Bab 65

Romance Completed 79607

DATIN ASMIDA turun ke bawah bersama dulang di tangan. Wajahnya yang monyok itu sudah cukup memberi jawapan kepada semua yang menanti di ruang makan rumah banglo itu.

“Riz tak keluar jugak?” Herny bertanya dengan nada pasrah. Seakan-akan sudah tahu jawapan yang bakal diterima nanti.

Datin Asmida mengambil tempat di sebuah kerusi.

“Usahkan keluar, menyahut pun tak.” Dia mengeluh lagi.

Sehingga ke hari ini, Hayyan masih lagi menyepi di dalam biliknya. Apabila dipanggil, langsung tiada sahutan. Entah macam mana keadaan anaknya itu, Datin Asmida sendiri tidak tahu. Kerja di pejabat juga pasti terabai ketika ini. Hebat betul penangan cinta Zenia sehingga Hayyan merana sampai begitu sekali.

Cuma yang pelik, Hayyan tak pernah lepaskan iPhone 5s yang dipulangkan Datin Rasyidah tempoh hari. Entah apa yang ada pada telefon pintar itu dia sendiri pun tak tahu.

“Riz tu dah kecewa sangat. Dua kali dia dikecewakan orang yang sama. Kalau Eny jadi dia, Eny pun tak tahu apa Eny akan buat.” Keluh Herny. ‘Kasihannya adik aku...’

“Senang-senang... kita kahwinkan ajelah Riz tu dengan Zenia. Habis cerita.” Sesuka hati Khairil memberi cadangan. Selama dia mengenali Hayyan, langsung dia tidak menduga perkara ini akan terjadi. Apatah lagi Hayyan dikecewakan oleh pekerjanya sendiri.

“Kamu ni bercakap macam senang aje Ril. Macam mana nak kahwinkan diaorang berdua tu?” Datin Asmida mengeluh lagi.

Khairil mengangkat kening memandang Herny. Tadinya dia cuma memberi idea sesuka hati tetapi selepas Datin Asmida bertanya begitu terasa bagaikan ada mentol menyala di atas kepalanya.

“Kita pergi pinang Zenia.” Kata Khairil pendek. Datin Asmida dan Herny sama-sama mengerutkan dahi sementara Datuk Azlan ketawa kecil dengan idea itu.

“Mama fikirlah...” Khairil membetulkan duduknya. “Zenia yang kecewakan Riz. Jadi mama tak rasa ke cuma Zenia yang boleh sembuhkan luka di hati Riz tu?”

Datin Asmida dan Herny sama-sama terdiam.

“Betul tu Ril. Papa setuju.” Datuk Azlan tersenyum penuh makna.

“Tapi macam mana kita nak buat?” Herny sudah mula nampak berminat. Khairil tersenyum.

“Zenia sekarang tengah cuti sebab dia nak balik kampung. Kalau tak silap Ril, rekod alamat kampung dia ada dalam simpanan kat ofis. Kita pergi rumah dia kat kampung dia tu dan kita pinang dia ikut adat la.”

Kali ini baru nampak cahaya bersinar-sinar di sepasang mata Datin Asmida.

“Boleh jadi ke macam tu?” Datin Asmida bersuara.

“Nak ke Zenia terima?” Herny masih ragu-ragu.

“Kita cuba dulu.”

“Tapi tak semudah tu...”

“Look...” Khairil berdehem sekali. “Zenia tinggalkan Riz sebab dia tak nak Zana terluka. Tapi sekarang Riz dengan Zana dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Kalau kita boleh explain kepada Zenia dan ceritakan kepada dia keadaan Riz sekarang, Ril rasa hati Zenia akan lembut untuk terima Riz semula.”

Masing-masing terdiam dengan hujah Khairil itu. Ada logiknya walaupun terasa macam mustahil untuk dilaksanakan.

“Siapa yang nak ceritakan kepada Zenia nanti?” Datuk Azlan bertanya.

Semua mata kini terhala ke arah Herny. Sementara Herny pula terkebil-kebil tanpa suara. Jari telunjuknya terhala ke muka sendiri.

“Eny?”

“Eny yang paling faham Riz antara kita semua. Sejak dulu pun Riz suka bercerita apa saja dengan Eny. Jadi mama rasa Eny yang paling sesuai untuk jumpa Zenia dan jelaskan semuanya kepada dia.” Datin Asmida meyakinkan biarpun terselit di hatinya rasa terkilan. Nampak sangat selama ini dia tidak peduli tentang anaknya itu.

Herny terdiam lama. Kalau itu untuk kebahagiaan adiknya sendiri, kenapa dia harus menolak?

ZENIA TERMENUNG di depan tangga rumahnya. Pandangan dihalakan ke arah anak-anak muda yang sedang asyik bermain bola sepak di tengah padang tidak jauh dari rumahnya itu. Seminggu di kampung bersama ibu dan ayah, hatinya sudah jadi semakin tenang. Tetapi dalam masa yang sama, rasa rindu kepada Hayyan semakin kuat menyentuh hatinya.

Entah apa yang sedang dilakukan lelaki itu sekarang. Bahagiakah dia? Masih mampukah dia tersenyum seperti biasa? Atau adakah dia masih lagi kecewa dengan apa yang telah berlaku?

“Nia...” Panggilan itu menyentakkan Zenia. Dia berpaling ke belakang memandang ibu yang sedang menghampirinya. Ibu kemudian mengambil tempat di anak tangga dekat dengannya.

“Nia ingatkan apa? Dari tadi ibu tengok asyik termenung aje.” Tegur Maryam lembut. Rambut Zenia yang panjang melepasi bahu itu diusap-usap lembut.

“Tak ada apalah bu. Cuma Nia teringatkan kisah lama.” Jawab Zenia perlahan. Kisah tentang Hayyan biarlah disimpan sendiri. Dia tidak mahu ibu risau memikirkan dirinya yang sedang patah hati mengenangkan cinta yang tidak kesampaian.

“Kisah lama tu tak payahlah kita kenang lagi Nia. Biarkan semuanya berlalu. Semua orang pun pernah buat silap. Yang penting macam mana kita bangkit daripada kesilapan tu. Bertaubat dan berjanji untuk tak ulang lagi kesilapan yang sama.” Tutur Maryam penuh ikhlas.

Zenia tersenyum mengangguk.

“Nia balik Shah Alam bila?” Tanya Maryam.

“Minggu depan bu. Ada seminggu lagi Nia kat sini.” Jawab Zenia sambil memandang ibu.

“Nanti Nia jangan lupa balik lagi tau? Jangan hilangkan diri macam dulu lagi. Ibu dan ayah dah tak nak berpisah dengan Nia lagi.” Pinta Maryam sungguh-sungguh.

Zenia mengangguk. Kepala diletakkan di atas riba ibunya.

“Nia janji bu. Nia akan selalu balik lepas ni. Nia takkan abaikan ibu dan ayah lagi.” Janji Zenia.

Maryam tersenyum lega. Rambut Zenia diusap-usap lagi. Penuh kasih sayang.

“Nia...” Panggilnya perlahan. Zenia diam menanti kata-kata ibu yang seterusnya.

“Dah lama ibu nak tegur Nia pasal ni.”

“Apa dia ibu?” Zenia kembali mengangkat kepalanya.

Maryam terdiam seketika. Menyusun ayat dalam kepala agar Zenia dapat menerimanya dengan tenang.

“Nia tak terfikir ke nak bertudung?” Hanya satu soalan tetapi sudah terasa bagaikan tembus ke sudut hati Zenia yang paling dalam. Dia menunduk.

“Umur Nia dah 29 tahun. Nia dah semakin dewasa. Dah boleh fikir mana yang baik dan mana yang buruk. Ibu tak nak Nia terus tanggung dosa sebab dedahkan aurat macam ni. Kalau Nia sayang ayah, sayang ibu, sayang Adam, sayang diri Nia sendiri dan takutkan Allah, Nia fikirlah apa yang terbaik untuk Nia lepas ni.” Maryam menasihati lagi. Kepala Zenia dikucup lembut.

Zenia diam di situ meskipun ibunya sudah berlalu masuk ke dalam rumah. Kolam matanya bergenang. Perlahan setitis air matanya menitik jatuh. Dikesat dengan hujung jari sebelum semakin banyak titisan itu mengenai pipinya.

‘Ya Allah... berdosanya aku selama ini. Membiarkan aurat sendiri menjadi tatapan mata lelaki bukan mahram. Membiarkan mahkota yang Engkau pinjamkan ini menjadi pintu untuk aku terus melakukan dosa. Padahal ibu dan ayah tidak pernah lupa mendidikku sejak aku kecil lagi terutama sekali tentang aurat. Kenapa aku alpa Ya Allah?’

Sudah tertulis dalam kitab Allah menutup aurat itu adalah satu perkara yang wajib. Menutup aurat bukan sahaja dapat menonjolkan kesucian agama Islam yang menjadikan wanita sebagai kaum yang mendapat takhta yang tinggi, tetapi juga demi menjadikan seseorang wanita itu dihormati, disegani dan dihindarkan daripada segala kemungkaran yang melibatkan hawa nasfu.

Dalam Al-Quran Allah S.W.T. berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud:

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anakanak perempuanmu, dan perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya untuk menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang sedemikan lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Walaupun sudah ditegaskan dalam Al-Quran menutup aurat itu wajib, masih ramai wanita di luar sana yang menganggap hal itu sebagai satu perkara yang ringan. Mereka alpa bahawa setiap inci tubuh badan mereka itu boleh menarik perhatian dan menaikkan nasfu setiap lelaki yang memandang. Sedangkan yang didedah itu sepatutnya ditutup. Kecuali muka dan tapak tangan. Manakala jika sesama wanita muslim pula, aurat yang perlu dijaga adalah antara pusat hingga ke lutut.

Firman Allah S.W.T dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman:

‘Hendaklah mereka menahan pandangannya,

dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau puteraputera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.’”

Zenia menyapu air mata di pipi mengenangkan dosadosa yang sudah terlalu banyak dilakukan. Semoga pintu taubat masih terbuka untuknya. Ya. Itulah satu-satunya pintu yang tidak akan pernah tertutup yang Allah sentiasa bukakan. Menanti hamba-hamba-Nya kembali kepada-Nya.

SEHELAI TUDUNG yang diberi ibunya tadi diusap perlahan dengan hujung jemarinya. Perlahan tudung itu dibawa ke arah papan penggosok yang memang tersedia di dalam biliknya itu.

Suis seterika dihidupkan sebelum dia mula menggosok tudung itu. Setelah siap, tudung itu dilipat bentuk segitiga sebelum meletakkannya di atas kepala. Kerongsang di atas meja solek dicapai dan disematkan kemas di bawah dagu.

Zenia merenung wajahnya sendiri di depan cermin. Ada senyuman yang perlahan-lahan terukir di bibirnya. Dia sudah membuat keputusan untuk berhijrah menjadi hamba Allah yang lebih baik. Mungkin ini hikmah di sebalik apa yang berlaku. Dia mungkin kehilangan cinta lelaki yang sangat disayangi tetapi dia kembali meraih kasih kedua orang tuanya dan yang paling penting cinta Allah yang Maha Agung.

Pintu bilik ditolak dari luar. Zenia lantas berpaling. Adam masuk dengan wajah monyok. Lambat-lambat anaknya itu berjalan ke arah katil sebelum duduk di situ.

“Kenapa ni sayang? Muka monyok aje. Hmm?” Zenia duduk di sebelah Adam sambil menanggalkan tudung di atas kepalanya.

“Adam rindu papa.” Kata Adam dengan bibir tercebik.

“Papa?” Perlahan Zenia menyebut patah perkataan itu. Adam mengangguk.

“Adam nak Papa Hayyan.” Katanya lagi. Esakan kecilnya sudah mula kedengaran. Robot Ben10 yang setia di tangannya dibawa ke dalam pelukan.

Sebak hati Zenia memandang tingkah itu. Dia tahu Adam rindukan Hayyan. Kalau tidak, takkanlah robot itu dibawa ke mana saja. Seminit pun tidak ditinggalkannya.

“Adam nak Papa Hayyan. Mama! Bila Adam boleh jumpa papa lagi? Adam rindu papa.” Adam merengek-rengek.

Zenia mengusap kepala Adam sambil memaksa seulas senyuman.

“Nanti kita balik rumah kita, mama bawak Adam jumpa papa ya.” Zenia terpaksa menipu hanya untuk memujuk Adam. Mana mungkin dia bertemu Hayyan lagi. Lelaki itu pun pasti sudah bencikan dirinya setelah apa yang berlaku antara mereka.

Adam mengesat air matanya.

“Mama janji?”

“Ya. Mama janji.”

Seperti biasa, Adam akan menghulurkan jari kelengkengnya. Seolah-olah dengan cara itu mamanya tidak akan mungkin mengingkari janji yang telah diikat.

“Adam nak ikut mama jalan-jalan tak?” Zenia mengusulkan cadangan itu. Dia cuma tidak mahu Adam terusmenerus memikirkan Hayyan. Adam perlu belajar untuk hidup tanpa lelaki itu sebagai papanya lagi.

“Jalan-jalan ke mana?” Adam nampak teruja.

“Kita jalan-jalan pusing bandar. Dah lama mama tak pergi sana.” Jawab Zenia.

“Adam nak ikut!” Laju sahaja Adam menjawab.

“Kalau macam tu, Adam pergi siap-siap dulu. Anak mama dah pandai pakai baju sendiri, kan?” Zenia tersenyum. Adam bersorak gembira dan sekejap sahaja anak itu sudah melompat turun dari katil dan keluar dari bilik mencari neneknya.

Zenia termenung seketika. Memang benar. Adam perlu belajar untuk hidup tanpa Hayyan Rizqi sebagaimana yang sedang dia usahakan sekarang ini.

DALAM PERJALANAN pulang kereta Zenia berselisih dengan sebuah Mercedes ketika sudah hampir sampai di rumah. Spontan dahinya berkerut. ‘Siapa pula tu? Adakah tetamu ibu dan ayah?’

Sebaik sahaja keretanya diparkir di halaman rumah, Adam terus berlari turun menghampiri atuk dan neneknya yang menunggu di depan tangga. Zenia mematikan enjin kereta sebelum turun menyusul langkah Adam.

“Siapa tu ayah? Tetamu ayah ke?” Zenia bertanya sambil menanggalkan kasutnya.

Mokhtar dan Maryam saling berpandangan. Reaksi kedua-duanya itu nyata mengundang tanda tanya dalam benak Zenia.

‘Apa yang sudah berlaku sebenarnya?’

“Marilah kita naik dulu. Ada benda ayah nak bincangkan dengan Nia.” Kata Mokhtar sebelum terus memanjat tangga naik ke rumah.

Maryam pula memimpin tangan Adam sementara Zenia terus dengan tanda tanya. Perlahan-lahan kakinya dibawa masuk ke rumah. Dia duduk di salah sebuah kerusi kayu sambil menanggalkan tudung di kepala.

“Tadi tu... rombongan yang datang untuk meminang Nia.” Mokhtar berterus terang.

Zenia terdiam. Kata-kata yang keluar dari mulut ayahnya itu benar-benar membuatnya terkunci mulut. Mustahil dia silap dengar kerana sebaris ayat itu dituturkan dengan jelas dan terang.

“Meminang Nia?”

Mokhtar dan Maryam sama-sama mengangguk. Zenia terdiam lagi. Terkejut sungguh dia hinggakan tidak mampu memberi apa-apa respons.

“Mereka datang nak pinang Nia untuk anak lelaki mereka. Namanya... Hayyan Rizqi.”

Zenia rasa nak pitam mendengar nama itu. Hayyan Rizqi? Benarkah? Benarkah dia tidak salah mendengar? Dipandang wajah ayah dan ibunya yang tenang. Yakinlah dia yang mereka berdua tidak bergurau.

“Ayah cakap apa kat diaorang?” Terketar-ketar suaranya bertanya.

“Ayah tak berani nak bagi sebarang jawapan. Jadi ayah minta masa untuk tanyakan kepada Nia sendiri. Nia setuju?” Lembut Mokhtar bertanya. Dia tidak mahu memaksa Zenia. Anaknya itu sudah melalui bermacam-macam rintangan sepanjang 29 tahun dia hidup. Jadi dia tidak mahu membuat anaknya itu sengsara sekali lagi.

“Nia masuk dalam dulu ayah, bu.” Kata Zenia perlahan sebelum terus bingkas menghilang ke dalam bilik. Dia duduk di birai katil dengan kepala yang berserabut. Hayyan Rizqi? Bukankah lelaki itu sudah punya Zanariah sebagai tunangannya? Untuk apa lagi menghantar rombongan untuk meminang dirinya? Bagaimana pula dengan Zanariah?

Semua soalan itu berselirat dalam kepala tetapi jawapannya tiada. Zenia buntu sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience