. Lagi 20 minit dia tak datang juga, cukup sejam dan Zenia sudah boleh nampak sebab untuk dia angkat kaki.

“Mana dia ni?” Zenia mengeluh lalu menekup muka dengan tapak tangan. Telefon bimbit berdering tiba-tiba. Cepatcepat Zenia menjawab dengan harapan bukan ucapan maaf yang dia dapat daripada Hayyan.

“Nia... sorry... saya tak dapat datang. Tiba-tiba pulak ada pensyarah nak jumpa. Sorry tau? Nanti petang sikit saya pergi kolej awak. Okey?”

Zenia mengeluh panjang. Itu yang dia tidak mahu, itu juga yang dia dapat.

“Kenapa tak cakap dari tadi? Awak tahu tak saya tunggu

lama? Selalu macam tu!” Rungutnya dengan muka masam.

“Sorry... saya betul-betul mintak maaf. Lepas kelas tadi Kamil ajak buat discussion sikit. Saya ingat sekejap aje, tak sedar pulak dah setengah jam. Lepas tu Isa datang, cakap Dr. Nazri nak jumpa saya. Memang tak sempat nak call awak. I’m so so so so sorry...” Nada suara Hayyan itu sahaja sudah cukup membuktikan betapa bersalahnya dia waktu itu.

Zenia mengeluh lagi. “Fine.”

“Petang ni saya pergi kolej awak okey?”

“Tak payahlah. Saya sibuk nak buat assignment lepas ni.” Zenia jelas berjauh hati.

“Nia...” Lembut Hayyan memanggil. Kemudian dia mengeluh. Mungkin menyedari dia sudah lambat untuk pergi berjumpa Dr. Nazri.

“Bye.” Zenia mematikan talian. Dia bingkas bangun sambil mengemas buku-bukunya dan mula membuka langkah. Namun langkahnya terhenti apabila terdengar namanya dipanggil. Dia menoleh semula.

“Hai...” Azfar menyapa sambil berjalan menghampiri Zenia.

“Azfar...” Zenia menyebut nama itu sebelum memaksa bibir untuk tersenyum.

“Sorang aje? Nak pergi mana?” Azfar bertanya ramah. Padahal dari tadi lagi dia sudah perhatikan Zenia. Apabila nampak Zenia mula mahu beredar selepas menjawab satu panggilan dengan riak wajah menahan marah cepat-cepat dia datang menegur.

“Hmm... balik.” Ringkas Zenia menjawab.

Azfar menoleh jam di tangannya.

“Baru pukul 12.35. Duduklah. Kita borak-borak dulu. Saya kalau balik pun tak ada nak buat apa jugak.” Umpannya.

Dengan senyuman manis, dia duduk di atas bangku berhadapan dengan bangku yang ditinggalkan Zenia tadi.

Zenia tidak teragak untuk menurut. Memang dia marah dengan Hayyan tapi itu tidak bermakna dia harus menunjukkan amarahnya itu di depan Azfar juga. Mata dililaukan ke sekitar taman itu.

“Kenapa? Risau kalau boyfriend nampak awak dengan saya?” Azfar bertanya.

“Eh... tak adalah.” Zenia menggeleng sebelum ketawa kecil.

“Dia sibuk.”

Azfar mengangguk-angguk.

“Takut girlfriend awak aje yang nampak awak dengan saya.” Zenia memulangkan kata-kata itu kepada Azfar sambil ekor mata mencuri pandang reaksi lelaki itu.

“Saya tak ada girlfriend.” Azfar ketawa. Zenia buat muka tak percaya.

“Crush pun tak ada.” Tambah Azfar lagi. Dia tersenyum.

Zenia tergelak halus. “Okay. Then selamatlah saya.”

Giliran Azfar pula yang ketawa. Zenia terdiam merenung wajah lelaki itu. Baru beberapa minit duduk berbual bersama, hati yang tadinya membahang terasa semakin surut suhunya. Memang sukar untuk dia nafikan, semakin hari keserasian antara dia dan Azfar semakin terjalin. Buktinya sekarang, berborak kosong sambil sesekali disertai gelak tawa cukup untuk membuatkan Zenia semakin selesa berada bersama lelaki itu.

Ya. dia memang sukakan Azfar.

EKOR MATA Eton ralit memerhatikan Zenia yang rancak berborak di telefon. Tengok dari cara, dia yakin Zenia bukan bercakap dengan Hayyan. Hatinya rasa tidak sedap. Dengan siapa pula Zenia tu bergayut?

“Okey. Bye.” Zenia mematikan talian dengan senyuman di bibir. Ketika berpaling, terkejut dia melihat Eton sedang merenung tajam ke arahnya.

“Apa?”

“Borak dengan siapa?” Tanya Eton dengan muka tak ada perasaan.

“Kawan.”

“Macamlah kawan kau dalam dunia ni sorang aje, kan?” Sinis Eton membalas.

“Kawan tu siapa?”

Zenia kebam bibir.

“Nia... aku tanya ni.” Tekan Eton geram.

“Azfar.” Jawabnya perlahan.

Mencerlung mata Eton ke arah Zenia.

“Kenapa?”

“Sikit punya mesra kau bersembang dengan dia tadi. Sejak bila pulak kau rapat dengan dia ni?” Eton bertanya keras. Nadanya mendesak.

“Alaa... kawan aje pun.” Lain yang ditanya, lain yang dijawab Zenia.

“Nia... aku nak kata kau ni bodoh, kau bijak. Kau tak boleh fikir ke? Kalau Hayyan tahu macam mana? Kau tak pernah fikir perasaan dia?”

Zenia terdiam. Kenapa dia boleh terlupa tentang Hayyan ketika bercakap dengan Azfar tadi?

Eton tergeleng-geleng.

“Kau...”

“Kau tak payahlah risau. Aku dengan Azfar kawan aje.” Zenia membela diri.

“Dulu sebelum kau bercinta dengan Hayyan, kau orang kawan jugak, kan?” Eton sengaja putar belit ayat. Biar Zenia buka mata dan sedar sebelum terlambat.

Zenia terdiam lagi. Dia keliru. Antara cinta kepada Hayyan dan suka kepada Azfar. Benarkah dia cintakan Hayyan? Kalau betul cinta, kenapa senang sangat dia boleh menyukai Azfar? Suka? Betul ke itu perasaan suka semata? Bukan ada perasaan lain? Aduhai... bingung!

“Nia, kau jangan sampai tersangkut kat Azfar tu sudah. Ingat sikit perasaan Hayyan. Dia tu sayang nak mati kat kau tau tak?” Eton pula yang risau jadinya. Zenia... Zenia...

“Ya. Aku tahu.” Hanya itu jawapan Zenia sebelum dia terus bangkit dari kerusi dan keluar dari bilik. Entah kenapa, mungkin kerana amarah terhadap Hayyan sejak siang tadi terbawa-bawa hingga ke malam.

Eton tergeleng-geleng. Janganlah apa yang ditakutkan selama ini menjadi kenyataan. Sempat dia menitip doa dalam hati.

Telefon bimbit Zenia berdering lagi. Eton kenal bunyi deringan itu. Lagu yang memang dikhaskan untuk Hayyan seorang. Eton mencapai telefon itu lalu terus menekan punat hijau.

“Hayyan, sorry... ni aku, Eton.” Cepat-cepat Eton bersuara.

“Nia mana?”

“Nia...”

“Dari tadi aku call asyik engaged. Kenapa?” Nada suara Hayyan berbaur curiga.

“Err...” Eton menggaru-garu kepalanya sendiri.

“Hmm... macam ni, tadi tu aku pinjam handphone Nia nak call mak aku. Aku punya dah habis kredit.” Laju ayat-ayat itu meluncur keluar dari mulutnya. Menipu? Gasaklah!

“Ohh... aku ingat Nia marah aku lagi. Hmm... mana dia?”

“Nia... dia... err...” Eton terkial-kial mencari alasan yang seterusnya.

“Dia keluar pergi bilik Nurul rasanya. Biasalah malammalam macam ni lepak sana.” Entah dari mana idea itu dia dapat. Main belasah ajelah. Lagipun dia memang tak tahu ke mana Zenia pergi tadi.

“Hmm... okeylah kalau macam tu. Kirim salam dekat dia. Nanti kalau sempat, aku call lagi.” Balas Hayyan perlahan.

“Okey. Bye.” Eton memutuskan talian bersama hembusan keluhan lega.

DUDUK SEORANG diri di bawah pokok sambil membelek-belek buku di tangan. Kalau ikutkan hati memang Zenia mahu terus pulang ke kolej memandangkan badannya terasa penat yang amat disebabkan jadual kelas yang padat hari ini. Tetapi tadi setelah mendapat panggilan daripada Hayyan yang meminta dia menunggu di taman itu, terpaksalah dia membatalkan niatnya. Lagipun Hayyan bukan setakat meminta, siap merayu lagi.

Zenia tersentak apabila tiba-tiba seutas rantai muncul di depan matanya. Serentak itu dia berpaling ke belakang dengan mata yang membulat. Hayyan tersenyum manis di situ sebelum membetulkan duduknya di sebelah Zenia. Tanpa katakata, rantai itu diletakkan di atas tapak tangan Zenia.

“Apa ni?” Tanya Zenia bingung.

“Kuih.” Hayyan tayang sengih. Zenia membalas dengan jelingan. Hayyan ketawa kecil.

“Rantailah... untuk awak.”

“Tak mintak pun.” Balas Zenia dengan kepala yang tunduk merenung rantai di tangan.

“Saja nak bagi.” Jawab Hayyan pula dengan muka selamba.

“Saja nak membazir.”

“Untuk awak, mana boleh dikira membazir.”

“Nak memujuklah tu.” Zenia mencebik. Hayyan ketawa.

“Sorry pasal semalam. Saya betul-betul tak boleh nak elak benda tu.”

“Jadi... do you really think that you can buy my forgiveness with this necklace?” Zenia menayangkan rantai itu di depan muka Hayyan.

Hayyan senyum. Rantai di tangan Zenia diambil.

“Nope. Tapi saya tahu, ia boleh buatkan awak tersenyum.”

“Tak senyum pun.” Zenia masih tidak mahu mengalah. Riak mukanya diseriuskan. Hayyan ketawa lagi.

“Tengok loket ni.” Loket rantai itu ditunjukkan kepada Zenia. Zenia hanya memandang tanpa suara.

“Loket ni berbentuk bunga Zinnia. Ingat lagi apa saya beritahu awak pasal bunga Zinnia?” Hayyan merenung lembut ke dalam sepasang mata Zenia. Zenia terdiam membalas renungan itu.

“Loket ni saya tempah khas untuk awak tau. Bukan sebab nak pujuk awak atau nak beli kemaafan awak. Saya beli rantai ni... just for you. Tak kisahlah awak dalam mood apa pun sekarang ni.” Jelas Hayyan satu per satu.

Makin terdiam Zenia dibuatnya. Perlahan dan penuh kelembutan rantai itu pakaikan pada lehernya. Perasaan sekarang? Lebih daripada terharu. Tetapi di sebalik perasaan itu, tetap terselit rasa bersalah. Untuk apa rasa bersalah itu Zenia sendiri tidak mengerti.

“Thanks.” Ucap Zenia perlahan. Lambat-lambat bibirnya menguntum senyum.

“Yesss!” Hayyan bersorak tiba-tiba. Zenia mengerut dahi.

“Kenapa?”

“See? Saya berjaya buat awak senyum.” Jawab Hayyan sebelum ketawa sendiri. Zenia juga ikut ketawa.

“Ingatkan apa. Macam-macamlah awak ni.” Bebelnya dengan kepala tergeleng-geleng.

“So... awak nak saya buat apa untuk pujuk rajuk awak tu?” Tanya Hayyan.

“Hmm...” Zenia menggumam perlahan sambil melilaukan matanya. Di satu sudut, dia terpandangkan Karima sedang duduk sambil memerhatikannya bersama Hayyan dengan satu pandangan yang sukar ditafsirkan. Melihat fokus mata Zenia, Hayyan ikut berpaling. Karima yang perasan Hayyan kini menoleh ke arahnya terus angkat punggung. Sempat menjeling tajam sebelum berlalu.

“Biarlah dia tu. Tak penting pun.” Ujar Hayyan untuk menyedapkan hati Zenia. Dia tahu Karima sudah semakin menjarakkan hubungan dengannya semenjak dia dan Zenia menjalin cinta.

“Siapa dia kepada awak?” Tanya Zenia dengan nada serius.

“Dia?” Hayyan menuding ke arah bangku yang diduduki Karima tadi.

“Dia seorang kawan biasa kepada saya dan hanya watak tambahan yang langsung tak penting dalam kisah cinta kita.” Jawabnya dengan senyuman penuh makna. Zenia tahan senyum.

“Ayat letak gula 3 kilo.”

Hayyan ketawa sebelum tawanya itu disambung Zenia.

“Tak payah buat apa-apa Hayyan. Saya tahu saya memang tak boleh nak merajuk lama-lama dengan awak.” Tambah Zenia sebelum bangkit berdiri dengan senyuman yang masih di bibir. Namun begitu, ada satu wajah lain yang tiba-tiba muncul dalam ruang fikirannya. Kenapa mesti dia teringatkan lelaki itu walaupun ketika bersama Hayyan?

“Nia.” Panggil Hayyan.

“Ya?”

“Pakai rantai tu selalu tau!” Pesan Hayyan.

Zenia ukir senyum nipis.

“Ya...”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience